Friday, December 2

AKHLAK DAN DISIPLIN BERORGANISASI

Kita mestilah memastikan diri kita dan keluarga kita menunjukkan contoh teladan yang baik di mana sahaja kita berada, kerana kita akan menjadi duta kepada perjuangan parti, untuk melebarkan pengaruh parti kepada masyarakat. Sebelum mereka melihat parti, mereka akan menilai dahulu siapakah aktivis-aktivisnya? Oleh kerana itu terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian kepada ahli PAS sekalian.
Menunaikan Janji

Allah memberi penegasan dalam perkara ini dengan firmanNya (bermaksud), "Dan sempurnakanlah perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah)". An Nahl:9

Sama ada perjanjian dengan jemaah atau perjanjian sesama sendiri dan termasuklah juga perjanjian dengan musuh hendaklah ditunaikan dengan sempurna. Sebarang kemungkiran boleh menghilangkan kepercayaan antara satu sama lain dan menghilangkan kewibawaan. Jika kita tidak boleh laksanakan sila beritahu daripada awal, supaya perjalanan parti tidak terjejas. Sila maklumkan awal kepada penganjur jika kita mempunyai keuzuran syar'ie. Jangan sampai kita terkenal sebagai orang yang mungkir janji. Banyak mereka yang hebat terkeluar daripada saf kepimpinan apabila mereka tidak menepati janji.
Tidak Melampau

Allah Taala melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh hatta di medan perang. Sikap melampau dalam semua perkara banyak merugikan jemaah. Sejarah mencatatkan orang yang melampau berakhir dengan mereka gugur di dalam medan perjuangan. Contohnya mereka yang mengkafirkan UMNO sekarang sudah bersama dengan UMNO. Tepatlah sabda Rasulullah S.A.W, "Sebaik-baik perkara ialah sederhana dalam amalan".
Bersabar

Perlu banyak bersabar, kerana kerja-kerja Islam akan berhadapan dengan macam-macam perkara yang tidak menyenangkan. Malahan jalan dakwah penuh dengan liku-liku kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan, persendaan yang memalukan. Kerana kita terpaksa berhadapan dengan orang jahil, orang alim, orang yang berfikiran terbuka dan orang yang emosional, orang yang mudah bertolak ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang yang mudah tersinggung. Semuanya perlu kepada kesabaran yang tinggi. Firman Allah Taala bermaksud, "Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu". Surah An Nur:22
Bersifat Rendah Diri

Mestilah bersifat tawaduk atau merendahkan diri khususnya terhadap saudara se-Islam dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang miskin mahupun yang kaya. Perlu sedar bahawa ahli PAS terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan status.

Kita tidak hanya bergaul dengan orang kaya sahaja dengan meninggalkan orang miskin dan susah. Ini kerana perbuatan ini tidak mendapat rahmat daripada Allah Taala. Rasulullah s.a.w. sendiri memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan daripada sifat takbur. Baginda bersabda yang bermaksud : "Tidak akan memasuki syurga yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takbur". (Riwayat Muslim)
Jauh Sangka Buruk

Mesti menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain. Sebaliknya kita lebih banyak menyuluh dan menuding diri sendiri daripada dihadapkan kepada orang lain. Sangka buruk ini sifat yang tidak baik dan boleh mendatangkan keburukan kepada orang lain. Maka ini perlu dijauhi oleh ahli parti. Janganlah dia berburuk sangka kepada sahabat yang lain ini akan menyebabkan ruang untuk berpecah akan bertambah luas.

