Monday, October 10

Masyarakat majmuk bukan alasan tolak hudud



TINTA HIJAU
Rangkaian gerakan Islam ABIM-PKPIM-WADAH merakamkan rasa terganggu dan terkilan dengan gejala sikap kurang bertanggungjawab dalam menyikapi isu hudud yang kembali dipolemikkan dan dipolitikkan sebagaimana tercermin dalam kenyataan-kenyataan pelbagai pihak, termasuk yang mengeksploitasikannya dengan motif semata-mata untuk kepentingan politik sempit, juga yang menanggapinya secara dangkal, nakal dan provokatif.

Isu penting dan berimplikasi besar ini seharusnya ditanggapi dan disikapi dengan rasa tanggungjawab keagamaan, amanah keilmuan, dan kesedaran kewarganegaraan sesuai dengan nilai-nilai budaya bangsa yang bertamadun dan beradab.

Bagi kaum Muslimin yang menginsafi hakikat bahawa al-Islam adalah al-din yang harus diterima secara kaffah, utuh dan menyeluruh (`aqidah dan syariatnya), pelaksanaan hukum hudud adalah suatu tanggungjawab keagamaan.

Justeru, ia adalah bahagian daripada undang-undang jenayah (al-`uqubat) yang menjadi salah satu komponen utama syari`at Islam. Demikianlah hakikatnya, pelaksanaan hukum hudud harus dilihat sebagai bahagian integral daripada proses pelaksanaan syari`at (tatbiq al-shari`ah) keseluruhannya, meliputi segala bidang cakupannya.

Syari`at adalah cara hidup yang lengkap (the complete way of life) yang mengatur segala dimensi kehidupan manusia: hubungannya dengan Tuhan dan hubungannya dengan sesama manusia sebagaimana yang diperincikan dalam pelbagai disiplin ilmu seperti `ibadat, munakahat, mu`amalat dan jinayat. Dengan demikian konsep pelaksanaan syari`at harus difahami dalam pengertian luas, termasuk dimensi hukum-hakamnya, semangatnya, akhlaknya, dan maqasidnya iaitu objektif pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Malang sekali andainya pelaksanaan syari`at direduksikan menjadi hanya sekadar hukum “potong tangan” dan “rejam”.

Dalam menyikapi hukum Ilahi (termasuk hudud) umat Islam tidak mempunyai pilihan selain patuh (sami`na wa ata`na), menepati ikrar raditu bi ‘Llahi Rabban (aku redha dengan Allah sebagai Tuhan) yang berimplikasi kerelaan menerima hukum-hakam-Nya, dan pengakuan bahawa ia adalah hukum yang terbaik dan teradil.

Dalam hal ini akal manusia harus tunduk kepada wahyu, menerima hukum Tuhan seadanya, bukan memandai-mandai memperlekeh dan mempersenda hukum yang telah ditanzilkan oleh Tuhan Ahkam al-hakimin sebagai hukum yang barbaric dan zalim. Manusia mukmin sebijak mana pun seharusnya menerima hakikat bahawa Tuhanlah yang Maha Tahu apa yang membawa kebaikan dan apa yang membawa keburukan (…ya`lamu al-mufsida min al-muslih).

Apa yang ditentukan oleh Tuhan, itulah keadilan. Tuhan tidak berkepentingan ketika menentukan sesuatu hukum, tidak seperti manusia yang selalu membuat peraturan-peraturan yang didasari motif memelihara kepentingan diri dan kelompok.

Ternyata penerimaan terhadap syari`at (termasuk hukum hudud) sangat terkait dengan `aqidah atau iman. Justeru, memang syari`at selamanya tegak di atas asas `aqidah. Demikianlah dua serangkai yang tidak dapat dipisahkan, dan kerananya al-Qur’an selalu menyebut kedua-duanya dalam bentuk gandingan: iman dan amal salih (`aqidah dan syari`ah). Dengan kata lain, tidak ada syari`at tanpa `aqidah. Berasaskan premis tersebut, bagi umat Islam persoalannya bukan lagi perlu atau tidak melaksanakan hudud. Yang menjadi persoalan adalah bagaimana melaksanakannya.

Syari`at Islam adalah bersifat abadi dan universal, dan kerana itu ia sesuai dan relevan sepanjang masa dan di semua tempat, termasuk dalam masyarakat majmuk. Kemajmukan masyarakat tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam menolak hukum hudud. Kemajmukan adalah fenomena yang tidak asing dalam sejarah pelaksanaan hukum Islam. Sejak zaman Perlembagaan Madinah fenomena kemajmukan sudahpun wujud.

