Friday, January 13

TINDAKAN DISIPLIN SATU TARBIYAH - Ustaz Idris Ahmad


 
Print
Apabila kita mengisi borang sebagai ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kita telah berjanji untuk mematuhi perintah dan arahan parti selagi ia tidak bertentangan dengan Islam. Janji ini merupakan lumrah kepada mana-mana organisasi. Begitu juga apabila kita bekerja di sektor swasta atau awam tetap mempunyai disiplin dan peraturan yang perlu dipatuhi jika mahu berkerja di tempat ini. Perkara yang sama kita sebagai seorang muslim sudah pun digariskan oleh Nabi SAW sebagai panduan disiplin dengan agama kita yang tidak boleh  dirungkai daripada diri kita. Tidak ada makhluk yang bernama manusia hidup tanpa peraturan dan disiplin. Sekiranya manusia hidup tanpa  disiplin, maka dunia akan haru hara. Lebih-lebih lagi sebagai sebuah parti yang hendak mendaulatkan Islam dan mempunyai cabaran yang begitu besar perlu mempunyai disiplin yang ketat supaya tidak ada gangguan untuk mencapai matlamatnya.

Banyak kisah-kisah yang dipaparkan di dalam sirah Nabi S.A.W yang boleh menjadi teladan kepada kita. Oleh itu tindakan disiplin adalah sebahagian daripada tarbiah di dalam jamaah. Contoh yang berlaku tindakan disiplin kepada tiga orang Sahabat Nabi S.A.W yang tidak menyertai perang Tabuk. Mereka ialah Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi’ah Al Amiri dan Hilal bin Umayah Al Waqifi. Mereka ini adalah antara lapan puluh orang yang tidak pergi berperang di Tabuk. Rasulullah tidak menerima keuzuran mereka bertiga, manakala yang lain Baginda menerima dari  alasan mereka.

Menurut Kaab bin Malik beliau tidak pernah ponteng di dalam setiap kali berperang, tetapi di dalam perang Tabuk beliau merasa malas hendak menyertai, walaupun beliau mempunyai kelengkapan yang cukup melebihi daripada keterlibatan beliau berperang di medan yang lain. Oleh kerana godaan nafsu dunia maka beliau tidak berangkat bersama dengan Nabi S.A.W. Beliau menyangka Baginda tidak tahu, sangkaan beliau meleset kerana Baginda terus bertanya beliau ketika di Tabuk.

Apabila Baginda pulang daripada Tabuk, maka Kaab pergi berjumpa dengan Rasulullah S.A.W di masjid untuk meminta maaf, maka Baginda suruh beliau balik sehingga mendapat pengampunan daripada Allah Taala. Baginda mengarahkan jangan berurusan dengan mereka bertiga, ertinya mereka dipulau oleh orang Islam di Madinah. Baginda sendiri tidak melayan dan menegur Kaab. Dua orang sahabat yang lain hanya tinggal di dalam rumah dan menangis serta memohon keampunan daripada Allah Taala.

Pada suatu hari ada utusan Raja Ghassan daripada Syam datang membawa surat daripada untuk memujuk Kaab bin Malik ke Syam kerana Sahabat dan saudara mereka tidak perlukan beliau lagi. Maka Kaab mengambil surat itu lalu dibakar kerana ini adalah ajakan syaitan dan iblis supaya beliau meninggalkan Islam. Masuk hari yang ke empat puluh maka datang satu utusan menyuruh mereka menjauhkan isteri mereka. Maka Kaab menyuruh isterinya pulang ke pangkuan keluarga sehinggalah datang pengampunan daripada Allah Taala. Oleh kerana Hilal bin Umaiyah sangat tua dan lemah maka isterinya datang bertemu Rasulullah S.A.W lalu ia bertanya, "Ya Rasulullah, sebenarnya Hilal bin Umaiyah seorang yang sangat tua, lagi pula ia tidak memiliki seorang pembantu. Adakah boleh aku melayaninya di rumah?"

Rasulullah S.A.W menjawab, "Tidak! Dia tidak boleh mendekatimu!"

Isteri Hilal menjelaskan, "Ya Rasulullah! Ia sudah tidak bersemangat pada yang itu lagi. Demi Allah, yang dilakukannya hanya menangisi dosanya sejak saat itu hingga kini!". Maka Rasulullah tetap tidak benarkan.

