Monday, December 19

ISLAM UNTUK SEMUA,,GERAKAN ISLAM SEPAKAT,ISLAM BERDAULAT


Print
Kebelakangan ini, timbul beberapa kecelaruan pendekatan di antara gerakan Islam atau pertubuhan dakwah di Malaysia dalam menangani realiti semasa yang berhubung-kait dengan isu-isu agama, perkauman dan demokrasi. Tidak dapat dinafikan bahawa kecelaruan ini timbul antara lainnya ialah faktor selepas pilihanraya umum ke-12 yang menyaksikan kejayaan Pakatan Rakyat (PR) memenangi 5 negeri serta sokongan bukan melayu (non-Melayu) kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sangat jelas semakin merosot.

Setengah golongan melihat perkembangan ini sebagai tergugatnya ‘ketuanan Melayu’ dan bersatunya orang non-Melayu menentang kepimpinan Melayu. Setengahnya pula melihat perkembangan ini sebagai tsunami kesedaran politik rakyat Malaysia, dan kejayaan memecah tembok ketakutan orang non-Muslim kepada perjuangan Islam.

Reaksi kepada keputusan pilihanraya tersebut, ada pihak-pihak tertentu yang dilihat terdesak menimbulkan isu-isu keagamaan dan perkauman secara melampau sehingga memomokkan sentimen kononnya hak-hak keistimewaan Melayu semakin tergugat. Seiring agenda tersebut, lahirnya beberapa NGO-NGO Melayu yang beratibkan ketuanan Melayu ke hulu dan ke hilir.

Melayu Tergugat Atau Parti Melayu Tertentu?

Bagi mereka yang celik politik, isu-isu keagamaan dan perkauman yang timbul selepas daripada Mac 2008 ini disedari telah dijadikan modal politik murahan parti tertentu untuk menaikkan sentimen agama dan perkauman terutama di kalangan orang Melayu. Realitinya, yang tergugat adalah ketuanan parti tersebut dan bukan ketuanan Melayu mahupun ketuanan Islam. Malah ramai melihat KONFRONTASI kaum (yakni Melayu melihat Cina/India sebagai ancaman, dan non-Melayu pula melihat Melayu sebagai ancaman) telah serba sedikit dapat dikendurkan dan digantikan dengan INTERGRASI.

Namun yang agak mendukacitakan, apabila ada NGO Islam atau Gerakan Dakwah yang turut terpengaruh dengan kempen politik terdesak tersebut hingga turut membangkitkan sentimen kononnya Melayu tergugat. NGO ini seolah-olah turut terpengaruh dengan media arus perdana yang menjadi jentera kempen kepada golongan yang terdesak, bahawa Melayu tengah tergugat dan Melayu mesti segera bersatu!

Dalam rangka memperjuangkan kesatuan atau kesepakatan Melayu itu tadi, secara tidak sedar NGO tersebut di dalam tulisan dan ucapan-ucapan mereka berlebih-lebihan memburukkan golongan non-muslim di Malaysia dengan tuduhan secara meliar seolah-olah mereka semuanya adalah agen kepada gerakan musuh Islam di peringkat antarabangsa yang bertopengkan humanisme dengan segala cabangnya iaitu liberalis, pluralis, sekularis dan lain-lainnya. Seolah-olah asas hubungan Muslim dengan Non-Muslim adalah hubungan permusuhan dan pertembungan selama-lamanya, sementara hubungan sesama muslim adalah hubungan kasih sayang dan pembelaan walau pun dalam isu pengkhianatan, penindasan, sekatan dakwah, penghinaan terhadap agama dan seumpamanya.

ISLAM UNTUK SEMUA, BUKAN HANYA UNTUK MELAYU MUSLIM

Anda tidak disyaratkan mesti menjadi Melayu untuk menjadi seorang Muslim. Juga tidak perlu menjadi seorang Arab. Tiada seorang Ulama’ pun yang mengatakan hal itu kerana Islam merupakan rahmat Allah kepada seluruh alam semesta dan risalah-Nya adalah untuk segenap penghuni jagat raya ini. Anda juga tidak perlu menukar nama kepada nama Melayu atau Arab apabila telah memeluk Islam asalkan nama anda itu baik di sisi Islam dari segi maknanya walau apa bahasa sekali pun.