Firman Allah Taala bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha Penerima Taubat lagi Penyayang". (Al Hujurat:12)
Qudwah Hasanah

Mesti menunjukkan contoh teladan yang baik selari dengan akhlak Islam. Kita percaya bahawa contoh teladan yang baik amat kuat mempengaruhi orang lain untuk mendekati perjuangan kita. Maka kita mesti pastikan diri kita, keluarga kita mesti menunjukkan contoh teladan yang baik di mana sahaja kita berada, kerana kita akan menjadi duta kepada perjuangan parti, untuk melebarkan pengaruh parti kepada masyarakat. Sepertimana kata hukama, "lisanul hal (tindakan) lebih baik daripada lisanul maqal (berkata-kata)".
Bekerja Untuk Kemenangan Islam

Biarlah sesaat di dalam hidup kita tidak berlalu begitu sahaja. Kita mesti memikirkan apakah cara supaya Islam dihayati oleh masyarakat untuk menyelamatkan negara dan masyarakat. Kita mesti rasa cemburu dengan golongan yang bekerja siang malam untuk mengekalkan kezaliman di negara ini walaupun mereka tahu bahawa kerja mereka dimurkai oleh Allah Taala. Apakah kita boleh tidur lena ketika khazanah negara dijahanamkan? Laporan Ketua Audit Negara menyerlahkan lagi sikap kerajaan yang tidak pernah mengambil iktibar walaupun setiap tahun inilah rupa bentuk laporannya. Apakah kita mahu membiarkan anak cucu kita pada masa akan datang merempat di bumi sendiri.

Kita berjuang bukan memikirkan diri kita tetapi ialah untuk generasi akan datang. Untuk kita sudah selesai, kerana hanya membilang hari untuk bertemu dengan Allah Taala, tetapi anak kita akan meneruskan hidup mereka. Jangan biarkan mereka memaki kita kerana kita tidak berjuang untuk mereka. Firman Allah Taala bermaksud, "Dan hendaklah takut (kepada Allah) yang sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang mereka yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraannya). Oleh sebab itu hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar". (An Nisa’:9)

PERANCANGAN STRATEGIK KEBANGKITAN ISLAM,,TGHA

[ Antara teks ucapan Presiden PAS, TUAN GURU ABDUL HADI AWANG di Persidangan Kebangkitan Islam di Tehran, Iran ]. Allah Taala berfirman dalam Surah Al Maidah, ayat 3 bermaksud, "Pada hari ini, orang-orang kafir telah berputus asa (daripada memesongkan kamu) daripada agama kamu (setelah melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu, janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKU kepada kamu dan Aku reda Islam itu menjadi agama untuk kamu."

Sesungguhnya kebangkitan Islam yang muncul pada masa kini membuktikan kebenaran kata-kata Allah dan janji-Nya yang tidak akan dimungkiri. Allah telah berjanji akan menjaga agama-Nya dan akan membantu golongan yang membantuNya. Namun, umat Islam akan berhadapan dengan siri-siri peperangan Ahzab yang tidak terhenti dengan peperangan Ahzab pertama yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W, dan pakatan Ahzab tersebut telah berjaya dikalahkan dengan pertolongan Allah. Inilah hikmah yang mendalam di sebalik kita berulang kali menyebut sejarah ini selepas setiap kali kita bertakbir. Ini menegaskan lagi firman Allah, "Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu sehingga mereka memalingkan kamu dari agama kamu jika mereka mampu". (Al Baqarah:217)

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha terhadap kamu (wahai Muhammad) sehingga kamu menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka); Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang benar. Dan sesungguhnya jika kamu menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya wahyu, maka kamu tidak akan memperoleh daripada Allah sesuatu pun yang dapat membela dan memberi pertolongan kepada kamu". (Al Baqarah:120)

Kita telah menyaksikan kesatuan Zionis-Salibiyah dan pakatan golongan sekular (neo-musyrikin) dalam memerangi agama Islam. "...Pada saat itu orang-orang beriman telah diuji dan digoncangkan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. Dan ketika itu orang-orang munafik dan orang-orang yang mempunyai penyakit dalam hatinya berkata; Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja". (Al Ahzab:11-12)

