Saturday, November 5

DIRI...INILAH HAKIKAT DIRIMU 1


Terima kasih ALlah kerana telah selalu memberikan nikmat kepada kami walaupun diri selalu tersasar.

Terima kasih ALlah kerana selalu mengingatkan kami dengan ujian.

Terima kasih ALlah kerana masih lagi memberikan rahmat walaupun sudah berulangkali engkar..

Diri - Inilah hakikat dirimu. Engkau sebenarnya lemah, mudah dipengaruhi dengan suasana dan orang lain. Fahamlah wahai diri, engkau hanya boleh berusaha untuk mengubah. Tetapi yang melaksanakannya adalah ALlah.

Firmah ALlah yang bererti :

ALlah meringankan bagimu peraturan agama, dan manusia itu dijadikan bersifat lemah (surah An Nisa':28)

Ya ALlah, jauhilah kami dari sifat sombong dan bongkak..

Diri - bukankah engkau selalu tergesa-gesa dan terburu-buru dalam membuat sesuatu pekerjaan. Kadang-kadang engkau tidak menyelidik tetapi terus menghukum. Engkau terus menerus menjadi pakar hukum seolah-olah hukuman pemutus itu ditanganmu. Alangkah sukarnya untuk menjadi seorang yang penyabar dan berfikir panjang.

"Dan manusia itu suka memohon kejahatan sebagaimana mereka juga suka memohon kebaikan. Dan manusia itu tergesa-gesa sifatnya" (surah an Nisa' ayat 11)

Diri - bukankah engkau selalu rasa gelisah dan tidak tenteram. Takut benar menghadapi masa hadapan. Goyah benar hati apabila diuji ALlah dengan kesusahan. Terkadang baru hilang kotor sedikit pakaianmu, engkau sudah merasa marah dan memaki hamun. Baru diuji sedikit dengan kehilangan harta, amat susah untuk memejamkan mata...

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bersifat keluh kesah. Apabila dia ditimpa keburukan dia berkeluh kesah. (surah al Ma'arij ayat 19-21)

Diri - mengapa engkau selalu melihat kelemahan dirimu sahaja? Kekurangan itulah yang selalu diperbesar-besarkan. Seolah-olah hadirmu di alam ini hanya membawa sial dan celaka serta tiada keberuntungan. Hinggalah engkau merasakan dirimu tiada gunanya, mudah kecewa dan putus asa. Diri belajarlah bersyukur, tahulah untuk memberi makna di dalam hidup.

"Dan sesungguhnya kalau Kami kurniakan kepada manusia nikmat Kami, kemudian Kami tarik kembali daripadanya, sesungguhnya dia menjadi putus asa dan menjadi kufur."
(Surah Hud ayat 9)

DIRI....INILAH HAKIKAT DIRIMU

Diri - semoga engkau tidak lupa akan dosa yang telah dilakukan untuk bermuhasabah diri. Carilah jalan untuk meningkatkan kualiti hidupmu. Bagaimana hubunganmu dengan ALlah, sesama manusia dan makhluk yang lain ?

"Dan sesungguhnya Kami perintahkan kepada Adam dahulu. Maka dia lupa perintah itu, dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat." (Surah Ta Haa)

Kezaliman apa lagi yang akan engkau lakukan wahai diri? Berat sudah amanah yang dipikul di pundakmu diperintahkan untuk menyampaikan kebenaran, untuk menyebarkan perkara kebaikan. Mungkin.. mungkinlah kerana itu makhluk yang lain tidak mahu menerimanya...

"Sesungguhnya Kami mengemukakan amanat yakni tugas dan tanggungjawab keagamaan, kepada langit, bumi dan gunung-ganang. Maka semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat tersebut oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu adalah amat zalim dan amat bodoh"
(Surah al Ahzab ayat 72)

Mengapa engkau sombong dan bongkak berjalan di muka bumi ALlah? Sedangkan engkau tahu, setiap langkahmu itu diperhitungkan nanti di akhirat. Ingatlah wahai diri, engkau sebenarnya tidak mempunyai apa-apa di alam ini. Jika engkau sudah tahu tujuan dijadikan hanya untuk menyembah Dia, sedarlah bahawa dirimu sebenarnya adalah hamba yang hina.

