Friday, October 14

CABARAN-CABARAN UNTUK MEMPERKUKUHKAN KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN

MAHAMAD NASER BIN DISA

(Ketua Unit Sivil dan Jenayah di Jabatan Peguam Negara Malaysia)





Mukaddimah



Bahagian I Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 3(1) memartabatkan Islam sebagai agama bagi negara ini.



"Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagianPersekutuan."



Perkara 4 dalam Bahagian yang sama juga mengangkat Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Antara perkara utama yang dijulang oleh Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi termasuklah kedudukan agama Islam sebagai agama Negara.



Ketinggian Islam juga terserlah dalam ikrar Yang DiPertuan Agong ketika ditabalkan sebagai pemerintah tertinggi negara. Ikrar baginda termaktub dalam Jadual ke 4 Perlembagaan Persekutuan - ikrar untuk mempertahankan agama negara - Islam.



Kami...........ibni............... Yang DiPertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan: Wallahi: Wabillahi: Watallahi; Maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguh dan dengan sebenamya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan perlembagaan yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.



Implikasi ikrar tersebut adalah semua pihak yang terlibat dalam pemerintahan dan pentadbiran Negara (eksekutif, kehakiman dan perundangan) bertanggungjawab untuk menjadikan ikrar YDPA untuk mempertahankan agama Islam dan kedaulatan undang-undang sebagai misi utama negara. Pematuhan kepada prinsip Islam dalam agenda pemerintahan negara adalah merupakan satu kemestian kerana agenda agung negara ini adalah mempertahankan Islam dan kedaulatan undang-undang. Prinsip ini juga terpakai dalam penggubalan dasar dan undang-undang negara yang perlu dilaksanakan berdasarkan roh agama/ideologi negara.





Kekeliruan Dalam Memahami Perkara 3(1)



Diskusi pakar-pakar undang-undang menyentuh kedudukan Islam dalam Perlembagaan seringkali dimulakan dengan kekaburan(ambiguity) perkara 3(1) sehingga berbagai kesimpulan yang ternyata bertentangan dengan maksud nyata perkara 3 itu sendiri menjadi pegangan banyak pihak. Ramai yang berpegang kepada kesimpulan bahawa kedudukan Islam hanyalah sekadar agama rasmi sahaja. Tidak kurang juga yang menyimpulkan bahawa perkara 3 itu sekadar amalan bacaan doa pada pembukaan majlis rasmi. Malah yang lebih membimbangkan adalah kesimpulan yang dipegang oleh majoriti peguam bukan Islam dan sebahagian peguam Islam bahawa negara ini adalah sebuah negara sekular. Pegangan kelompok ini mempunyai pengaruh yang luas di kalangan masyarakat bukan Islam dan sebahagian umat Islam.



Sebahagian besar dari aktivis pertubuhan Islam berpegang kepada gabungan kedua-duanya - Malaysia adalah negara sekular yang meletakkan Islam sekadar agama rasmi. Mereka berpegang kepada Perlembagaan negara ini memartabatkan sekularisme sebagai ideologi negara dan dengan itu manifesto perjuangan mereka adalah menukar wajah perlembagaan dan ideologi negara daripada sekular kepada Islam. Alasannya - Perkara 4 memartabatkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi mengambil tempat al Quran dan as Sunnah. Justeru, sebahagian besar para aktivis gerakan Islam meletakkan perspekif perjuangan mereka adalah di luar ruang-lingkup Perlembagaan yang ada.





Malaysia Negara Sekular?



Pegangan yang menyimpulkan Malaysia sebuah negara sekular adalah berasaskan kepada laporan Kertas Putih mengenai syor perlembagaan yang mencadangkan Islam dimartabatkan sebagai agama Persekutuan dalam perkara 3(1) dan di dalam masa yang sama memberi jaminan bahawa kebebasan beragama serta kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama bagi negeri masing-masing tidak akan terjejas. Kertas Putih ini juga menyebut bahawa kedudukan Islam itu tidak akan menjejaskan sifat sekular persekutuan. Atas jaminan ini MCA dan MIC dikatakan telah bersetuju untuk menerima perkara 3(1) itu dengan senang hati.