Sesungguhnya umat telah berhadapan dengan pelbagai fitnah ujian dan tribulasi selepas kejatuhan Khilafah dan lenyapnya kerajaan Islam. Islam diletakkan di kandang tertuduh, tersepit di antara kejahilan umat dan kelemahan ulama serta pengkhianatan pihak pemerintah selepas keluarnya pihak imperialis dari bumi umat Islam. Mereka telah membahagi-bahagikan negara-negara Islam dan penduduknya dengan sempadan geografi yang bersifat perkauman dan nasionalis yang sekular. Mereka telah berjaya meminggirkan Islam dari pentas politik negara dan kepimpinan umat.

Orang-orang beriman pula telah terpesona dengan solusi-solusi yang diimport dalam menangani isu-isu politik, ekonomi dan sosial. Agama Islam telah dihukum dan bukan lagi menjadi agama yang memutuskan sesuatu hukum. Agama Islam bukan menjadi ketua (panduan yang diikuti) dan rujukan, tetapi ia terkongkong dalam kerangka undang-undang yang membelenggunya, terperosok di bawah akta yang dinamakan sebagai urusan hal ehwal Islam dan pengawasan terhadap ajaran agama yang sebenarnya bertujuan untuk memisahkan Islam daripada kehidupan umat secara keseluruhannya.

Namun, mereka tidak akan mampu memadamkan cahaya agama ini, sesungguhnya Allah akan menyempurnakan cahaya agamaNya walaupun dibenci oleh orang-orang yang membenci. Gerakan kebangkitan Islam telah tersebar ke seluruh dunia sebagaimana tersebarnya siang dan malam. Umat Islam telah bangkit dengan kesedaran menentang golongan thaghut yang mewarisi jejak langkah penjajah tanah air umat Islam, yang sebenarnya telah gagal dengan keseluruhan sistemnya. Sehingga akhirnya umat pula terpaksa menanggung perit derita kezaliman dan kefasadan yang berlaku, bermula dengan keruntuhan blok komunis dan petanda-petanda runtuhnya blok kapitalis lalu meninggalkan pemimpin-pemimpin sesat di negara-negara umat Islam dalam keadaan terkial-kial di kerusi-kerusi mereka berhadapan dengan kebangkitan baru yang datang daripada kalangan rakyat tertindas.

Kebangkitan Islam telah muncul di seluruh tempat dan kemusnahan ideologi-ideologi rekaan penjajah dan Zonis telah terzahir setelah ia mengalami femerosotannya di negara-negara besar dan pihak yang mempromosikan ideologi-idelogi tersebut di negara kita bergantung harap kepada tali barut dengan perancangan dan pembiayaan daripada pihak luar. Akan tetapi, kebangkitan yang mulia ini tidak akan mencapai matlamat yang dikehendakinya melainkan dengan perancangan yang sistematik untuk menggerakkannya dan mengembangkannya sehingga golongan Islam tidak lagi disengat berkali-kali dalam satu lubang yang sama, sebagaimana yang berlaku ketika era jihad menentang penjajah dan revolusi-revolusi selepasnya yang mana walaupun mereka yang memulakannya tetapi pihak lain yang memetik hasilnya. Ini kerana di hadapan kebangkitan ini terdapat pelbagai cabaran sama ada yang bersifat dalaman mahupun luaran yang perlu ditempuhi dan terbentang pelbagai halangan yang perlu ditangani.

Faktor-Faktor Kebangkitan Islam

Kita mempunyai asas-asas yang kukuh dalam umat yang mempengaruhi kebangkitan Islam, antaranya :
Ad Din

Agama Islam itu sendiri merupakan faktor kebangkitan Islam, dari segi akidahnya, syariatnya, akhlaknya dan sistemnya. Walaupun terdapat perselisihan mazhab dalam perkara furu' akan tetapi ia bersifat kukuh dari segi sumber-sumbernya yang terdiri daripada teks-teks syarak dan ijtihad para ulama. Maka menjadi satu tanggungjawab bagi para ulama dan pemikir Islam untuk membina wehdatu as saff (kesatuan barisan) antara pasukan kebangkitan ini di atas asas-asas yang kukuh dan sikap toleransi, serta merapatkan jurang yang wujud dengan sebab khilaf yang bermanfaat dalam perkara furu' dan menjauhi khilaf yang tidak bermanfaat yang menghidupkan sudut-sudut negatif dalam sejarah dan mana-mana bahagian-bahagiannya yang tidak diiktiraf.