Di antara perkara yang seringkali menghantui non-muslim di Negara kita untuk mengizinkan anak-anak mereka memeluk Islam ialah apabila dengan memeluk Islam itu anak mereka akan bertukar menjadi Melayu bukan lagi seorang Cina atau India. Mereka boleh menerima anak mereka untuk menjadi seorang Hindu, Buddha, Kristian malah freethinker sekali pun, tetapi jangan Islam, nanti anaknya akan jadi Melayu. Perangai dan sikap sesetengah orang Melayu yang tidak boleh dijadikan teladan (dalam kebobrokan sosial dan politik khususnya) di samping sesetengahnya pula (orang Melayu) ada yang menjadikan Islam sangat bersikap EKSLUSIF serta mencampur adukkan ibadah dengan adat Melayu antara faktor penyumbang kepada kebimbangan tersebut.

Firman Allah Taala bermaksud, “Dan tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam” (Al Anbiya’:107)

FirmanNya lagi bermaksud, "Dan tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk manusia seluruhnya, memberi berita baik (bagi yang ta’at) dan berita yang tidak baik (bagi yang ingkar)" (Saba’:28)

Sabda Nabi bermaksud, “Dan adalah setiap Nabi diutuskan oleh Allah khusus kepada kaumnya sahaja, sementara aku (Nabi Muhammad S.A.W) diutuskan kepada seluruh umat manusia” [HR Imam Al Bukhari:438]

Keghairahan kita dalam membela ketuanan Melayu Muslim sewajarnya tidak sampai dilihat sebagai membela penyelewengan, pengkhianatan , penindasan dan kejahatan sesetengah mereka semata-mata kerana mereka Melayu dan Melayu itu adalah Muslim. Secara tidak sedar, kita sedang mempertontonkan kepada umat manusia seolah-olah Islam mengajar penganutnya agar membela dan menyokong seorang Muslim yang jahat dan zalim sezalim mana pun semata-mata kerana dia seorang Muslim. Islam menolak sebarang kerjasama menentang penyelewengan semata-mata kerjasama itu disertai oleh non-muslim. Teladan apakah yang cuba untuk kita tonjolkan?

Kedudukan Non-Muslim Dalam Islam

Hubungan di antara seorang Muslim dan Non-Muslim ialah hubungan yang berasaskan ‘HIWAR’ (dialog) bukan ‘SHIRO’ (Pertembungan). Di antara tuntutan syukur kita kepada Allah Taala lantaran dilahirkan sebagai seorang Muslim dengan nikmat Iman dan Islam ialah berkongsi nikmat tersebut dengan manusia-manusia lain yang ditakdirkan lahir sebagai non-muslim. Berusaha untuk menyampaikan Islam kepada mereka dalam keteladan yang menyeluruh, tidak hanya di dalam kitab-kitab dan sambutan hari kebesaran sahaja, malah di dalam seluruh aspek kehidupan secara praktikal.

Firman Allah Taala bermaksud, “Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan berbantahlah dengan mereka menggunakan cara yang baik…” (An-Nahl:125)

Malah di dalam Al-Quran, hanya ada satu tempat sahaja Allah s.w.t. memanggil non-muslim dengan gaya panggilan – ‘WAHAI ORANG-ORANG KAFIR- iaitu di dalam surah Al-Kafirun ayat yang pertama. Itu pun merujuk kepada golongan kuffar yang melampau dalam ajakan mereka kepada Nabi S.A.W untuk bertoleransi dan bersepakat dalam melakukan ibadah secara bergilir mengikut cara ibadah mereka dan cara ibadat Islam. Lalu Allah menurunkan surah Al-Kafirun sebagai garis pembatas yang jelas dalam aqidah dan ibadah. Sedangkan di dalam tempat yang lain, banyak Allah Taala memanggil non-muslim dengan panggilan lunak samada panggilan –‘WAHAI MANUSIA’- ‘WAHAI AHLI KITAB’ – ‘WAHAI BANI ISRAEL’. Ketiga-tiga panggilan itu adalah panggilan dengan nada menyeru dan memujuk agar mereka kembali kepada fitrah kebenaran. Bagi meneladani petunjuk tersebut, sangat elok untuk dakwah jika kita memanggil orang-orang bukan Islam dengan kata ganti Non-Muslim [ghairul muslimin] daripada perkataan Kafir atau Kuffar.