Persoalannya adakah rujukan kepada Kertas Putih syor perlembagaan itu membantu kita untuk mentafsirkan perkara 3(1) secara konklusif. Atau adakah kita terus dikelirukan pula dengan persoalan apakah yang dimaksudkan dengan sifat sekular itu? Apa yang berlaku sekarang ini adalah kelompok ini hakikatnya terus merujuk kepada Kertas Putih itu. Mereka menerima jaminan itu seolah-olah jaminan itulah yan termaktub dalam perlembagaan yang seolah-olahnya berbunyi - "Islam adalah agama Persekutuan, namun ini tidaklah menghilangkan sifat sekular Persekutuan".



Kekeliruan yang cuba ditegakkan oleh kelompok ini bukan sahaja bertujuan untuk menyerlahkan negara ini sebagai negara sekular, malah mereka terus menerus menyisih, menghakis dan menghilangkan bahagian awal perkara 3(1) hingga ia seolah-olahnya berbunyi "Persekutuan adalah sebuah Negara sekular, namun adapt istiadat Islam dan Melayu boleh diamalkan dalam acara rasmi". Inilah pegangan yang mendominasi Majlis Peguam Malaysia dan diperjuang hebat oleh kelompok Artikel 11. Dalam kes LIna Joy diperingkat Mahkamah Persekutuan, Peguamnya berkata;



"Sudah tiba masanya orang Melayu difahamkan bahawa kedudukan Islam adalah lebih rendah dari Perlembagaan kita dan mesej ini hendaklah dijelaskan kepada mereka oleh mahkamah yang mulia ini"





Cubaan Untuk Mendaulatkan Perkara 3 (1)



Cubaan untuk mendaulatkan kedudukan Islam sebagai agama Negara telah dilakukan oleh peguam-peguam bukan Islam yang pada hakikatnya hanya satu suatu pembelaan bagi mengelakkan anakguam mereka dari dijatuhi hukuman mati bagi keslahan pengedaran dadah dan memiliki senjata api. Dalam kes Che’ Omar bin Che Soh v Public Prosecutor peguam-peguam T Mura Raju dan Ramdas Tikamdas berhujah bahawa hukuman mati bagi kedua-dua kesalahan itu bercanggah dengan hukum syarak kerana kedua-dua kesalahan itu bukan kesalahan hudud. Oleh itu ia bercanggah dengan perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.



Mahkamah Agung yang diketuai oleh Tun Mohd Salleh Abas walaupun telah memberikan tafsiran yang betul kepada Islam berdasarkan buku The Islamic Law and Constitution, tulisan S.A.A al Maududi, tetapi telah menyempitkan keberkesanan perkara 3(1) berdasarkan kepada niat dan hasrat penggubal Perlembagaan. Hakim yang bijaksana itu telah menguraikan suasana pemerintahan dan politik di negeri-negeri Melayu sejak tahun 1874 dan seterusnya semasa pembetukan Persekutuan Tanah Melayu yang memisahkan antara pentadbiran Negara yang terletak di tangan penjajah dan hal-ehwal agama di abwah bidang kuasa Raja-raja dan menyimpulkan-



"In our view, it is in this sense of dichotomy that the framers of the Constitution understood the meaning of the word Islam in the context of Article 3. If it had been otherwise, there would been another provision in the Constitution which would have the effect that any law contrary to the injuction of Islam will be void. Far from making such provision, Article 62, on the other hand, purposesly preserves the continuity of secular law prior to the Constitution, unless such law is contrary to the latter"



Jelas dari pendekatan Mahkamah tertinggi Negara pada masa itu (1988) yang masih menafsirkan perkara 3(1) dengan merujuk kepada niat penggubal dan bukan kepada maksud Islam itu sendiri. Walaupun bahasa yang digunakan pada perkara 3(1) itu begitu jelas, namum Mahkamah masih mahu merujuk kepada niat penggubal.



Mahkamah Agung walau bagaimanapun tidak memutuskan bahawa Negara ini adalah Negara sekular sebagaimana yang sering dihujahkan oleh peguam bukan Islam dan sebahagian kecil peguam hak asasi manusia kebelakangan ini. Sebaliknya apa yang diutarakan oelh Mahkamah Agung adalah undang-undang yang terpakai adalah undang-undang sekular sebagaimana yang dibenarkan oleh perkara 162 Perlembagaan. Hakim berkenaan mengaitkan kedudukan perkara 3(1) dengan perkara 162 yang dikatakan membenarkan undang-undang sekular terus berkuatkuasa. Namun jika diteliti secara cermat, perkara 162 itu adalah peruntukan transitional yang membenarkan undang-undang sebelum merdeka terpakai tertakluk kepada pengubahsuaian dan pindaan yang boleh dilakukan kemudian oleh pihak berkuasa.