Revolusi Islam di Iran yang berjaya menggulingkan kerajaan Shah juga menggunakan agama. Dari revolusi itu lahirnya nilai-nilai positif yang mendorong kebangkitan Islam yang wujud di dunia Islam, begitu juga peranannya yang ketara dalam isu-isu umat seperti isu Palestin dan Balkan. Namun, terdapat perkara-perkara memerlukan semakan dan perhatian. Antaranya ialah menggunakan Revolusi Islam untuk menyebarkan mazhab tertentu dan menghidupkan perbezaan pendapat dalam perkara furu' yang negatif yang akhirnya menjadikan revolusi tersebut sebagai suatu yang turut negatif, dipinggirkan oleh umat dan dituduh sesat.

Fanatik buta di kalangan mazhab-mazhab Islam turut membawa ke arah keburukan dan menjadi penghalang dan sekatan kepada kemajuan kebangkitan ini. Nun di sana terdapat usaha-usaha mulia yang telah dilakukan oleh para ulama salaf yg mengajar dan belajar sesama mereka, walaupun mereka berbeza aliran tetapi mereka saling menguatkan serta bersatu untuk gerak kerja jihad, dakwah dan berhadapan dengan pihak pemerintah yang zalim pada zaman mereka. Mereka mengarang kitab-kitab yg sangat bernilai dengan menghimpunkan pendapat-pendapat daripada keseluruhan mazhab sama ada pendapat yang kuat mahupun yang lemah.

Hakikatnya, kekuatan dan kelemahan dalam hujah ijtihad kadangkala berubah dengan sebab perubahan masa, suasana, cabaran, Maqasid Syari'ah dan Siyasah as-Syari'yyah. Betapa banyak pendapat-pendapat yang lemah pada zaman lalu telah berubah menjadi hujah yang kuat pada zaman sekarang dan begitu juga sebaliknya. Di sinilah peranan organisasi-organisasi seperti Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Majma' at Taqrib dan Majma' al-Fiqhi, maka serahkan perkara ini kepada para ulama yang pakar dalam urusan ilmu nescaya organisasi-organisasi tersebut akan menjadi sumber rujukan yang sangat bernilai untuk pelaksanaan syariat yang adil untuk seluruh manusia dan menjadi rahmat untuk seluruh alam.

Begitu juga kita melihat peranan umat Islam dalam revolusi jalanan menentang sistem pemerintahan, ia menjadi bukti kepada pengaruh mereka dalam masyarakat dan kejujuran mereka yang tiada dalam diri para pejuang yang lain. Akan tetapi, kita tidak mahu mengulangi kembali sejarah lampau, tindakan-tindakan yang lalu yang mempunyai kekurangan yang telah menjadikan umat Islam berada di barisan hadapan pada permulaan jihad dan revolusi, tapi pada akhirnya mereka berada di pinggir, dalam keadaan berpecah belah dan dizalimi.

Ini berlaku sama ada dengan sebab perselisihan dan perpecahan dalaman mereka, kelemahan dari segi gerak kerja dan perancangan yang tidak sistematik ataupun sikap rendah diri mereka yang tidak kena pada tempatnya kononnya berselindung di sebalik sikap tidak cintakan kuasa serta membenci urusan politik. Itu semua menjadikan mereka lemah dan tidak mampu untuk menghadapi tipu muslihat musuh-musuh sama ada dari dalam mahupun musuh dari luar.

