Thursday, October 27

WAN ABDULLAH TUAN TABAL

 
Khatib Kelantan

Oleh :NIK NURUL IMAN NIK HASHIM
NAMA dalam percakapan ialah Tuan Tabal. Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Abdus Shamad bin Muhammad Shalih al-Kalantani. Kisah beliau telah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, sejarah kelantan
Demikian juga anak beliau, Haji Wan Muhammad Al-Kalantani, Mufti Kelantan yang ke-IV, diperkenalkan dalam Bahagian Agama, sejarah kelantan
Artikel ini memperkenalkan anak Tuan Tabal yang bernama Haji Wan Abdullah. Saya segerakan riwayat anak Tuan Tabal dalam keluaran ini, kerana pada pertengahan Ramadan saya terima panggilan telefon, disusuli dengan surat tarikh 23 Ramadan 1431 H/18 Oktober 2010 dari sahabat saya Ustaz Mahmud Abdul (bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia) yang minta kehadiran saya dan bahan-bahan pameran pada majlis Hari Raya Aidilfitri dan Silaturahim Ahli Keluarga Tuan Tabal yang akan diadakan pada rabu, 19 November ini di Dewan Muslimat, Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, Kuala Lumpur. Isteri Ustaz Mahmud Abdul sendiri adalah keturunan Tuan Tabal ulama yang sangat terkenal itu.
Seiringan dengan itu, sempena hari raya, saya terlebih dahulu mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1431H kepada pihak sejarah kelantan, maaf zahir dan batin. Kerjasama dan jasa Bahagian Agama, sejarah kelantan, yang menyiarkan artikel ulama-ulama kita, sangat-sangat disanjung tinggi. Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, saya tujukan juga kepada semua pembaca terutama mereka yang tekun mengikuti ruangan Ulama Nusantara.
Oleh sebab anak Tuan Tabal yang bernama Haji Wan Musa (Mufti Kelantan), banyak ditulis orang maka saya ganti dengan adik beliau, iaitu Haji Wan Abdullah. Sekurang-kurangnya ada dua orang bernama Haji Wan Abdullah keturunan Tuan Tabal yang hidup sezaman dan sama-sama berperanan penting dalam perkembangan Islam di Kelantan.
Haji Wan Abdullah yang pertama ialah anak Tuan Tabal (yang diriwayatkan dalam artikel ini) dan yang seorang lagi ialah Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Musa, berertilah Haji Wan Abdullah ini adalah cucu Tuan Tabal.
Haji Wan Abdullah bin Tuan Tabal lahir pada 1293 H/1877M, wafat Jamadilawal 1345 H/Disember 1926M. Mendapat pendidikan asas tentang Islam daripada ayahnya sendiri, Tuan Tabal, di Kota Bharu Kelantan. Wan Abdullah bersama abangnya Wan Musa melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Guru utama bagi kedua adik beradik tersebut, ialah Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Syeikh Wan Ali Kutan adalah ayah saudara bagi kedua-duanya, kerana ibu mereka Hajah Wan Kaltsum, adalah kakak kepada Syeikh Wan Ali Kutan (sila lihat Utusan Malaysia, 4 Oktober 2004).
Sebagaimana Syeikh Wan Ali Kutan, demikian juga dengan Tuan Tabal, masih termasuk dalam lingkungan keluarga besar ulama-ulama Patani yang di dalamnya juga termasuk Syeikh Ahmad al-Fathani.
Jadi tidaklah menghairankan, mulai dari Tuan Tabal dan semua anak-anaknya yang belajar di Mekah, sangat mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani berbanding ulama-ulama lainnya. Dua perkara memang terjalin sejak lama, iaitu jalinan satu asal usul datuk nenek. Yang kedua, jalinan keilmuan yang mantap dari keluarga besar tersebut sejak pertama kedatangan Islam di rantau ini hingga ke zaman mereka yang diriwayatkan ini. Bahkan tidak dapat dinafikan hingga artikel ini saya tulis, keturunan mereka masih tetap aktif dalam pelbagai bidang, termasuk masih ramai yang menjadi ulama.
SUMBER PENYELIDIKAN
Satu-satunya sumber utama untuk menyusun biodata Nik Wan Abdullah ialah kitab Majmu' Khuthab al-Juma' al-Malayuwiyah yang disunting oleh Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani, yang diterbitkan oleh The Ikhwan, Kota Bharu, Kelantan dan dicetak oleh Singapura Jawi Press, Jalan Engku Aman Geylang Road, Singapura, pada 21 Syaaban 1356 H.
Petikan beberapa maklumat sebagai berikut, “... yang tersunting di dalam risalah ini, hamba guguskan dia daripada pungutan dan gubahan al-Fadhil Tuan Haji Wan Abdullah bin al-Alim ar-Rabbani asy-Syeikh Abdus Shamad al-Kalantani.” (Majmu' Khuthab, pada kulit depan).
Diperjelas lagi dengan kalimat, “... yang dipungutkan dia daripada lautan bahasa Arab, kemudian digubahkan dia kepada kebutan-kebutan bahasa Jawi (Melayu Kelantan) yang sangat munasabah dengan golongan masanya oleh al-Fadhil Tuan Haji Wan Abdullah bin al-Alim ar-Rabbani asy-Syeikh Abdus Shamad al-Kalantani. Telah mendiruskan (maksudnya: menyirami) Allah Taala dengan hujan rahmat-Nya atasnya, lagi reda Allah kepadanya. Maka berasalah di dalam hati hamba akan bahawa hamba jadikan dia satu gugusan yang ditentu namanya ...” (Majmu' Khuthab, hlm. 6).
Dalam bentuk syair Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani memberi maklumat tentang aktiviti Haji Wan Abdullah sebagai berikut;
“Nama Muallif hamba sebutkan,
Haji Wan Abdullah itu dimasyhurkan
Di Kota Bharu Kelantan ia istiqama,
sebelah hilir masjid tahulah ia
Haji Abdus Salam, kampung yang bernama,
di situlah ia mengajar ugama
Hendaklah ikhwan dia begitu,
setiap Jumaat digilirkan satu.”
Daripada beberapa maklumat ada orang meriwayatkan bahawa Haji Wan Abdullah pernah menjadi khatib di Masjid Muhammadi sekitar dua tahun, iaitu tahun 1916 - 1918 M. Selain itu beliau pernah menjadi Ahli Majlis Agama Islam Kelantan. Melalui pelbagai sumber diriwayatkan bahawa Haji Wan Abdullah adalah seorang ulama yang berpegang kukuh dalam fiqh Mazhab Syafie, seperti juga abangnya yang sulung, Mufti Haji Wan Muhammad, tetapi dalam beberapa hal ada sedikit perbezaan dengan Mufti Haji Wan Musa.
Selain ahli dalam fiqh Mazhab Syafie, beliau juga ahli dalam ilmu usuluddin, mengikut Mazhab Ahli Sunah wal Jamaah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Pada konteks kepelbagaian pemikiran pula Haji Wan Abdullah adalah seorang ulama yang mendalam tentang falsafah.
Sebagaimana ulama-ulama tradisional lainnya, Haji Wan Abdullah, mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam tentang tasawuf. Sekali gus beliau pengamal Tarekat Sufiyah, terutama Tarekat Ahmadiyah seperti yang diamalkan oleh ayah beliau Tuan Tabal, demikian kedua-dua abangnya Mufti Haji Wan Muhammad dan Mufti Haji Wan Musa.
Haji Wan Abdullah adalah pengamal Tarekat Ahmadiyah, sungguhpun beliau lebih muda dari Tok Kenali, tetapi ketika di Mekah sama-sama belajar kepada ulama-ulama yang telah disebutkan di atas. Riwayat Tok Kenali saya tulis dalam Utusan Malaysia, 2 Oktober 2006, tetapi ada pembaca kurang puas kerana tarekat yang diamalkan Tok Kenali tidak saya sebut.
Sebenarnya perkara tersebut belum perlu saya jawab dalam ruangan ringkas ini, tetapi perlu saya tegaskan bahawa saya tidak sependapat dengan golongan yang berpandangan bahawa tarekat adalah ajaran sesat.
Ajaran tarekat mempunyai hujah yang kuat berdasarkan kepada al-Quran, hadis dan diamalkan oleh para Nabi dan Rasul, termasuk Nabi Muhammad s.a.w. Ketika sesuatu Tarekat Sufiyah belum diberi nama pengkhususan, dalam al-Quran dan hadis disebut dengan zikrullah.
Oleh itu, ulama yang beramal dengan sesuatu tarekat termasuk Haji Wan Abdullah mempunyai pilihan yang tepat, bukannya bidaah dhalalah seperti yang dituduhkan oleh golongan yang anti- tarekat.
Penulisan khutbah
Haji Wan Abdullah menghasilkan penulisan tentang khutbah yang kemudian dikumpulkan oleh Ismail bin Kecik bin Haji Awang Abu bin Haji Mahmudi al-Kalantani. Himpunan dan suntingan karya Haji Wan Abdullah yang diusahakan itu diberi judul Majmu' Khuthab al-Juma' al-Malayuwiyah li Tafhim man La Ya'rif al-'Arabiyah.
Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani selesai menghimpun dan menyunting karya Haji Wan Abdullah yang tersebut pada hari Ahad, 5 Rabiulakhir 1343 H. Riwayat hidup Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani masih belum diketahui tetapi berdasarkan beberapa kalimatnya dapat dipastikan bahawa beliau adalah seorang murid yang setia kepada Haji Wan Abdullah.
Sebelum membicarakan sesuatu kandungan khutbah Haji Wan Abdullah terlebih dulu membicarakan hukum-hukum yang tertakluk dalam persekitaran khutbah, syarat-syaratnya dan lain-lain.
Semua yang dibicarakan adalah sama dengan kebanyakan kitab dalam Mazhab Syafie. Sungguhpun demikian, jika kita teliti ada perkara yang nadir atau jarang dibicarakan terdapat juga dalam Majmu' Khuthab al-Juma'. Kenadiran atau perkara yang jarang ditulis oleh orang lain, lalu ditulis oleh seseorang ulama, di situlah letak nilai ilmu dan seni seseorang ulama dalam menerapkan pendidikan dan dakwahnya.
Di antara perkara nadir yang terdapat dalam karya tersebut seperti tulisan beliau: “Dan makruh berkata-kata pada tatkala khatib membaca khutbah pada Mazhab Imam kita Syafie. Ada pun pada mazhab imam yang lain haram berkata-kata pada ketika itu.” (Majmu' Khuthab, hlm. 14).
Masih dalam kategori perkara nadir, Haji Wan Abdullah menganjurkan beberapa perkara yang sunat dikerjakan ketika sewaktu menghadiri ibadah Jumaat, beliau tulis: “Dan sunat memakai serban, kerana hadis bahawasanya Allah s.w.t. dan segala Malaikat-Nya selawat sekalian atas yang memakai serban hari Jumaat. Dan sunat memakai serban bagi sekalian sembahyang. Dan tersebut pada hadis satu sembahyang dengan memakai serban afdal daripada dua puluh lima sembahyang dengan tiada memakai serban ...” (Majmu' Khuthab, hlm. 16).
Judul-judul khutbah yang terdapat dalam Majmu' Khuthab karya Haji Wan Abdullah di antaranya ada dua judul membicarakan tentang bulan Ramadhan. Mengenai ini dicatat tarikh selesai penulisan akhir Ramadan 1338 H/akhir Jun 1919 M. Terdapat satu judul tentang Hari Raya Aidilfitri. Haji Wan Abdullah memang diketahui umum bahawa beliau adalah seorang ulama yang sentiasa mengamalkan wirid, tasbih, zikir dan lain-lain, sehingga dalam khutbah Aidilfitri sempat juga beliau bicarakan perkara itu.
Kata beliau: “Tersebut di dalam hadis, Barang siapa berkata Subhanallah wa bi hamdih pada hari raya, 300 kali, dan dihadiahkan pahalanya kepada segala orang yang mati daripada segala orang yang Islam, nescaya masuklah pada tiap-tiap kubur mereka itu 1,000 cahaya. Dan Allah s.w.t menjadikan orang yang menghadiahnya pada kuburnya 1,000 cahaya, apabila ia mati.” (Majmu' Khuthab, hlm. 83

