Sunday, October 9

Hayati Kata-kata Hikmat Ulama Sufi Hassan al-Basri.

 

السَّلاَمُ عَلَيْكُم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang ahli sufi yang terkenal Al-Imam Hassan al-Basri memberi kata-kata hikmatnya : “Barang siapa tidak ada adab bererti tidak ada ilmu. Barang siapa tidak ada kesabaran, bererti ia tidak ada agama. Barang siapa tidak ada sifat warak, bererti ia tidak dekat dengan Tuhannya.”

Kata-kata hikmat beliau boleh dibahagikan  kepada tiga perkara iaitu :

Pertama : Barang siapa tidak ada adab bererti tidak ada ilmu.

Kedua : Barang siapa tidak ada kesabaran, bererti ia tidak ada agama.

Ketiga : Barang siapa tidak ada sifat warak, bererti ia tidak dekat dengan Tuhannya.

Huraiannya :

Pertama : Barang siapa tidak ada adab bererti tidak ada ilmu.

Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Adab-adab yang dinyatakan oleh Islam adalah ilmu yang hak. Sesiapa yang tidak mempunyai adab bererti dia tidak memiliki ilmu seperti yang terdapat dalam ajaran Islam.

Setiap amalan dalam Islam terdapat beberapa peraturan dan adab-adab yang perlu dipatuhi untuk menyempurnakan amalan tersebut. Tanpa dipatuhi adab-adab yang telah digariskan Islam menjadikan amalan tersebut cacat dan tidak sempurna. Oleh itu untuk menjadikan ibadah dan amalan harian kita sempurna maka perlulah mematuhi beberapa adab-adab yang telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga apa yang terdapat di dalam sunah dan hadis Rasulullah SAW.

Apabila kita memperkatakan adab, sebenarnya maksudnya cukup luas ianya meragkumi adab ketika berniat, adab kepada Allah SWT, abad kepada al-Quran, adab terhadap Rasulullah SAW dan adab terhadap diri sendiri.

Adab berbentuk  akhlak Islam pula adalah seperti adab pergaulan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, adab berpakaian, adab menuntut ilmu, adab membaca al-Quran, adab makan-minum, adab tidur, adab untuk memasuki rumah , adab ketandas, adab ketika bersama isteri , adab anak-anak berbicara dengan ibu bapa , adab bersin dan lain-lain lagi. Bayangkan jika seseorang itu tidak beradab dan membuat sesuatu mengikut nafsu dan kehendak hatinya sahaja maka dia akan lari daripada garis panduan akhlak Islam yang telah dinyatakan dalam ajaran Islam sendiri.

Benarlah apa yang dikatakan oleh al-Imam Hasan al-Basri bahawa sekiranya seseorang tidak ada adab bermakna dia tidak berilmu.

Kedua : Barang siapa tidak ada kesabaran, bererti ia tidak ada agama.

Sabar adalah sifat mahmudah yang akan menghiasi diri seorang mukmin. Sesiapa yang tidak memiliki sifat sabar sebenarnya dia telah lari daripada ajaran Islam kerana Islam menekankan betapa perlunya sifat sabar ini kerana tanda-tanda seseorang itu beriman adalah apabila dirinya dihiasi dengan sifat sabar.

Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud : "Menakjubkan perihal orang yang beriman. Sesungguhnya setiap perkara dalam urusannya (orang mukmin ) semuanya adalah baik baginya dan tidak berlaku hal yang demikian melainkan ke atas mereka yang beriman. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar maka yang demikian adalah baik baginya dan jika dia didatangkan kemudahan dia bersyukur maka yang demikian adalah baik baginya." (Hadis Riwayatkan Muslim)

Berdasarkah hadis di atas ada dua sifat orang beriman yang dinyatakan oleh Nabi SAW  iaitu sifat sabar dan syukur. Tidak mungkin seseorang itu dikatakan dia benar-benar beriman jika dia tidak memiliki sifat sabar dan syukur.

Ketiga : Barang siapa tidak ada sifat warak, bererti ia tidak dekat dengan Tuhannya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, " Seorang hamba tidak dapat mencapai tingkat muttaqin hingga ia meninggalkan apa-apa yang tidak berdosa kerana khuatir terjerumus pada apa-apa yang berdosa." (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Berdasarkah hadis di atas adalah merupakan ungkapan dan gambaran sikap warak. Sikap warak adalah sikap berhati-hati dalam menghindari larangan Allah SWT.

Untuk seseorang itu hampir dengan Allah SWT (muttaqin) maka dia perlulah bersifat warak. Seseorang yang memiliki sifat warak adalah dia buat semua yang wajib dan meninggalkan semua yang haram, dia tinggalkan semua yang makruh, syubahat dan yang harus sekiranya yang harus itu melalaikannya daripada mengingati Allah SWT. Di samping itu dia akan memperbanyakkan amalan sunat kerana perkara sunat ini boleh mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.

Sikap ini amat jelas terdapat pada diri Rasulullah SAW dan juga para sahabat baginda. Sikap warak pada masa itu telah menjadi suatu amalan yang di hayati oleh generasi awal.

Maka warak di sisi Allah SWT  termasuk jenis takut yang membuat seseorang meninggalkan banyak hal yang dibolehkan, jika hal itu menjadi samar atasnya bersama yang halal agar tidak merugikan agamanya.

