Saturday, January 29

PRK Tenang: Pengundi Cina jadi teka-teki

Tidak terdapat tanda-tanda yang jelas, parti manakah yang akan disokong oleh masyarakat Cina

LABIS: Masyarakat Cina yang menghuni kawasan bandar di sekitar daerah ini menjadi teka-teki kerana tidak menampakkan sokongan
secara nyata kepada mana-mana parti, baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (Dun) Tenang esok.
Dalam tinjauan terbaru, tidak seperti ditempat-tempat lain, masyarakat Cina di sini lebih kuat menyimpan rahsia dan tidak terdapat tanda-tanda yang jelas, parti manakah yang akan mereka sokong nanti.
Namun, BN yakin peluang mereka lebih cerah terutama selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkempen untuk meraih undi di kawasan ini.
Seorang petugas Umno berkata, ada kemungkinan sokongan kepada BN terus meningkat ekoran kehadiran Muhyiddin semalam dan mendakwa parti itu telah menguasai 60 peratus dari jumlah pengundi Melayu.
“Orang Tenang sangat bangga dengan Muhyiddin kerana dia orang Johor. Tanyalah kepada mana-mana orang Johor di sini (Tenang),” tambahnya.
Beliau mendakwa kempen besar-besaran yang dibuat oleh Pakatan Rakyat di saat-saat akhir untuk merampas kerusi ini kelihatan hampir mustahil.
“Semua kawasan Melayu kita kuasai. Begitu juga dengan kawasan Felda.
Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) tidak berjaya menembusi kawasan kubu kuat Umno ini.
Pengundi wanita serba salah
Bagaimanapun, seorang penyokong PAS yang ditemui memberitahu memang kelihatan lebih ramai yang akan menyokong BN tetapi kehadiran Ketua Muslimat PAS Kawasan Labis, Normala Sudirman telah menyebabkan ramai pengundi wanita serba salah.
PAS yakin peluang parti itu tetap ada walaupun pemimpin BN memainkan isu cuti sakit suami Normala atau lebih mesra dipanggil Cikgu Mala.
Penyokong PAS itu mendakwa, sekurang-kurangnya 40 peratus pengundi wanita akan mengundi Normala esok.
“Ini maklumat yang kita terima selepas petugas-petugas, terutama Muslimah berkempen dari rumah ke  rumah,” katanya.
Beliau mememberitahu, kehadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan pengundi Melayu yang sebelum ini condong kepada Umno berkemungkinan besar akan menyokong PAS kali ini.
Selain Anwar, pemimpin besar PAS dan DAP berkempen siang malam untuk membawa kemenangan kepada Normala dan PAS.
Dalam pengundian esok, Cikgu Mala akan ditentang oleh Mohd Azahar Ibrahim dari BN. Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Suleiman Taha dari BN, akhir November lalu.

No comments:

Post a Comment