Saturday, November 12

AMARAN KERAS GOLONGAN MELAGAKAN MANUSIA

WRITTEN BY AKADEMI TARBIYAH DEWAN PEMUDA PAS PUSAT Category: Mimbar Ulama

Sebahagian daripada hak Muslim; ialah rasa sayang untuk Muslim apa saja yang kamu sayangi untuk dirimu sendiri. Apa yang kamu kehendaki orang lakukan untuk dirimu, demikianlah juga sepatutnya kamu lakukan untuk Muslim lain. Begitu juga menjadi hak Muslim membenci apa juga yang dibenci, sebagaimana kamu membenci sesuatu perkara itu jika ia berlaku kepadamu. Tidak melakukan kepada orang lain sebagaimana kamu benci orang lain lakukan sesuatu ke atas dirimu.



Sabda Rasulullah S.A.W membuat bandingan antara seorang Mukmin dengan Mukmin yang lain melalui sabdanya yang bermaksud,"Perbandingan orang Mukmin dengan Mukmin yang lain dari segi kasih mesra di hati dan bergilir emosi kasih sayang ibarat tubuh yang satu, apabila satu anggotanya sakit seluruh anggota turut demam dan berjaga malam".

Terdengar jerit tangis umat Islam tertindas di pelbagai pelusuk alam, tetapi tidak kedengaran saudaranya terdekat atau yang jauh datang bantu meredakan derita tangisan tersebut. Ini menunjukkan kebanyakan umat Islam belum upaya meningkat ke tahap Mukmin, seperti yang di sabdakan oleh Baginda Nabi S.A.W. Jika Mukmin mereka pasti mereka turut merasai demam dan tidak tidur malam, kerana memikirkan untuk bantu saudaranya yang tertindas itu. Andainya mereka di tahap Mukmin mesti bergegas datang walaupun jauh, jika tidak terdaya hadirkan diri untuk menolongnya dalam apa bentuk sekalipun kerana halangan tertentu itu.

Sekurang-kurangnya mereka wujudkan dana, atau apa saja untuk bantu meringankan penderitan saudara Mukminnya itu. Sekalipun berlainan warga negara, etnik dan warna kulit, hanya ibarat berlainan nama jenis anggota tubuh badan. Namun pada hakikatnya orang beriman di serata dunia adalah laksana tubuh yang satu. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud,"Orang Mukmin di samping Mukmin yang lain ibarat sebuah binaan, saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain".

Suatu yang amat jelas peranan orang Mukmin di sisi Mukmin yang lain, saling bantu membantu antara mereka ibarat binaan saling mengukuhkan struktur, antara beberapa bahan binaan dengan bahan binaan yang lain.

Hak orang Islam lagi antaranya ialah tidak menyakiti antara satu dengan yang lain, mahupun daripada jenis perbuatan ataupun ucap perkataan, sebagaimana dijelaskan oleh sabda Baginda Nabi S.A.W yang bermaksud,"Orang Islam sebenar ialah; orang Islam lain selamat daripada bencana lidahnya serta tangan dan kakinya. Orang beriman ialah orang yang aman daripada diri dan hartanya. Orang muhajir pula ialah orang yang berhijrah daripada kejahatan dan menjauhinya".

Lidahnya tidak diguna untuk mengata buruk, memfitnah juga tidak menipu dan mengadu domba. Tangan serta kakinya tidak diguna untuk mencuri harta serta tidak menyakiti orang Islam lain. Jika orang lain tidak selamat dengan kewujudan manusia sebegini, bererti dia tidak memiliki ciri Islam sebenar. Kerana menurut Nabi S.A.W orang Islam ialah; orang yang menyerah kepada agama Allah dan memberi keselamatan.

Orang beriman ialah orang lain aman daripada diri dan hartanya, orang muhajir ialah orang yang berhijrah daripada kejahatan akhlak dan akidah yang salalh serta menjauhinya. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud,"Tidak halal bagi orang Islam berbuat sesuatu, yang boleh menimbulkan rasa gementar di hati orang lain".

Gerun mungkin dengan ugutan atau kata buruk berupa ancaman serta berbuat sesuatu kezaliman dalam bentuk kekerasan yang boleh menimbulkan rasa takut dan gerun. Inilah  merupakan perkara yang dilarang oleh Islam. Kecuali hukuman hudud yang dikehendaki oleh Allah, supaya dilaksanakan ke atas penjenayah yang sudah disabitkan oleh mahkamah.

Sebahagian daripada tanggungjawab setiap orang sebagai ahli masyarakat ialah; mesti tawaduk (berakhlak dan merendah diri) serta tidak takabbur membesar membanggakan diri. Walau setinggi mana ilmu yang dikuasai atau pangkat kedudukan dalam masyarakat, apabila berhadapan Sesama Islam hendaklah bersikap merendah diri, sama ada dari sudut tutur kata atau tingkah laku.

Hak orang Islam juga tidak mendengar segala buah mulut manusia antara satu sama lain, kerana buah mulut itu tidak semuanya memberi manfaat, bahkan boleh mencetuskan krisis sengketa dalam masyarakat. Tidak boleh sama sekali menyampaikan kata-kata yang didengar daripada seseorang kepada orang yang berkenaan. Sebaiknya segera ditegur semasa mendengar cemuhan jika faktanya tidak benar, atau tinggalkan sahaja orang berkenaan agar tidak terbabit dalam perkara bercanggah dengan syarak. Hal ini dijelaskan di dalam Hadis Nabi S.A.W yang bermaksud,"Tidak akan masuk syurga orang yang mengadu domba manusia".

Amaran keras dari Nabi S.A.W kepada golongan melaga-lagakan manusia itu, kerana dengan sikapnya yang buruk itu akan mendatangkan huru-hara perbalahan dalam masyarakat.

Dilarang keras bagi yang bersengketa hingga tidak bertegur sapa melebihi tiga hari walaupun terlalu marah. Allah Taala menjadikan manusia bersifat lemah dan kekurangan yang memungkinkan mereka terjerumus ke jurang perbalahan, justera itu diciptakan pula peraturan yang sesuai dengan sifat kekurangan yang ada pada manusia itu. Lantaran sifat marah itu dikurniakan kepada manusia bermanfaat jika sesuai pada tempatnya, tetapi boleh menerbitkan perbalahan adalah hasil daripada sifat tersebut. Selagi boleh elakkanlah perbalahan. Tidak bertegur sapa akibat perbalahan dimaafkan oleh syarak sekiranya tidak melebihi tiga hari, sebagai peraturan setimpal meraikan sifat manusia yang pemarah itu.

Oleh : Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Mursyidul Am PAS

No comments:

Post a Comment