Monday, September 26

Hudud: Guan Eng ditekan, ikut Soi Lek ancam keluar Written by Wong Choon Mei

Monday, 26 September 2011 14:31 - Sepertinya demam pilihanraya telah bermula. Yang terkini ialah perdebatan hangat tentang isu hudud diantara DAP dan MCA. Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek berikrar akan meninggalkan Barisan Nasional sekiranya UMNO memperkenan hukum hudud digunapakai.

Terperangkap bak ‘pelanduk diantara dua gajah’, Lim Guan Eng mula menyerang Chua yang pernah terpalit dengan skandal seks, walaupun secara politiknya, ia adalah satu asakan yang kurang bijak.


Umpan, mata kail dan joran


Dengan pilihanraya umum ke-13 yang diramalkan pada bulan November ini, DAP mungkin telah merasakan tekanan kuat untuk melindungi sokongan pengundi Cina daripada pengaruh MCA dan Gerakan.

Kedua-dua parti komponen BN sejak kebelakangan ini sudah memperlihatkan penentangan terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang mana UMNO menyokong pembentukan hukum hudud tetapi menyatakan bahawa negara ini belum cukup bersedia untuk perlaksanaannya.

Di dalam kekecohan yang ditimbulkan, media arus perdana milik BN mula melakarkan gambaran yang mana Soi Lek sedang berjalan disisi Perdana Menteri Najib Razak, sebagai ‘bukti’ bahawa beliaulah yang telah meyakinkan Najib untuk menolak kenyataan Muhyiddin itu. Najib kemudiannya mengumumkan bahawa tiada tempat untuk hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.

“Sebenarnya, Guan Eng tidak perlu mengeluarkan kenyataannya. Di dalam agenda Pakatan Rakyat, hudud tidak dimasukkan, dan Kelantan tidak mungkin dapat melaksanakannya atas dasar kesepakatan yang termeterai. Nik Aziz cuma mengeluarkan pendapat selepas Mahathir Mohamad menyerang keperibadian Nik Aziz walhal beliau sendiri tahu bahawa ini adalah hipokrasi UMNO,” ujar Pengarah Strategik PKR kepada Malaysia Chronicle.

“Selepas Najib mengumumkan bahawa tidak akan adanya hukum hudud, tidak perlulah untuk Guan Eng merespon menyatakan beliau akan meninggalkan Majlis Pakatan, tetapi ada kemungkinan beliau merasa tekanan daripada MCA dan Chua Soi Lek.”


Dilihat lemah oleh media pro-BN


Menurut Rafizi, kemunculan isu-isu hangat ini akan bertambah di dalam masa beberapa minggu mendatang, memperlihatkan pentingnya Pilihanraya Umum ke-13 nanti yang mana Pakatan Rakyat yang dikepalai oleh Anwar Ibrahim mempunyai peluang yang cerah untuk mengenepikan BN.

Menurut sumber the Star, Guan Eng menyatakan bahawa pemimpin tertinggi DAP akan keluar besar-besaran daripada Pakatan Rakyat sekiranya hukum hudud atau pembentukan sebuah negara Islam dilaksanakan di dalam polisi kerjasama Pakatan atau “Buku Jingga”.

“Sekiranya ada kenyataan yang kita akan melaksanakan hukum hudud ini di dalam polisi kerjasama dan Buku Jingga, seluruh komite pusat parti akan keluar,” Guan Eng bercakap kepada pihak media selepas merasmikan konvensyen DAP Wilayah Persekutuan kelmarin.

“Hukum hudud tidak pernah sebahagian daripada polisi kerjasama Pakatan dan jika ianya tidak sebahagian daripada itu, maka ia bukanlah satu agenda.”

Ini merupakan satu lagi kenyataan penting selepas kenyataan yang dibuat dua hari lalu yang mana beliau menyatakan DAP bersetuju untuk tidak bersetuju dengan PKR dan PAS.

Sehari sebelumnya, Soi Lek dilihat wira kepada masyarakat Cina selepas membidas Muhyiddin.

“Polisi MCA sangat jelas. Kita menentang hukum hudud sekeras-kerasnya. Sekiranya UMNO mahu melaksanakan hukum hudud, kita akan keluar dari Barisan Nasional.” Katanya kepada media Jumaat lalu.
 
Bingung atau terhibur?


Beberapa pemimpin MCA turut menyerang Guan Eng dan DAP, meminta beliau mengeluarkan kenyataan dan tidak senyap atau patuh kepada ‘ketua-ketua’ Melayu di dalam PAS dan PKR.

Sementara itu, sebagai sebuah parti politik yang terikat dalam isu hudud dan isu-isu lain seperti insiden Bukit Kepong, kelompok Kristian yang selama ini menjadi mangsa politik rakus UMNO kelihatan tenang akan kedudukan mereka. Rata-rata dilihat bingung atau terhibur.

“Mereka-mereka ini mula merasa tak senang duduk. Saya di gereja dan paderi menyatakan sesuatu tentang isu hudud.

Tidak ada seorang pun yang gementar dengan PAS atau hudud. Masyarakat faham yang ianya adalah untuk orang Islam sahaja. Ahli politik suka bermain isu-isu hangat,” ujar Ramon Navaratnam kepada Malaysia Chronicle, mantan Presiden Transparency International dan pemimpin penganut agama Kristian.

- Malaysia Chronicle

No comments:

Post a Comment