SYEIKH WAN DAUD AL-FATHANI BAHJATUDDIN AL-ARIF AR-RABBANI

 


Oleh :NIK NURUL IMAN NIK HASHIM
SEJAK kisah karamah Tok Kenali, diperkenalkan Isnin, 2 Oktober lalu, ramai menghubungi saya melalui telefon dan e-mel.
Saya cuba membuat analisis perbandingan secara keseluruhan kegemaran pembaca dari pelbagai golongan tentang isu-isu yang pernah disentuh dalam siri ulama seperti pendidikan, politik, ekonomi, sejarah, manuskrip, bahasa, sastera, asal usul keturunan jihad dan lain-lain serta yang terakhir sekali isu karamah. Ternyata pengikut isu karamah adalah yang paling ramai menghubungi saya.
Mereka bukan menolaknya, tetapi rasa ingin tahu tentang ulama dunia Melayu yang mempunyai karamah.
Agak berat saya menulis perkara tersebut, bukan kerana kekurangan bahan, tetapi pada pandangan saya, para ulama yang masih belum begitu diketahui oleh orang ramai perlu dapat dibuktikan dengan hasil-hasil peninggalannya, seperti kitab karangan, institusi pendidikan, dan lain-lain seumpamanya.
Ada pun kisah mengenai Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani telah saya terbitkan dalam bentuk buku (Malaysia dan Indonesia) dan dalam kertas-kertas kerja yang dibentang dalam beberapa seminar.
Oleh itu sudah sampai gilirannya, kerana memenuhi permintaan pihak-pihak tertentu, minta supaya karamah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga ditempatkan dalam ruangan bicara ulama Nusantara ini.
Pada judul digunakan istilah-istilah, iaitu Bahjatuddin dan Al-Arif Ar-Rabbani. Perkataan Arab Bahjatuddin jika diterjemah ke dalam bahasa Melayu bererti Keelokan Agama, iaitu salah satu nama gelar yang diberikan orang kepada Syeikh Daud Abdullah al-Fathani yang pernah terdapat dalam sebuah kitab karangan beliau. Perkataan Al-Arif Ar-Rabbani juga diberikan oleh beberapa ulama kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sejak zaman beliau dan gelaran itu kekal digunakan pada beberapa kitab karangan beliau hingga sekarang ini.
Menurut tradisi keilmuan Islam, khususnya ilmu tasawuf, hanya ulama-ulama yang sampai kepada peringkat Haal dan Maqam para Wali Allah saja yang layak diberikan gelar Al-Arif Ar-Rabbani atau Al-Arif Billah. Tidak ramai ulama dunia Melayu memperoleh gelaran demikian.
Di antara yang tidak ramai itu termasuk juga Al-Alim Al-Allamah Al-Arif Ar-Rabbani Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Dari julukan nama yang demikian agung, ramai orang tidak ragu-ragu tentang cerita-cerita karamah yang pernah berlaku terhadap ulama besar, Wali Allah, yang banyak menghasilkan kitab karangan, yang berasal dari Patani itu.
Rumah Kerisik
Ketika saya berumur antara empat dan lima tahun, belum bersekolah, cerita tentang karamah seorang Wali Allah yang pertama sekali saya dengar ialah Karamah Syeikh Daud al-Fathani. Sewaktu ibu saya, Hajah Wan Zainab Syeikh Ahmad al-Fathani, mengajar golongan hawa, beliau menggunakan salah sebuah kitab Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Beliau meriwayatkan, “Pada satu ketika sewaktu Syeikh Daud al-Fathani mengajar di rumahnya di Kerisik, Patani tiba-tiba beliau berhenti mengajar.”
Lalu digerak-gerakannya tangannya.
Lengan bajunya basah. Ada muridnya bertanya, kenapa Tok Syeikh itu berkelakuan demikian. Tok Syeikh Daud menjawab, “Aku menolong orang karam!” Sejurus kemudian orang karam itu datang menemui Tok Syeikh Daud kerana membayar nazar. Setelah orang-orang yang mengikuti pengajian kepada ibu saya tersebut pulang, saya bertanya kepada ibu saya, bagaimanakah caranya orang yang diam di atas darat boleh menolong orang karam di laut? Ibu saya menjawab, “Belajar rajin-rajin. Mengaji Quran banyak-banyak. Berdoa banyak-banyak. Nanti di kemudian hari kamu ketahui.”
Saya tidak perlu memaksa diri sendiri atau orang lain percaya atau pun menolak riwayat di atas, tetapi setelah saya membanding pelbagai perubahan zaman dapatlah saya fahami maksud perkataan ibu saya itu. Bererti beliau faham ilmu psikologi pendidikan kanak-kanak pada zaman itu (tahun 1950). Kenapa kita menolak cerita karamah para Wali Allah ? Sedangkan zaman kita sekarang cerita yang bercorak robot yang direka oleh manusia moden, seperti ultraman, doraemon, power rangers, termasuk juga pendidikan seks yang diketahui oleh kanak-kanak yang masih di bawah umur apakah kita tidak terfikirkan dampak negatifnya terhadap remaja Islam dan bangsa Melayu untuk masa-masa yang akan datang ?
Oleh itu kisah mukjizat para Nabi dan karamah para Wali Allah adalah patut diperkenalkan. Di dalamnya banyak peroleh petunjuk dan keberkatan bukannya membawa kejumudan seperti pendapat pihak-pihak tertentu yang selalu sinis dari sesuatu yang bersumberkan daripada tradisi Islam.
Kisah di atas juga saya dengar di Kerisik, Patani, tahun 1970 di rumah tempat kejadian (rumah yang dibina oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani). Rumah tersebut runtuh (terpetak di atas tanah) pada 1989, kebetulan ketika kejadian itu saya berada di Patani. Saya menyaksikan sendiri, bahawa ada bahagian penting tempat sebuah peti manuskrip atau naskhah-naskhah tulisan tangan tidak mengalami kerosakan. Berhari-hari khazanah ilmu itu tidak dipedulikan orang, terbiar begitu saja sehinggalah saya datang ke tempat itu.
Saya memang mempunyai hak atas pemilikan naskhah-naskhah itu, oleh itu telah saya selamatkan dengan apa yang ada dalam koleksi saya. Dari peristiwa tersebut dan perbandingan lainnya, saya dapat mengambil iktibar bahawa keghairahan kebanyakan orang selalu berusaha memperoleh harta pusaka yang bercorak kebendaan, tetapi sangat jarang atau sedikit sekali orang yang mengutamakan khazanah ilmu yang dipusakai oleh datuk neneknya.
Setelah saya kaji peri kehidupan Syeikh Daud Abdullah al-Fathani, bahawa beliau lebih mengutamakan pusaka khazanah ilmu dari kebendaan lainnya, barangkali kerana itulah sebahagian ilmu-ilmu yang berasal dari beliau masih selamat sampai sekarang. Hasil-hasil karangan beliau masih banyak diajarkan orang di pelbagai tempat di dunia Melayu. Namanya tetap harum semerbak di sepanjang zaman.
Keberangkatan ke Mekah
Peristiwa karamah Syeikh Daud Abdullah al-Fathani sewaktu beliau akan ke Mekah yang pertama kali diriwayatkan sebagai berikut, “Tok Syeikh Daud adalah seorang suka berusaha sendiri, beliau tidak suka membebankan urusannya kepada orang lain termasuk terhadap kedua orang tuanya. Pada satu ketika, beliau ingin menunaikan haji ke Mekah sekali gus untuk belajar ke sana.”
Sejak kecil yang diusahakannya hanyalah menuntut ilmu, tidak pernah menghiraukan sesuatu pekerjaan lainnya. Walau pun beliau tahu bahawa kedua orang tuanya mampu mengirimnya ke Mekah, namun beliau tidak pernah menceritakan hasratnya itu. Sebagai seorang yang terpelajar dalam pelbagai ilmu, salah satu kaedah dalam ilmu tasawuf mempedoman bahawa hakikat pentadbiran, sama ada diri peribadi atau dari sekecil-kecil alam semesta hingga yang sebesar-besarnya adalah mutlak milik Allah s.w.t..
Tasawuf juga mengajar bahawa doa adalah senjata yang paling ampuh untuk mengatasi segala persoalan. Oleh itu Tok Syeikh Daud lebih mengutamakan berdoa daripada terlalu bersibuk-sibuk mencari wang. Kerana Tok Syeikh Daud berdoa dengan keseluruhan dirinya, diri yang zahir dan diri yang batin, tiada bahagian tubuh zahir dan batin, yang tidak ikut serta dalam munajat kepada Allah, maka doanya sentiasa dikabulkan Allah. Kabul itu pula ada kelainan daripada biasa.
Bahawa pada suatu hari Tok Syeikh Daud melihat seekor lembu menanduk busut. Tok Syeikh Daud berfikir mengapakah lembu itu berbuat demikian? Beliau munajat, mohon petunjuk kemungkinan ada rahsia yang tersembunyi pada kelakuan binatang itu.
Pada malam hari, Tok Syeikh Daud bermimpi bahawa di dalam busut itu tersimpan emas supaya beliau mengambilnya untuk belanja berangkat ke Mekah dan keperluan selama beliau belajar di sana. Emas itu pula supaya disedekahkan kepada semua orang miskin yang berada di Kerisik. Cara bersedekah pula hendaklah dengan rahsia, iaitu emas itu diletakkan di bendul pintu setiap rumah. Semua petunjuk dalam mimpi itu telah beliau kerjakan.
Sungguh ajaib, semua rumah yang diletakkan emas itu, pemiliknya bermimpi pula bahawa mereka menerima sedekah dari Tok Syeikh Daud.
Diriwayatkan, bahawa beliau seorang yang qana'ah (cukup seadanya saja), oleh itu amanah itu dilaksanakan dengan sejujur-jujurnya. Dengan demikian hidup beliau penuh berkat dan rahmat hinggalah ke akhir hayatnya.
Orang-orang yang menerima sedekah daripada Tok Syeikh Daud juga demikian adanya. (Sumber cerita diperoleh di Kerisik daripada beberapa orang tua-tua kewarisan Syeikh Daud Abdullah al-Fathani, tahun 1970).
Jin di alam manusia
Selalu kita mendengar ada orang mencari ilmu untuk menguasai jin atau pun makhluk halus. Mereka bermaksud dengan jenis ilmu yang demikian dapat mengatasi keperluan atau menyampaikan sesuatu hajat. Ini berbeza dengan para Wali Allah. Mereka tidak memerlukan ilmu seperti itu kerana mereka selalu berpegang kepada akidah yang betul. Sungguh pun begitu, ada beberapa orang ulama dunia Melayu termasuk Syeikh Daud Abdullah al-Fathani yang pernah menjadi guru kepada jin yang beragama Islam.
Diriwayatkan: “Ada satu jin yang menyamar bersama-sama dengan jenis manusia belajar kepada Tok Syeikh Daud di Masjid al-Haram, Mekah. Jin itu menyangka bahawa Tok Syeikh Daud tidak tahu bahawa dia adalah bangsa jin. Sebenarnya Tok Syeikh Daud bukannya tidak tahu perkara itu, bagi seorang Wali Allah sesuatu rahsia yang belum diketahui oleh orang ramai beliau tidak akan menceritakannya selagi perkara itu tidak merosakkan pihak lainnya.
Pada satu malam, jin itu menjemput Tok Syeikh Daud dan gurunya yang berbangsa jin datang ke rumahnya kerana mengadakan kenduri. Semua yang hadir adalah bangsa jin dan mereka merendahkan diri kepada Tok Syeikh Daud.
Alam itu sebenarnya adalah alam jin, tetapi mereka cuba hadir kepada alam manusia. Maksud mereka bukan untuk menipu Tok Syeikh Daud tetapi mereka ingin mengambil berkat atas ketinggian martabat Wali Allah bangsa manusia itu.
Mereka menyangka bahawa Tok Syeikh Daud tidak mengetahui perkara itu, sebenarnya sebelum datang ke tempat itu beliau telah maklum bahawa jemaah yang hadir di tempat itu bukan bangsa manusia tetapi adalah jemaah jin.
Setelah selesai upacara, jin tuan rumah bersedekah kepada Tok Syeikh Daud satu bungkusan yang di dalamnya terdapat ketulan-ketulan emas dan pelbagai jenis permata yang mahal-mahal harga. Tok Syeikh Daud menolak sedekah itu dengan secara halus, dibahagi-bahagikan kepada semua bangsa jin yang hadir di tempat itu sehingga tidak ada sesuatu pun yang tinggal pada beliau.
Cerita di atas dapat menjadi pengajaran, bahawa pada zaman moden sekarang masih ada orang yang ingin mendapatkan harta kekayaan melalui jin. Tetapi berbeza dengan ulama seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, beliau tidak memerlukan barangan yang bukan dari alam kita sendiri.
Tidaklah berlebihan, saya kemukakan sedikit pengalaman bahawa saya pernah menyaksikan ada orang dapat mengambil jongkong emas, keris, dan permata dari alam ghaib. Tetapi ternyata emas di alam jin tidak menjadi emas di alam kita. Emas di alam jin hanyalah tembaga apabila masuk ke alam kita