Penolakan atas alasan tersebut dikhuatiri boleh menjejaskan `aqidah kerana ia menyiratkan anggapan kelemahan hukum Allah, yang bererti juga kelemahan Allah. Seolah-olah Tuhan terlepas pandang tentang adanya kaum Muslimin di tengah masyarakat majmuk.

Kemajmukan adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa sebagaimana hukum syari`at juga adalah ciptaan Allah Yang Maha Esa. Faham Keesaan Allah berimplikasi bahawa segala ciptaan Allah terjalin dan terpadu dalam kesatuan tauhidik yang harmonis.

Hudud sebagai bahagian daripada syari`at adalah amanah Allah yang harus dilaksanakan dengan bijaksana (berhikmah) dan penuh tanggungjawab demi mencapai objektif keadilan Ilahi. Untuk itu proses pelaksanaan hukum hudud harus mematuhi kaedah-kaedah perubahan yang realistik dan strategik.

Antara realiti yang harus diambil kira termasuklah hakikat bahawa pelaksanaan hudud dalam konteks Malaysia ketika ini diperjuangkan menerusi proses demokrasi, dan dalam kerangka perlembagaan negara. Selain itu ia juga diperjuangkan di tengah masyarakat majmuk, dan di tengah suasana wujudnya masalah al-ummiyyat al-diniyyah atau gejala “buta agama” yang cukup fenomenal.

Mengambil kira realiti tersebut, perjuangan melaksanakan syari`at harus didasarkan kepada fiqh al-awlawiyyat, perubahan yang menepati urutan keutamaan dengan mengenalpasti apa yang harus didahulukan dan apa yang perlu dikemudiankan.

Perjuangan melaksanakan syari`at juga harus menepati kaedah dan pendekatan al-tadarruj, beransur-ansur, subtle dan gradual. Minda umat keseluruhannya harus dipersiapkan untuk sedia menerima perubahan (hidup dalam kawalan syari`at dan hududu ‘Llah).

Para penguasa perlu dipersiapkan dengan political will, tekad politik yang kental untuk melaksanakan syari`at. Rakyat massa pula harus dipersiapkan dengan ilmu, kefahaman dan kesedaran keagamaan agar siap mendukung pelaksanaan syari`at. Sesungguhnya suasana yang kondusif adalah keperluan utama menjayakan agenda perubahan. Dengan demikian pelaksanaan syari`at tidak akan berupa suatu pemaksaan ke atas masyarakat yang enggan (reluctant society) kerana jahil dan keliru.

Sementara itu mekanisme dan jentera pelaksananya juga harus dipersiapkan dengan tahap profesionalisme, kompetensi dan integriti yang tinggi. Tahap kemampuan yang sedemikian adalah syarat yang tidak boleh dikompromikan demi menjamin tercapainya objektif keadilan, mendidik serta menginsafkan penjenayah, dan lebih penting daripada itu dapat melindungi mangsa dan masyarakat seluruhnya.

Memang demikianlah falsafah hukum dalam Islam, tidak seperti undang-undang rekaan manusia yang terkesan bersimpati kepada penjenayah sehingga mengabaikan tanggungjawab melindungi korban. Akibatnya jenayah berleluasa, sedang masyarakat hidup dalam ketakutan.

Ternyata pelaksanaan hudud sebagai bahagian daripada pelaksanaan syari`at bukan hanya urusan para fuqaha’ dan ahli undang-undang, tetapi urusan kolektif pelbagai pihak: penguasa, ahli politik, pentadbir, pendakwah, pendidik, ilmuwan, cendekiawan dan lain-lain.

Para penguasa harus berusaha menggunakan kuasa mereka sejauh yang dimungkinkan oleh realiti tempat, masa dan kemampuan. Pendakwah dan pendidik harus berjihad membina generasi dan umat Muslim yang komited, berjiwa dan berfikrah Islamiah. Para ilmuwan dan cendekiawan harus berjuang membasmi kejahilan dan kekeliruan masyarakat tentang hakikat syari`at termasuk hukum hudud.

Masyarakat umumnya harus disedarkan bahawa perjuangan mendaulatkan syari`at tidak hanya sebatas melaksanakan hukum jenayah, tetapi mencakupi daerah yang lebih luas, meliputi segala usaha ke arah kehidupan berkualiti (hayatan tayyibah) yang penuh barakah, adil dan sejahtera, bermaruah dan berakhlak mulia. Segalanya diperjuangkan secara terpadu, seiring dan sehaluan.