Selama lima puluh hari lima puluh malam pemulauan berlaku terhadap mereka bertiga, selepas waktu subuh datang utusan daripada Baginda S.A.W memberi tahu bahawa Allah Taala telah mengampunkan mereka bertiga. Mendengar berita itu Kaab terus  sujud syukur kepada Allah.

Ketika aku mengucapkan salam kepada Rasulullah, mukanya nampak cerah dan gembira, katanya "Bergembiralah kamu pada hari ini! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kamu dilahirkan oleh ibumu!"

"Apakah dari Allah ataukah dari engkau ya Rasulullah?", tanyaku sabar.

"Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari Allah!", jawab Rasul S.A.W.

"Demi Allah, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat Allah kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada Rasulullah S.A.W", Kaab lalu membaca ayat pengampunannya itu dengan penuh haru dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.

"Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari (seksa) Allah melainkan kepadaNya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang" - Surah At Taubah:118

Banyak lagi kisah tindakan disiplin yang dikenakan kepada Para Sahabat antaranya ialah kepada Hatib Abi Balta’ah yang membocor rahsia mengenai persiapan Baginda untuk menyerang Makkah kepada kaum keluarganya di Makkah. Beliau selamat daripada hukuman kerana Hatib ialah ahli Badar. Begitu juga dengan Abu Lubabah ibn Munzir yang diamanahkan oleh Rasulullah S.A.W untuk berunding dengan Bani Quraizah yang sudah dikepung selama dua puluh lima hari. Apabila Abu Lubabah sampai mereka meminta pandangan apakah kamu berpendapat lebih baik kami mengikut hukum Muhammad? Abu Lubabah mengatakan, "Ya".
Kemudian dia mengisyaratkan tangan dan tengkuknya, yakni menunjukkan mereka akan disembelih. Apabila beliau menyedari beliau telah mengkhianat amanah Rasulullah maka beliau mengikat badan beliu di masijid selama enam hari sehinggalah datang pengampunan daripada Allah Taala.

"Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka yang bercampur baur pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" - Surah At Taubah:102

Pernah berlaku kepada seorang aktivis PAS di Pasir Salak Perak yang telah diambil tindakan oleh jawatankuasa disiplin parti kerana masalah dalaman parti, namun beliau tidak pernah jemu-jemu membantu PAS dan menghadiri program PAS walaupun beliau bukan ahli PAS. Paling menarik rumah beliau telah diadakan ceramah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang memecat beliau pada ketika itu. Selepas beberapa beliau ditemui meninggal dengan penuh misteri di dalam parit di tanah rancangan Felcra Seberang Perak.

Rumusan Dari Kisah Ini
  1. Tindakan disiplin adalah merupakan sebahagian daripada tarbiah.
  2. Mereka yang berjiwa besar akan menganggap ini adalah satu penghormatan dan peluang untuk mereka muhasabah diri.
  3. Mereka yang dikenakan tindakn disiplin diuji dengan secara praktikal, bukan sahaja teori. Kerana tarbiah ialah amali bukan teori semata-mata.Salah satu cara Allah hendak mengangkat darjat seorang itu di dalam berjamaah.
  4. Menguji keikhlasan seorang itu sama ada mereka berjuang kerana Allah, bukan kerana jawatan.Tidak rugi apabila kita merendah diri dan rela menerima tindakan dengan hati yang lapang.
  5. Allah akan menguji kepada kita sama ada kita akan mengkhianat jamaah atau tidak apabila kita diambil tindakan. Jika Kaab bin Malik dipujuk oleh Raja Ghassan yang kafir, maka kita juga akan dipujuk oleh musuh-musuh PAS yang sentiasa mencari peluang.
  6. Contohilah seorang ahli biasa PAS di Pasir Salak walaupun diambil tindakan mereka terus memberikan khidmat kepada PAS.
  7. Allah hendak melihat kita bercakap serupa dengan apa yang kita sering ungkap kisah Khalid ibn Walid yang dipecat di zaman Saidina Umar. Beliau terus berjuang walaupun menjadi pengikut biasa.

KETIKA KOMANDER KHALID DIPECAT AMIRUL MUKMININ


Marilah kita menelaah semula peristiwa pemecatan Khalid ibnu Al Walid R.A dari jabatannya sebagai panglima tertinggi angkatan tentera Islam yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al Khattab R.A. Pemecatan tersebut adalah satu peristiwa sejarah yang sangat mengkagumkan, peristiwa yang menayangkan keunggulan peribadi pejuang fi sabili' Llah. Dalam perhitungan rakyat jelata, tentu sahaja pemecatan tersebut merupakan tindakan yang tidak bijaksana.