"Dan demi sesungguhnya jika Kami kurniakan kepada manusia kesenangan sesudah kesusahan menimpanya, nescaya dia berkata. 'Telah hilang kesengsaraan itu daripada diriku.' Sesungguhnya dia sangat gembira lagi sombong."
(Surah Hud ayat 10)


REMAJA.... ENGKAU TIDAK SELAMANYA AKAN MUDA

Mengapa akak menangis? Seorang fasilitator bertanya kepada seorang kakak yang sudah berumur kira-kira 40an sambil beliau mengesat air matanya dengan tisu. Dia menceritakan bagaimana dia terpaksa menebalkan muka untuk pergi ke setiap rumah peneroka bagi mencukupkan kuota pelajar bagi mengikuti kem smart Exam yang diadakan. Bayaran yang dikenakan hanya rm25 untuk 3 hari 2 malam berbanding dengan kadar biasa rm320 sepanjang tempoh kem yang sama seperti itu di luar. Sambil beliau menyatakan perasaan terkejut melihat ada beberapa peserta yang tidak menghormati seorang ustaz ketika sedang memberikan kuliah subuh. Ada yang bangun tanpa meminta izin dan keluar dengan alasan belum mandi. Remuk benar hatinya melihat keadaan itu..

Mengapa ya?, motivasi sudah semakin banyak diberi, tetapi perilaku tidak juga berubah. Seolah-olah tidak memberi kesan kepada hati. Wang sudah banyak dilaburkan. Air mata sudah banyak kali mengalir keluar bila diceritakan tentang pengorbanan ibu dan ayah. Tetapi solat tetap juga culas..

ALlahu ALlah... adakah kerana hidup sudah terlalu selesa, kehendak mudah dipenuhi menjadikan diri lupa tentang erti kesusahan dan berkorban? Mungkinkah apabila mudah benar segala perkara yang dihajati dapat dinikmati menyebabkan dirimu lupa tentang kewajipan yang perlu dipenuhi?

Wahai remaja, belajarlah bersyukur. Perlukah menunggu malang datang bertimpa-timpa baru diri mahu beringat? Ibu bapamu tidak selalu berada di sisi selamanya untuk terus menyuap dan memberi selama-lamanya. Maka kerana itulah ilmu adalah harta yang paling berharga untuk masa hadapan.

Untuk mendapat kejayaan, bukan hanya dengan petikan jari. Kesenangan yang membaluti dirimu bukanlah hak milik yang perlu dibanggakan sedangkan ia adalah dari susah payah kedua orang tua. Cuba jawab di dalam hati apa yang sudah dibayar buat mengesat peluh ibu dan ayah yang membesarkan engkau selama ini hingga boleh dikenal orang sebagai remaja?

Ingatlah, getah yang ditoreh akan habis juga susunya, kelapa sawit yang dikerah semakin sedikit buahnya. Yang berkekalan dan akan membantu ibu dan ayah sehingga dikuburan adalah anak berilmu yang soleh serta solehah yang selalu mendoakan kesejahteraan menjadi amal jariah kepada mereka berdua.

Terkadang diri ini selalu juga menduga anak murid yang khusyuk mendengar celotehku,..nanti bila ayah dan ibu meninggal dunia siapakah yang akan memandikan mereka? Anda atau orang lain? Siapa pula yang akan mengkafankan mereka? Anda atau berharap pada orang lain?

Siapa pula yang akan menyolatkan mereka untuk memberikan penghormatan terakhir buat kenang-kenangan sebelum berpisah selamanya dari alam fana... Anda atau menunggu orang lain? Dan siapa pula yang akan mengusung mereka di tanah perkuburan, di tempat perpisahan yang kekal abadi.. Anda.. atau masih juga mengharapkan orang lain?..

