Friday, February 11

KETUA DPP MALAYSIA,,,,KAMI PENDAKWAH BUKAN PENGHUKUM

 

oleh Nasrudin Hassan pada pada 11hb Februari 2011 pukul 2.30 pagi
1. Biarpun berdepan kritikan pedas dari pelbagai pihak,  saya dan rakan - rakan Dewan Pemuda PAS Malaysia akan terus berjuang dan berdakwah bagi menyelamatkan generasi muda dari terus dimangsakan oleh pelbagai aktiviti tidak bermoral di dalam negara ini. Kami akan turun sebagai Duta penyelamat dan Kasih Sayang dengan membawa misi dakwah untuk mendidik serta membimbing masyarakat khasnya generasi muda muslim hari ini agar tidak hanyut dibawa arus keruntuhan moral.

2. Gerakan dakwah ini akan disemarakkan oleh Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Malaysia di seluruh negara melalui Dewan Pemuda PAS Negeri - Negeri dengan memilih beberapa lokasi sasaran yang berpotensi berlakunya  kegiatan tidak bermoral sempena sambutan Valentine Day .

3. Dakwah atau gerakan mengedar "risalah didikan" serta menyantuni mereka yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral sebenarnya telah menjadi aktiviti rutin Dewan Pemuda PAS Malaysia sejak berzaman lamanya. Sebagaimana Pemuda PAS tegas membenteras kegiatan tidak bermoral didalam politik seperti penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, juga membenteras aktiviti tidak bermoral didalam ekonomi seperti pembaziran dan rasuah, maka Dewan Pemuda PAS juga istiqamah membenteras perlakuan tidak bermoral didalam sosial seperti pergaulan bebas, seks bebas dan vandalisme.

4. Namun kami bukan penghukum, kami juga bukan Polis Moral malah kami bukan penguatkuasa. Kami adalah pendakwah yang bertanggungjawab untuk mendidik rakyat agar tidak terjebak dalam sebarang kegiatan, aktiviti dan perlakuan yang tidak bermoral justeru implikasinya merosakkan maruah diri, nilai tamadun dan nama baik negara.

5. Kami Pemuda PAS sedia menghulurkan kerjasama malah mengharapkan kerjasama dari pihak berkuasa kerajaan negeri khasnya negeri - negeri Pakatan Rakyat untuk turun ke padang menyelamatkan generasi muda  dari terjebak dalam kancah moral yang negatif. Kempen No Panties For Valentine Day pada tahun lalu, sebagai contoh kegiatan tidak bermoral yang dibimbangi masih berterusan dalam aktiviti yang pelbagai dan nama yang berbeza untuk mengelirukan orang ramai serta pihak berkuasa.

6. Saya masih percaya bahawa kerajaan negeri - negeri Pakatan Rakyat tidak mahu membiarkan generasi mudanya yang bakal mewarisi kepimpinan negeri dan negara pada masa akan datang terperangkap dalam perlecehan moral yang merosakkan reputasi diri dan nilai maruah mereka. Justeru itulah saya menawarkan kerjasama  antara Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan pihak Kerajaan negeri untuk memantau perkembangan dan kegiatan tidak bermoral lalu tampil memberi didikan kepada mereka yang terjebak agar insaf dan tidak membiarkan diri mereka lemas dalam pengaruh nafsu dan syahwat.

7. Suatu sikap yang sangat tidak adil, apabila kita begitu keras dan tegas menentang kegiatan yang tidak bermoral dipentas politik dan ekonomi seperti penyalahgunaan kuasa, pembaziran, rasuah, penipuan dan penindasan tapi kita berdolak dalih dalam usaha memurnikan iklim sosial negara dari kegiatan tidak bermoral seperti seks bebas, vandalism, penyalahgunaan dadah dan sebagainya sedang ia turut membawa kesan yang buruk kepada kesejahteraan, keamanan keharmonian negara.

8. Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak hanya turun pada Valentine Day, tetapi juga pada malam sambutan Ulangtahun Kemerdekaan, Sambutan Tahun Baru dan hari - hari yang dianjurkan pesta atau karnival yang mempromosi atau menggalakkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batas . Kami turun sebagai Duta Penyelamat dan Kasih Sayang. Ini adalah sikap Dewan pemuda PAS Malaysia yang diwarisi sejak dulu dan ia bukan pandangan peribadi saya.

9. Kami pemuda PAS tekad akan selamatkan generasi muda muslim dan siapa jua yang mahu dari hanyut dibawa arus maksiat seta mungkar dengan penuh kasih sayang demi masa depan mereka dan juga masa depan negara, biarpun berdepan dengan pihak yang terus mahu menyuburkan aktiviti tidak bermoral dan sengaja tidak mahu memahami hasrat dan tindakan kami.

10. Akhirnya saya terus menyimpan harapan agar Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat menjadi contoh kepada negara untuk mendidik rakyat bukan sahaja dalam aspek politik dan ekonomi tetapi juga kearah membentuk iklim sosial yang jernih dan harmoni. Bebas dari kegiatan yang tidak bermoral serta meruntuhkan maruah negeri dan negara. Sementara saya tiada authoriti untuk memberi arahan kepada sebuah kerajaan negeri sebagaimana saya juga bukan polis untuk menangkap pesalah. Saya hanya pendakwah bukan penghukum .

No comments:

Post a Comment