Kebebsan Beragama Dalam Islam

Islam memberi kebebasan kepada manusia di dunia ini untuk mereka memilih agamanya. Umat Islam tidak dipertanggungjawabkan untuk memaksa sesiapa pun dari kalangan non-muslim untuk memeluk Islam. Sebab itu tiada peruntukan undang-undang dalam Islam yang menghukum ke atas non-Muslim semata-mata kerana kekafirannya. Kekafirannya itu adalah kezaliman peribadinya yang akan dibalas oleh Allah Taala. selayaknya di akhirat kelak. Kita tidak memusuhi non-muslim semata-mata kerana dia tidak Islam. Adalah tidak adil kita memusuhi mereka semata-mata kerana kafirnya sedangkan kelahirannya sebagai seorang non-muslim itu bukan di atas pilihannya.

Firman Allah Taala bermaksud, “Dan sekiranya Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang di bumi ini seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” (Yunus:99)

“Tidak ada paksaan di dalam agama” (Al-Baqarah:256)

Isu Mempercayai & Berbuat Baik Kepada Non-Muslim

Adakah Islam mengajar kepada penganutnya agar sentiasa dan selamanya jangan percaya kepada orang bukan Islam? Dan tidak boleh sekali-kali berbuat berbaik dengan orang bukan Islam? Alangkah naifnya jika ada yang berpendapat demikian. Non-Muslim tidak semuanya sama. Sebahagian dari mereka ada yang boleh dipercayai dan ada yang tidak boleh dipercayai. Begitu juga seorang Muslim, ada yang boleh dipercayai (mukmin) dan ada yang tidak boleh dipercayai (munafik). Di setiap kaum atau bangsa pasti terdapat orang-orang yang jahat dan orang-orang yang baik.

Firman Allah Taala bermaksud, “Di antara ahli kitab itu ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya harta yang banyak, dikembalikannya kepadamu ; dan di antara mereka ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya (walau hanya) satu dinar, tidak dikembalikan kepadamu, kecuali jika kamu selalu menagihnya…" (Ali Imran:75)

Firman Allah s.w.t. lagi bermaksud, “Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani". Yang demikian itu disebabkan karena di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) karena sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri" (Al-Maidah:82)

Malah non-Muslim yang hidup di tengah masyarakat Islam memiliki hak dan kehormatan yang harus dipenuhi. Mereka mendapat jaminan dari Allah dan RasulNya. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Ketahuilah bahawa barang siapa yang menzalimi seorang kafir mu’ahid atau bertindak sewenang-wenang terhadapnya, atau membebaninya dengan sesuatu di luar kemampuannya, atau mengambil sesuatu darinya tanpa keredhaannya, maka aku akan menuntut pada hari kiamat kelak” [HR Abu Daud:3054]

Di dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8 Allah berfirman, “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”

Di dalam ayat tersebut, Allah s.w.t. menggunakan perkataan –‘al-birr’- bagi menggambarkan erti berbuat baik yang dibenarkan. Di dalam al-Qur’an biasanya perkataan –‘al-birr’- adalah kebaikan yang sangat lembut, seperti berbuat baik kepada kedua ibubapa –‘birrul walidain’.

Titik Permusuhan Di Dalam Islam

Islam bukanlah agama permusuhan. Namun dalam keadaan tertentu Islam membenarkan malah menuntut umatnya menentang dan menghadapi golongan yang memusuhinya kerana agama. Permusuhan tersebut bukan kerana musuhnya itu Islam atau bukan Islam, tetapi permusuhan tersebut adalah atas titik menghalang kebebasan dakwah, kebebasan beraqidah dengan aqidah Islam, dan kebebasan untuk meninggikan kalimat Allah atau penegakan Islam serta sekiranya berlaku penindasan dan pencabulan hak. Segala bentuk penindasan dan kezaliman atas prinsip tersebut maka ia menjadi titik kepada permusuhan di dalam Islam.

Firman Allah Taala, “Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadi teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Al Mumtahanah:9)

Apabila jelas bahawa titik permusuhan di dalam Islam adalah atas asas yang telah disebutkan di atas, bukan semata-mata atas asas Islam atau bukan Islam, maka ketika itu kita akan dapat melihat bagaimana Allah Taala memerintahkan kita agar memerangi orang-orang bukan Islam mahu pun orang-orang Islam yang menghalang dakwah Islam, berkompromi dengan orang kafir dalam menyekat dan menghalang penegakan Islam serta berkompromi dalam menghina serta mengelirukan ajaran Islam.

