PRK Tenang: PAS mampu kecilkan majoriti serta kejutkan BN..!!
Dalam cuaca sedikit dingin dan tenang, BN dan PAS terus menghangatkan suasana Tenang
Ketika ini, bagi kebanyakan pemerhati di kalangan media dan penganalisa politik negara melihat PAS yang bertanding dalam lubuk BN, sebagai parti bukan pilihan untuk menang dalam PRK ini.
Bagaimanapun, sasaran merapatkan jurang majoriti berbanding 2,492 undi dalam PRU-12 lalu sudah memadai bagi membolehkan PAS meraikan kemenangan moral buat mereka.
Berbanding BN, definisi kemenangan dalam PRK Dun Tenang bukanlah sekadar menang buat mereka tetapi perlu memperolehi kemenangan dengan majoriti lebih daripada 2,500 undi.
Ketika tempoh berkempen semakin suntuk, BN yang masih menunjukkan keyakinan tingginya, telah mula menunjukkan tanda-tanda terbabas daripada sasaran awal kemenangan majoriti berganda apabila memainkan isu keagamaan telah menjerat diri.
Ketika calon BN, Azahar Ibrahim dan calon PAS, Normala Sudirman berhempas pulas untuk meraih undi maksima, gandingan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan anaknya Chua Tee Yong pula hampir tersepuk di sudut gelangang tatkala berhadapan dengan gandingan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Ramalan awal oleh pemerhati di kalangan media dan permerhati politik bagi kawasan majoriti pengundi Cina lebih cenderung menyebelahi PAS berbanding Umno dan BN.
Selain faktor kempen berkesan yang dijalankan oleh pemimpin Pakatan Rakyat di kawasan itu dan keterujaan terhadap imej Guan Eng sebagai seorang Ketua Menteri berbangsa Cina dengan rekod pentadbiran yang kompeten, bertanggungjawab dan telus (CAT).
Kenyataan hina Islam memakan diri
Kedua-dua Chua dari BN ini, tanpa disedari turut membantu PAS. Soi Lek terutamanya, dengan kenyataan-kenyataan yang menghina Islam dan akibatnya telah memakan diri.
Sementara itu, walaupun menurut beberapa pemerhati baru-baru ini yang menganggap PAS masih gagal menembusi kubu BN di kawasan Felda, kesilapan memainkan isu agama oleh pemimpin MCA dan Gerakan sebelum ini dijangka mewujudkan beberapa tembusan kecil ke atas kubu mereka oleh PAS di kawasan terbabit.
Selain itu, faktor calon yang dikaitkan dengan isu kecuaian melelong tanah seorang penduduk Melayu di Pekan Jabi yang memaksa beliau menghadapi perbicaraan kedua kes yang sama Februari ini dan kenyataan Soi Lek yang dilaporkan dalam sebuah akhbar sebagai berkata “apa baiknya untuk mengetahui nilai atau tata susila orang Islam?” turut melemahkan kubu BN sendiri.
Taktik kehadiran beberapa pemuda berbaju ‘T’ dengan logo BN bagi menganggu ceramah pemimpin Pakatan juga mampu memberi padah kepada sokongan terhadap BN sendiri.
Berdasarkan perkembangan semasa di Tenang, telah wujud persepsi yang menunjukkan tidak mustahil bagi PAS mampu merapatkan jurang majoriti sehingga di bawah paras 2,000 undi atau lebih baik dari itu, sesuatu yang boleh dianggap kemenangan bagi PAS.
Bagaimanapun, pemantauan dan keberkesanan jentera kempen parti bertanding sepanjang baki masa kempen yang ada khususnya 12 jam terakhir mampu mengubah sokongan pengundi di saat akhir.
Dijangkakan, parti bertanding akan menggandakan kekuatan jentera kempen masing-masing dan meningkatkan serangan terhadap lawan dalam isu-isu yang memberi kelebihan bagi parti masing-masing dalam tempoh 12 jam terakhir.
‘Startegi melemparkan bom saat akhir’ khususnya 12 jam sebelum tempoh kempen tamat dianggap mampu memberi kesan maksima oleh kebanyakan jentera parti politik dalam negara ini dan ia adalah strategi yang kerap diaplikasikan dalam pilihan raya sebelum ini.
Bagaimanapun BN dianggap mempunyai kelebihan dalam mengaplikasi strategi ini apabila mempunyai kawalan terhadap media-media utama yang hebahannya lebih meluas dan pantas sekaligus membolehkan BN dapat menjawab asakan dengan cepat dan membuat serangan lebih pantas.
Pemantauan berterusan dalam setiap isu yang dinaikkan oleh lawan masing-masing dalam tempoh 12 jam terakhir sebelum tempoh kempen berakhir dijangka bakal diberikan perhatian utama oleh jentera kempen kedua-dua parti bertanding itu.
No comments:
Post a Comment