Monday, February 7

Hapus Akta Hasutan peninggalan penjajah

SHAH ALAM, 7 Feb: Kerajaan Malaysia didesak memperbaharui sistem perundangan negara dengan menghapuskan Akta Hasutan peninggalan penjajah kerana ternyata tidak memberikan keadilan kepada rakyat negara ini.
Salah seorang peguam yang dilantik mewakili Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, peguam N Surendran berkata, sudah sampai masanya undang-undang negara ini digubal semula untuk menjamin hak setiap rakyat untuk bersuara.
Surendran berkata demikian sebaik sahaja keluar dari ruang bicara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dekat sini pagi tadi selepas Shuhaimi didakwa di bawah Akta Hasutan mengikut Seksyen 4 (1) berikutan siaran pandangan peribadinya di blog beliau pada 31 Disember lepas.
Shuhaimi menulis tentang pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi yang disifatkan oleh musuh politiknya sebagai menghasut membenci Sultan Selangor.
Hakim Latifah Mohd Tahar berkata, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000, atu penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama namun  membenarkan Shuhaimi diikatjamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Shuhaimi melantik  tujuh peguam terdiri daripada Latheefa Koya, Yusmadi Yusoff, N Surendran, Amer Hamzah, Fahri Azzat dan Nizam Bashir diketuai peguam hak asasi manusia terkenal, Edmund Bon.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof dan mahkamah menetapkan kes itu akan disebut semula 28 Mac depan.
Ramai pimpinan Pakatan Rakyat Selangor hadir termasuk Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Timbalan Presiden Keadilan, Azmin Ali, Exco Dr Haji Yaakob Sapari, Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Kapar, Manickavsagam dan Exco, Teresa Kok serta Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.
Dalam pada itu, Shuhaimi dalam kenyataan kepada Harakahdaily ketika menanti wang jaminan disiapkan menyatakan, rupanya akta ciptaan penjajah British masih 'mulia' walaupun negara merdeka sudah 53 tahun.

No comments:

Post a Comment