Monday, February 7


PAS Tak Bertanding Di Merlimau? Karut!


PAS dipercayai tidak mahu bersaing di DUN Merlimau

KUALA LUMPUR, 7 Feb — Barisan Nasional (BN) yang menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dilihat kemungkinan boleh mengekalkannya tanpa cabaran jika Pakatan Rakyat khususnya PAS memutuskan untuk tidak meletakkan calon mereka kali ini.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Merlimau akan berlangsung 6 Mac ini.

The Malaysian Insider difahamkan beberapa pemimpin kanan PAS sedang melobi untuk tidak menurunkan calon mereka di kubu kuat BN itu.

“Kita perlu memilih pertarungan, kita tidak boleh bertanding hanya kerana adanya kekosongan. Kosnya tinggi dan ini masa untuk kita memfokus pada pilihan raya umum,” kata seorang anggota biro politik PAS yang tidak mahu namanya didedahkan.

Daripada 14 pilihan raya kecil sejak 2008, PAS bertanding tujuh kali dan menang empat.

Kali terakhir PAS memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil ialah Januari 2007, yang diadakan ekoran kekosongan kerusi DUN Batu Talam di Pahang.

PAS menggariskan kelemahan proses pilihan raya sebagai alasan memulau pilihan raya kecil ketika itu.

“Kecuali beberapa pemimpin yang ghairah mahu mengadakan bilik gerakan di Merlimau, kebanyakan kami di peringkat nasional tidak cenderung untuk bertanding,” kata sumber itu.

Pemimpin jawatankuasa kerja PAS pusat itu berkata halangan dihadapi hanyalah hasrat kepimpimpinan parti peringkat negeri dan kawasan Jasin.

Perkara itu dijangka dibincangkan pada mesyuarat Pakatan Rakyat petang ini.

Biro politik PAS akan mengadakan mesyuarat mereka malam ini.

The Malaysian Insider isu tersebut akan disentuh dalam kedua-dua mesyuarat itu.

Dipercayai Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil Merlimau menyokong idea itu.

Seorang lagi pemimpin PAS berkata parti itu perlu membuat keputusan itu sebelum memujuk rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat mengambil langkah yang sama.

“Masalahnya ialah PKR dan ketua Angkatan Mudanya Shamsul Iskandar Akin yang berminat mahu bertanding, akan ada kesan dalaman lebih buruk jika PKR bertanding,” katanya dengan merujuk kepada persefahaman ketika pilihan raya umum 2008 di mana Shamsul tidak bertanding di Jasin tetapi memilih kerusi Dungun di Terengganu.

Bahagian Parlimen Jasin mempunyai lima DUN di mana BN menang kesemuanya pada 8 Mac 2008.

PKR juga menunjukkan minat ke atas Merlimau agar boleh ditandingi oleh Shamsul. -TMI


Petikan dari:

Melawat medan tempur politik di Merlimau
Oleh Zulkifli Sulong

Ekoran dari diskusi inilah, ada tiga pilihan untuk PAS dan Pakatan Rakyat pertimbangkan menjelang pilihan raya ini. Pertama, sebagaimana status qou 2008, PAS bertanding di sini.

Ia nampaknya pilihan yang sangat dikehendaki oleh PAS Melaka. Mereka mahu berusaha untuk memecahkan telor kerusi mereka dalam Dun Melaka. Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman adalah pihak yang paling mahu ianya dilakukan. "Malu aku bila bercakap dengan lain-lain pimpinan PAS, bila kita kosong begini," Ustaz Ghani didengar selalu berkata begitu.

Pilihan kedua adalah memberikan kerusi ini ditandingi calon PKR, Syamsul Iskandar Mat Akin yang juga Pengerusi PKR Melaka. Beliau memang pun sangat beriya-iya mahu bertanding di sini. Namun bagi PAS, pilihan ini terlalu negatif bagi mereka. Lihatlah dari perpektif manapun, ia akan membuatkan PAS Melaka marah.

Pilihan ketiga adalah memberikan peluang kepada calon BN menang percuma dalam pilihanraya ini. PR buat persiapan untuk PRU 13 yang sudah tidak berapa lama itu. Pimpinan PAS yang selalu menjaja idea ini adalah naib presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Bagi beliau pilihan raya kecil adalah pembaziran wang rakyat. Langkah sebegini pernah dibuat oleh PAS di Batu Talam, Pahang.

Katiga-tiga pilihan ini ada buruk dan baiknya. Pucuk pimpinan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat perlu mempertimbangkannya. -petikan dari harakahdaily


Ulasan GB

Jika benar seperti dilaporkan ada pemimpin kanan PAS sedang melobi untuk tidak menurunkan calon mereka di Merlimau, ia adalah sesuatu yang karut.

Pertama, tugas PAS selain dari untuk bertanding di dalam pilihanraya, ada tugas yang lebih penting dari itu iaitu menyampaikan mesej dakwah.

Kedua, Merlimau kubu kuat BN? Tidak ada pun di Malaysia ini yang boleh menjadi kubu kuat BN yang tidak boleh ditembusi oleh parti lain. Johor satu ketika dianggapkan kubu kuat UMNO BN sehingga ridak ada satu parti lain selain UMNO BN yang boleh memenanginya. Tetapi senario kini sudah menamatkan khurafat itu.

Ketiga, perbelanjaan besar untuk pilihanraya? Ia bukan ditanggung oleh pimpinan semata-mata tetapi oleh ahli-ahli akar umbi PAS yang selama ini menegakkan parti melalui sumbangan-sumbangan dan derma-derma. Bukan datang dari kocek pimpinan kanan seperti Tuan Ibrahim Tuan Man, tetapi PAS adalah milik jemaah.

Keempat, hanya yang bermentaliti lemah seperti Zulkifli Sulong, Ketua Editor Harakahdaily yang meletakkan "tidak bertanding" sebagai satu alternatif yang ada bagi PAS. Bagi yang berjiwa besar, sekalipun penuh onak dan ranjau, katakan kepada mereka "PAS BOLEH"!

Kelima, tidak ada umat Islam di zaman Rasulullah menyatakan tidak mahu ke medan perang apabila diseru berbuat demikian. Berjuang atau mati syahid. Anihnya seorang ketua media PAS sendiri tergamak mengutarakan alternatif-alternatif yang tidak berpaksi kepada kebenaran dan roh Islami.

Keenam, Bukit Talam? Keadaannya berbeza kerana kita itu, Pakatan Rakyat belum terbentuk. Barisan Alternatif ketika itu belum mantap untuk berdepan dengan jentera BN.

Banyak lagi hujjah yang boleh GB kemukakan. Tetapi GB yakin tulisan yang keluar di dalam TheMalaysian Insider di atas hanya rekaan penulisnya dan bukan zahir dari mulut pemimpin kanan parti seperti yang didakwa.

Biar sekalipun PAS tewas, dakwah MESTI dilaksanakan dan PAS perlu bertanding DEMI Islam. Berjuang dan berusaha dengan sehabis-habisnya, kalah menang di tangan Tuhan! Itu semboyan kita

No comments:

Post a Comment