HAJI MUHAMMAD SA'ID ARSYAD

 


Tokoh Litografi Melayu-Islam

Oleh :NIK NURUL IMAN NIK HASHIM
SALAH satu cabang khazanah kewarisan Melayu-Islam yang dilupakan orang ialah cetakan-cetakan sastera klasik yang ditulis dalam bentuk hikayat dan syair. Lebih 100 tahun yang lalu sekurang-kurangnya terdapat tiga tokoh yang paling banyak mencetak hikayat dan syair Melayu-Islam yang menggunakan huruf litografi (huruf batu) yang berpusat di Singapura. Ketiga-tiga tokoh itu ialah Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Haji Muhammad Amin bin Abdullah dan Haji Muhammad Idris bin Yahya.
Yang dibicarakan dalam artikel ini ialah tentang aktiviti Haji Muhammad Sa’id saja, manakala dua lagi akan dibicarakan dalam kesempatan yang lain. Sebelum riwayat ulama dan tokoh ini saya teruskan, terlebih dulu saya peringatkan bahawa beliau yang dibicarakan dalam artikel ini adalah lain dari Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id (Datuk Laksamana) yang dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 9 Oktober 2006.
Setahu saya ulama dan tokoh ini belum pernah diperkenalkan oleh sesiapa pun, kecuali hanya tarikh meninggal dunia saja yang pernah disebut oleh Muhammad Yasin bin Abbas Langkat dalam Syair Cermin Islam yang selesai ditulis di Kampung Babus Salam, Langkat pada 1 Jamadilawal 1345 H. Berdasarkan tulisan tersebut dinyatakan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad meninggal dunia di Singapura, lepas zuhur, pukul 1.30 tengah hari Sabtu, 4 Zulkaedah 1342 H/6 Jun 1924 M ketika berusia 90 tahun.
Perkara yang sama juga disebut pada halaman terakhir Syair Dandan Setia Intan Terpilih, jilid ke-2, cetakan 3 Syaaban 1344 H. Dengan demikian diduga beliau lahir dalam tahun 1252 H. Berdasarkan maklumat pada muka depan Kitab Hadits Arba'in yang dihimpun oleh anak beliau ada dinyatakan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad berasal dari Kauman, Semarang, Jawa Tengah.
Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad mendapat pendidikan di beberapa pondok-pesantren di sekitar Semarang, Jawa Tengah dan Jawa Timur pada zamannya. Ulama Semarang yang paling terkenal pada zaman itu ialah Kiai Haji Syeikh Muhammad Shalih Darat Semarang. Ulama Semarang tersebut lahir di Kedung Cemlung, Jepara, 1235 H/1820 M, wafat hari Jumaat, di Semarang, 29 Ramadan 1321 H/18 Disember 1903 M. Dipercayai Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad juga pernah belajar dengan Kiai Haji Khalil al-Maduri (lahir 11 Jamadilakhir 1235 H/27 Januari 1820 M, wafat 29 Ramadan 1341 H/14 Mei 1923 M. Riwayat lain menyebut wafat 29 Ramadan 1343 H/22 April 1925 M). Selain kedua-dua ulama yang tersebut beliau juga pernah belajar di Mekah.
Oleh sebab beliau memahami keadaan dalam ilmu ekonomi dan perkembangan zaman, bahawa Singapura pada ketika itu mula menuju ke arah sebuah pelabuhan dan bandar yang maju dan pesat, maka beliau pindah ke Singapura.
CETAKAN
Cetakan litografi (huruf batu) berdasarkan beberapa hikayat dan syair yang ada dalam koleksi saya. Antara yang paling awal dicetak di Mathba'ah Haji Muhammad Sa'id bin Haji Arsyad Singapura ialah dalam tahun 1333 H/1915 M. Sebagai contoh beberapa maklumat yang dapat diketahui dari Kitab Hadits Arba'in’yang dihimpunkan oleh anak beliau bernama Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad Singapura, pada kulit depan tertulis, Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad nombor 82 dan nombor 124 Kampung Sailon Arab Street, Tukang Cap dan Penjual Serba Jenis Kitab Arab, Melayu dan Jawa Daripada Thaba’ Mekah, Setambul, Mesir, Bombay dan lainnya.
Maka siapa yang berhajat mengecap apa-apa kitab atau azimat atau lainnya sama ada cap batu atau timah atau azimat bolehlah datang ke kedai yang tersebut di atas ini atau berkirim surat supaya kita menjawabnya dengan harga yang patut. Pada halaman belakang tertulis, “Telah sempurna daripada mengecap Hadits Arba’’n di Mathba' Tuan Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad nombor 82 Arab Street Singapura bertarikh 5 Hijrah an-Nabi s.a.w Rabiulawal 1333.” (5 Rabiulawal 1333 H /19 Februari 1915 M, pen:).
Pada halaman belakang risalah Solawat al-Kubra tertulis, ‘Tercap di Tempat Cap Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Kampung Selong, Arab Street, Rumah nombor 82, 30 Syaaban 1333.’ (30 Syaaban 1333 H /12 Julai 1915 M). Kedua-dua cetakan yang disebutkan ini adalah sama-sama dalam tahun 1333 H/1915 M. Solawat al-Kubra kemungkinan adalah terjemahan Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad sendiri dan merupakan pertama kali diperkenalkan dalam bahasa Melayu. Ada pun Kitab Hadits Arba’in karya anak beliau, iaitu Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Dari maklumat ini dapat diambil kesimpulan bahawa kedua-dua beranak yang berasal dari Kauman, Semarang, Jawa Tengah yang tersebut adalah ulama.
Sepuluh tahun kemudian kemungkinan percetakan tersebut berpindah alamat, mengenai ini dapat disimpulkan dari kalimat dalam Syair Dandan Setia Intan Terpilih, pada akhir tertulis, “Telah selesai daripada mengecap Syair Dandan Setia kepada 3 Syaaban 1344 H (3 Syaaban 1344 H/15 Februari 1926 M, pen:) di dalam negeri Singapura, Kampung Gelam di Lorong Mesjid...”
Dari cetakan di atas, terdapat dua perkataan yang maksudnya mungkin sama tetapi berbeza tulisannya. Yang pertama tertulis ‘Sailon’ yang satu lagi ‘Selong’ mungkin maksudnya ialah Ceylon. Kemungkinan dulunya tempat itu didiami oleh ramai orang Melayu yang berasal dari Ceylon atau Sri Langka.
Kandungan
Sebagaimana diketahui oleh masyarakat Islam tentang kelebihan atau fadilat membaca selawat, demikianlah kandungan Solawat al-Kubra yang menceritakan tentang perkara yang tersebut itu. Mulai halaman depan sekali dinyatakan, “Inilah Solawat al-Kubra yang terlalu besar faedahnya serta dengan syarahnya bahasa Melayu. Baharu dicap sekali.”
Pada bahagian bawah sekali dinyatakan pula “Baik disimpan ini solawat.” Selanjutnya pada halaman ketiga, pembuka hikayat diceritakan sebagai berikut, Ini satu ceritera daripada Abdullah ibnu Abbas r.a, ia berkata, Adalah Nabi S.A.W duduk di dalam Masjid Madinah tiba-tiba datang Jibril kepada Nabi kita Muhammad s.a.w, maka ia berkata: “Ya Muhammad, bermula Tuhan engkau memberi salam akan dikau, dan Dia menentu akan dikau dengan satu haluan yang kemuliaan.” Berkata Malaikat Jibril selanjutnya: “Bahawasanya aku ini sesungguhnya datang akan dikau dengan membawa hadiah daripada Allah s.w.t. Tiada Dia menghadiah akan hadiah ini seseorang yang dahulu daripada engkau hai Muhammad ...” Yang dimaksudkan dengan hadiah itu ialah Solawat al-Kubra.
Selanjutnya Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad menyebut pelbagai fadilat selawat tersebut secara mendalam.
Ada pun mengenai kandungan Kitab Hadits Arba’in karya anak beliau, Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad pula ialah membicarakan 40 hadis menurut pilihannya sendiri. Hadis yang pertama, yang ditulis sesudah puji-pujian terjemahan Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad ialah: “Sabda Nabi s.a.w: Barangsiapa membaca dengan menghafalkan 40 hadis daripada ummatku, dinamai akan dia oleh Allah pada langit akan wali dan pada bumi dinamai ahli fiqh. Dan dihimpunkan akan dia serta orang yang soleh. Yang tiada takut atas mereka itu dan tiada mereka itu dukacita.”
*Dalam Kitab Hadits Arba’in, Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad tersebut juga sekurang-kurang ada tiga hadis membicarakan tentang kemasyarakatan, sebagaimana diterjemahkan oleh penyusunnya
Sabda Nabi s.a.w: Barang siapa menyampaikan hajat saudaranya yang Islam, nescaya disampaikan oleh Allah baginya 70 hajat di dalam dunia dan akhirat.
Hadis yang lain pula, “Sabda Nabi s.a.w: Barang siapa memuliakan orang yang dijamu, maka sesungguhnya ia memuliakan aku. Barang siapa memuliakan orang yang dagang, maka sesungguhnya memuliakan 70 Nabi yang menjadi Rasul.” (Kitab Hadits Arba’in, hlm. 6).