Bagi mereka yang tidak berada di lapangan pentadbiran, mereka melihat Khalid dengan sifat kepahlawanannya yang luar biasa itu merupakan orang yang paling tepat untuk jabatan panglima agung dan tidak ada sebab yang jelas mengapa ia harus dipecat. Tetapi Umar dengan ketajaman pandangannya dapat melihat apa yang orang lain tidak mampu melihatnya. Lalu beliau mengambil tindakan pemecatan tersebut dengan bertawakkal kepada Allah dan menuluskan niat untuk mencari keredhaanNya semata.

Siapa yang tidak kenal Sahabat Rasulullah S.A.W, Saidina Umar al Khattab R.A yang memikul amanah sebagai seorang khalifah selepas Saidina Abu Bakar as Siddiq R.A? Dan siapa pula yang tidak mengenal pakar strategis di medan perang, Khalid bin Al Walid? Kedua-duanya adalah tokoh pejuang di belakanag Baginda Nabi S.A.W.

Apabila arahan pemecatan dikeluarkan oleh Khalifah Umar Al Khattab, Khalid R.A yang digelar pedang Allah menerima berita pemecatan tersebut dengan hati yang lapang. Dengan penuh rela diserahkan jabatannya kepada pengganti yang baru ditauliahkan oleh Umar iaitu Abu Ubaidah ibnu Al Jarrah. Khalid R.A sendiri barangkali tidak tahu dengan pasti mengapa pemecatan ini dilakukan, tetapi yang jelas ialah Khalid tidak meragui keikhlasan Umar Al Khattab dan menghormati kewibawaan pimpinannya.
Khalid meyakini bahawa pemecatan tersebut adalah untuk kebaikan seluruh umat, bukan kerana motif jahat, bukan motif menjatuhkan Islam, bukan motif kroni dan sebagainya, tetapi adalah bermotifkan keyakinan kepada perjuangan Nabi S.A.W. Kerana itu, Khalid dengan spontan patuh kepada perintah Umar dan tidak terlintas langsung sebarang tindakan penentangan, cakap-cakap mulut yang berterusan dan kerana itu ia tidak menghebohkan kepada orang ramai, khuatir ia akan menimbulkan reaksi yang kurang menyenangkan.

Nabi S.A.W pernah bersabda memuji Abu Ubaidah bin Al Jarrah, "Setiap umat memiliki orang kepercayaan. Dan orang kepercayaan umat ini ialah Abu Ubaidah bin Al Jarrah". Namun, pujian melangit Baginda S.A.W kepada Abdullah bi Al Jarrah tidak membuatkan Khalid berkecil hati. Jika kita merenung akal manusia yang cetek ini pasti terdetik dalam fikiran kita, "Apa lebihnya Abdullah bin Jarrah? Apa kurangnya Khalid bin Al Walid?". Namun, bukan soal kehebatan personal kedua-dua tokoh ini, tetapi sebaliknya adalah soal disiplin dan akhlak yang disemat sebaik-baiknya oleh kedua-dua tokoh para pejuang agama Allah ini.

Setelah diserahkan jabatannya kepada Abu Ubaidah, Khalid terus berkhidmat dengan setia di bawah pimpinan yang baru dan semangat perjuangannya itu kekal utuh sama seperti beliau menjadi pemimpin tentera. Komen spontan yang terbit dari tindakan Khalid menampakkan ketulusan hatinya, "Aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar". Inilah jiwa besar Khalid, bukannya menentang pimpinan setelah beliau dipecat, bukannya terbit perasaan tidak puas hati, bukannya membantah keputusan Umar.

Di pihak Abu Ubaidah pula, tidak pula beliau menampakkan kerakusannya terhadap jawatan, beliau akur agar perlantikannya dirahsiakan buat beberapa ketika. Sementara itu, pihak tentera dan umat Islam pula telah menerima perubahan tersebut dengan tenang, tidak ada yang membantah, yakin bahawa tindakan Umar adalah tindakan yang didasari tawakkal dan petunjuk Allah. Bukannya tindakan semberono, tindakan pengekor hawa nafsu dan peribadi, tindakan tanpa syura.

