Saturday, November 12

RAKYAT MENJADI LIAR BILA MELANGGAR HUDUD ALLAH

WRITTEN BY AKADEMI TARBIYAH DEWAN PEMUDA PAS PUSAT Category: Hukum Feqh

Undang-undang hudud merupakan salah satu daripada undang-undang yang difardhukan oleh Allah Taala. Sebagaimana kita wajib bersolat, berpuasa dan mengeluarkan zakat, begitu jugalah wajib untuk kita menegakkan tuntutan melaksanakan undang-undang yang disediakan oleh Allah. Jika kita boleh menerima bahawa di sekolah ada undang-undangnya di mana pelajar perlu mematuhi arahan guru dan pentadbir. Di pejabat ada undang-undangnya di mana pekerja perlu mematuhi arahan majikan. Di dalam negara ada undang-undangnya di mana rakyat diminta taat patuh kepada pemimpinnya. Maka adakah manusia hidup di dunia Allah ini, tidak dikenakan undang-undang? Sudah tentu lebih daripada itu kerana hidup ini satu urusan yang terlalu sulit dan complicated sehinggakan di luar daripada kemampuan manusia menguasainya.

Siapakah yang berhak menentukan undang-undang hidup di dunia selain daripada pencipta dunia sendiri iaitu Allah Taala? Inilah yang disebut di dalam firmanNya yang bermaksud, "Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Dia menerangkan kebenaran dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan". - Surah Al An'aam:57

"Kebenaran itu milik Allah, keadilan juga milik Allah Taala". - Surah Al An'aam:115

Dalam undang-undang Islam, antara hukuman yang tertera di dalam Al Quran ada menyebutkan perihal sebatan. Perlulah diingatkan bahawa hukuman sebat merupakan hukuman yang diturunkan oleh Allah Taala. Di dalam surah An Nur terdapat enekmen tentang hukuman ini. An Nur memberi makna cahaya. Cahaya matahari, bulan, bintang diperlukan untuk fizikal. Manakala cahaya Al Quran dan Al Sunnah diperlukan untuk rohani manusia, "(Iaitu) pada hari ketika kamu melihat orang Mukmin lelaki dan perempuan, sedang cahaya mereka bergerak dengan cepat di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (Dikatakan kepada meraka) : Pada hari Ini ada berita gembira untukmu" - Surah Al Hadid:12

Adapun Surah An Nur dimulakan dengan ayat yang bermaksud, "Surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat wahai manusia". - Surah An Nur:1

Perhatikanlah bagaimana Allah menggunakan perkataan - Anzalnaa ha - bermaksud "Kami turunkan diikuti dengan - Faradhna ha - yang bermaksud Kami wajibkan hukum-hukumnya" dan seterusnya - Anzalnaa fiha aayati bayyinat - iaitu "Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata". Ketiga-tiga ini dinyatakan secara berturutan dan beriringan. Walaupun kita semua sudah maklum bahawa Al Quran memang diturunkan oleh Allah Taala, dan memang difardhukan hukum-hukumnya oleh Allah Taala dan diturunkan ayat-ayatnya dengan terang dan jelas juga oleh Allah Taala. Bagaimanapun apabila ketiga-tiganya dinyatakan secara berturutan di dalam satu ayat, ia merupakan satu isyarat, betapa seriusnya perintah yang akan dinyatakan selepasnya.

Perintah itu ialah hukuman sebat yang merupakan salah satu daripada hukuman hudud. Justeru, diakhirkan ayat tersebut dengan perintah - La'allakum tazakkarun - yang bermaksud "Supaya kamu benar-benar beringat". Beringat ertinya sentiasa pada setiap masa kita hendaklah mengambil ingatan bahawa perintah-perintah yang mengandungi hukuman-hukuman tersebut telah ditetapkan oleh Allah Taala dan akan disoal olehNya di padang Mahsyar kelak.

