Friday, March 11

Tsunami Mac 2008 terbukti masih bersisa

 

Oleh Lanjusoh
“TIADA sesiapa pun yang mampu mendabik dada terhadap keputusan pilihan raya kecil selepas tsunami 8 Mac 2008. Umno tidak boleh bersikap hidung tinggi,” ujar pegawai pencen sambil menikmati nasi di sebuah kedai di pinggir Kota Bharu.
Sambil meneguk ‘milo tunggeng’ katanya, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) masing-masing menang lapan pilihan raya kecil.


BN menang di Parlimen Batu Sapi, parlimen Hulu Selangor, Dun Galas, Dun Tenang, Dun Bagan Pinang, Dun Batang Ai, Dun Kerdau dan Merlimau.
Ujarnya lagi kalau hendak dimegah pun kerana BN berjaya merampas kerusi di Galas dan Hulu Selangor. Manakala kerusi lain sekadar mengekalkan kedudukan lama.
Begitu juga PR mampu berbangga kerana berjaya merampas kerusi parlimen Kuala Terengganu dan parlimen Sibu. Pilihan raya kecil lain iaitu di Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir kekal tidak berubah dengan parti lama.
Berdasar kepada 16 pilihan raya kecil yang diadakan PR dapat mengukuhkan kedudukan di kawasan bandar yang tidak banyak undi pos. Buktinya PR diterima pengundi di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Sibu.
BN pula lebih banyak bergantung tuah undi pos dan Melayu Felda.
Kawasan yang ada Felda memberi Umno bonus percuma, antaranya Tenang, Kerdau dan Hulu Selangor. Undi pos pula membantu Umno di Bagan Pinang.
Manakala undi masyarakat Orang Asal menjadi senjata berkesan BN di Galas.
Kalau diamati pertaruhan sebenar antara BN dan PR hanya benar-benar berlaku di Kuala Terengganu, Manek Urai, Bukit Gantang, Bukit Selambau, dan Sibu.
Permatang Pauh dan Penanti sudah dimaklumi kubu KeADILan. Begitu juga di Permatang Pasir sudah banyak penggal diwakili PAS.
Umno dan BN seperti sukar digugat di Tenang, Merlimau, Kerdau, Batang Ai dan Batu Sapi. Kawasan berkenaan pengundi masih diselimuti tradisi lama. Mereka tidak mahu melakukan transformasi, jauh sekali mahu menjejaki reformasi.
Berdasar kepada fenomena tersebut, ia memberi makna 16 siri pilihan raya kecil selepas Mac 2008 memperlihatkan lanskap politik baru tidak banyak berubah.
Mungkin boleh dikatakan momentum tsunami pilihan raya umum ke-12 masih bersisa.
Umno dan BN hanya mampu menghela nafas lega apabila ada kekosongan kerusi berlaku di kawasan majoriti pengundi Melayu. Felda merupakan kawasan deposit tetap bagi Umno.
Oleh itu bagi melihat kekuatan sebenar politik muktahir antara BN dan PR perlu ada satu lagi pilihan raya kecil. Carilah mana-mana wakil rakyat yang sering berulang alik ke hospital. Pilihan raya kecil edisi ke-17 mungkin boleh memberi sedikit jawapan. Namun syaratnya, kawasan berkenaan tidak diliputi Felda, pengundi pos atau Orang Asal. Bagaimanapun tempoh edah pilihan raya kecil hanya tinggal sebulan lagi sekiranya berlaku kekosongan selepas ini.
Namun bagi mencari parti mana yang diterima rakyat juga boleh diukur prestasi pilihan raya negeri Sarawak tidak lama lagi. Sekiranya BN mampu mempertahankan 62 kerusi Dun, bermakna tiada polarisasi baru politik di Sarawak.
Begitu juga seandainya PR kekal dengan sembilan kerusi daripada 73 kerusi Dun Sarawak. PR kelihatan ada ruang sekiranya Tan Sri Taib Mahmud meneruskan hasratnya memimpin Sarawak selepas pilihan raya negeri ke-10 ini.
Tahun ini sudah menghampiri 30 tahun Taib menduduki kerusi empuk di Petrajaya.
Taib mendapat suntikan semangat muda daripada isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi, 28.