Hukuman hudud ke atas pencuri misalnya, harus dilaksanakan seiring dengan perjuangan meningkatkan taraf hidup rakyat dan menegakkan prinsip keadilan sosial, pemerataan kueh negara, dan seterusnya memerangi amalan pembolotan kekayaan negara oleh kaum kroni. Dengan demikian hukuman hudud ke atas pencuri hanya dilaksanakan setelah mengambil kira konteks sosio-ekonominya.

Andainya jenayah mencuri itu berlaku dalam keadaan kecukupan dan taraf hidup yang selayaknya (reasonable), wajarlah pelakunya dihukum hudud. Memang ia tidak layak hidup dalam masyarakat manusia yang beragama dan berbudaya.

Demikianlah hakikatnya, undang-undang jenayah Islam tidak dilaksanakan secara terpisah dari syari`at keseluruhannya. Ia selamanya terkait dan terpadu dengan komponen-komponen syari`at lainnya, termasuk komponen kerohanian seperti iman, taqwa, dan nilai-nilai akhlak mulia lainnya. Dalam masyarakat pengamal syari`at secara utuh dan terpadu seperti itu tidak akan banyak kes jenayah yang berlaku.

Gambaran tentang masyarakat yang penuh dengan potongan-potongan tangan yang berserakan akibat hukum hudud sebenarnya hanya imajinasi jahil dan mengada-ngada. Keadaan yang mengerikan seperti itu tidak pernah terjadi sepanjang sejarah pelaksanaan hukum hudud pada masa lalu.

Dalam kaitan ini terdapat catatan bahawa sepanjang sejarah generasi Islam seratus tahun pertama (dari bi`thah hingga pertengahan era Umawi) hukuman hudud zina hanya dilaksanakan sebanyak enam kali, sementara hukuman hudud ke atas pencuri dilaksanakan hanya empat kali sepanjang tempoh yang sama (seratus tahun).

Perjuangan mendaulatkan syari`at ketika ini terpaksa berhadapan dengan kenyataan bahawa Islam, terutama undang-undang jenayahnya telah lama dimomokkan dengan pelbagai label negatif: kejam, barbaric dan menakutkan. Dalam kaitan inilah pentingnya usaha pemulihan citra Islam sebagai agama yang ramah dan pembawa rahmah.

Islam tidak datang untuk mendera, tetapi untuk menyejahterakan (aslim taslam!). Tanggapan negatif terhadap syari`at di kalangan sebahagian umat Islam dan bukan Islam harus ditangani dengan usaha pencerahan, memberikan kefahaman menerusi pendekatan dialog yang meyakinkan dan penuh hikmah. Semua pihak, terutama warga bukan Islam seharusnya bersikap terbuka dan objektif dalam memahami dan mempersepsikan Islam. Untuk itu mereka perlu mewaspadai jebakan Islamophobia yang disebarkan oleh dalang-dalang konspirasi global.

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, semangat toleransi antara agama harus sentiasa dipupuk dengan menyuburkan sikap saling hormat, termasuk mengakui hak umat Islam mengamalkan agamanya (`aqidah dan syari`at Islam), sebagaimana umat Islam menghormati agama lain dan mengakui hak penganut-penganutnya mengamalkan agama masing-masing.

Dalam hal ini warga bukan Islam perlu memahami bahawa hak mengamalkan agama dalam konteks umat Islam adalah meliputi pengamalan hukum-hakam agama (Islam) dalam segala bidang, termasuk bidang hukum jenayah.

Justeru, pelaksanaan hukum hudud di kalangan umat Islam adalah sebahagian daripada hak beragama dan hak mengamalkan agama anutan mereka. Warga bukan Islam tidak perlu merasa terganggu dengan pelaksanaan hukum tersebut kerana ia tidak melibatkan mereka dan tidak menjejaskan hak mereka untuk beramal dengan ajaran agama anutan mereka sendiri.

Sesuai dengan semangat toleransi antara agama, semua pihak harus menghentikan segala bentuk perlakuan dan pernyataan yang menghina dan mempersenda agama. Kenyataan-kenyataan sinis dan provokatif yang kadang-kadang diucap atau diungkapkan oleh media atau pemimpin masyarakat jelas tidak membina dan tidak mendidik, juga bertentangan dengan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan bangsa yang beradab dan bertamadun.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH

No comments:

Post a Comment