Di antara tanda yang menjadi pegangan orang-orang yang warak adalah kehati-hatian mereka yang luar biasa dari sesuatu yang haram dan tidak adanya keberanian mereka untuk maju kepada sesuatu yang boleh  membawa kepada yang haram. Dan dalam hal itu, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya yang halal dan yang haram itu jelas. Dan di antara keduanya banyak hal-hal syubhat yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga diri dari hal-hal yang syubhat maka ia telah membersihkan agama dan kehormatannya."(Hadis Riwayat Bukhari, kitab al-Iman, no. 52, dan Muslim, kitab al-Musaqah, no. 1599 dan 107.)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita amalkan kata-kata hikmat tersebut di atas dalam kehidupan kita sehari-hari. Hiasilah diri kita dengan adab-adab dan akhlak Islam, bersifat sabar dan warak di dalam setiap amalan dan perbuatan kita. Kesimpulannya orang yang menjaga adabnya bererti dia orang berilmu, orang yang sabar adalah orang yang patuh pada ajaran agama dan orang yang warak ada orang yang hampir dengan Allah SWT.

Study Circle : Hudud dan Pelaksanaannya di Malaysia

 

 


Salam sejahtera kepada semua,

Sebentar tadi aku baru sahaja selesai mengadakan Study Circle atau juga boleh disebut sebagai usrah. Study Circle merupakan satu program wajib di UIA ini. Apa yang menarik ialah topik kami kali ini ialah mengenai hukum hudud dan kesesuaian atau kewajaran pelaksanaannya di Malaysia. Kami lebih tertumpu kepada kondisi di Malaysia sekarang yang cukup tidak stabil dan goyah samada dari sudut ekonomi, kemiskinan dan pengangguran, pendidikan, sosial dan politik.

Aku turut memberikan pendapat aku mengenainya. Ini antara statement atau kenyataan yang telah terpacul daripada lisanku yang serba daif ini:

Alhamdulillah kita bersyukur kepada ALLAH kerana masih diberikan nikmat yang paling besar, yang tidak dapat dihitung dan dinilai harganya, yakni nikmat iman dan Islam. Kita sangat beruntung kerana lahir daripada keluarga Islam. Keluar2, terus Islam. Ramai lagi orang lain yang tak dapat kecap nikmat ini. Ada yang telah diberikan tapi ditarik balik. Mereka memilih jalan keluar dan berpaling daripadaNya. Nauzubillahiminzaalik!

Tidak lupa untuk kita mengucap selawat dan salam ke atas baginda junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. kerana dengan kesungguhan dan perjuangan bagindalah, hari ini Islam sampai kepada kita.

Bercakap mengenai hudud dan qisos ini, sukalah saya untuk membacakan beberapa ayat2 ALLAH yang terkandung di dalam Al-Quran:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡقِصَاصُ فِى ٱلۡقَتۡلَى

قال الله تعالى أيضا,

وَٱلسَّارِقُ وَٱلسَّارِقَةُ فَٱقۡطَعُوٓاْ أَيۡدِيَهُمَا جَزَآءَۢ بِمَا كَسَبَا نَكَـٰلاً۬ مِّنَ ٱللَّهِ‌ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬

Dalam ayat yang saya bacakan tadi, mengandungi satu kewajipan di mana Tuhan menyebut, "Wahai orang2 yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisos dalam hal pembunuhan". Tuhan turut menyebut, "Pencuri (lelaki) dan pencuri (wanita) maka hendaklah dipotong tangan keduanya. Balasan atas apa yang telah mereka lakukan, sebagai pencegahan daripada ALLAH dan ALLAH Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana".

Kita fokuskan pada ayat pertama tadi, bahawa tuhan mewajibkan qisos dalam perkara pembunuhan. Kalau kita belek helaian Al-Quran, kita akan jumpa pula ayat berkenaan kewajipan berpuasa. Uslub bahasa yang digunakan oleh ALLAH adalah sama dalam kedua2 ayat tersebut. Jadi bila Tuhan kata wajib puasa, maka semua orang berpuasa, tak kira yang tak pernah sembahyang, yang jahil atau yang 'alim. Tapi bila tuhan sebut wajib qisos, semua buat tak endah saja, buat nampak tak nampak saja, kerana apa? Sebab takut kena atas batang hidung sendiri, bukan?

Ayat yang kedua pula berkenaan tentang pencuri dan mencuri. Di mana Tuhan menyatakan bahawa hukuman itu adalah sebagai pencegahan. Sekali lagi, sebagai pencegahan. Maka di sana tidak timbullah isu zalim atau tidak. Bayangkan jika mencuri saja kena kerat tangan, rasanya ada tak orang yang berani nak mencuri? Orang bodoh saja yang akan mencuri. Tidak bodohkah seseorang itu jika tidak sayangkan tangan? Satu lagi, bukanlah setiap perbuatan mencuri itu akan dipotong tangan kerana di sana ada kadar2 tertentu yang telah ditetapkan. Secara logiknya, takkanlah mencuri 10 sen pun kena kerat tangan. Budak2 pun boleh fikir.

Sebelum saya pergi kepada isu semasa atau perkara yang bersifat sekarang, ingin saya menyingkap sejarah lampau dahulu, bagaimana berkembang dan gemilangnya Islam ketika itu. Saya mengambil contoh yang mudah untuk menyokong apa yang saya kemukakan tadi. Ketika zaman Khalifah Ali karramallahu wajhah, ketika itu beliau turut menjawat jawatan sebagai hakim. Bayangkan ketika itu, setahun hanya ada dua kes jenayah sahaja. Hakim hanya duduk relaks, tak perlu susah2 turun naik mahkamah. Tidakkah ia menguntungkan negara?

