TENANG: Pakatan Rakyat Johor membuat laporan terhadap Puad Zarkashi di Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) pagi ini lantaran Ahli Parlimen Batu Pahat mendakwa perbuatan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran yang berkempen untuk Umno Barisan Nasional (BN), hanya fitnah.
Pengarah Operasi Pilihan raya DUN Tenang, Dzulkefli Ahmad, berkata pelakuan Markom benar-benar berlaku, malah pihaknya turut menyerahkan salinan video yang menunjukkan pegawai kerajaan itu sedang berkempen untuk parti pemerintah.
“Pagi tadi, kami membuat laporan dan menyertakan satu salinan video Markom berkempen berikutan kenyataan media Puad Zarkashi yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, kerana menyatakan kami hanya memfinah Markom.
“Kami tidak mahu Umno BN memperalat jentera kerajaan untuk berkempen kerana ia menyalahi undang-undang. Dakwaan mengatakan PAS berkempen adalah meleset kerana Umno sebenarnya yang berbuat demikian,” kepada KeadilanDaily.com hari ini.
Selain itu, beliau berkata, jentera Pakatan Rakyat terpaksa menurun beberapa kain rentang yang memburuk-burukkan pimpinan parti gabungan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, dipercayai dilakukan Umno BN.
“Terdapat kain rentang yang berbaur fitnah, mengeji dan memaki terhadap Anwar Ibrahim dan Salahuddin telah kami turunkan kerana memburukkan nama mereka. Ini tidak patut,” katanya.
Beliau berkata, jentera Pakatan Rakyat sedang mempergiat usaha dengan menggembeling tenaga muda untuk menggerakkan semua saluran peti undi bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya kecil itu.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Sulaiman Taha dari Umno.
DUN Tenang memiliki 14,511 pengundi dengan 49.59 peratus adalah Melayu, Cina (38.24 peratus) dan India (12,07 peratus)
Pada pilihan raya umum 2008, Umno meraih 6,367 undi dengan majoriti 2,492 menewaskan calon PAS (3,875).
Bagaimanapun, kemenangan itu dicapai dengan kemerosotan undi majoriti berbanding pilihan raya umum 2004 yang menyaksikan Umno meraih majoriti sebanyak 5,517 undi hasil 7,655 undi manakala PAS (2,138 undi).
No comments:
Post a Comment