Anak muridku berkaca juga matanya.. mungkin sedar (kuharapkan mereka benar-benar sedar). Hidup biarlah memberi makna.. agar ada sesuatu yang dapat kau jelaskan dengan yakin di hadapan ALlah nanti, bahawa dirimu sudah berusaha bersungguh-sungguh di dunia ini untuk menjadi seorang Islam yang berkualiti yang dapat membantu diri, keluarga, umat Islam dan agama-Nya ini khususnya..

SYUKURLAH,,MARILAH BELAJAR BERSYUKUR

Apa khabar harini? Sihat? AlhamduliLLah jika masih diberi kesihatan oleh Allah. Di hospital yang jarang dijenguk ramai pesakit yang ingin keluar .
Masih lagi berada di dalam iman dan Islam? Syukurlah jika masih ada iman dan Islam (ingatlah di akhir zaman ini ada manusia yang ditarik imannya, beriman di waktu pagi, dan kafir dipetangnya). Ada imannya hanya di bibir sahaja, atau sekadar nama di surat beranak dan kad pengenalan sahaja.
Anggota badan masih cukup? Mata masih boleh lagi melihat dengan jelas? Tangan masih lagi boleh memegang,menulis? Kaki masih boleh berjalan?
Syukurlah jika masih sempurna.. Gunakanlah dengan sebaiknya. Hargai apa yang masih ada.. Jangan sudah hilang di depan mata barulah menyesal tiada kesudahan.. Jika mata sudah gelap, di kiri kanan bertemankan tanah, berselimutkan kafan, sudah terlambat untuk bertaubat. Manalah tahu, lidah kita ini pun terkadang hilang deria rasanya, kaki kita pun terkadang kesandung lalu mengaduh sakit, telinga pun acapkali juga terpaksa mendengar betul-betul apa yang orang lain perkatakan.
Akal masih mampu berfikir? Syukurlah jika masih ada akal, ada orang yang dalam keadaan tertekan, tidak mampu berfikir rasional. Ada yang mengamuk, ada yang di awang-awangan, bahkan ada juga yang tidak menggunakan akal, hinanya lebih teruk dari haiwan.
Ibu dan Ayah masih hidup? Kawan-kawan? Syukurlah.. tahulah untuk bersyukur bila ada tempat untuk mengadu dan menceritakan nasib. Ada di antara kita yang yatim piatu, tiada kawan untuk mengadu. Malahan yang menjadi rakan setianya adalah tumbuhan dan binatang di sekeliling. Itupun syukur juga..
Masih ada pakaian yang membaluti tubuh? Tempat tinggal yang selesa? Makanan yang enak dan masih boleh dimakan? Syukurlah tuan… ada orang yang tiada pakaian untuk dipakai, rumahnya dibuat dari najis binatang, beratapkan langit, berlantaikan bumi. Ada yang terpaksa memakan kulit kayu, terpaksa meminum air kencing sendiri bahkan binatang lain (kerana musibah alam, tiada bekalan makanan). Lihatlah kesusahan orang lain yang terpaksa mandi dengan najis binatang, dan kita.. walaupun sudah diberi nikmat air, masih juga membazir menggunakan air.
Ada tempat untuk bersekolah? Guru-guru untuk mengajar? Lihat dan fikir di tempat yang tiada guru, terpaksa menggunakan jari untuk menulis di tanah, ingin belajar tetapi tiada guru. Sanggup belajar di tempat yang tidak selesa malah dengan bersungguh-sungguh untuk berjaya. Walaupun sedar di tengah-tengah pergolakan hidup, keluarga yang miskin, tetap membimbit buku yang sudah penuh contengan untuk belajar menjadi ‘manusia’ yang berguna!.
Ingatlah wahai saudaraku.. ALlah telah pun memberikan peringatan bagi orang-orang yang kufur :


Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan. (Surah An Nahl : 112)

HARGAILAH SEBUAH KEHIDUPAN


Kita hidup di hari ini untuk apa? Apa tujuannya?