Allah Taala berfirman selepas ayat 1 Surah an-Nur tersebut yang bermaksud, "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman".

Hudud bukanlah bererti hukuman sebat dan potong tangan semata-mata. Malangnya wajah hudud telah diberikan imej yang cukup buruk oleh media Barat dengan sokongan media sekular di dalam negara menjadikan masyarakat seringkali tersalah anggap tentang hudud. Hakikatnya hudud bermakna batasan. Setiap apa yang diperintahkan atau dilarang oleh Allah Taala itulah yang dinamakan batasan. Melanggar batasan dengan meninggalkan apa yang disuruh atau mengerjakan apa yang dilarang itulah yang disebut sebagai melanggar hududuLlah.

Al Quran menyebut perkataan hudud bukan sahaja di dalam bab jenayah, tetapi dalam masalah peraturan rumahtangga dan nikah cerai. Allah Taala berfirman, "Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang telah diceraikan itu), kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan hudud Allah yakni aturan-aturan hukum Allah". - Surah Al Baqarah:229

Di dalam masalah pembahagian harta pusaka, turut disebut perkataan hudud. Firman Allah Taala, "Jika pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). Ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. Itulah hudud (batas-batas Syariat) Allah..." - Surah An Nisa':12-13

Hari ini negara sedang berada pada keadaan yang sangat memalukan. Kita sering kedengaran berlaku rasuah, penyelewengan dan pecah amanah semakin meningkat. Peningkatan gejala sosial pula kini sampai ke tahap sangat-sangat membimbangkan, ditambah lagi dengan purata setiap 16 minit satu kes kecurian di negara kita. Begitu juga dengan peningkatan kes pembunuhan, rogol, ragut dan pelbagai jenayah lain.

Kenapakah undang-undang yang ada tidak mampu membendung masalah inni? Tidak lain hanyalah kerana undang-undang yang ada tiada kemampuan untuk pencegahan. Undang-undang yang dicadang oleh Allah Taala itulah yang merupakan satu pencegahan. Firman Allah Taala yang bermaksud, "Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". - Surah Al Maidah:38

Barangkali ketika kita masih bayi, di atas riba kita kerap diperdengarkan kalimah - Bismillahir Rahmanir Rahim - setiap kali susuan dilakukan. Yang terbaik lagi apabila ibu itu dalam keadaan berwudhuk sebelum susuan dilakukan. Nama Allah, nama Al Rahman, nama Al Rahim, adalah suntikan ajaib untuk mengukir berkat dan qudus ke atas qalbu bayi yang baru mengenali alam dunia. Tidak ada doktor, tidak ada alat canggih yang boleh mengesan seni Asmaul Husna ke atas qalbu bayi.

Bila anak memasuki alam persekolahan, guru pula mencambah, membajai benih-benih yang telah ditabur oleh golongan ibu di rumah tadi. Dan bila mereka melepasi alam persekolahan dan memasuki alam pekerjaan, menjadi rakyat, bergerak dalam semua bidang hidup, pihak kerajaan pula yang sewajarnya menyambung, membimbing, dan melaksana segala benih yang ditabur di rumah, dan di sekolah, supaya ianya berubah dan mendatangkan hasil yang memenuhi kehendak iman dan taqwa kepada Allah Taala.

Firman Allah Taala, "Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, Pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya". - Surah Al 'Araf:96

Adalah sangat-sangat menduka-citakan apabila ada di antara mereka yang pandai-pandai menolak pencegahan daripada Allah Taala. Bagaimana rakyat mahu menjaga batas sekiranya kerajaan yang berkuasa sendiri tidak mempedulikan batas hududuLlah sendiri? Bila kerajaan melanggar hudud Allah, dengan sendirinya rakyat hidup tanpa batas. Di sana sini berlaku pelanggaran terhadap hudud Allah Taala dengan sewenang-wenangnya.

No comments:

Post a Comment