Jelas di sini bahawa perkara 162 dimasukkan bagi membolehkan proses pengubahsuaian atau pindaan kepada undang-undang yang sedia berkuatkuasa sebelum merdeka dilakukan. Sekiranya undang-undang itu bercanggah dengan perkara 3(1), maka ia boleh dipinda supaya selaras dengan Islam. Perkara 162 tidak boleh dijadikan hujah untuk menyifatkan negara ini sebagai sebuah negara sekular atau membenarkan undang-undang yang bercanggah dengan Islam terus berkuatkuasa.



Oleh kerana itulah di bahagian akhir penghakimannya, Hakim yang bijaksana itu menyarankan supaya hujah kedua-dua peguam itu diteruskan di forum-forum lain seperti di Parlimen dan kepada ahli politik. Namun saranan Hakim itu tidak diikuti oleh peguam-peguam Islam yang lain, dan tiada usaha bersungguh-sungguh untuk mengkaji keberkesanan Perkara 3(1) untuk memartabatkan kedudukan Islam. Sebaliknya majoriti peguam Islam mengambil sikap menerima sahaja keputusan Mahkamah Agung itu.



Cubaan untuk menafsirkan Perkara 3(1) secara lebih tepat telah dilakukan oleh Hakim Mohd Noor Abdullah dalam kes Meor Atiqurrahman v Fatimah bte Sihi [2000] 5 MLJ 375 apabila beliau memerikan pendapat mengenai kedudukan Pekara 3(l)-



"Ulasan pertama saya mengenai peraturan pakaian seragam sekolah ini ialah peruntukan pakaian seluar pendek bagi murid lelaki dan pakaian pinafore tunic bagi murid perempuan di sekolah menengah adalah membelakangkan ugama Islam di mana yang dahulu dikemudiankan dan yang kemudian didahulukan dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Murid lelaki dikehendaki memakai seluar pendek tetapi diberi pilihan memakai seluar panjang. Murid perempuan pula dikehendaki memakai pinafore tunic dan blouse (skirt bagi Tingkatan VI) tetapi diberi pilihan memakai baju kurung dan kain sarung atau tudung/mini telekung. Sepatutnya pakaian murid lelaki ialah seluar panjang dengan memberi pilihan memakai seluar pendek dan pakaian murid perempuan ialah baju kurung, kain sarung dan tudung/ telekung dengan memberi pilihan memakai pinafore tunic dan blouse atau skirt. Dengan cara sedemikian peraturan pakaian seragam ini akan selari dengan perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi:



Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.



Soalan: Apakah makna 'Islam' dan 'ugama' dalam Perlembagaan ini?



Islam sebagai ad-deen merangkumi keseluruhan aktiviti kehidupan manusia dari lahir sehingga mati, dari bangun pagi hingga ke tidur malam yang ditunjukkan oleh Rasulullah yang mendapat wahyu dari Allah dan termaktub dalam Quran, ugama Islam memperakui ugama Yahudi dan Kristian dan mengiktiraf Taurat, Zabur dan Injil. Islam ugama sejagat yang boleh diterima oleh semua ugama lain.



Menurut S Abdul A'la Ma-dudi dalam buku The Islamic Law and Constitution, 7th Ed March 1980. 'There can be no doubt that Islam is not just a mere collection of dogmas and rituals but it is a complete way of life covering all fields of human activities, may they be private or public, legal, political, economic, social, cultural, moral or judicial.



Menurut The Holy Quran (New Revised Ed) n 434 p 155 oleh Abdullah Yusuf Ali:



Islam is not sectarian, non-racial, non-doctrinal and is a universal religion. Islam is just submission to the will of Allah. This implies:



(1) Faith;



(2) doing right, being an example to others to do right, and having the power to see that the right prevails;



(3) eschewing wrong,being an example to others to eschew wrong and having the powers to see that wrong and injustice are defeated. Islam therefore lives not for itself, but for mankind.



Pada pendapat saya, 'Islam ialah ugama bagi Persekutuan tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai' bermakna Islam adalah ugama utama di antara ugama-ugama lain yang dianuti di negara ini seperti Kristian, Buddha, Hindu dan selainnya. Islam bukan setaraf dengan ugama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. la duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati—tinggi, teguh dan terampil. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah ugama bagi Persekutuan tetapi adalah salah satu di antara beberapa ugama yang dianuti di negara ini dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana ugama yang dianutinya, tiada lebih satu dari yang lain."