Syair wafat
Walau pun Syair Dandan Setia Intan Terpilih bukan berasal dari kisah dalam agama Islam, namun apabila kita teliti hanya sebuah judul ini saja yang ditangani oleh Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Pada cetakan dinyatakan sebagai berikut, ‘Adalah yang empunya kerja ini Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad’.
Saya berkesimpulan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, selain pemilik percetakan itu sekali gus beliau sebagai penterjemah awal Syair Dandan Setia ke dalam bahasa Melayu. Syair tersebut hingga sekarang tidak diketahui nama pengarangnya. Pada akhir syair terdapat tambahan, kemungkinan disyairkan oleh anak beliau bernama Muhammad.
Syair tambahan itu ialah tentang tarikh wafat Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Syair wafat Haji Muhammad Sa‘id bin Haji Arsyad dalam Dandan Setia kemungkinan kemudian dari syair yang sama yang terdapat dalam Syair Cermin Islam karya Muhammad Yasin bin Abbas murid Syeikh Abdul Wahhab al-Khalidi Babus Salam, Langkat.
Petikan syair dalam Syair Cermin Islam, cetakan yang ketujuh, di Tempat Cap Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, No. 82 Arab Street, Kampung Geylang, Singapura, 9 Zulhijjah 1345 H sebagai berikut:
“Syair Cermin Islam khatamlah ia,
di Mathba’ Haji Muhammad Sa'’d yang bahagia Al-Marhum telah meninggal dunia,
pada 4 Zulkaedah bulan yang mulia Lepas zuhur,
Sabtu harinya,
jam satu setengah,
1342 hijrahnya Enam Jun 1924, tahunnya,
sembilan puluh tahun umurnya.”
Dalam Syair Dandan Setia pula tertulis,
“Khatamlah Syair Dandan Setia,
di Mathba'’ Haji Muhammad Sa'’id yang bahagia Al-Marhum telah meninggal dunia,
pada empat Zulkaedah bulan yang mulia Lepas zuhur,
Sabtu harinya,
jam satu setengah,
1342 hijrahnya Enam Jun 1924,]
tahunnya,
sembilan puluh tahun umurnya

HAJI ABDUR RAHMAN AL-MANDAILI

Penyusun Kamus Tiga Bahasa

Oleh :NIK NURUL IMAN NIK HASHIM
SEBELUM ini ada dua orang ulama yang berasal dari Mandailing diperkenalkan di ruangan Ulama Nusantara dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, ialah Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al- Mandaili (Utusan Malaysia, Isnin, 11 April 2005) dan Syeikh Junid Thala al-Mandaili (Utusan Malaysia, Isnin, 4 September 2006).
Ulama yang diperkenalkan sekarang ialah Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili. Di antara perkara yang menarik tentang Haji Abdur Rahman bin Jabugis, ulama yang berasal dari Mandailing ini ialah sebuah kamus tiga bahasa yang beliau susun. Kamus tersebut merangkumi bahasa Arab, Melayu dan Mandailing.
Kita mengakui bahawa kamus perkataan Arab yang diterjemahkan ke dalam perkataan Melayu pada zaman yang sama dengan Haji Abdur Rahman bin Jabugis memang terdapat beberapa buah, tetapi terjemahan ke dalam perkataan Mandailing karya ulama tersebut adalah merupakan satu-satunya. Hingga kini belum dijumpai kamus seperti demikian baik dalam perkataan Melayu-Mandailing mahu pun Indonesia-Mandailing
Mengenai tempat lahir Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili tidak diragui kerana ada beliau tulis sekurang-kurangnya dalam dua buah karyanya, iaitu beliau dilahirkan di Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara. Adapun mengenai tarikh lahir, walau pun ada beliau nyatakan pada kulit depan Ats-Tsamaratul Lughat, namun masih diragui. Tertulis, “Al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandaili Penyabungan, al-maulud fi balad Asahan 27 Rabiulawal fi sanah 1335.”
Maksudnya bahawa beliau lahir pada 27 Rabi'ul Awwal 1335 H. Tahun yang diberikan ini kemungkinan tersalah cetak kerana pada akhir karya beliau ‘Kisah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman,’ dinyatakan: “Adalah tamatnya kepada 17 Ramadan sanah 1338.” Jadi sekiranya benar tarikh lahir 27 Rabiulawal 1335 H hingga tarikh 17 Ramadan sanah 1338 H bererti umur Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili ketika itu ialah sekitar tiga tahun, enam bulan saja.
Menurut lazimnya tidak dapat diterima akal kanak-kanak yang masih di bawah umur dapat menyelesaikan penulisan yang termasuk pekerjaan yang berat itu. Lebih meragukan lagi kerana Syair Mikraj juga dinyatakan karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang diselesaikan pada Jumaat, pukul 4 petang, 6 Syaaban 1328 H.
Bererti sewaktu karya ini selesai ditulis Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili belum lahir lagi. Oleh yang demikian kemungkinan tarikh yang betulnya ialah pada 27 Rabiulawal 1253 H/1 Julai 1837 M. Tarikh yang diberi ini bersifat sementara selagi belum ditemui catatan yang lebih jelas dan konkrit.
Perjuangan bahasa
Setakat ini, karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang telah ditemui hanya empat judul saja. Tiga daripada judulnya dikategorikan kepada karya yang nadir.
Sebelum menyenaraikan keempat-empat karya yang dimaksudkan terlebih dulu saya bahas tentang kamus yang beliau susun, kerana dapat dijadikan perbandingan perjuangan bahasa Melayu pada zaman silam dalam era sebelum kemerdekaan dengan era sesudah kita merdeka.
Karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang saya utamakan itu ialah yang berjudul Ats-Tsamaratul Lughat, tanpa tarikh, sama ada tarikh selesai penulisan mahu pun tarikh cetakan. Dicetak oleh Muhammad Idris, Jalan Haji Lank, No. 21, Singapura. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Kandungan kamus tiga bahasa, iaitu bahasa Arab, Melayu dan Mandailing.
Pada halaman depan dinyatakan bahawa pengarangnya berasal dari Mandailing Penyabungan, lahir di negeri Asahan. Pada bahagian akhir karya beliau Kisah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman, dinyatakan bahawa Haji Abdur Rahman bin Jabugis orang Mandailing dilahirkan di negeri Asahan Balai (nama sekarang Tanjung Balai Asahan, pen:).
Selanjutnya dinyatakan pula bahawa kitab ini telah ditelaah oleh Maulana as-Saiyid Hamid bin al-Marhum as-Saiyid Ali, Naib as-Sultan Negeri Asahan. Di bawahnya diterangkan pula: “Ini risalah pelajaran bahasa Arab, dan Melayu, dan Mandaili. Tiada dibenarkan seseorang pun mengecapnya atau meniru, jikalau tiada minta izin yang empunya, kerana sudah diregister.” (Ats-Tsamaratul Lughat, hlm. kulit).
Pada mukadimah Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili menjelaskan sebab-sebab beliau menyusun kamus tersebut, katanya “Ada pun kemudian, maka meminta akan daku setengah saudara kami, berulang-ulang mereka itu sekali kemudian sekali, bahawa aku tuliskan akan bahasa Arab dan aku gantungkan akan maknanya dengan bahasa Melayu Asahan, atas kadar sedikit ilmuku dan keruh hatiku, dan pandak mengertiku.”
Ada maklumat lain menyebut bahawa yang meminta beliau menyusun kamus yang tersebut ialah Sultan Asahan atau Naib Sultan yang tersebut di atas. Yang dimaksudkan dengan “bahasa Melayu Asahan” atau pun “bahasa Mandailing” adalah merupakan bahasa lokal saja, iaitu termasuk bahagian kecil bahasa Melayu global, yang lebih luas digunakan pada zaman sebelum Indonesia dan Malaysia merdeka.
Di daerah yang sama juga terdapat dan berkembang bahasa Melayu lokal yang lain dengan dialek yang berbeza-beza, seumpama bahasa Melayu Deli, bahasa Melayu Langkat, dan lain-lain. Dari sini kita dapat mengambil pengertian dan pelajaran bahawa sultan dalam sesuatu kerajaan kecil dan ulama pada zaman dulu berusaha untuk mempertahan dan menghidupkan bahasa Melayu di dalam kerajaan mereka masing-masing.
Oleh itu masa kini, sekurang-kurangnya tiga negara serumpun Melayu telah merdeka iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam, sebenarnya bukan zamannya lagi untuk mengagung-agungkan bahasa dari bangsa-bangsa yang pernah menjajah. Kita cuba berfikir, berjuang dan terus berjuang bukan lagi menyebarkan bahasa Melayu dalam negara serumpun, tetapi sesuai dengan kita telah merdeka, bererti merdeka dan berhak memartabat dan menyebarluaskan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.
Penulisan
Tiga karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing, selain yang tersebut adalah bercorak sastera klasik Melayu-Islam, yang bererti turut memperkaya bahasa Melayu. Sekali gus dapat dimasukkan dalam perkembangan sejarah sastera klasik Nusantara. Karya-karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing yang dimaksudkan ialah: Syair Mikraj, diselesaikan pada Jumaat, pukul 4 petang, 6 Syaaban 1328 H/12 Ogos 1910 M.
Tidak dinyatakan nama percetakan kerana halaman depannya belum dijumpai. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Kandungan menceritakan kisah Israk dan Mikraj yang diungkapkan dalam bentuk syair/puisi. Karya beliau yang pertama ini dikategorikan karya biasa kerana terdapat beberapa karya tentang Israk dan Mikraj sama ada dalam bentuk prosa mahupun puisi/syair.
Qishah Qamaruz Zaman Ibnu Malik Syaharman, diselesaikan pada 17 Ramadan 1338 H/3 Jun 1920 M. Dicetak oleh Mathba’ah Muhammad Idris, Jalan Haji Lank, No. 21, Singapura, 1934 M. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Ditulis dalam bentuk prosa dan dalam beberapa halaman dihiasi dengan syair-syair Melayu.
Kandungan mengisahkan seorang raja yang bernama Qamaruz Zaman. Qishah Qamaruz Zaman adalah merupakan karya sastera Islam klasik yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Pada akhir Qishah Qamaruz Zaman, Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menulis: “Tamatlah kisah ajaib yang bernama Qishah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman diterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu oleh hamba yang daif, lagi miskin, dan yang mengaku banyak dosa kepada tuhan yang kaya al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili diperanakkan di negeri Asahan Tanjung Balai ....” (Qishah Qamaruz Zaman, hlm. 143-144).
Syair Mikraj dan Qishah Qamaruz Zaman karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing di atas diperoleh di Ketapang, Kalimantan Barat pada Jumaat, pukul 5 petang, 3 Ramadan 1421 H/29 Disember 2000 M di rumah pusaka kewarisan Datuk Kaya Muda Amar Di Raja.
Salah sebuah hikayat sufi yang terkenal juga dapat perhatian Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing. Oleh itu, sebuah karya yang beliau terjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu selain yang tersebut di atas ialah yang diberi judul Hikayat Sultan Ibrahim Ibnu Adham, tanpa tarikh.
Dicetak di Tempat Cap Haji Idris bin Yahya, Singapura, tanpa dinyatakan tahun cetak. Cerita lisan tentang Ibrahim bin Adham termasuk salah satu kisah seorang sufi yang amat terkenal dalam masyarakat Melayu sejak lama. Tetapi cerita tersebut hampir-hampir tidak terdapat dalam penulisan ulama-ulama Melayu terkecuali hanya termuat dalam beberapa kitab tasauf.
Di antara kitab Melayu/Jawi yang memperkenalkan kisah Ibrahim bin Adham, tetapi adalah sangat ringkas ialah dalam Ward az-Zawahir oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan dalam Hadiqah al-Azhar oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
Hingga kini saya belum menjumpai sejarah khusus mengenai Ibrahim bin Adham dalam tulisan klasik Melayu/Jawi, kecuali satu-satunya hanyalah Hikayat Sultan Ibrahim Ibnu Adham karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis ulama Mandailing yang sedang dibicarakan ini.
Sebelum membicarakan kandungan pada bahagian atas sekali diletakkan judul oleh pengarangnya ialah Hikayat Sultan Ibrahim Bin Adham Wali Allah. Dari judul ini dapat kita fahami bahawa Ibrahim bin Adham itu adalah seorang sultan.
Kemudian dijelaskan pula bahawa selain baginda seorang sultan, sekali gus adalah Wali Allah. Gaya bahasa Melayu klasik yang digunakan oleh Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing sebagai pembukaan hikayat, kata beliau, “Ini hikayat, ada seorang raja negeri Baghdad bernama Sultan Ibrahim ibnu Adham Wali Allah, terlalu besar tahta kerajaan baginda itu. Syahdan baginda itu sangat pertapa ...” Yang dimaksudkan dengan perkataan ‘pertapa’ dalam kalimat ini jika dikembalikan kepada istilah sufi ialah “khalwat” ataupun “suluk” ialah bersunyi-sunyi diri atau mengasingkan diri kerana melakukan ibadat.
Kemudian Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menyambung tulisan di atas dengan kalimat, “Lagi masyhur namanya. Lagi adil perintahnya. Lagi dengan masyhur amat pengasih pada sekalian wazir menteri, hulubalang, dan kepada rakyatnya hina dina.
Dan terlalu amat pengasihnya kepada segala alim ulama, dan fuqaha, dan fakir miskin. Serta dengan periksanya menghukumkan di atas sekalian rakyat dengan sebenarnya. Maka segala menteri hulubalang pun sangat takut dan kasih akan baginda itu, maka negeri itu pun terlalu ramainya dengan sentosanya ...” (Sultan Ibrahim Ibnu Adham, hlm. 2).
Pada akhir hikayat Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menulis, “Telah menyambung akan hikayat ini, oleh hamba nama al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis Tanjung Balai Asahan dengan kehendak yang empunya ini hikayat Tuan Haji Muhammad Idris.” (Sultan Ibrahim Ibnu Adham, hlm. 63).
- Untuk maklumat lanjut mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat:
pengkaji_khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231