Seluruh tentera Islam merelakan pemecatan Khalid, sebagaimana Khalid merelakan dirinya dipecat dan mereka juga menerima perlantikan Abu Ubaidah sebagai Khalid menerimanya dengan ikhlas. Kewibawaan dan reputasi Abu Ubaidah tidak pernah dipertikaikan dan Khalid melihatnya sebagai alternatif yang berhak menggantikannya.

Demikianlah peristiwa besar, jiwa tarbiyah Khalid yang terus abadi dalam rakaman sejarah, menjadi lambang keunggulan umat yang ikhlas mengabdi dan berbakti hanya kepada Allah, hormat kepada pimpinan dan setia kepada pimpinan perjuangannya. Sesungguhnya bertuahlah umat yang sedia belajar dari sejarah ini, baik yang berkedudukan sebagai Umar, Khalid dan Abu Ubaidah radhiAllahu anhum ajma'ien. Betapa tingginya taqwa Para Sahabat, inilah hati-hati yang berada dalam satu saff yang dipuji oleh Allah Taala di dalam Al Quran :
"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh" - Surah As Saff:4, Al Quranul Karim

Cuba pula kita membandingkan kehidupan para pemimpin di sekeliling kita hari ini. Bagaimana mereka jika berada di bawah pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab R.A? Bagaimana jika mereka dipecat seperti Khalid bin Al Al Walid R.A? Dan Bagaimana pula jika mereka mengundang jawatan seperti Abu Ubaidah bin Al Jarrah R.A?