Hakim Mohd Noor seterusnya berkata -Saya percaya seandainya pembuat dasar di Kementerian Pendidikan sedar atau disedarkan tentang kaedah pakaian bagi orang Muslim dan mengutamakan Islam sebagai ugama Persekutuan, Kementerian Pendidikan tidak akan mewajibkan pakaian seluar pendek bagi murid lelaki dengan pilihan seluar panjang atau mewajibkan pakaian pinafore tunic dan blouse bagi murid perempuan dengan pilihan memakai baju kurung dan kain sarung serta tudung/telekung. Peraturan pakaian seragam sekolah Bil 3/1983 tersebut adalah songsang dan tak selari dengan Perlembagaan dan menurut perkara 4



Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang tak selari dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang tak selari itu. Peraturan tersebut adalah terbatal. Adanya pilihan untuk memakai seluar panjang atau baju kurung dan kain sarung tidak dapat menyelamatkan atau menjadikan sah Peraturan tersebut.



Walaupun keputusan YA Hakim Mohd. Noor Abdullah diketepikan pada peringat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun pendekatan yang diambil dalam menafsirkan Perkara 3(1) tidak disentuh oleh Mahkamah tertinggi negara. Bahkan Hakim Abdul Hamid Mohamad ketika memberikan penghakiman Mahkamah Persekutuan mengambil pendekatan dari hukum syarak dalam memutuskan kedudukan peraturan sekolah yang mengharamkan pemakaian serban oleh pelajar-pelajar sekolah rendah. Hakim berkenaan berkata -



[37] SP3 gave his opinion that the wearing of turban is 'sunat'. Clearly, he based his opinion on the views of the traditional jurists — the turban wearing scholars from turban-wearing communities who lived at a time when the wearing of turban was customary or fashionable. Certainly their surroundings could have, to a certain extent, influenced their views on a matter such as the wearing of turban where Al-Quran is silent. That is natural. Imam Shafie revised some of his rulings after living in Egypt for a few years and observing the custom of the people there. That is the mark of a great jurist!



[38] Even if we were to accept the view of SP3 that me wearing of turban (by adult Muslim male) is 'sunat' or (commendable), it certainly does not rank on the same level as 'sunat prayers', as learned counsel for the appellants tried to convince the court when the question was put to him by me.



[39] So, the 'practice' is of little significance from the point of view of the religion of Islam, what more, in relation to underaged boys. Certainly, it is not a part of 'Islamic prophetic teaching' as submitted by the learned counsel for the appellants.



[40] Moving to the second factor which, in my view, should be considered i.e. the extent of the 'prohibition'.



[41] We are not dealing with a total prohibition of wearing of the turban. The students, primary school students of the school, are not allowed to wear the turban as part of the school uniform, i.e. during the school hours. They are not prevented from wearing the turban at other times. Even in school, certainly, they would not be prevented from wearing the turban when they perform, say, their 'Zohor' prayer in the school 'surau' (prayer room). But, if they join the 'Boy Scout', it is only natural if they are required to wear the Scouts uniform during its activities. Or, when they play football, naturally they would be required to wear shorts and T-shirts. Should they be allowed to wear 'jubah' when playing football because it was the practice of the Prophet (PBUH) to wear jubah? Following the arguments or learned counsel for the appellants, they should. Certainly, there is a place for everything.



[42] Furthermore, there is nothing to prevent them from changing school, eg to a 'pondok' school that would allow them to wear the turban.



[43] To accept the learned counsel's argument would mean that anybody has a right to do anything, any time, anywhere which he considers to be a practice of his religion, no matter how trivial. The only limit is clause (5). To me, that cannot be the law."



Pendekatan yang diambil oleh YA Hakim Abdul Hamid Mohamad menunjukkan penafsiran tentang hak individu dari pandangan Islam boleh dilakukan di Mahkamah Persekutuan. Pendekatan sebegini sepatutnya mampu dilakukan oleh para hakim-hakim tanpa merujuk kepada keterangan saksi pakar kerana undang-udang Islam adalah the law of the Land sebagaimana yang telah diputuskan dalam kes Ramah v Laton. Oleh itu adalah perlu bagi negara untuk mempunyai hakim-hakim yang berkemampuan memutuskan kes berdasarkan hukum syarak.

No comments:

Post a Comment