SYEIKH JALALUDDIN AL-ASYI

 


Kesinambungan Aktiviti Ulama Aceh

Oleh :nik nurul iman nik hashim
KHUSUS tentang artikel hari ini, saya mulai daripada sebuah manuskrip salinan Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu pada 8 Zulhijjah 1413 H/9 Jun 1992 M di Kampung Pusin, Jala.
Haji Mahmud mencatat bahawa As-Syeikh al-‘Alim al-Allamah al-Faqih Jalaluddin walid (ayah) al-‘Allamah asy-Syeikh Muhammad Zain al-Asyi.
Tarikh 14 Safar 1413 H/13 Ogos 1992 M, ketika saya diberi kepercayaan meneliti manuskrip nadir dan mengkatalogkan khazanah di Muzium Islam Pusat Islam, terjumpa pula beberapa manuskrip karya beliau.
Ternyata nama ayah beliau yang tertulis pada kitab Jam’u Jawami’ al-Mushannafat telah keliru cetak. Pada manuskrip karya beliau yang berjudul Hujjat al-Balighah, tertulis nama lengkapnya iaitu Faqih Jalaluddin ibnu asy-Syeikh Kamaluddin ibnu al-Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir.
Yang berbeza ialah nama Jalaluddin (pada Jam’u Jawami' al-Mushannafat) dan Kamaluddin (pada Hujjah al-Balighah). Kegiatan pendidikan Islam, dakwah dan penulisan kitab yang pernah dilakukan oleh Syeikh Faqih Jalaluddin disambung oleh anak beliau Syeikh Muhammad Zain yang mempunyai banyak karangan di antaranya Bidayatul Hidayah.
Masih ditahap penelitian, kemungkinan Syeikh Sirajuddin juga anak Syeikh Faqih Jalaluddin. Informasi pada mukadimah ini saya simpulkan bahawa sama ada Faqih Jalaluddin sendiri mahu pun anak beliau Syeikh Muhammad Zain, juga Syeikh Sirajuddin adalah sama-sama penting dan perlu pengemaskinian pendokumentasian tentang mereka.
PENDIDIKAN
Dipercayai ayah beliau ialah Syeikh Kamaluddin dan datuk Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir, kedua-duanya adalah ulama besar, terkenal dan berpengaruh di Aceh pada zamannya. Oleh itu Faqih Jalaluddin menerima pengajian Islam tradisional daripada kedua-duanya.
Bagaimanapun dipercayai bahawa beliau juga belajar dengan beberapa orang ulama terkenal di Aceh yang lainnya. Dalam sebuah kitabnya ada dicatatkan bahawa beliau menerima Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah daripada gurunya Arif Billah Baba Daud bin Ismail al-Jawi bin Agha Mustafa ar-Rumi.
Beliau ini adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Baba Daud bin Ismail al-Jawi inilah orang pertama menyalin tafsir al-Quran yang ditulis oleh gurunya itu, dan beliau pula yang menyelesaikan tafsir itu sehingga menjadi lebih lengkap dan lebih sempurna.
Memerhatikan sangat rapat dan mesranya hubungan antara Syeikh Faqih Jalaluddin dengan gurunya, Baba Daud al-Jawi itu, sedangkan Baba Daud al-Jawi pula adalah murid kepercayaan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, maka diyakini bahawa Syeikh Faqih Jalaluddin sempat pula menerima ilmu-ilmu dari Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri secara langsung.

KARYA DAN PEMIKIRAN
Kemudian Faqih Jalaluddin melanjutkan pelajaran ke India dan Mekah. Oleh sebab Syeikh Faqih Jalaluddin seorang ulama besar Aceh pada zamannya, maka beliau dilantik sebagai Kadi Malikul Adil dalam masa pemerintahan Sultan Alauddin Maharaja Lela Ahmad Syah (1139 H/1727 M - 1147 H/1735 M) juga pada masa pemerintahan Sultan Alauddin Johan Syah (1147 H/1735 M -1174 H/1760 M).
Aktiviti Faqih Jalaluddin selain sebagai menjadi pengarang beberapa buah kitab, dipercayai juga merupakan seorang ulama yang berpengaruh di istana kesultanan Aceh. Selain itu Sultan Aceh, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah sentiasa merujuk sesuatu perkara kepada beliau. Mungkin sultan yang tersebut, bahkan termasuk keluarga istana adalah murid Faqih Jalaluddin itu.
Karya Faqih Jalaluddin yang pertama diberi judul Hidayah al-Awam Pada Menyatakan Perintah Agama Islam. Kitab ini adalah tentang fiqh yang ringkas. Pada mukadimah Hidayah al-Awam, Syeikh Faqih Jalaluddin bahawa,"... pada hijrah Nabi seribu seratus empat puluh, pada lima hari bulan Muharam (5 Muharam 1140 H/23 Ogos 1727 M, pen:) zaman Paduka Seri Sultan, yang besar kerajaannya, lagi yang maha tinggi darjatnya, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah Johan berdaulat Zhillullah fi al-Alam, adamullahu daulatahu, Amin, maka tatkala itu meminta kepada faqir yang hina Khadim al-Ulama (yang berkhidmat pada ulama), Haji Jalaluddin... oleh seorang sahabat raja itu, yang takut akan Allah Taala, bahawaku suratkan baginya suatu risalah yang simpan (maksudnya: risalah yang ringkas, pen:). Maka aku namai akan dia Hidayah al-‘Awam ...”
Selain ilmu fiqh yang ringkas Faqih Jalaluddin al-Asyi juga menulis ilmu fiqh yang tebal dan lengkap yang diberi judul Safinat al-Hukkam fi Talkhish al-Khisham, dimulakan penulisannya bulan Muharam, hari Jumaat 1153 H/1740 M. Kitab ini dikarang atas perintah Sultan Alauddin Johan Syah. Barangkali kitab inilah yang terbesar di antara karyanya.
Naskhah masih berupa tulisan tangan. Kandungannya fiqh menurut Mazhab Syafi'ie, membicarakan istilah-istilah, peringatan untuk golongan hakim yang zalim dan beberapa kaedah, semuanya tersebut pada mukadimah.
Termasuk dalam kategori ilmu fiqh juga ialah karya beliau judul Hujjah al-Balighah ‘ala Jama’ah al-Mukhasamah. Pada mukadimah Faqih Jalaluddin menulis: “Ada pun kemudian dari itu, maka tatkala Hijrah Nabi s.a.w seratus lima puluh delapan tahun, kemudian daripada seribu pada empat hari bulan Muharam, waktu Dhuha, hari Sabtu (4 Muharam 1158 H/1745 M) zaman Saiyidina wa Maulana Paduka Seri Sultanah Alauddin Jauhar Syah, Syah Berdaulat Zhillullah fi al-Alam, telah meminta kepadaku setengah daripada kekasihku, salah seorang daripada pengawal sultan yang tersebut itu, bahawa ku suratkan baginya risalah yang simpan pada menyatakan dakwa, dan baiyinah, dan barang yang bergantung dengan keduanya. Ku perkenankan pintanya, dan ku suratkan baginya risalah ini ...”
Pada penghabisan kitab beliau mencatat, Tamat al-kitab Hujjah al-Balighah ‘ala Jama'ah al-Mukhasamah karangan faqir yang hina Faqih Jalaluddin ibnu asy-Syeikh Kamaluddin ibnu al-Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir... pada 27 Rabiulakhir, waktu Dhuha pada zaman Alauddin Jauhar Syah, pada hijrah seribu seratus lima puluh delapan tahun... (27 Rabiulakhir 1158 H/1745 M).
Karya Faqih Jalaluddin al-Asyi dalam bidang tasawuf pula sekurang-kurangnya terdapat dua judul ialah Manzhar al-Ajla ila Martabah al-A’la. Salah sebuah salinan manuskrip diselenggarakan oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, selesai penyalinan pada tahun 1273 H/1856 M. Kitab Manzhar al-Ajla ..., Faqih Jalaluddin Aceh tersebut diselesaikan pada tahun 1152 H/1739 M. Beliau nyatakan bahawa beliau dititah oleh Sultan Alauddin Johan Syah ibnu as-Sultan al-Marhum Ahmad Syah.