MERENUNG PERIBADI KHALID AL WALID YANG BELAJAR DARI KESALAHAN


Print
Yalamlam merupakan salah sebuah kawasan berbukit di sebelah utara Makkah, kira-kira 2 marhalah (92 km) sebelum sampai ke Tanah Haram. Ia merupakan tempat bagi masyarakat Islam di sekitar Yaman ber-miqat. Sekitar perjalanan antara Makkah ke Yalamlam, ada satu kawasan yang namanya Ghuraisa, iaitu sekitar jarak 15 km sebelum sampai ke Yalamlam. Di sinilah berlaku peristiwa sariyyah (peperangan yang tidak disertai Nabi) yang diingati sebagai hari Ghuraisa, peristiwa yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 Hijriah, peristiwa yang mengimbas kembali kesalahan serius yang dilakukan oleh Khalid bersama 350 tentera berkuda yang terdiri di kalangan Muhajirin dan Ansar serta Bani Sulaim.
Ketika itu Khalid baharu selesai membinasakan berhala Uzza setelah diperintah Rasulullah S.A.W, dan kini beliau mendapat arahan daripada Rasulullah lagi untuk bertemu Kabilah Bani Juzaimah yang tinggal di Yalamlam agar mengajak mereka kepada dakwah Islam. Arahan tersebut diterima oleh Khalid pada 25 Ramadhan, dan setelah tiba bulan Syawal Khalid bersama para tenteranya berangkat menuju Yalamlam. Apabila sampai ke Ghuraisa, mereka telah terserempak dengan kabilah Bani Juzaimah yang lengkap bersenjata.
Kabilah Bani Juzaimah terkenal dengan sikap ganas dan 'gedebe' - samseng. Mereka pernah melakukan jenayah pembunuhan ke atas bapa saudara Khalid bin Al Walid bernama Fakih, dan juga membunuh bapa Abdul Rahman bin Auf. Ketika mereka melihat Khalid bersama 350 orang tentera ketika itu, timbul keraguan dalam hati mereka bahawa ada kemungkinan Khalid akan membalas dendam atas perbuatan mereka. Padahal Khalid bertemu mereka atas arahan Rasulullah S.A.W, iaitu untuk mengajak mereka masuk Islam. Lalu apabila Khalid Al Walid bertanya kepada Kabilah Bani Juzaimah tentang siapakah mereka, mereka menjawab dengan tidak menggunakan bahasa Arab fasih yang lazim dengan sebutan, "Aslamna" (yakni kami telah masuk Islam).
Sebaliknya menyebut, "Shoba’na" (istilah masuk Islam yang tidak digunakan oleh masyarakat Quraish). [ Rujuk Ibnu Hajar Al Asqolani,Fathul Bari 8/57 ]
Khalid bin Al Walid tidak memahami jawapan Bani Juzaimah itu, kemudian Khalid bertanya lagi, "Mengapa kamu membawa senjata? Adakah kamu hendak berperang?"
Kabilah Bani Juzaimah menjawab, "Kami berada di dalam krisis permusuhan dengan orang-orang Arab Badwi di sekitar perkampungan ini. Kami tersalah anggap, pada awalnya kami ingatkan kamu adalah musuh".
Khalid kemudiannya memerintahkan kabilah Bani Juzaimah meletakkan senjata mereka dan terus menawan mereka. Selepas itu tawanan tersebut dibahagikan kepada setiap anggota tenteranya di kalangan Ansar, Muhajirin dan Bani Sulaim. Ketika menjelang waktu Subuh, Khalid memerintahkan supaya tawanan tersebut dibunuh. Tentera dari Bani Sulaim menuruti arahan Khalid iaitu membunuh tawanan mereka, manakala tentera Ansar dan Muhajirin membebaskan tawanan tersebut tanpa mentaati arahan Khalid bin Al Walid, kerana tahu tawanan tersebut telah memeluk Islam, tetapi hal tersebut tidak difahami oleh Khalid yang ketika itu mengetuai sariyyah tersebut.
Hal ini disampaikan kepada Rasulullah S.A.W, lalu dengan perasaan duka Baginda bertanya, "Adakah di kalangan kamu ada orang yang membantah tindakan Khalid itu?!!".
Mereka menjawab, "Ada wahai RasulAllah, Abdullah bin Umar bin Salim telah membantah tindakan Khalid".
Mendengar jawapan tersebut, Baginda S.A.W berdoa kepada Allah, "Ya Allah, aku berlepas diri (mohon perlindunganMu) dari apa yang telah dilakukan oleh Khalid bin Walid". [ Rujuk Sahih Bukhari, Kitab Maghazi bab Ba’athsa An Nabi Khalid Bin Al Walid, No:4339 ].
Apa yang jelas, Rasulullah S.A.W tidak setuju tragedi pembunuhan itu berlaku. Hal itu adalah kesalahan yang telah dilakukan oleh Khalid bin Al Walid. Kemudian Rasulullah pun memerintahkan Ali bin Abi Thalib ke perkampungan Bani Juzaimah, memohon maaf, memberikan tebusan (diyat), menenangkan mereka, dan membetulkan insiden yang telah berlaku itu kerana Khalid telah melakukan perkara yang salah. Segala kerosakan dan ganti rugi dilunaskan oleh Ali bin Abi Talib, sama ada harta itu berbentuk unta dan perak, termasuklah bekas untuk minuman anjing sekalipun, bahkan diberikan lebih daripada itu setelah dimaklumkan segala harta yang musnah.