Bercakap mengenai Saidina Ali, ingin saya ceritakan bagaimana pernah berlaku Saidina Ali yang ketika itu khalifah mendakwa seorang yahudi mencuri baju besinya. Dipendekkan cerita, ketika perbicaraan bermula, hakim meminta khalifah membawakan saksi. Ada satu riwayat mengatakan beliau tidak dapat mengemukan saksi dan ada riwayat lain menyatakan beliau membawa anaknya yang masih kecil sebagai saksi. Namun saksinya ditolak kerana masih kecil dan tidak memenuhi syarat kerana ada pertalian darah dengannya. Hakim memutuskan bahawa yahudi tersebut tidak bersalah. Khalifah seterusnya dengan senang hati menyatakan kepada hakim bahawa beliau salah dan hakim itu betul. Seterusnya yahudi tersebut terus masuk Islam kerana melihat begitu cantik dan adilnya Islam. Beliau mengaku yang baju besi itu adalah milik khalifah dan beliau mengambilnya ketika ia terjatuh dalam satu peperangan. Bayangkan khalifah melawan yahudi tetapi khalifah yang kalah dan si yahudi pula yang menang. Sekiranya situasi ini kita convertkan ke Malaysia agaknya macam mana? Contohnya kita mendakwa Najib Razak berkenaan kes Altantuya, contohlah... Apa agaknya akan terjadi? Bukan saja kes tersebut ditolak mentah2 dan langsung tidak dibicarakan, bahkan silap2 kita yang kena ISA.

Suatu ketika dahulu pernah berlaku perdebatan antara orang Islam dan orang Barat (kafir) sekitar tahun 70-an atau 80-an begitulah. Wakil dari barat tersebut bangun berucap. Beliau mencela dan menghina hukum Islam sambil menyifatkannya zalim, jumud dan ketinggalan zaman. Seterusnya tiba giliran wakil orang Islam melontarkan hujahnya pula. Beliau cuma menyebut beberapa patah perkataan sahaja iaitu: "Cuba tuan2 bandingkan antara hukum Islam yang mana sejarah telah membuktikan dalam setahun hanya terdapat 2 kes dengan hukum yang tuan2 cipta yang mana di New York sahaja hampir setiap malam pasti berlaku jenayah, tidak kira samada rogol, rompak, bunuh dan sebagainya". Wakil Barat langsung tidak dapat menjawab dan seterusnya mengangkat bendera putih. Itulah hebatnya hukum ciptaan Tuhan yang menciptakan manusia. Mana boleh manusia pandai2 buat hukum sendiri kecuali dalam beberapa perkara yang diizinkan.

Habis untuk sesi sejarah lampau, maka saya akan masuk kepada sesi isu semasa. Yang pertamanya mengenai hudud, saya ingin memetik kata2 Presiden PAS. Tuan Guru menyatakan bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan sewenang2nya sahaja atau secara serta merta dan mendadak. Kita kena lihat beberapa aspek penting dahulu seperti ekonomi, kemiskinan dan pengangguran, dan pendidikan. Kita mesti pastikan dahulu ekonomi kita stabil, kemiskinan dan penganguran berkurang dan pendidikan dilaksanakan untuk semua rakyat. Di era Saidina Umar menjadi khalifah, pernah suatu ketika terjadi kecurian. Maka dipanggil pencuri tersebut lalu ditanya mengapa dia mencuri. Maka jawab sang pencuri bahawa dia terlalu lapar kerana ketika itu musim kemarau. Melihatkan keadaan itu, Saidina Umar yang bijak lagi adil itu menghentikan hukuman hudud buat seketika.

Tadi kawan kita ada menyebut tentang judi dan arak. Kalau anda semua kenal, bekas Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Amar Diraja Wan Mokhtar bin Ahmad. Beliau pernah menyatakan bahawa pusat judi itu ibarat jamban. Bila ada jamban maka orang tidak akan membuang najis merata2. Makna kata, dengan adanya pusat judi, rakyat tidak akan berjudi sana sini, mereka lebih tertumpu kepada satu tempat sahaja. Hebat bukan pemikiran beliau? Masakan tidak, graduan Al-Azhar Mesir... mestilah hebat orangnya.

Dulu negara kita pernah dihebohkan dengan loteri kebajikan. Bahasa yang lebih mudah ialah berjudi sambil menderma. Caranya mudah sahaja, jika kita menang dapat hadiah, jika kalah pula duit itu akan disumbangkan ke arah kebajikan. Agaknya pemimpin manalah yang mencadangkannya, sehingga tak tercapai dek akal kita. Yang ingin dipersoalkan ialah bolehkah kita menghalalkan perkara yang haram dengan menyelitkan perkara kebaikan? Bukankah Tuhan telah melarang kita mencampur adukkan perkara yang haq dengan yang batil? Bukankah sudah terang lagi bersuluh?

Saya bukan ingin bercakap tentang hal politik. Tapi ia masih berkaitan dengan konteks agama kita yang syumul ini. Ketika pemerintahan PAS di Terengganu yang bermula pada tahun 1999, pihak kerajaan negeri telah membuat survey tentang judi dan arak. Judi dan arak dalam Islam memang semua sudah tahu haram. Tapi dalam agama lain kita tidak tahu. Maka kerajaan telah tanya beberapa tokoh agama selain Islam samada dari kalangan Cina dan India atau Hindu, Kristian dan Buddha. Mereka mengatakan dalam agama mereka tidak dibenarkan berjudi tetapi arak dibenarkan. Maka kerajaan menutup semua pusat judi di Terengganu dan mengecilkan skop atau bilangan kedai arak di negeri itu. Arak pula hanya dibenarkan untuk bukan Islam sahaja. Bukan sahaja muslim yang meminum arak didenda, malah kedai yang menjual arak kepada muslim turut dikenakan kompaun. Selepas itu kita boleh lihat kejayaan PAS mengurangkan kadar jenayah dan mengungguli kedudukan UPSR dan PMR terbaik seluruh Malaysia. Kejayaan anak2 Terengganu ini adalah hasil pemerintahan Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Satu lagi yang ingin saya tambah ialah hudud ini tiada kaitan dengan bukan Islam. Maka kita tidak perlu terangkan kepada non-muslim dan mereka tidak perlu bimbang dengan hudud. Apa yang penting ialah sejauh mana kita menerima hukum ALLAH, sejauh mana keyakinan kita terhadapnya dan sanggupkah kita melaksanakan kewajipan yang telah ditetapkan oleh ALLAH ini. Akhirnya saya menyeru, janganlah kita menjadi seperti segolongan yang mengaku Islam tetapi dalam masa yang sama mereka memusuhi Islam, mereka tidak mahu menerima hukum ALLAH malah megutuknya pula dan mereka menghalang usaha ke arah menegakkan Islam di bumi Malaysia ini. Wallahu A'lam...