Karya tasawuf
Karya tasawuf judul yang lain pula ialah Asrar as-Suluk ila Malail Muluk. Dalam naskhah tidak tersebut nama pengarang tetapi dapat dipastikan sebagai karya Faqih Jalaluddin al-Asyi adalah berdasarkan salasilah pada kalimat, “... telah mengambil zikir, dan talkin, dan khirqah, dan khalifah, fakir yang mengarang risalah ini daripada syeikhnya yang ahli az-zauq, lagi Arif Billah, iaitu Syeikh Daud ibnu Ismail qaddasallahu sirrahu, dan ia mengambil dari (Syeikh) Abdur Rauf ...”
Bererti pengarang adalah murid Baba Daud ibnu Ismail ar-Rumi, bahawa perkara ini juga disebut oleh Faqih Jalaluddin bin al-Asyi dalam karyanya Manzar al-Ajla ...
Kandungan keseluruhannya membicarakan tasawuf peringkat tinggi dan berbagai-bagai tarekat. Disebutkan bahawa asal tarekat dalam dunia ada empat belas, semua nama tarekat disebutkan secara terperinci.
Dari kelima-lima karya Faqih Jalaluddin al-Asyi yang dijumpai dapat diketahui dengan jelas bahawa beliau mengarang adalah atas permintaan daripada sultan.
Dari maklumat ini dapat kita ambil kira bahawa buah fikiran beliau sebagai seorang ulama besar pada zamannya sangat diperlukan oleh pihak kerajaan. Pada bahagian mukadimah kitab Hujjah al-Balighah, Syeikh Jalaluddin al-Asyi menampakkan dirinya sebagai seorang ulama yang tegas, bahawa undang-undang kadi menurut ajaran Islam mesti dilaksanakan.
Hujjah al-Balighah beliau ertikan dengan “kata yang tiada berlawan.” Untuk melaksanakan perkataan yang tidak boleh dilawan itu beliau mentertibkannya atas tiga bahagian, iaitu:
1. Pada menyatakan kadi dan barang yang bergantung dengannya.
2. Pada menyatakan dakwa dan baiyinah dan barang yang bergantung dengannya.
3. Pada menyatakan saksi dan sumpah dan barang yang bergantung dengannya.
Faqih Jalaluddin menafsirkan hadis Nabi s.a.w. yang maksudnya bahawa kadi itu tiga perkara, dua perkara isi neraka dan satu perkara isi syurga.
Kata beliau: “Maka dua perkara isi neraka itu iaitu; Pertama kadi yang jahil, tiada baginya ilmu, jikalau mufakat hukumnya itu dengan kebenaran sekali pun tiada jua sah hukumnya itu dengan sebab meninggalkan daripada belajarnya ...” Mengenai perkara ini beliau kemukakan dua hadis Nabi s.a.w. sebagai dalilnya.
Satu diantaranya, menurut beliau lafaz di bawah ini adalah hadis, iaitu: “Barangsiapa tiada guru baginya maka syaitanlah gurunya.” Sabda Nabi itu beliau tafsirkan, barangsiapa ada gurunya itu syaitan, maka tiada lagi syak akan dia isi neraka.
Kadi jenis yang kedua, menurut Faqih Jalaluddin al-Asyi, ialah: “Yang alim, yang ia tiada menghukum seperti yang dalam ilmunya ... “Kadi golongan yang ketiga ialah: “Yang alim, yang ia menghukum seperti hukum yang dalam ilmunya.”
Setelah itu, Faqih Jalaluddin al-Asyi memberikan peringatan, katanya, “Ingat-ingat kiranya yang memberi fatwa, maka adalah bahaya yang besar pada memberi fatwa itu belum lagi tahqiq sesuatu masalah daripada hadis, dan dalil, atau daripada kitab segala ulama. Maka janganlah difatwakan sekali-kali akan dia ...”
KETURUNAN DAN KESIMPULAN
Keturunan Faqih Jalaluddin yang lengkap masih dalam penyelidikan. Apa yang pasti anak beliau yang menjadi ulama besar dan menghasilkan beberapa karangan ialah Syeikh Muhammad Zain al-Asyi. Keturunan Syeikh Muhammad Zain al-Asyi selanjutnya belum dapat maklumatnya.
Ada lagi seorang ulama Aceh, Sirajuddin bin Jalaluddin al-Asyi, belum jelas apakah beliau juga adalah anak Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi yang diriwayatkan ini. Hanya dua karangan Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin al-Asyi yang dijumpai, masih dalam berupa manuskrip.
Sebuah koleksi yang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia, nombor kelasnya MS 1530, belum diketahui judul, kerana pengarangnya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin al-Asyi tidak menyebut tentang itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_
khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231

