Thursday, January 20

DEMO INTERLOK THAIPUSAM:SEMBILAN HINDRAF DITANGKAP

 


Kuala Lumpur - Sembilan lelaki ditahan kerana cuba menimbulkan kekacauan dengan memaparkan poster bertulis 'Haramkan Interlok' ketika sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves di sini hari ini.

Gambar: SEKUMPULAN lelaki yang memakai baju T berwarna oren dan mempunyai tulisan HINDRAF mempamerkan poster protes pada sambutan perayaan Thaipusam hari ini, di Kuil Batu Caves, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dalam kejadian pada pukul 10.10 pagi itu, kesemua lelaki yang memakai baju T berwarna oren dan mempunyai tulisan Hindraf itu cuba mempamerkan tiga poster kepada orang awam.

"Ketika polis hendak menghalang kesemua mereka yang berumur antara 18 hingga 46 tahun itu, mereka merempuh polis menyebabkan mereka ditangkap.

"Kami turut merampas kesemua poster itu untuk simpanan bukti kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lapan daripada mereka berasal dari Selangor manakala seorang lagi dari Ipoh, Perak.

Siasatan juga mendapati tiga daripada mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, katanya.

Beliau turut berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.

Mereka kini ditahan di Balai Polis Selayang.

Tun Hisan berkata, dari Isnin hingga hari ini, tiada kejadian jenayah dilapor di kawasan tumpuan sambutan perayaan bagi penganut agama Hindu itu kecuali kekacauan yang dileraikan polis itu.

Dilaporkan kira-kira 1.3 juta pengunjung dan penganut agama Hindu tempatan dan luar negara membanjiri perkarangan kawasan berkenaan sejak Isnin lepas.

Seramai 1,200 polis ditugaskan mengawal keselamatan di kawasan itu termasuk laluan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) bagi memastikan kelancaran trafik dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini. -Bernama

No comments:

Post a Comment