belanjawan pakatan rakyat 2012,,belanjawan alternatif untuk rakyat




Kesejahteraan Untuk Semua – Ucapan Ketua Pembangkang Belanjawan PR 2012

Dibentangkan di Dewan Rakyat pada 4 Oktober 2011, Selasa 

MUQADDIMAH

1. Terima kasih dan tahniah kepada pasukan belanjawan Pakatan Rakyat yang berjaya menghasilkan sebuah dokumen yang lengkap dan menyeluruh, walaupun mereka tidak dibantu oleh perunding dan firma media antarabangsa yang mahal.

2. Keupayaan Pakatan Rakyat menghasilkan sebuah belanjawan menyeluruh yang berlandaskan semangat reformasi rakyat adalah satu mercu tanda kematangan dan kesediaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan persekutuan yang baru. Belanjawan yang bertemakan “Kesejahteraan Untuk Semua” ini lengkap mencerakinkan dengan terperinci unjuran pendapatan, perbelanjaan dan peruntukan untuk program-program nasional yang meniupkan roh kebajikan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

3. Belanjawan ini akan menjadi penanda aras dan penimbal balik kepada belajawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober ini. Saya yakin rakyat yang serba matang dan mahir menilai akan membandingkan kedua-dua dokumen dan Insya Allah menguatkan lagi iltizam rakyat menuntut perubahan di negara yang kita cintai.

BAB 1: MAQASSID BELANJAWAN MENGANGKAT KEPERLUAN RAKYAT

4. Proses pembentangan dan meluluskan belanjawan setiap tahun hanya dijadikan rutin oleh Barisan Nasional hingga mengenepikan matlamat sebenar sebuah kerajaan merangka dan membentangkan belanjawan kepada rakyat.

5. Apakah wajar belanjawan hanya dilihat sebagai satu senarai gula-gula yang hendak ditawarkan kepada rakyat beberapa bulan sebelum pilihanraya umum, sedangkan bertahun-tahun sebelum itu rakyat ditindas? Di mana kewarasan sebuah kerajaan apabila fokus setiap belanjawan hanyalah kepada perkara-perkara yang penting kepada golongan kecil niagawan kaya dan kroni-kroni mereka, sedangkan kebajikan rakyat diketepikan?

6. Sebab itu Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mengambil pendekatan yang sangat berbeza. Sementara kita memberi perhatian kepada perkara-perkara makro ekonomi (baik persoalan defisit, pelaburan swasta, angka-angka pertumbuhan, keberdayasaingan ekonomi negara), kita jangan sekali-kali alpa bahawa maqassid perancangan belanjawan adalah untuk mengangkat keperluan rakyat mengatasi yang lain.

7. Makanya, prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:

a. Membantu rakyat dalam masa terdekat untuk mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit;

b. Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan defisit;

c. Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan;

d. Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian yang memartabatkan rakyat; dan

e. Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang menjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

8. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK. Walaupun jumlah ini melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion dari kadar yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20% nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini.

9. Keseluruhan RM220 bilion ini akan digunakan sebaiknya untuk mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara yang kian punah di bawah Barisan Nasional dan membela rakyat dalam suasana yang semakin mendesak.

10. Defisit tahun 2011 yang diunjurkan mencecah 6% dari KDNK membayangkan kegagalan Barisan Nasional menghentikan langkauan defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut akibat ketirisan, rasuah dan penyelewengan. Oleh itu, fokus untuk mengurangkan defisit kepada angka 4.4% telah menjadi satu keperluan mutakhir demi kelangsungan kewangan negara di masa akan datang.

BAB 2: KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA MELALUI PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK

11. Merujuk kepada angka-angka pendapat isi rumah yang terkini, seharusnya kita menginsafi ingatan Allah SWT yang cukup jelas di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: “Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.

12. Realitinya di Malaysia sudah jauh menyimpang dari ketetapan ini. Walaupun ada pihak yang mendakwa satu Malaysia ini serupa, hakikatnya negara kita adalah negara yang majmuk kelas ekonominya.

13. Golongan mahakaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan mahakaya ini seronok melancong dan berbeli belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.

14. Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35% dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.

15. Statistik-statistik rasmi dari Kerajaan sendiri jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.

16. 40% dari rakyat Malaysia datang dari isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. ¾ dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya di dalam negara (termasuklah golongan mahakaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% dari kekayaan negara.

17. Semua ini melambangkan kegagalan sebuah pentadbiran yang memusatkan kekayaan kepada segelintir kecil kroni dan kaum kerabat mereka, bertentangan dengan peringatan Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr tadi.

18. Kegilaan itu semakin menjadi-jadi. Terkini kita disajikan dengan berita-berita pengambilan aset-aset syarikat awam oleh entiti yang dikawal oleh beberapa kerat mahakaya dan kaum kerabat mereka, seolah-olah kekayaan sedia ada masih belum mencukupi. Jangan kita lupa bahawa senarai orang-orang terkaya di Malaysia dihiasi dengan kaum-kerabat pemerintah, baik anak-anak mantan mahupun adik kepada Perdana Menteri sedia ada.