Begitupun apa yang dilakukan oleh Khalid bin Al Walid tidak berhak dihukum qisas kerana tindakan yang dilakukannya mengandungi syubhah dan takwil, sama seperti yang berlaku terhadap Usamah bin Zaid semasa beliau membunuh seorang lelaki yang telah mengucapkan syahadah kerana menyangka lelaki itu hanya berpura-pura untuk mengelak dibunuh. Rasulullah S.A.W memarahi tindakan Usamah R.A, namun Baginda tidak pula menghukum Usamah. Hal ini menerangkan kepada kita bahawa setiap kesalahan yang dilakukan itu tidak sama levelnya, sebagai contoh orang yang murtad. Orang murtad kerana kejahilan diri dan nafsunya, berbeza dengan orang yang murtad kerana mahu memerangi dan menjatuhkan Islam. Begitulah juga orang yang membunuh kerana tersilap perkiraan, berbeza dengan orang yang membunuh kerana rasa sombong dan angkuh.
Abdul Rahman bin Auf Menegur Perbuatan Khalid
Peristiwa ini menyebabkan berlakunya pertengkaran di antara Khalid dan Abdul Rahman bin Auf. Kata Abdul Rahman bin Auf kepada Khalid, "Kamu orang Islam tetapi telah melakukan kerja jahiliyyah".
"Tidak! Aku lakukan kerana membalas perbuatan mereka terhadap pembunuh bapamu!", jawab Khalid.
"Pembohong!! Aku telah membalas terhadap pembunuh bapaku. Kamu sebenarnya Khalid, telah membunuh orang yang telah memeluk Islam kerana kesalahannya membunuh seorang sahaja di zaman jahiliyyah-nya", kata Abdul Rahman bin Auf.
"Siapa yang mengatakan bahawa mereka telah Islam??", Khalid terpinga-pinga dengan jawapan Abdul Rahman.
Jawab Abdul Rahman lagi, "Semua anggota tentera memberitahu bahawa mereka (Bani Juzaimah) menjawab persoalanmu (ketika berada di Ghuraisa) bahawa mereka telah Islam dan mendirikan masjid! Sebenarnya kamu-lah Khalid yang menuntut bela terhadap pembunuhan bapa saudaramu Fakih!!"
"Tidak! Aku lakukan demi arahan Rasulullah", Khalid menafikan.
Khalid masih sahaja menganggap apa yang dilakukannya itu benar. Mungkin kerana beliau digelar "pedang Allah" (SaifuLlah), menyebabkan Khalid begitu percaya bahawa kebenaran sentiasa berada di sisinya. Namun, Abdul Rahman bin Auf juga memiliki reputasinya yang tersendiri, beliau adalah salah seorang "as sabiqunal awwalun" (orang yang terawal memeluk Islam) dan juga termasuk sepuluh orang Sahabat yang dijamin masuk syurga. Tetapi, pertikaian demi pertikaian tetap juga berlaku sehingga tanpa sedar Khalid menolak kata-kata Abdul Rahman bin Auf secara agresif.
Hal ini akhirnya Rasulullah S.A.W campurtangan dan menyedarkan Khalid, "Berhentilah wahai Khalid. Jangan memaki Sahabatku. Demi Allah, jika kamu meng-infaqkan derma sebesar bukit Uhud, nescaya kamu tetap tidak dapat mampu menyamai walaupun satu cupak infaq mereka, tidak juga separuhnya" [ Rujuk Sirah Ibnu Hisham 2/431 ].
Khalid terdiam dan tersedar kesilapannya. Sehebat manapun gelaran "SaifuLlah", ia tetap tidak memberikan ada apa-apa kelebihan jika dibandingkan dengan pengorbanan generasi Sahabat yang pertama memeluk Islam. Hal ini menyebabkan Khalid mengenali dirinya, menginsafi sikapnya, memuhasabah salah dan silapnya. Dari peristiwa ini Khalid bin Al Walid mendapat pelajaran yang sangat berharga sebagai panduan hari muka.
Benar. Khalid bin Al Walid memang belajar dari peristiwa itu, Khalid betul-betul menginsafi kesalahannya. Maka lembaran-lembaran sejarah berikutnya di dalam sejarah peperangan yang dilalui oleh Khalid, beliau lebih matang dan dewasa. Sepanjang peperangan yang dilalui oleh Khalid sehinggalah ke zaman kekhalifahan Umar Al Khattab, prestasi Khalid Al Walid dipenuhi dengan kegemilangan dan kebanggaan tanpa berlaku kesalahan-kesalahan yang sama seperti yang dilakukannya terhadap kabilah Bani Juzaimah. Bukan sahaja kematangan beliau di medan perang, malah lebih dari itu lagi, Khalid bin Al Walid memiliki kematangan ruhiyah yang luar biasa. Hal itulah yang diabadikan sejarah saat Khalid dipecat Umar sebagai komander perang di saat perang Tabuk. Khalid terus berperang sekalipun dipecat dari jawatan tertinggi, malah lebih gigih lagi di belakang pimpinan Abu Ubaidah bin Jarrah.
"Aku berperang mengharap keredhaan Allah, bukan menagih keredhaan manusia".
Setiap manusia pernah melakukan kesalahan. Besar atau kecil. Sengaja ataupun tidak sengaja. Yang menjadi masalah adalah, apakah kesalahan itu menginsafkan kita atau tidak. Adakah kita bertaubat atau mengulanginya dengan penuh bongkak. Belajarlah dari kesalahan itu sehingga menjadikan penilaian kita lebih matang dan dewasa, justeru hal itu tidak menyebabkan kita mengulangi kesalahan yang sama dan bersikap kekanak-kanakan selama-lamanya. Para salafus soleh selalu memuhasabah diri sebelum tidur. Maka, kesalahannya dapat diperbetulkan semula kurang dari 24 jam. Mereka cepat bertaubat, segera mengambil ibrah, membersihkan segala kekotoran sehingga menjadikan jiwa semakin matang, luas pemikirannya seiring zaman yang mereka lalui.
Bagaimana pula kita? Adakah kita belajar dari kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan? -