Antara faktor yang membawa kepada kebangkitan Islam ialah kegagalan pelbagai agama dan ideologi baru yang tampak jelas keburukannya, terutamanya di kalangan para pemuda dan golongan cendekiawan yang terdidik dengan pengetahuan Barat dan sebahagian mereka yang berasal dari negara Barat sendiri. Ini menyebabkan munculnya idea untuk kembali merujuk kepada Islam semula. Tetapi di sana terdapat percubaan jahat untuk meracuni kebangkitan Islam dengan cara mempersembahkan Islam berdasarkan agenda serangan pemikiran yang lama yang bertujuan menghalang Islam daripada berada pada kedudukan yang sebenar, iaitu Islam mengatasi seluruh agama lain di dalam negara yang berlandaskan syariat Islam yang sempurna dan saling menyempurnakan.

Percubaan jahat itu menggunakan label 'islah & tajdid' namun dengan mempersembahkan Islam tanpa politik atau politik Islam tetapi tanpa pelaksanaan syariat, sebagai helah untuk tidak tercapainya matlamat mengaplikasikan Islam secara keseluruhan. Agenda yang dilaksanakan itu merupakan sebahagian daripada jejak langkah syaitan. Maksud firman Allah, "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam agama Islam secara keseluruhan dan jangan kalian mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia adalah musuh yang nyata bagi kamu". (Al Baqarah:208)
Kesatuan Ummah

Umat Islam terdiri daripada pelbagai jenis masyarakat dan berbilang kaum yang bertaburan di benua-benua dunia dan menetap di pelbagai tempat yang kaya dengan sumber-sumber semula jadi dan sumber-sumber manusia. Mereka juga berada di kedudukan geografi yang strategik dalam hubungan antara negara-negara yang saling bersempadan. Ukhuwah berlandaskan iman masih lagi kekal dalam hati-hati mereka, buktinya mereka berdiri dalam satu saf menangani segala isu umat yang menyentuh perasaan nurani mereka atas dasar ukhuwah keimanan, kerana perumpamaan orang-orang beriman dari segi kasih sayang, kemesraan dan simpati sesama mereka adalah bagaikan satu jasad, apabila salah satu anggota mengadu kesakitan, maka seluruh anggota turut merasai kesakitan dengan berjaga dan demam.

Kita telah melihat fenomena yang mulia ini ketika era pergolakan yang berlaku di Selatan Lubhan dan kepungan yang berlaku di Gaza, sekalipun terdapat pelbagai kaum dan mazhab, pertembungan antara kerajaan-kerajaan dan perselisihan para ulama. Itu antara bukti yang menunjukkan bahawa umat yang beriman berada di lembah kesatuan manakala urusan kerajaan pula berada di lembah yang lain. Justeru, perkara yang paling penting ialah mengembangkan sikap ukhuwah yang berkekalan ini dan mengaturnya dengan baik.

Begitu juga dengan kesepakatan mereka dalam isu Palestin misalnya, mereka mengasaskan sebuah organisasi persidangan Islam selepas tragedi pembakaran Masjid al-Aqsa dan para pemerintah negara Islam seluruh dunia menerima organisasi tersebut sama ada secara rela atau terpaksa. Perkara tersebut juga menjadi bukti kepada kekuatan pengaruh kesatuan ummah dalam mengubah pentadbiran negara-negara Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pembentukan Dan Perkembangan Kebangkitan Islam

Sesungguhnya musuh-musuh Islam tidak akan membiarkan walaupun satu jalan kosong tanpa campur tangan mereka, tanpa tindak balas dan tanpa tindakan yang kontra dan berlawanan, bertujuan menghadapi kebangkitan Islam. Buktinya ialah aktiviti-aktiviti di peringkat serantau dan antarabangsa yang dijalankan oleh negara-negara kuasa besar dan negara-negara di bawah penguasaannya yang berselindung di sebalik bantuan kemanusiaan, reformasi politik, pembinaan negara, pelaburan dan pembangunan dalam bidang ekonomi dan sebagainya.