19. Kalau anak mantan Perdana Menteri memiliki syarikat perkhidmatan petroleum yang kelima terbesar di dunia selepas penggabungan Kenchana Petroleum dan SapuraCrest yang melibatkan RM12 billion , apakah tiada anak Malaysia yang cemerlang di dalam bidang-bidang ini selain dari anak mantan Perdana Menteri?

20. Tidak cukup seorang anak mantan Perdana Menteri itu menguasai industri huluan petroleum, anaknya yang seorang lagi pula mahu menguasai industri hilirian petroleum melalui konglomerat San Miguel yang membina kekayaan hasil dari perniagaan arak .

21. Kebejatan ekonomi sebeginilah yang menyebabkan RM52 bilion saham yang diberikan kepada golongan-golongan atasan Melayu akhirnya hilang begitu sahaja. Sedang mereka bergembira dengan kekayaan mereka, rakyat di bawah merempat mencari sesuap rezeki.

22. Tatkala kadar inflasi terus kekal pada kadar sekitar 3% seperti sekarang, rakyat akan terus terbeban dengan harga barang yang menjadi jenama paling unggul Barisan Nasional.

23. Angka-angka ekonomi negara semuanya rendah-rendah belaka, kecualilah angka-angka kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 2011 menunjukkan bahawa harga gula telah melonjak sebanyak 66%, diikuti dengan harga 1 kilogram ayam bersih yang melonjak 37%, seterusnya harga susu bayi 1.8 kilogram mencecah kenaikan 26%, teh tarik mengalami kenaikan harga 25% dan sebungkus roti putih naik harganya sebanyak 20%.

24. Unjuran angka inflasi membayangkan sekiranya keadaan ini berterusan sehingga tahun 2015 akibat kegagalan Barisan Nasional mengawal harga barang, rakyat Malaysia akan menanggung kos barangan harian yang telah melonjak naik 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6% .

25. Makanya, tema “Kesejahteraan Untuk Semua” adalah sangat bertepatan kerana Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat:

a. Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.

b.Tumpuan khusus akan diberikan untuk menambahbaik sistem penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu. Ini termasuklah penghapusan subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh BERNAS, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain.

c. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan pendapatan kurang dari RM18,000 setahun. Ia dijangka akan menelan belanja RM1.7 bilion setahun tetapi difikirkan perlu untuk membantu golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis akibat kenaikan harga barang.

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion.

e. Bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550. Ini difikirkan wajar sebagai langkah segera membantu golongan terbawah di dalam ekonomi negara.

f. Pada masa yang sama, mengambil kira faktor semasa dan kenaikan harga mutakhir, bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan.

BAB 3: MENGEMBALIKAN MARTABAT RAKYAT

26. Pemerintah sedia ada sering berkelakuan angkuh apabila berhadapan dengan kesusahan rakyat. Apabila harga minyak naik mendadak, Perdana Menteri meminta rakyat mengubah gaya hidup sedangkan beliau dan keluarga menghabiskan lebih banyak masa di luar negara atas pelbagai urusan .

27. Barisan Nasional juga menyalahkan segala-galanya kepada rakyat. Hutang negara yang mencecah kadar tertinggi dalam sejarah pun dek kerana rakyat, ekonomi yang tidak dapat dipulihkan pun kerana rakyat yang kononnya mahu bertongkat. Malah, pengangguran anak-anak kita sekali pun ditohmahkan kepada sikap anak-anak muda yang kononnya terlalu memilih, sedangkan ramai pula yang tidak malu melakukan kerja-kerja bawahan walaupun berijazah.

28. Hubungan rakyat dengan pemerintah sedia ada umpama khadam dengan tuan. Kalau tidak kerana puluhan ribu rakyat turun membanjiri Kuala Lumpur bersama-sama BERSIH2.0, warna kuning sekali pun hendak diharamkan; apatah lagi menerima dengan terbuka tuntutan agar reformasi pilihanraya dijalankan.

29. Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup umpama melukut di tepi gantang. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34% daripada tenaga kerja masih dibayar di bawah kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan.

30. Persoalan gaji juga menjadi isu yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada. Gaji yang bermaruah dan bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh rakyat. Ia adalah satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia; bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan.

31. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. Kuasa untuk menentukan gaji minima terus dipusatkan di tangan Menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan Barisan Nasional melaksanakan gaji minima.

32. Tabiat merendah-rendahkan martabat rakyat ini semakin berleluasa sehingga mengenepikan kakitangan perkhidmatan awam. Umum mengetahui bahawa pentadbiran Perdana Menteri lebih gemar menggunakan khidmat perunding luar atau mereka yang dibawa masuk dan dibayar gaji besar daripada tenaga pakar sedia ada di dalam perkhidmatan awam. Kerajaan mengeluh apabila berhadapan dengan masalah gaji perkhidmatan awam, tetapi kontrak ratusan juta kepada perunding asing diluluskan dengan sewenang-wenangnya.

33. Beberapa dasar pemerintah sekarang juga tidak membantu memperkasakan rakyat meningkatkan keupayaan ekonomi mereka. Kegagalan membina sistem latihan teknikal dan vokasional yang baik dan ketiadaan universiti-universiti berorientasikan teknikal yang menekankan kepada skim perintis dengan industri menyebabkan wujudnya jurang di antara kehendak industri dan kemahiran tenaga kerja.

34. Mengambil kira perkara-perkara ini, untuk mengembalikan martabat rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti yang diamalkan pemerintah sedia ada, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memperuntukkan perkara-perkara berikut:

a. Gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Pakatan Rakyat akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada. Gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan;

b. Pengenalan gaji minima dijangka akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100;

c. Tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing;

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga;

e. Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minima dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9 bilion;

f. Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan;

g. Peruntukan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal;

h. Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri;

i. Pelaksanaan skim “Bina dan Jual” secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai; dan

j.Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai; bermula dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi.

