Sunday, January 2

RAKYAT MARHAEN

RAKYAT MARHAENTERPEDAYA... ramai wanita ditipu kasanova cap ayam dengan menyerahkan wang.

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
KUALA LUMPUR: Dia ‘mengayat’ wanita yang tidak mempunyai rupa paras menarik dan mengikis duit mereka sebelum menggunakan wang itu untuk memikat dan menaja gadis cun hingga ramai terperangkap dengan jerat cinta palsunya.Begitulah taktik licik seorang kasanova ‘cap ayam’ yang tidak mempunyai kelebihan daripada segi paras rupa dan bentuk tubuh, tetapi bijak bersandiwara dan meraih simpati untuk mencari mangsa. Tembelang kasanova itu didedahkan seorang wanita yang pernah terperangkap dengan ‘cinta palsu’ dijanjikan lelaki terbabit. Mahu dikenali sebagai Farah, 31, dia mengakui sudah ‘berhabis’ kira-kira RM20,000 untuk kasanova berusia 30-an itu.
“Dia tidaklah hensem, gemuk pula, tetapi ayat cinta yang diluahkan membuatkan saya ‘cair’. Pada masa sama dia mengaku kononnya menghidap penyakit kanser, membuatkan saya bersimpati kepadanya.
“Satu ketika, saya sanggup meminjam daripada bank sebanyak RM20,000 untuk diserahkan kepadanya selepas dia meminta wang itu untuk merawat penyakitnya. “Dia kata dia sudah tenat dan perlukan wang dengan segera untuk berubat,” katanya ketika ditemui Metro Ahad. Menurut Farah, selepas meminjamkan wang itu, lelaki terbabit sering mengelak untuk bertemu dan menjauhkan diri. “Sejak itu saya syak ada sesuatu yang tidak kena. Saya buat siasatan sendiri, termasuk daripada ahli keluarganya, dan terbongkarlah tembelangnya. Rupa-rupanya dia kasanova yang mencari wang dengan menipu orang lain. “Dia tipu wang wanita yang tak cun dan menggunakan wang itu sebagai modal untuk mencari cinta di kalangan wanita cun. “Wanita cun ditaja habis-habisan... dibawa bercuti dan dibelikan pelbagai barangan berjenama,” katanya yang enggan membuat laporan polis kerana malu diperdaya lelaki terbabit. Farah yang berkenalan dengan lelaki itu menerusi laman sembang mengakui berjaya mengesan lapan lagi mangsa penipuan kasanova terbabit. “Selain laman sembang, dia menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Hifi untuk mencari mangsa. “Dia juga menipu pekerjaan dilakukan, kononnya termasuk dalam golongan profesional seperti doktor dan peguam. Walhal, dia tidak bekerja dan hanya mencari wang dengan menipu wanita,” katanya yang mengenali kasanova itu sejak awal tahun lalu. Beberapa mangsa lain yang ditemui Farah mengakui kasanova terbabit menggunakan pelbagai nama, antaranya Carl Iskandar, dan turut menggunakan taktik sama. Malah lebih menyedihkan, ada yang sampai ke tahap menyerahkan kehormatan kepada lelaki itu. “Yang cun dijanjikan cinta... janji hendak berkahwin sehingga ada yang tergadai ‘body’. Mujur saya tidak sampai ke tahap itu. “Dia hanya memeras habis-habisan wang saya untuk kepentingan dirinya,” katanya. Farah mengakui mengenali lelaki itu adalah kesilapan paling besar pernah dilakukannya. “Saya bukan mahu mendedahkan aib orang, tetapi ini pengajaran untuk wanita lain di luar sana. Jangan terlalu mudah mempercayai lelaki yang dikenali menerusi Internet. “Jangan percaya dengan lelaki yang kita tidak tahu latar belakangnya. Walaupun dia melutut menagih simpati, biarkan saja kerana saya sudah merasa peritnya ditipu apabila terpaksa ‘mengikat perut’ membayar balik pinjaman yang dibuat, malah masa saya juga banyak terbuang melayan kerenahnya,” katanya. Farah turut yakin, sehingga hari ini lelaki itu masih bergiat aktif menipu wanita di laman web sosial. “Ada ahli keluarganya beritahu dia sentiasa ada wang. Bagaimana ada wang jika tidak bekerja?” katanya.

No comments:

Post a Comment