Saturday, March 26

MPP gesa UM tarik balik gantung wakil pelajar, bekas calon

 


KUALA LUMPUR, 26 Mac — Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia (UM) mendesak pengurusan pusat pengajian tinggi menarik balik keputusan menggantung dua penuntut satu semester atas alasan memalsukan sijil sakit.
Ini kerana jelas Yang Dipertua MPPUM Mohd Syahid Mohd Zaini, kedua-dua penuntut itu tidak sewajar dikenakan hukuman sedemikian kerana tidak mendapat keadilan.
“Kita nak UM menarik balik keputusan itu sebab keputusan yang dibuat tidak telus, UM tidak meminta penjelasan daripada penuntut dan penuntut juga tidak dibenarkan membela diri dan membawa saksi.
“Kita mahu keputusan itu dibuat secara adil, biar kedua-dua penuntut ini membela diri masing-masing, bawa saksi dan bukti mereka baru nampak adil,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Kedua-dua penuntut itu dikatakan berbuat demikian ketika pemilihan kampus bulan lalu. Kedua-dua pelajar terbabit adalah penuntut tahun kedua dengan masing-masing menuntut di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sastera.
Kata Mohd Syahid, langkah pengurusan UM menggantung kedua-dua penuntut itu tanpa bukti yang sah adalah satu tindakan yang “zalim.”
“Macam mana kata palsukan surat sijil sakit? Apa bukti yang kata ia adalah palsu? Mereka berdua ada resit dan surat sijil sakit, macam mana kata ia palsu?
“Ini adalah hukuman yang agak zalim... tiga hukuman dijatuhkan serentak, selain digantung mereka juga perlu membayar denda dan telah diberikan amaran... sedangkan tidak bukti mengatakan mereka menipu.
“Sebab itu kita nak UM tarik balik keputusan ini, kenapa baru sekarang buat keputusan? Kenapa tidak ketika penamaan dan kempen pemilihan dulu?” katanya.
Semalam, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UM Prof Dr Rohana Yusof mengesahkan dua penuntut pusat pengajian tinggi digantung pengajian selama satu semester atas kesalahan tersebut. Jelas beliau, salah seorang penuntut tersebut telah ke klinik swasta untuk mendapatkan sijil sakit tetapi pada 15 Februari iaitu tiga hari selepas kursus penerangan itu diadakan.
“Kursus penerangan ini kita buat pada 12 Februari tapi penuntut ini berikan sijil sakit bertarikh 15 Februari selepas saya meminta surat tunjuk sebab kenapa tidak hadir.
“Yang seorang lagi tidak berjumpa doktor tapi dapat surat sijil sakit, yang saya percaya ia mungkin dibeli dari klinik swasta itu,” katanya.
Kata Rohana, bagi penuntut yang memenangi kerusi umum Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM selain digantung satu semester dia juga digugurkan daripada menganggotai badan tersebut. MPPUM adalah antara pemilihan kampus dikuasai oleh kumpulan pelajar Pro Mahasiswa pada pilihan raya kali ini

No comments:

Post a Comment