BAB 4: MENJAMIN KELANGSUNGAN KEWANGAN NEGARA

35. Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah mencecah RM437 bilion. Jika unjuran KDNK bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5%, maka kadar keberhutangan negara telah mencecah 53% dari KDNK negara. Pada tahun 2007, kadar ini hanyalah 42% dari KDNK negara.

36. Kadar keberhutangan rakyat Malaysia juga merunsingkan. Jumlah hutang oleh isi rumah Malaysia telah mencecah RM577 bilion pada akhir 2010, iaitu 77% dari KDNK sedangkan pada tahun 1997, ia hanyalah 33% dari KDNK. Maknanya, di bawah pentadbiran Menteri-menteri Kewangan yang kebetulannya semuanya Perdana Menteri sejak tahun 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih sehingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun sahaja.

37. Keadaan diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang memegang tampuk perbendaharaan negara. Defisit negara diunjurkan mencecah 6% bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2% seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.

38. Malaysia tidak memerlukan perunding ekonomi antarabangsa yang mahal-mahal untuk memahami ancaman defisit dan hutang kepada kelangsungan kewangan dan kestabilan negara.

39. Rentetan krisis kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat secara jelas mengajar kita bahawa negara-negara yang tata kelolanya lemah, berbelanja berlebihan melalui hutang dan disalahtadbir ekonominya adalah negara-negara yang paling terkesan apabila berlaku kejutan ekonomi dunia.

40. Malangnya, apabila ini berlaku, rakyatlah yang menjadi mangsa dan terpaksa menanggung beban pelbagai tindakan susulan yang diambil.

41. Oleh yang demikian, tumpuan untuk mengekang defisit sewajarnya menjadi tumpuan utama agar kita berjaya menghentikan kitaran memusnahkan akibat tabiat berhutang yang diamalkan Barisan Nasional selama ini.

42. Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan defisit bukanlah persoalan melebarkan jaringan percukaian agar lebih ramai rakyat membayar cukai. Usaha mengekang defisit perlu ditumpukan kepada usaha mengawal perbelanjaan dan mewujudkan tata kelola kewangan terlebih dahulu; berbanding sikap Barisan Nasional yang cepat melatah untuk mengenakan cukai baru seperti Cukai Barangan dan Jualan (GST).

43. Mengambil kira keperluan untuk memulihkan asas kewangan negara dan menjamin kelangsungan kewangan negara, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut:

a. Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan dan mengurangkan kecenderongan berbelanja berlebihan oleh Perdana Menteri;

b. Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4% bagi tahun 2012, berbanding sasaran-sasaran yang menyimpang sebelum ini;

c. Dividen dari PETRONAS diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja, iaitu RM4 bilion lebih rendah dari amalan semasa Barisan Nasional walaupun keuntungan PETRONAS dijangka melonjak naik dalam tahun 2012 akibat harga minyak mentah yang tinggi. Ini bertujuan memastikan PETRONAS mempunyai sumber yang mencukupi untuk berkembang dan menjamin masa depan negara;

d. Penjualan lesen import (AP) akan dibuat melalui proses lelongan yang dijangka akan menambah pendapatan negara sebanyak RM1.2 bilion;

e. Pendekatan perolehan kerajaan akan dipinda untuk mengamalkan tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputra dan golongan-golongan yang memerlukan diperkenalkan bagi melatih usahawan-usahawan baru berteraskan kebolehan dan merit;

f. Menyemak kembali kontrak-kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara;

g. Tumpuan kepada memaksimakan pendapatan negara dengan mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara; dan

h. Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain atas pertimbangan kategori barangan ini hanya digunakan oleh golongan mewah. Maka sewajarnya cukai yang berpatutan disumbangkan untuk memperkemaskan kewangan negara.

BAB 5: MEMBINA KEANJALAN DAN DAYA SAING EKONOMI

44. Ekonomi negara perlu beralih kepada sektor bernilai tinggi untuk menambah pendapatan rakyat dan negara. Model ekonomi kos rendah yang banyak menggunapakai tenaga asing yang murah sebenarnya merompak rakyat Malaysia dari segi peluang ekonomi. Saban tahun, pekerja-pekerja asing juga menghantar puluhan bilion wang ringgit keluar dari Malaysia.

45. Niagawan-niagawan yang terlalu mempertahankan model ekonomi seperti ini sebenarnya mengambil subsidi dari rakyat Malaysia kerana keuntungan mereka adalah hasil dari menidakkan rakyat Malaysia dari peluang pekerjaan pada gaji yang munasabah.

46. Daya saing ekonomi negara juga memerlukan penglibatan lebih tinggi golongan wanita untuk merealisasikan potensi ekonomi mereka. Pakatan Rakyat mensasarkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja mencecah 55% menjelang 2015, berbanding kadar 43% sekarang.

47. Kita juga perlu merubah struktur ekonomi yang mempertahankan dan mengkayakan beberapa kerat mahakaya melalui konsesi-konsesi yang meningkatkan kos operasi dan perniagaan. Pertembungan di antara sektor swasta dan syarikat milik kerajaan juga perlu dikurangkan untuk mengembalikan kerancakan pelaburan swasta dalam ekonomi negara.

48. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mencadangkan perkara-perkara berikut:

a. Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi-konsesi yang tidak adil untuk menghentikan herotan kos operasi dan perniagaan yang ditanggung oleh rakyat dan niagawan;

b. Meminda Akta Persaingan 2011 supaya turut meliputi sektor-sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli lain untuk memecahkan monopoli;

c. Sasaran pengurangan pekerja asing yang jelas menjelang 2015 mengikut sektor ekoran pengenalan gaji minima; dan

d. Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di dalam tenaga kerja; dipadankan dengan pelaburan kerajaan untuk membina pusat penjagaan kanak-kanak yang menepati piawaian.

