Saturday, March 26

Dun Damak bukan untuk PKR?

 

Selaku Anggota Jawatankuasa PKR Negeri yang ditugaskan untuk menyelaraskan pergerakan Parti Keadilan Rakyat untuk Cabang Jerantut, saya meminta supaya parti-parti didalam Pakatan Rakyat supaya memberhentikan cakap-cakap bahawa DUN Damak adalah diantara kawasan DUN yang akan diserahkan kepada sebuah parti didalam Pakatan Rakyat dan akan terlepas dari PKR.

Eloklah hentikan cakap-cakap seumpama ini kerana pertamanya perkara penyerahan itu tidak akan berlaku; dan keduanya PKR Cabang Jerantut adalah sebuah organisasi yang masih dan tetap segar, dan kerja-kerja untuk menyusun rakyat didalam DUN Damak sedang dilakukan.

Jerantut mempunyai 3 DUN dan satu Parlimen. PAS bertanding untuk Parlimen dan dua DUN yang lain iaitu Pulau Tawar dan Tahan; manakala PKR hanya bertanding di DUN Damak. Didalam pertandingan yang lalu (2008) PKR hanya kalah tipis sahaja di DUN Damak, dan jika tidak ada calon Bebas pada waktu itu, besar kemungkinan PKR sudah memenangi DUN Damak.

Calon Bebas didalam Pilihanraya 2008 di DUN Damak itu adalah ahli MCA yang diketepikan oleh partinya sendiri dan beliau memilih bertanding bebas. Kini calon itu menjelma sebagai ahli DAP dan berterusan memancing pandangan PAS supaya DAP diberikan kerusi DUN Damak kepada DAP.

PKR tidak berhajat untuk menyerahkan kerusi DUN Damak ini kepada PAS atau kepada DAP dan sebagai parti-parti didalam Pakatan Rakyat maka PKR menyeru supaya PAS dan DAP memberikan kerjasama yang erat kepada PKR untuk mempertahankan kerusi DUN Damak ini.,

No comments:

Post a Comment