Taib, pemimpin lama yang berdarah muda seperti menyinga apabila ada sindiran menganggap beliau sebagai liabiliti kepada BN Sarawak.
Beliau marah apabila akhbar Semenanjung yang proUmno menyamanya dengan Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad di Terengganu. Taib tersinggung terhadap laporan itu. Ekoran itu dilaporkan penyokongnya berhimpun menyambut beliau ketika pulang ke Kuching selepas bercuti di luar negara tahun lepas.
Pada sambutan kepulangannya itu beliau dilaporkan memberitahu ”saya sudah fikirkan betul atau tidak khidmat saya masih diperlukan negeri. Walau pun keluarga tidak suka melihat saya tidak berehat degan menikmati kehidupan bersama, mereka bersetuju kami sekeluarga tidak boleh menghampakan hasrat rakyat Sarawak.
”Perjuangan kita sudah berjaya, namun orang tidak mahu bercakap mengenainya,” ujar Taib lagi. Benarkah begitu. Jawapan ada pada pengundi di Sarawak.
Isu kedua, kemelut membelit Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). Masyarakat Cina dikatakan sudah muak dengan ’aksi’ bercakaran sesama sendiri.
Masalah dalaman parti berusia 50 tahun itu memberi ruang DAP merampas kerusi parlimen Kuching pad
a pilihan raya umum lalu. SUPP juga gagal di enam kerusi Dun majoriti pengundi Cina. Kegagalan SUPP terbukti lagi apabila gagal mempertahankan parlimen Sibu pada pilihan raya kecil 16 Mei tahun lepas.
DAP lebih diminati pengundi Cina kerana keberanian wakil rakyatnya menyuara masalah rakyat di Dun atau parlimen. Sedangkan tugas itu seperti gagal dipikul SUPP.
Ketiganya isu hak tanah adat Bumiputera (NCR) yang gagal diselesaikan kerajaan BN sejak zaman berzaman. Isu tersebut menjadi senjata penting buat PR.
Kerajaan BN gagal menangani masalah terbabit sehingga ke hari ini. Cuma tahun lepas kerajaan Sarawak dikatakan baru memberi perhatian apabila melulus peruntukan RM20 juta bagi mengukur tanah NCR.
Di seluruh Sarawak terdapat lebih 30,000 hektar tanah NCR di 27 kawasan. Malangnya ia belum lagi diukur. Namun dalam tempoh edah pilihan raya negeri sekarang, sudah parti isu NCR tidak mampu diselesaikan Taib.
Ini peluang terbuka buat PAS, KeADILan, DAP dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).
Biar pun cuba diungkitkan masalah pengagihan kerusi oleh media proBN, namun PR di Sarawak kelihatan semakin serasi.
Berlainan dengan Parti Cinta Malaysia (PCM). Parti baru itu masih lagi dalam kesamaran. Biar pun begitu PCM mengharap dapat mengembang sayap ke kawasan majoriti kaum Iban termasuk di Kakus, Sri Aman, Saratok, Engkilili dan Serjan.
Bagi penganalisis politik Sarawak, Dr Jeniri Amir landskap dan percaturan politik negeri di bumi Kenyalang itu sudah banyak berubah.
”Semakin ramai golongan muda akan mengundi. Rakyat juga semakin sedar dan kritikal terhadap pemimpin. Mereka masih ingat janji pemimpin pada pilihan raya umum lalu,” tulisnya dalam akhbar tempatan lebih setahun lalu.
Bagaimana pun kekekurangan kemudahan asas, geografi luas dan berbukit bukau, tidak mudah untuk pengundi di luar bandar mengintai parti lain.
Lagi pun jentera kempen PR tidak mungkin mampu menjejaki ke seluruh pelusuk pedalaman Sarawak dengan mudah. BN pastinya mengeksploit seluruh jentera kerajaan.
Namun sekiranya PR mampu menarik simpati pengundi di kawasan bandar dan pinggiran, sudah cukup untuk meletihkan Taib dan BN Sarawak.
Lagi pun Taib yang ada hari ini bukan segagah dahulu. Cuma hatinya agak berjiwa muda.
”Usahkan hendak jaga hati rakyat, kehendak isteri muda pun sudah membuatkan Taib termengah-mengah,” ujar seorang guru dari Petrajaya.

No comments:

Post a Comment