Usaha itu dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif, projek, pelaksanaan yang mana semua itu dimanipulasi melalui media massa, pergerakan pangkalan tentera di kawasan terbabit serta pengaruh mereka di kalangan kerajaan-kerajaan setempat. Mereka semua bersaing antara satu sama lain berdasarkan kepada kebaikan dan manfaat yang bakal mereka perolehi manakala kita tidak akan memperolehi apa-apa kecuali dengan kadar yang sedikit lagi hina.

Walaupun kita tidak patut mempercayai kejujuran mereka, akan tetapi kita perlu mengamalkan sikap keterbukaan dan optimis berdasarkan kepada maslahah serta kewajipan dakwah terhadap golongan-golongan lain daripada kalangan mereka yang mengambil jalan damai dan yang bermusuh. Segalanya memerlukan tindakan yang bijaksana daripada para pemimpin, ulama dan pemikir dari kalangan umat Islam sendiri.

Kita juga perlu kepada pembentukan kebangkitan yang mulia ini secara bertarbiyah, bersistematik dan berstrategi. Maka di sinilah peranan kumpulan orang-orang beriman, para ulama dan pemikir yang mana mereka adalah penjaga yang salih bagi urusan umat Islam dan tidak harus dibiarkan urusan ini berada di tangan penjaga yang jahat.

Di sinilah peranan kerajaan-kerajaan dan parti-parti Islam yang sedang berada dalam proses islah dan tajdid untuk membentuk dan mengembangkan kebangkitan Islam dengan melakukan campur tangan secara langsung agar semuanya berada dalam satu saf dari segi keselarasan dan ta'awun serta satu pasukan dari segi gerak kerja. Justeru, negara Iran perlu berperanan aktif bagi menyeru para pemerintah yang bersepakat dalam agenda islah dan tajdid di peringkat global ke arah kebebasan yang sempurna melalui jalan diplomasi, contohnya dengan menggerakkan organisasi persidangan Islam, mengadakan pelbagai persidangan, membina hubungan secara langsung supaya kerajaan-kerajaan yang ada akan bersama-sama dengan kebangkitan Islam yang bakal mengubah wajah dunia Islam dan ummah, sama ada mereka akan menerima atau menolak perubahan tersebut.

Para ulama dan pemikir sepatutnya memimpin kebangkitan Islam atas dasar kefahaman terhadap agama dan kebijaksanaan dalam perancangan dan gerak kerja, supaya kebangkitan tersebut tidak menjadi huru-hara yang menyebabkan matlamat yang didambakan tidak tercapai iaitu untuk kembali memimpin umat menuju Islam. Sekiranya dalam ibadat, pernikahan, muamalat dan jihad terdapat fiqahnya tersendiri, maka kebangkitan Islam juga sangat berhajat kepada fiqah. Orang-orang yang mengerjakan haji tanpa ilmu fiqah tidak melontarkan batu-batu sebagai simbolik lontaran ke arah syaitan, akan tetapi mereka melontarkan batu, kasut dan apa sahaja yang berada di tangan mereka ke arah saudara-saudara mereka sendiri.

Orang-orang yang berjuang di jalan Allah tanpa ilmu fiqah pula akan memerangi seluruh manusia dengan mengabaikan hukum-hakam yang adil dan adab-adab dalam jihad, sesungguhnya -mereka memusnahkan ajaran Islam dengan tangan mereka sendiri. Maka begitu juga dengan kebangkitan Islam yang mulia ini, ia tersangat berhajat kepada peranan para ulama, pemikir dan golongan cendekiawan daripada kalangan umat ini untuk membentuknya, menyusunnya, menyebarkannya dan memimpinnya supaya ia sentiasa berada di atas jalan yang lurus.