Firman Allah Taala, “Wahai Nabi! Berbaktilah kepada Allah dan jangan engkau taat kepada kafir-kafir dan munafik-munafik, sesungguhnya Allah adalah Mengetahui, Bijaksana” (Al-Ahzab:1)

Dan firmanNya lagi, “Wahai Nabi! Berjihadlah menentang kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka dan tempat kembali mereka itu adalah jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali" (At Tahrim:9)

Adakah Allah Taala memerintahkan Nabi S.A.W agar memerangi kaum kuffar dan munafik itu semata-mata kerana mereka kafir dan munafik? Jawapannya ialah tidak. Kuffar dan Munafik yang diperintahkan oleh Allah Taala untuk diperangi di dalam ayat-ayat tersebut ialah mereka yang memerangi dan membantu dalam memerangi Islam, mengadakan perancangan untk melemahkan Islam dan memusuhi Islam. Sedangkan Munafik itu zahirnya adalah orang Islam.

Adakah apabila kita mengatakan bahawa orang Islam yang menghalangi jalan dakwah, jalan kepada penegakan Islam, yang bersama golongan musuh menolak dan menghalang hukum Islam serta melakukan kezaliman dan penindasan secara berleluasa sebagai orang munafik, adakah kita telah berwenang-wenangnya MENGKAFIRKAN orang Islam yang bersyahadah?

Inilah antara isu yang cuba diputarbelit dan dicampur adukkan. Adakah Allah dan Rasulnya membongkar dan mendedahkan ciri-ciri dan sifat munafik itu secara sia-sia? Untuk apa Allah s.w.t. memerintahkan kita memerangi golongan munafik jika sifat-sifatnya tidak dapat dikenali? Allah Taala membongkar sifat dan karenah golongan Munafik ini di dalam Al-Qur’an sehingga ada surah khusus untuknya adalah agar golongan ini dapat dikenalpasti oleh orang-orang Islam yang beriman, supaya mereka bersedia menghadapi golongan ini dan tidak meletakkan kepercayaan kepada mereka kerana kemunafikan itu timbul lantaran rasa ketidak senangan mereka dengan Islam dan perjuangan Islam. Malah golongan ini (munafik) yamg zahirnya Islam, lebih merbahaya dari musuh-musuh Islam dari kalangan orang yang zahirnya kafir kerana mereka lebih mudah menipudaya orang-orang Islam. Sebab itulah tempat kembali mereka sebagaimana yang disebut oleh Allah Taala adalah serendah-rendah tempat di dalam neraka.

Firman Allah Taala, “Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah di neraka...” (An Nisa’:145)

Memunafikkan Jenis Bukan Memunafikkan Individu

Bila kita menyebut tentang golongan munafik ini, bukan bermaksud kita memunafikkan semua yang bersama golongan tersebut. Kerana di sana ada golongan pengikut yang tidak tahu hujung pangkalnya agenda perjuangan golongan tersebut. Ketika kita menentang golongan tersebut pun, yang kita tentang adalah usaha-usaha buruk dan jahat yang mereka lakukan dan kita berharap semoga mereka kembali ke pangkal jalan, kembali kepada Islam. Apabila berkuasa menjadikan mereka lupa diri, maka menurunkan mereka dari tahta kuasa adalah salah satu jalan untuk menyedarkan mereka selain bertujuan untuk memimpin satu gerombolan baru yang boleh menunjukkan keteladanan Islam yang sebenarnya.

Orang yang tidak memahami realiti dan prejudis sahaja yang beranggapan bahawa usaha yang dijalankan oleh gerakan Islam yang memilih wadah politik adalah untuk semata-mata inginkan kuasa dan semata-mata ingin menjatuhkan kumpulan lawannya. Jika mereka ingin berkuasa, mereka pernah ditawarkan dengan pelbagai jawatan tinggi. Tetapi himpunan pengalaman mengajar mereka tentang kelicikan politik golongan yang menolak dan menghalang Islam. Usaha ini juga bukan bertujuan memecahbelahkan orang Melayu, tetapi sebenarnya untuk menyedarkan dan menguatkan orang-orang Melayu dengan Islam dan perjuangan Islam yang sebenar! Allahuakbar!

* Tulisan saya ini bersambung dalam siri ke-2 yang akan membahaskan topik BEKERJASAMA DENGAN NON-MUSLIM MENENTANG KEZALIMAN, JAWAPAN KEPADA PERSOALAN BUKANKAH KAFIR ITU SENDIRI SATU KEZALIMAN, ISU GERAKAN MUSUH ISLAM ANTARABANGSA - HUMANISME, ANTARA ANDAIAN POLITIK DAN FAKTA DALAM MENENTUKAN SESUATU PENDIRIAN - Ustaz Hazmi bin Dibok

No comments:

Post a Comment