suka duka Gerakan Islam Dunia Arab

TAJUK : Suka Duka Gerakan Islam Dunia Arab.
PENULIS : nik nurul iman nik hashim
TERJEMAHAN : Nazri Mohd. Amin.
Al Ikhwan Al Muslimin
Selepas Perang Dunia Yang Pertama, kumpulan yang berhaluan ke Barat bergerak begitu hebat sekali di Mesir. Kebangkitan nasionalisma di dunia Islam mencapai puncaknya dengan penggulingan sistem Khalifah Islam Othmaniah di Turki oleh Kamal Attarturk. Pergerakan Pembebasan Wanita Mesir menjadi bertambah kuat apabila wanita kelas atasan Mesir memberontak; enggan memakai purdah. Mereka memakai fesyen Eropah, menghadiri temasya sosial yang bercampur bebas antara lelaki dan perempuan, samada secara tertutup ataupun terbuka. Mereka juga mendesak supaya wanita mempunyai hak yang setaraf dengan lelaki di dalam soal kemasukan ke Universiti. Semuanya ini berlaku di waktu Hassan Al Banna mencatitkan rasa kebimbangan beliau serta rakannya terhadap kebimbangan ini.
“Hanya Allah yang mengetahui berapa malamkah kita berbincang tentang keadaan negara dan hubungannya dengan segala lapangan hidup rakyat. Apakah kesan dari penyakit masyarakat dan bagaimana untuk menyelesaikannya ? Kami berbincang dengan penuh perasaan sehingga menitiskan airmata. Sebelum kami membuat sebarang keputusan, kami berbincang dengan panjang lebar sekali, tetapi alangkah terkejutnya kami apabila kami bandingkan keadaan ini dengan mereka yang tidak kisah kepada apa-apa, yang asyik bersenang-senang di kedai kopi.”
Dalam catitan yang sama, Sheikh Hassan Al Banna mengakui bahawa keputusan menubuhkan Jamaah Ikhwanul Muslimin adalah ekoran dari pemerhatian beliau terhadap kejahilan Ummat Islam terhadap Agama mereka. Beliau menganggap bahawa masjid dan khatib khutbah sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan masalah ini. Ulamak-ulamak yang ada tidak terdaya untuk menahan serangan dari Puak Modernist selain dari melabelkan mereka murtad. Yang malangnya terdapat juga manusia yang digelar ‘ulamak’ tetapi terlalu mudah untuk bertolak ansur dengan pemerintah dari segi prinsip agama dengan tujuan untuk memuaskan hati taghut-taghut ini. Ulamak Khahirah jatuh ke lembah yang paling menghinakan apabila mereka menyetujui fatwa yang diberi oleh Rektor Universiti al Azhar bahawa Raja Farouk adalah layak untuk memerintah dan layak digelar Khalifatul Mu’min atas alasan “beliau adalah seorang Islam dan datang dari keturunan Rasulullah S.A.W.”.
Dengan tekad bersungguh-sungguh dan sedaya upayanya Sheikh Hassan al- Banna terus menubuhkan pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin demi untuk menyelesaikan nasib yang malang itu. Ikhwanul Muslimin ditubuhkan dalam tahun 1928, sebaik sahaja beliau keluar dari Darul Ulum. Pemimpin-pemimpin Islam yang terkenal seperti Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Sayyid Rashid Ridha’ lebih mengutamakan penulisan dan dakwah dalam aktivitinya. Apa yang dilakukan oleh Hassan Al Banna bercita-cita untuk menubuhkan satu harakah Islam yang syumul yang akan membimbing seluruh generasi dengan prinsip-prinsip Islam yang menyentuh semua aspek hidup seperti politik, ekonomi dan sosial.
Al Ikhwanul Muslimin adalah satu harakah yang tersusun rapi dengan ahlinya yang dibahagikan kepada peringkat-peringkat tertentu. Terdapat ahli peringkat pertama, peringkat kedua, penyokong dan pekerja. Seseorang itu tidak dinaikkan peringkatnya, sebelum diberi ujian tertentu. Apabila ahli sudah dianggap aktif, mereka akan dipanggil dalam mesyuarat khas, dimana Sheikh Hassan al Banna sendiri yang menjadi ketuanya. Bagi mengendalikan ahli, mereka dibahagikan kepada nuklias, sel, usrah dan barisan. Apabila cawangan-cawangan bertambah, satu yunit pentadbiran ditubuhkan dengan ahlinya dipilih khas oleh Muktamar (General Assembly). Markas akan menerima tentang maklumat semua kegiatan ahli 10 hari sebelum Muktamar.
Di Muktamar, semua cawangan menghantar wakil masing-masing. Persetujuan Markas Pusat diperlukan untuk meluluskan satu-satu keputusan yang dipersetujui oleh Muktamar Cawangan. Markas Pusat juga berkuasa untuk meluluskan atau menahan penubuhan sesuatu cawangan atau Jawatankuasa Tadbir. Untuk melicinkan lagi operasi, Jawatankuasa Pusat menubuhkan Jawatankuasa Kecil bagi department-department tertentu seperti kebajikan masyarakat, hubungan dengan Dunia Islam dan lain-lain. Di Khahirahlah letaknya Markas Pusat. Jawatankuasa Pusat terdiri dari 100 orang Jawatankuasa Pengasas dan 12 orang penasihat, yang dilantik sendiri oleh Hassan al Banna dari Jawatankuasa Pengasas. Setiap ahli membuat bai’ah atau sumpah setia. Mereka bersumpah untuk melindungi saudara-saudara Ikhwan hatta dengan mengorbankan nyawa mereka sendiri, disamping menaruh kepercayaan dan ketaatan dengan lapang dada terhadap ketua mereka. Mereka sanggup menerima perintah walaupun bercanggah dengan kehendak mereka. Disetiap perjumpaan mereka akan memperbaharui sumpah mereka dan mengulangi “Sami’na wa Ata’na”.
Hassan al Banna mengetahui dengan terperinci ahli-ahli yang aktif dan dipercayai. Mereka ini dikehendaki merekodkan aktiviti-aktiviti harian mereka termasuk penghafalan Qur’an serta kehadiran mereka pada sembahyang berjemaah. Mempelajari Al Qur’an, Hadith dan Syari’ah diwajibkan ke atas mereka. Mereka diajar menggunakan bermacam-macam senjata dan pertolongan cemas. Pada akhir pengajian mereka akan diperiksa apa yang telah mereka pelajari. Satu perjumpaan diadakan dua tahun sekali diperingkat cawangan apabila diarah oleh Hassan al Banna.
Di dalam tulisannya, Sheikh Hassan al Banna memegang teguh kepada beberapa prinsip. Pertamanya, beliau melarang keras ahlinya menjadi Ikhwanul Muslimin sebagai tempat medan percanggahan pendapat. Dalam soal ini, Hassan al Banna mengikut nasihat dari seorang Ketua Sufi di mana ia masih berada di bangku sekolah. Ketua Sufi itu telah menasihatkan muridnya supaya jangan berbalah dalam perkara-perkara yang kecil dan jangan menggunakan kalimah-kalimah orang-orang atheist, murtad dan missionari kristian di khalayak ramai.
“Buatlah perkara ini semasa kamu berbincang dan bermusyawarah sesama kamu. Di hadapan orang-orang kampung, gunakanlah perkataan yang berkesan yang dapat membimbing mereka kepada Islam”.
Yang keduanya, Hassan al Banna, begitu kurang mempercayai kalangan orang-orang kaya terkenal yang ingin menyertai Ikhwan. Pada anggapan beliau, mereka berbuat demikian mungkin untuk kepentingan diri atau mencari kepentingan dunia. Di dalam penulisan beliau dan pengikutnya terdapat penekanan tentang kepentingan membentuk harakah secara beransur-ansur. Sesebuah harakah itu mestilah mendapat sokongan orang ramai yang kuat sebelum dapat menggantikan kerajaan yang ada. Massa mestilah diberi dengan cukup prinsip-prinsip perjuangan Islam. Al Ikhwan dapat menjalankan progremnya hasil dari kekuatan Iman dan prinsip-prinsip Islam yang tulin, perpaduan dan Ukhwah Islamiah di kalangan ahli-ahli harakah dan penyokong. Al Ikhwan berpendapat bahawa kekuatan hanya perlu digunakan apabila semua cara lain gagal. Di dalam ucapan dan tulisannya, Sheikh Hassan al Banna menafikan bahawa Ikhwan mahu mengadakan Revolusi bunuh membunuh atau Coup d’etat. Tidak juga ia mengatakan langkah tersebut sebagai berkesan.
Aktiviti asas bagi Al Ikhwan ialah soal pendidikan dan pembukaan sekolah-sekolah yang bermacam jenis. Berulang kali Al Ikhwan menyeru kepada Kerajaan Mesir supaya mengambil berat tentang pengajaran agama dan prinsip-prinsip akhlak yang mulia kepada generasi muda yang sedang meningkat umur di sekolah-sekolah umum. Progrem persekolahan yang dilaksanakan sepatutnya mempunyai empat matlamat :
1. Menyebarkan prinsip Agama Islam.
2. Menaikkan taraf moral yang tinggi.
3. Kemegahan terhadap tamaddun Islam.
4. Menyediakan pakar-pakar di dalam semua bidang sains untuk membantu kebangkitan Islam di Mesir.
Di dalam Kurikulum sekolah, al-Ikhwan menyeru supaya pemerintah memberi perhatian yang istimewa kepada sejarah Islam, dan Tamaddun Islam. Mereka juga medesak supaya mata pelajaran Islam diwajibkan di universiti-universiti. Guru-guru yang tidak berakhlak, tidak mnegambil berat tentang Islam serta tidak jujur dalam usaha-usaha untuk memperbaiki negara hendaklah dipecat. Sekolah-sekolah yang bercampur antara lelaki dan perempuan hendaklah diharamkan. Inilah antara contoh dan peranan aktif yang dimainkan oleh Al Ikhwan.
Di Markas Pusat, sebuah Jawatankuasa Khas mengenai penubuhan sekolah-sekolah diadakan. Sekolah-sekolah rendah, menengah, teknik yang ditubuhkan adalah lain dari sekolah-sekolah swasta serta lain dari segi penekanan prinsip Islam terhadap murid-murid. Untuk menghapuskan buta huruf, Ikhwan menubuhkan beberapa sekolah percuma untuk pekerja-pekerja dan orang-orang kampung. Pada siang hari terdapat kelas menghafal Quran sementara di malam harinya terdapat kursus-kursus untuk pemuda yang tidak berpeluang belajar pada siang hari. Kelas bimbingan bagi membantu mereka yang gagal dalam peperiksaan juga diadakan di sebelah malam. Guru-guru yang mengajar terdiri dari pelajar-pelajar universiti yang telah dilatih khas. Mereka juga membuka sekolah “Ummul Mu’minin” bagi Muslimat Ikhwan. Itulah contoh-contoh betapa beratnya perhatian yang diberikan oleh Ikhwanul Muslimin terhadap pendidikan sehingga boleh dikatakan tiada satu pun cawangan Ikhwan yang tidak mempunyai sekolah sendiri.
Dari segi kebajikan masyarakat, Ikhwan memberi bermacam-macam perkhidmatan. Mereka menubuhkan persatuan untuk meningkatkan taraf kehidupan serta memajukan kampung-kampung di Mesir. Salah seorang ahli Ikhwan al Muslimin mendirikan sebuah ladang contoh di atas tanahnya. Di kampung yang lain Ikhwan membina 4 buah kubur untuk digunakan oleh mereka yang miskin. Di tempat lain pula, Ikhwan menjamu 200 orang miskin tiap-tiap hari sepanjang bulan Ramadhan. Cawangan-cawangan Ikhwan berlumba-lumba dalam memberi sedekah kepada orang-orang miskin, mengadakan bekalan letrik ke kampung-kampung dan memungut derma di bulan Ramadhan. Cawangan-cawangan Ikhwan berlumba-lumba dalam memberi sedekah di bulan Ramadhan. Setengah dari ahli Ikhwan menjadi Hakim bagi menyelesaikan perselisihan-perselisihan yang berlaku di kampung-kampung. Mereka membuat bancian bagi mereka yang tidak berumah dan anak-anak yatim supaya pekerjaan yang sesuai dapat disediakan kepada mereka sejajar dengan umur mereka. Orang-orang cacat dan orang-orang sakit juga mendapat pertolongan dari segi sara hidup.
Masjid-masjid dibina di seluruh negara. Setengah kalangan mewakafkan tanah, sementara yang lain membiayai pembinaannya. Boleh dikatakan semua cawangan Ikhwan mempunyai masjidnya sendiri. Ikhwan juga mengambil berat tentang kesihatan masyarakat. Untuk mencapai matlamat tersebut untuk mendirikan hospital serta gedung-gedung ubat dikebanyakan tempat untuk merawat pesakit-pesakit. Kemuncak kejayaan Ikhwan ialah dengan terdirinya sebuah Klinik Ikhwan di Tanta di mana beribu-ribu pesakit dirawat dalam setahun.
Untuk menyebarkan prinsip perjuangan Islam, Ikhwan sangat aktif dalam bidang penerangan. Mereka menerbitkan akhbar harian dan lebih dari sedozen majallah. Di antaranya ialah majallah bulanan, Al Manar, Mingguan Al-Taaruf, Al-Shu’a, Al Nadhir, Ash-Shihah, Al Mabahith, Al Da’awah dan Al Muslimun. Akhbar Harian mereka mendapat langganan yang paling laris dari semua keluaran. Ini adalah kerana matlamat-matlamatnya :
1. Menerangkan Islam sebagai agenda dan sistem hidup yang paling bagus, disampaikan dengan cara yang paling sesuai untuk zaman moden.
2. Mematahkan serangan-serangan yang dihalakan kepada Agama Islam.
3. mendamaikan perselisihan pendapat di antara mazhab-mazhab Islam demi untuk perpaduan Ummat Islam.
Tulisan Sheikh Hassan al Banna dikeluarkan tiap-tiap hari dalam akhbar Ikhwan. Tulisannya amat bernas dengan ayat-ayat Qur’an, Hadith Rasulullah SAW dan syair-syair Arab Klasik. Antara tajuknya termasuk :
1. Progrem Ikhwan;
2. Perkembangan dan matlamat perjuangan Islam;
3. Bagaimana kita menarik manusia ke jalan Allah;
4. Menuju ke cahaya;
5. Matlamat dan prinsip kita;
6. Ke mana kita ajak manusia;
7. Harakah Kita;
8. Antara Hari ini dan Hari Esok;
9. Risalah Jihad;
10. Untuk mu Pemuda;
11. Ikhwan Muslimin di bawah Panji-panji Qur’an;
