Saturday, December 17

kepada siapa hala muncung senjata mu?-tuan ibrahim tuan man

 

 
 
Print
Peperangan bukan sahaja mengadu kekuatan pasukan berhadapan dengan musuh, tetapi apa yang lebih penting ialah musuh perlu dikalahkan dengan apa cara sekalipun. Di zaman kuno, sebaik-baik peperangan ialah peperangan yang dimenangi tanpa menggunakan seorang askar pun – taktik minda, tulisan sebenarnya
jauh lebih tajam daripada pedang mahupun keris.

Keupayaan mengalahkan musuh melalui senjata mereka atau mengelirukan mereka merupakan kaedah terbaik, sehingga musuh sudah lagi dapat membezakan siapa sahabat dan siapakah musuh dan akhirnya membenamkan diri sendiri.
Strategi mengelirukan ini  menyebabkan musuh akan menembak kawan mereka sendiri bahkan tidak mustahil ia sanggup menghalakan mungcung senjata kepada diri sendiri; terutama bilamana wujud kekeliruan luar biasa dalam diri. Inilah yang menyebabkan berlaku bunuh diri disebabkan wujudnya desakan dalaman agar menamatkan musuh yang sentiasa membisikkan dalam diri sendiri.
“Bunuh dia, agar kamu lepas dari bebanan ini” - lalu ia akan bertindak bukan membunuh musuh sebenarnya, kerana musuh itu tidak akan mati, tetapi ia bunuh dirinya.
Dalam detik perjuangan yang semakin genting, harus diingatkan musuh akan melakukan pelbagai cara untuk menimbulkan suasana huru hara dan konflik dalaman pasukan musuh, sehingga mereka sanggup menghalakan senjata kepada kawan sendiri. Teknik ini seringkali diguna oleh pelbagai agen sehingga berlaku pertembungan dalam pasukan.

Untuk berhadapan dengan konflik ini, setiap kita mesti menyedari plot sesuatu perkara, kerana modus operandi mereka hampir sama. Apa yang paling malang, bilamana wujudnya pengaruh besar dalam diri (senangnya ‘ego diri’) sehingga mereka sangat yakin bahawa tindakan mereka itu adalah betul dan semua tindakan yang lain adalah salah. Kekeliruan luarbiasa ini berlaku sehingga apa jua yang dinyatakan terus ditolak dan dianggap mengarut.
Hal ini terjadi adalah disebabkan kelewatan mengenali punca berlakunya konflik dalaman atau sikap membiarkan konflik tersebut tanpa mengambil sebarang usaha mengatasinya. Lebih malang apabila konflik yang sepatutnya dicari jalan penyelesaian baik, diurus dengan emosi amaran dan provokasi melampau, seolah-olah tiada jalan keluar melainkan dengan perisytiharan konfrantasi terbuka.
Rakan-rakan yang dikelirukan dan terkeliru dan dirumitkan keadaan kerana ego mereka yang tinggi, kadang-kadang diperlukan satu genjatan tajam untuk menyedarkan mereka bahawa mereka terperangkap dalam agenda musuh.
Persoalan utama ialah apakah muncung senjata itu dihadapkan kepada musuh, bukan kepada rakan sepasukan apatah lagi kepada diri sendiri. Perjuangan ini jauh dan mempunyai banyak halangan sebagaimana dinyatakan oleh Allah. Kalau ia jauh, tentu dengan kemampuan diri tidak akan mampu melainkan perlunya kesinambungan perjuangan oleh barisan pelapis yang baru.
Barisan pelapis ini akan tetap ada  dalam sejarah perjuangan Islam ini, namun bukan bermakna kita tidak perlu mempedulikan apa yang ada, kerana mata rantai perjuangan perlu bersambung, bukan terputus sehingga perlu diikat kembali. Demikian juga mehnah dalam perjuangan Islam ini datang dalam pelbagai bentuk, terkadang bukan untuk menguji orang yang berhadapan dengan mehnah itu, tetapi untuk melihat sejauh mana kita berusaha membantu rakan yang ditimpa mehnah itu.
Di sinilah, lahirnya nikmat persaudaraan dalam perjuangan Islam. Dalam perjuangan yang sengit ini, tiada sepatutnya wujud individu yang boleh memeras ugut jamaah ataupun merasakan dirinya ‘tinggi’ sehingga tidak boleh ditegur. Bak kata Inggeris, “No one is indespensible”. Bila mana kita berada dalam jamaah, kita mesti sedar bahawa pandangan jamaah lebih baik dari pandangan peribadi, apatah lagi menganggap jamaah tidak memelihara perjuangan Islam, atau lari dari prinsip Islam. Semoga Allah memelihara perjuangan ini dan memberi kesabaran di atas mehnah sedikit ini. Amin.

Tuan Ibrahim Tuan ManKetua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment