Monday, October 24

TIADA TINDAKAN KEATAS HASSAN ALI,,TAPI LU KENA TERIMA IMPAK DARI AHLI


 

Exco Hal Ehwal Agama Selangor Datuk Dr Hasan Ali tidak akan dikenakan tindakan displin oleh PAS susulan menghadirkan diri dalam Perhimpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (HIMPUN) di Stadium Shah Alam Sabtu lalu.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Dr Hasan yang juga ahli jawatankuasa parti itu berbuat demikian atas sifat peribadi sebagai "menyokong kesucian Islam".

Katanya, Dr Hasan berhak hadir untuk menyatakan pendirian bersatu menegakkan Islam serta menguatkan akidah, lapor sebuah harian berbahasa Melayu.

"PAS tidak akan mengenakan sebarang tindakan ke atas beliau atau mana-mana ahli parti yang turut serta dalam HIMPUN," beliau dipetik sebagai berkata.

PAS memutuskan tidak menyertai perhimpunan itu bagi menghormati pendirian penganjur yang tidak mahu melibatkan parti politik.

Manakala PAS Selangor mengarahkan ahlinya tidak terlibat dengannya selaras dengan arahan PAS di peringkat pusat.

Impak pada ahli

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berpendapat, kenyataan Dr Hasan berkaitan perhimpunan itu bersifat peribadi dan bukan pandangan parti.

"Seperti mana yang beliau declare (isytihar) sendiri, beliau hadir bukan atas tiket PAS dan bukan sebagai exco agama kerajaan negeri.

"Kalau itu pendirian beliau, saya tidak boleh buat apa-apa, jadi hormati pendiriannya.

"Cuma impak kepada ahli, saya tidak dapat menapis setiap tanggapan ahli PAS terhadap beliau," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian hari ini.

Manakala Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula dilapor berkata, beliau menghormati tindakan Hasan menghadiri perhimpunan itu dan tidak menghalang mana-mana kakitangan kerajaan negeri ataupun individu menghadirinya.

"Atas dasar hak individu dan (hak) asasi, saya tidak menghalang sesiapa pun," katanya kepada harin berbahasa Melayu itu lagi.

Sementara itu, Umno didakwa menggunakan Himpunan Sejuta Umat (Himpun), yang diadakan Sabtu lalu, sebagai satu lagi platform untuk menghidupkan semula perbincangan tentang kerjasama kedua-dua parti itu, dengan menggunakan dakwaan kononnya wujud ancaman daripada masyarakat Kristian, lapor The Malaysian Insider.

Umno, sejak pilihan raya umum 2008, berulang kali berkata bersedia untuk mengadakan perbincangan mengenai kerjasama dan perpaduan dengan PAS.

Tetapi pemimpin-pemimpin PAS telah menolak tawaran Umno itu, sebaliknya mahu kekal dengan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad memberitahu The Malaysian Insider bahawa penganjur Himpun telah menggambarkan Islam berhadapan dengan ancaman agar ahli-ahli PAS akan menghadiri dan menyokong kempen itu bersama Umno.

“Meskipun Umno telah mengatakan bahawa mereka tiada apa-apa kaitan dengan perhimpunan, saya fikir adalah ketara apabila anda bergabung dengan kumpulan-kumpulan seperti Perkasa yang mendakwa program itu telah menyatukan PAS dan Umno.

“Ia satu lagi usaha untuk mendesak supaya diadakan perbincangan perpaduan antara kedua-dua PAS-Umno... anda bermain dengan kad agama dengan PAS, anda cuba untuk melaga-lagakan kami dengan bukan Muslim, untuk menunjukkan bahawa kami ini kononnya ekstremis... mereka (Umno) cuba sekali lagi,” kata Khalid.

PAS memutuskan untuk tidak menghadiri Himpun atas alasan ia bukan aktiviti parti politik, tetapi tidak menghalang ahli-ahlinya menghadiri perhimpunan tersebut atas kapasiti orang perseorangan.

Khalid berkata beliau percaya pihak-pihak yang ada hubungan dengan Umno cuba menggambarkan sudah ada gunung sedangkan yang wujud hanya “busut.”

“Hanya disebabkan seorang pemimpin PAS hadir majlis itu ia tidak bermakna PAS dan Umno kini sudah bergandingan.

“Mengapa mahu mencetuskan ketegangan agama? Tiada bukti yang kukuh wujudnya ancaman Kristian. Lebih baik kami menggunakan masa dan usaha kami untuk memperbaiki perkara-perkara lain di negara ini — rasuah, (soal) urus tadbir baik,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Semalam, Perkasa berkata meskipun Himpun gagal mengumpulkan 100,000 hadirin yang disasarkan tetapi ia berjaya menyatupadukan kaum Muslim segenap lapisan masyarakat.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, baginya kempen semalam adalah sesuatu berjaya kerana membawa bersama pemimpin Umno dan PAS.

“Bagi saya ia satu kejayaan. Salah satu bahagian yang berjaya ialah ada pemimpin PAS dan Umno di pentas yang sama dan individu lain yang tidak menganggotai mana-mana parti.

“Saya percaya ahli-ahli Umno atau PAS dan Melayu dalam Keadilan, mereka semua sokong (Himpun) tetapi kemungkinan mereka kena ikut arahan daripada pemimpin mereka, yang saya tak faham mengapa mereka tidak dibenarkan,” kata Syed Hassan

No comments:

Post a Comment