BAB 6: KESEJAHTERAAN SEKATA DAN SEADILNYA

49. Pemusatan sumber dan kawalan kewangan yang keterlaluan kepada Kerajaan Pusat menindas kerajaan-kerajaan negeri sehingga mewujudkan jurang ekonomi yang luas di antara wilayah-wilayah, terutamanya di antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Pantai Barat.

50. Oleh yang demikian, tumpuan yang jelas perlu diberikan untuk mempercepatkan pembangunan di wilayah-wilayah ini terutamanya pembinaan infrastruktur termasuklah jaringan lebuhraya-lebuhraya yang menghubungi seluruh Sabah dan Sarawak.

51. Konsep perkongsian sumber dan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri-negeri juga perlu dikaji semula untuk memastikan kebertanggungjawaban dan kepakaran pentadbiran dipadankan dengan sumber kewangan yang bertepatan.

52. Mengambil kira perkara-perkara ini, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memutuskan perkara-perkara berikut:

a. Pindaan kepada Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap seperti sekarang kepada prinsip formula berdasarkan faktor-faktor seperti sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri;

b. Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar; dan

c. Peruntukan khas sebanyak RM100 juta untuk program-program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.

BAB 7: MENGUKUHKAN ARUS REFORMASI RAKYAT

53. Semua perancangan ekonomi yang dibuat hanyalah kekal menjadi diskusi akademik kecuali disertakan dengan iltizam untuk melaksanakan reformasi politik dan pentadbiran.

54. Suasana yang kondusif akan diwujudkan yang secara langsung membolehkan perubahan-perubahan ekonomi berlaku bila mana sistem pentadbiran dan dokongan adalah telus, amanah, bertanggungjawab dan berasaskan kerangka tata kelola yang baik.

55. Akhirnya, perbezaan ketara di antara Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat yang mengangkat Kesejahteraan Untuk Semua, dengan belanjawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri adalah dari segi siapa yang boleh melaksanakan reformasi-reformasi ekonomi ini dengan berkesan.

56. Sebab itu kita tidak boleh lari dari pengajaran Kitab al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, yang antara lain menggambarkan kemusnahan apabila pimpinan kerajaan bergelumang dengan “salah laku, buruk akhlak, ketidakikhlasan dan tipu daya untuk mengaut kekayaan. Hati mereka memikirkan dan mencari jalan untuk menggunakan semua helah bagi tujuan itu. Akibatnya rakyat pun turut terheret dengan penipuan, perjudian, kecurian dan riba”.

57. Rakyat berhak mempersoalkan keikhlasan dan komitmen Barisan Nasional untuk menjalankan reformasi – baik reformasi politik, ekonomi atau sosial kerana rekod caca merba dan tipu daya mereka yang bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan mereka bahawa rakyat mudah lupa. Sebab itu Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi kemudiannya menyebut pula akta gantian – maknanya perkara yang sama, Cuma sanggul dan cincin yang berbeza sebagai hiasan.

58. Dalam kehangatan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13, rakyat juga tidak boleh alpa dengan pelbagai laporan dan bukti yang mempersoalkan ketulusan dan integriti daftar pemilih. Kalau selama ini kita percaya pelbagai helah digunakan untuk membenarkan pengundi hantu merosakkan amalan demokrasi di negara ini, pengesahan terbaru mengenai pemberian hak mengundi kepada warga negara Bangladesh mengukuhkan lagi persepsi rakyat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya adalah tidak telus.

59. Oleh yang demikian, seluruh rancangan ekonomi perlu dijalankan seiringan dengan proses reformasi politik dan pentadbiran. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut untuk mengukuhkan lagi arus reformasi rakyat:

a. Melaksanakan sepenuhnya janji-janji di dalam Buku Jingga termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, akta-akta bersabit media dan percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti;

b. Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 untuk memansuhkan semua peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik;

c. Melaksanakan serta-merta semua tuntutan BERSIH2.0;

d. Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya bertanggungjawa terus kepada Parlimen;

e. Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara yang dibentangkan ke Parlimen bersama-sama dengan laporan Ketua Audit Negara; dan

f. Pembentukan tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahaskan belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.

PENUTUP

60. Malaysia adalah sebuah negara yang dirahmati dan diberkati. Rakyatnya telah membuktikan bahawa semua cabaran yang getir boleh diatasi bersama melalui muafakat, persefahaman dan hormat-menghormati.

61. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat melihat rakyat sebagai aset pertama negara dan sewajarnya diangkat martabat rakyat untuk sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan semua. Rakyat adalah tuan punya negara ini, rakyat bukannya khadam atau pekerja yang membanting tulang menagih ehsan pemerintah atau golongan mahakaya.

62. Belanjawan 2012 ini juga memberi gambaran sebuah negara yang berbeza di bawah Pakatan Rakyat. Berbeza ekonominya, rancak proses demokrasinya dan telus pentadbirannya.

63. Saya memohon doa supaya Belanjawan 2012 ini memberi peluang untuk semua pihak memainkan peranan bersama-ama membawa Malaysia ke tempat yang lebih sejahtera, lebih aman dan lebih adil.

64. Sekian, terima kasih.
PR akan terus memberi khidmat terbaik pada rakyat

tanggong jawab setiap muslim perlu kepada kerja kerja dakwah dan tarbiah




السَّلاَمُ عَلَيْكُم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a : “Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.”
(Hadis Riwayat Bukahri)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa apabila seseorang yang bukan Islam telah memeluk agama Islam dengan ikhlas maka dosa-dosanya yang lalu akan diampunkan oleh Allah SWT. Malahan pahala atau kebaikan yang pernah dilakukan dahulu akan dikira sebagai amal kebaikan dan diberikan-Nya pahala. Kemudian selepas dia masuk Islam maka pahalanya akan dilipat gandakan daripada sepuluh hingga ke tujuh ratus. Begitulah sifat Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang kepada para hamba-Nya yang telah kembali beriman dan mengucapkan dua kalimah syahadah. Dirinya telah bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

Bagaimana pula balasan pahala di sisi Allah SWT terhadap  muslim yang mengajak orang bukan Islam untuk memasuki Islam? 