12. Tanggungjawab Muslimat; dan
13. Progrem Rohani.
Buku-buku yang ditulis oleh Ikhwan yang lain termasuk :
1. Ikhwanul Muslimin di mata dunia;
2. Palestin dan Afrika Utara;
3. Keruntuhan Tamaddun Barat Moden; dan
4. Islam terus melangkah ke hadapan.
Ikhwan juga mengeluarkan risalah-risalah dan riwayat hidup Hassan al Banna. Penerbitan ini bukan sahaja popular di Mesir malah ianya terkenal diseluruh negara-negara yang berbahasa Arab. Tidak terdapat satu pun pergerakan Islam di negara Arab di zaman moden ini yang dapat menghasilkan minat orang yang begitu kuat terhadap perjuangan Islam serta mendidik mereka dengan semangat Islam. Ini semua adalah kesan dari tulisan-tulisan yang gagah yang ditulis oleh penulis-penulis Muslimin dan Muslimat Ikhwanul Muslimin.
Daripada awal lagi, Ikhwan menerima Muslimat menyertai harakahnya. Sayap Muslimat Ikhwanul Muslimin mempunyai dasar perjuangan yang sama dengan Muslimin walaupun terdapat sedikit ubah suai untuk memenuhi sifat kewanitaan Muslimat. Penekanan yang berat diberi untuk menghasilkan individu-individu Muslimat yang mulia, berakhlak dan suci. Aktiviti Muslimat berkisar pada pendidikan dan kebajikan masyarakat berdasarkan Islam.
Di antara ciri yang menonjol bagi Harakah Ikhwanul Muslimin ialah penekanannya yang berterusan terhadap kepentingan JIHAD. Jihad yang diajar oleh Ikhwan ialah Jihad yang difahami oleh semua orang Islam iaitu Jihad yang tidak mempunyai sebarang unsur tolak ansur. Bukannya konsep JIHAD yang direka-reka oleh Puak Modernist. Ikhwan menganggap bahawa ibadat dan amal soleh seseorang Islam itu sia-sia jika ia tidak bersedia untuk mengorbankan nyawanya demi untuk mempertahankan Agama Islamnya. Bersedia untuk mati tanpa mengharapkan sebarang balasan dunia melainkan semata-mata cintakan Allah dan hari Akhirat. Al Ikhwanul Muslimin menaikkan semangat jihad dengan cara menggalakkan pemuda Islam melakukan latihan menguatkan tubuh badan untuk persediaan perang. Akhirnya mereka menubuhkan Unit tentera mereka sendiri untuk mempertahankan harakah apabila diperlukan.
Sheikh Hassan al Banna berkali-kali mengajak orang kampung supaya berjihad menumpas penjajah British dan menghalau mereka selama-lamanya dari Mesir. Beliau tidak bertolak ansur langsung dalam masalah ini dan beliau tidak mempercayai langsung pendapat dan fikiran bahawa masalah ini dapat diselesaikan melalui perbincangan dan mesyuarat yang tidak membawa ke mana-mana. Di dalam peperangan Palestin pada tahun 1948, pasukan sukarelawan Ikhwan Muslimin adalah pasukan yang paling berani berperang di pihak Arab. Apabila Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf penubuhan negara Yahudi di Palestin, Sheikh Hassan al Banna menyeru semua negara Islam meninggalkan Bangsa-Bangsa Bersatu dan berjihad menentang Yahudi.
Sheikh Hassan al Banna dan penyokongnya dengan terang-terang dan berani melaungkan bahawa Islam sajalah agama yang terbaik dan penyelesai kepada semua masalah yang dihadapi oleh Mesir. Matlamat Ikhwanul Muslimin ialah untuk mendirikan masyarakat dan negara Islam di mana Syariah Islam menjadi undang-undang negara. Hassan al Banna berkata :
“Kita tidak akan berdiam diri dan bersenang hati atau berhenti selagi Qur’an benar-benar menjadi perlembagaan negara. Kita akan hidup untuk mencapai matlamat ini atau mati dalam usaha melaksanakannya”.
Al Ikhwanul Muslimin tidak berpuas hati dengan undang-undang negara yang hanya meletakkan Islam sebagai Agama Negara. Mereka mendesak supaya undang-undang Islam dijalankan sepenuhnya di mana kerajaan dan rakyat tunduk kepada undang-undang Allah.
Sheikh Hasan al Banna berkata dalam satu ucapannya :
“Al Ikhwanul Muslimin memegang sikap bahwa Islam mempunyai implikasi yang luas dan menyeluruh. Islam mengawal semua tingkah laku individu dan masyarakat. Setiap sesuatu mestilah tunduk di bawah undang-undangNya dan mengikut ajaranNya. Sesiapa yang menurut Islam dari segi Ibadat saja tetap meniru orang kafir dalam semua hal lain boleh dianggap sama taraf dengan orang kafir”.
Di dalam jawapan kepada salah seorang pemimpin politik di zamannya, beliau berkata :
“Kami mengajak kamu kepada Islam, ajaran Islam, undang-undang Islam dan petunjuk Islam. Kalau ini dianggap politik oleh kamu maka inilah politik yang kami perjuangkan”.
Oleh kerana Demokrasi tulin tidak wujud di Mesir, Hassan al Banna memerintah supaya semua parti politik dibubarkan termasuk Sistem Parlimen kerana ini semua tidak menghasilkan apa-apa melainkan keruntuhan moral dan perebutan kuasa. Hassan al Banna dan pengikutnya berkeyakinan bahawa tidak ada satu pun parti politik Mesir yang wujud di zaman Raja Farouk benar-benar ingin melaksanakan undang-undang Islam atau cinta kepada Islam. Ikhwanul Muslimin bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Islam Mesir yang kuat dan memansuhkan semua parti-parti yang ada. Begitulah tegasnya sikap al Ikhwanul Muslimin sehinggakan menjadi syarat bagi sesiapa yang ingin menjadi ahli harakahnya berhenti dari menjadi ahli sebarang parti politik yang ada di Mesir pada zaman Raja Farouk.
Walaupun al Ikhwanul Muslimin menyokong Nasionalis Arab Sekular dalam soal membebaskan Mesir dari belenggu Penjajah, dan kesatuan Arab, ini bukanlah menjadi matlamat tetapi cara saja. Menyatukan bangsa Arab adalah langkah pertama kepada penyatuan Ummat Islam di negara Arab. Bebas dari penjajahan bermakna Ummat Islam mempunyai kesempatan untuk menubuhkan sebuah negara Islam.
Malangnya apabila tergulingnya Raja Farouk dalam Revolusi 23hb. Julai 1952, negara Mesir ditukar kepada sebuah Negara Nasionalis Sekular tulin serta terus melanjutkan polisi membaratkan Mesir seperti yang dibuat oleh pemerintah dahulu. Masa telah membuktikan bahawa pemerintah yang baru adalah sama ganasnya terhadap pergerakan Islam seperti pemerintah yang dulu juga malah mereka lebih tamak, zalim dan gila kuasa.
Al Ikhwanul Muslimin bukan mahukan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, malah mereka berjanji berkali-kali untuk menyokong sesiapa yang memerintah asalkan undang-undang Islam dijalankan. Semua ini ditolak mentah oleh diktator Tentera yang baru berkuasa itu. Presiden Gamal Abdul Nasser pernah berkata :
“Saya telah bertemu dengan Ketua Penasihat Ikhwanul Muslimin yang telah membuat beberapa tuntutan kepada saya. Perkara pertama yang dia mahu ialah semua wanita diwajibkan menutup aurat. Dia juga mendesak supaya ditutup semua panggung wayang dan tempat pementasan. Dengan lain perkataan dia mahu supaya hidup kita gelap dan mendung. Sudah tentulah menjadi perkara mustahil untuk kita melaksanakannya”.
Percubaan untuk menbunuh Presiden Gamal Abdul Nasser pada December 1954, menjadi alasan yang baik yang ditunggu-tunggu oleh kerajaan untuk menghancurkan Ikhwan al Muslimin. Ikhwan telah dituduh melakukan penembakan itu walaupun Ikhwan berkali-kali menafikannya. Beribu-ribu anggota Ikhwan telah ditangkap, dipenjara dan 6 orang telah digantung hingga mati. Protes dari dunia Islam tidak dilayan langsung. 12 tahun selepas peristiwa itu, iaitu pada tahun 1961, al Ikhwanul Muslimin telah difitnah sekali lagi sebagai penyebab kepada kegagalan dan kemunduran negara. Akhirnya Presiden Nasser telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang penting untuk ‘menghapuskan pengaruh gerakan apa yang dipanggil reaksionari Ikhwanul Muslimin’.
Beliau (Gamal Abdul Nasser) telah mencadangkan supaya kuasa ketenteraan
dan undang-undang digunakan untuk menghancurkan Harakah Islam ini. Sebahagian dari cadangan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Khas itu telah disiarkan dalam An-Nadwa, Mekah seperti berikut :
1. Mata Pelajaran Deeniyah (agama) mestilah dibuang terus dari sukatan pelajaran di Institusi Pengajian di seluruh negara. Semuanya itu akan digantikan dengan kurikulum baru berdasarkan prinsip sosialisma.
2. Komunis mestilah dibantu dan diberi peluang yang luas untuk menghancurkan agama supaya martabat mereka yang berugamaa di Mesir hancur. Tanggungjawab ini diberikan kepada kerajaan yang akan mengizinkan komunis menjalankan aktiviti anti agamanya dengan selantang-lantangnya. Sementara itu agama akan ditindas dari sebarang peluang untuk bergerak.
3. Selepas kita mengkaji dengan dengan mendalam tentang mereka yang tidak terikat dengan Ikhwan tetapi memainkan peranan yang sama dengan Ikhwan, kita merumuskan bahawa kedua-dua kumpulan pendakyah-pendakyah ini bersatu dari segi fikrah dan amalannya. Oleh itu kedua kumpulan ini mestilah dipisahkan dan pertalian mereka diputuskan. Kalau tidak, harinya tidak akan lama di mana mereka akan berganding bahu untuk memberontak menentang kerajaan secara terbuka. Pada masa itu kita akan susah untuk membezakan antara satu dengan yang lain. Adalah wajar kalau kita elakkan bahaya ini dengan menganggap bahawa kedua kumpulan itu adalah sama. Semua ruang untuk perkembangan mereka serta peluang bagi aktiviti intelektual dan praktikal mereka mestilah dihalang. Penyiasatan yang rapi hendaklah dijalankan bagi mengetahui berkenaan dengan perjumpaan dan hubungan mereka antara satu sama lain. Semua ahli ibadat dari sebarang agama mestilah diharamkan dari menjadi ahli sebarang organisasi. Mereka hendaklah juga diharamkan dari tempat-tempat awam, propaganda kebangsaan dan keramaian-keramaian negara.
4. Ikhwan dan simpati-simpatinya mestilah ditindas berterusan serta dipenjarakan. Semua usaha untuk menjaga keselamatan harta benda mereka hendaklah ditarik balik dan diumumkan bahawa keselamatan mereka pun tidak akan dijamin. Berbagai-bagai penyiksaan, penghinaan dan penindasan mestilah dilakukan ke atas mereka supaya mereka tidak akan merasa senang walaupun sesaat.
Akibat dari polisi ini, beribu-ribu Ikhwan termasuk Muslimat ditangkap dengan tidak ada peluang membela diri dan mereka diazab dengan penyiksaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hassan Ismail Hudaybi, seorang hakim dan ulamak terkenal yang menggantikan Hassan al Banna debagai Ketua Penasihat Ikhwan telah disiksa walaupun umurnya sudah tua dan uzur. Pada 29hb. Ogos, 1966 tiga orang pemimpin Ikhwan telah dihukum bunuh. Yang paling terkenal di antara tiga itu ialah Ash-Shaheed Sayyid Qutb yang juga seorang ulamak dan penulis terkenal di dunia Arab. Adiknya Muhammad Qutb yang juga seorang penulis yang terkenal. Dua orang adik perempuannya, Aminah dan Hamidah Qutb pun turut dikurung dalam penjara bertahun-tahun lamanya. Beberapa tahun dahulu. Sheikh Hassan al Banna telah meramalkan mala petaka ini dan memberi amaran kepada pengikut-pengikutnya bahawa Ikhwanul Muslimin akan dihina, ditentang, ditahan, dianiaya, disiksa dan akan dikenakan kesusahan yang amat pahit. Sementara itu beliau berjanji bahawa kemenangan di dunia dan di akhirat akan tetap bersama Ikhwan akhirnya.
Walaupun Ikhwan al Muslimin ditindas di negaranya sendiri, Ikhwan di Syria, Jordan, Lebanon dan Sudan terus bergiat dengan aktivitinya. Di Geneva, Dr. Said Ramadhan mengahwini anak perempuan Hassan al Banna dan menyibarkan prinsip perjuangan Islam di Barat dengan hebat. Beliau keluar dari Mesir apabila beliau dijatuhkan hukuman bunuh oleh kerajaan Mesir.
“Adalah salah kalau kita menganggap prinsip perjuangan Ikhwanul Muslimin telah mati. Penulis rencana ini telah pergi ke Mesir dan Syria serta melihat dengan mata kepalanya sendiri kesan dari harakah ini di sana. Kehilangan sementara harakah dari masyarakat kerana situasi tertentu, tidak bermakna ianya telah mati. Pergerakan berideologi tidak mati dengan cara ini. Mesejnya masih terus berkembang di semua lapangan hidup termasuk intelektual, sosial dan kebudayaan. Malah prinsip perjuangan Ikhwan subur dan menjelajahi tanah-tanah baru. Apabila sekatan yang dikenakan oleh penzalim diturunkan, Ikhwan InsyaAllah akan muncul dengan lebih gagah dan bersemangat. Inilah keadaan Ikhwan yang sebenarnya. Tetapi, apakah yang telah berlaku kepada Parti Sekular di Mesir ? Di manakah perginya Wafd Party sekarang ? Ke manakah juga perginya Sa’adist Party ? Saya harap cerdik pandai dapat pergi ke Mesir dan mengkaji sendiri keadaan di sana. Apabila berlakunya penindasan dari regim pemerintah, pergerakan manakah yang lebih gigih menghadapinya