Di sisi Allah SWT pahala yang akan diterima cukup besar . Oleh kerana di atas usaha-usahanya hingga menyebabkan seseorang masuk Islam (dengan izin Allah) maka segala kebaikan orang yang baru masuk Islam itu hinggakan keturunannya yang akan datang hingga ke hari kiamat akan diperolehi oleh orang yang berusaha tadi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sungguh jika Allah memberi petunjuk kepada seseorang melalui kalian (dakwah kalian) maka itu lebih baik bagimu daripada kalian memiliki unta merah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Persoalan unta merah di dalam hadis ini yang menggambarkan sesuatu perkara yang sangat-sangat mahal dan sukar dimiliki seseorang. Begitulah gambaran pahala besar yang akan dikurniakan oleh Allah SWT kerana usaha dan dakwah mengIslamkan orang yang bukan Islam. Ganjaran besar ini amat mudah bagi Allah SWT untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Sahabat yang dimuliakan,
Menyampaikan seruan kepada perkara yang makruf dan menjauhi perkara mungkar itulah yang dinamakan dakwah kepada Allah. Dengan adanya umat Islam yang berdakwah, agama akan terus hidup dan berkembang di atas muka bumi Allah ini. Berdakwah perlu jalan serentak iaitu kepada orang Islam yang lemah imannya dan kepada orang bukan Islam.

Perlu ditegaskan, kewajipan berdakwah terpikul pada bahu setiap muslim dari pelbagai lapisan dan kedudukan berdasarkan kemampuan masing-masing dalam menegakkan kebenaran serta menghapuskan kebatilan.

Dalam konteks dakwah, Allah SWT menggariskan etika berdakwah yang baik iaitu bersikap lemah lembut dalam tindak tanduk kerana orang bukan Islam tidak tertarik dan juga tidak dapat melihat keindahan Islam jika yang digambarkan adalah kekasaran.

Bersifat lemah lembut bukan bererti tidak tegas atau menyerah kalah menurut kehendak orang bukan Islam. Bukankah Rasulullah SAW pada era permulaan dakwah Islam pernah diberikan tawaran harta benda, pangkat kedudukan dan wanita oleh musyrikin Makkah supaya meninggalkan dakwahnya?.

Namun, Rasulullah SAW tetap istiqamah dan tegas dengan dakwahnya menyeru kepada keadilan dan keindahan Islam. Oleh itu, setiap muslim perlu insaf, menyedari peranan dan tanggung jawab masing-masing memikul amanah dakwah Islam.

Kenapa kerja-kerja dakwah dan tarbiah ini satu kewajipan dan perlu dijalankan?

Pertama : Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat” (Hadis Riwayat Bukhari).

Kebenaran Islam ini wajib disampaikan oleh setiap muslim kepada sesama muslim atau kepada orang bukan muslim.

Kedua : Allah SWT memerentahkan orang beriman supaya mengadakan jemaah yang akan memikul dan melaksanakan tugas-tugas dakwah. Seperti firman Allah SWT maksudnya : "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung."(Surah Ali Imran ayat 104) 

Tafsirannya : 

"Untuk mencapai maksud ayat diatas perlu adanya segolongan umat Islam yang bergerak dalam bidang dakwah yang selalu memberi peringatan, bilamana nampak gejala-gejala perpecahan dan penyelewengan. Kerana itu pada ayat ini diperintahkan agar supaya di antara umat Islam ada segolongan umat yang terlatih di bidang dakwah yang dengan tegas menyerukan kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf (baik) dan mencegah dari yang mungkar (keji).

Menganjurkan berbuat kebaikan saja tidaklah cukup tetapi harus di cegah dengan menghilangkan sifat-sifat yang buruk. Siapa saja yang ingin mencapai kemenangan. maka ia terlebih dahulu harus mengetahui persyaratan dan taktik perjuangan untuk mencapainya, iaitu:

'Kemenangan tidak akan tercapai melainkan dengan kekuatan, dan kekuatan tidak akan terwujud melainkan dengan jemaah Islam. Jemaah yang kokoh dan kuat tidak akan tercapai kecuali dengan sifat-sifat keutamaan. Tidak terpelihara keutamaan itu melainkan dengan terpeliharanya agama dan akhirnya tidak mungkin agama terpelihara melainkan dengan adanya dakwah. Maka kewajiban pertama umat Islam itu ialah menggiatkan dakwah agar agama dapat berkembang baik dan sempurna sehingga ramai pemeluk-pemeluknya.
Dengan dorongan agama akan tercapailah bermacam-macam kebaikan sehingga terwujud jemaah yang kokoh dan kuat. Dari jemaah yang kokoh tersebut akan timbullah kemampuan yang besar untuk mencapai kemenangan dalam setiap perjuangan. Mereka yang memenuhi syarat-syarat perjuangan itulah orang-orang yang berjaya dan beruntung."

Sahabat yang dikasihi, 
Marilah sama-sama kita bekerja di jalan Allah SWT melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Memperbaiki diri kita dan keluarga seterusnya mengajak jiran-tetangga, sahabat handai, saudara-mara dan masyarakat kita semuanya kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Pahala dan ganjaran yang akan kita terima dihari akhirat nanti apabila  melaksanakan tugas yang mulia ini cukup besar iaitu balasan syurga seluas langit dan bumi dan disediakan oleh Allah SWT untuk orang-orang bertakwa.