Ada manusia yang tertanya-tanya mengapa ia hidup, apa peranannya di muka bumi ini. Ada manusia yang menghabiskan masanya dengan bersukaria sebab dirasanya hidup ini hanya untuk di dunia sahaja. Ia menumpukkan harta benda, wang, isteri dan anak-anak dibiarkan tidak terbela jiwanya.

Ada juga manusia yang tidak tahu mengapa ia dijadikan, lalu menyesal dengan dirinya. Walaupun hidup dengan serba kemudahan. Jiwa terasa kosong, lalu ia mencari dirinya - dikaji segala kemungkinan mengapa manusia hidup di dunia. Mungkin sahaja ia mendapati sains dapat menyelesaikan persoalan yang sudah bertalu-talu datang di dalam pemikiran. Malangnya - anaknya yang mati - ia tidak dapat menerima walaupun dirinya hebat untuk mengubat. Akhirnya ia membunuh diri kerana kecelaruan fikiran dan sudah sampai batasan akalnya memikirkan kehidupan tanpa panduan..

Ada juga yang mahu menjadi baik di sepanjang kehidupannya. Menderma, menolong orang susah, menjaga nama baik diri, keluarga dan jiran-jiran. Ia disenangi orang, sehinggalah ke matinya. Tetapi sayang.. di dalamnya tetap ada kekosongan, iaitu tidak percaya kepada Tuhan.

Ada juga manusia yang hidup sekadar meneruskan penghidupan, ia tidak kisah ke mana ia akan pergi selepas itu. Tidak kisah samada kebaikan atau kejahatan, tetaplah dikerjakan.

Di sana ada manusia yang hidup terlantar di katil hospital, di temani dengan segala jenis pil, balang oksigen. Setiap waktu jururawat dan doktor akan datang untuk memeriksa urat nadinya. Lalu ditulis perkembangan kesihatan, samada bertambah baik atau bertambah buruk.

Di luar pula - ada pula manusia yang mati tanpa menunjukkan tanda ada penyakit. Ramailah yang meninggal dunia di atas jalanraya, dalam peperangan, ketika sedang bersukan, semasa dalam keadaan berehat, duduk, tidur, menari-nari dan sebagainya berbanding mereka yang dalam kesakitan.

ALlah mengajar mengapa kita semua dijadikan :

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu. (Surah Ad-Dzariyyat ; 56).

Apa yang Kita Isi Dalam Kehidupan?

Sesaat, dua, mungkin bagi kita tidaklah penting, tetapi ingatlah apa yang berlaku sepanjang masa tersebut amatlah penting. Setiap perbuatan dari apa yang kita fikirkan amatlah berharga. Malanglah sekiranya perbuatan tidak diukur dengan semasak-masaknya. Hasil dari perbuatan dan kesannya jika ia adalah buruk. Maka tentu di bahu-bahu kita sudah tertulis dengan kejahatan. Apatah lagi sekiranya ia melibatkan hubungan dengan manusia yang tentunya lebih berat ditanggung nanti.

Apa yang kita lalui di dalam kehidupan, setiap detik dan waktunya amatlah penting dan berharga. Tersilap percaturan buruk padahnya..

1. Sudah langsaikah hutang piutang? Hak ALlah? Hak sesama manusia?
2. Berapa ramai yang disakiti hati mereka?
3. Sudah sampai manakah jalan yang dipilih? Semakin benar atau salah?
4. Sumbangan kepada jalan agama?
5. Amal jariah yang disimpan untuk bekalan di akhirat sana?
6. Kehendak dan keinginan - yang manakah lebih utama?
7. Apa kisahnya hal aqidah, syariat dan akhlaq pada diri? Isteri? Keluarga?
8. .......

Di sini ada jawapannya dari ALlah :

Katakanlah "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Surah al An'am: 162)

Fahamilah sebuah kehidupan untuk dihargai dan diberi makna di dalamnya. Walaupun susah, sukar, payah dan getirnya.. lalui juga sebagai seorang insan yang beriman..

ANDA INGIN BERCINTA

Zaman remaja adalah zaman untuk mencari dan mengenal diri. Setelah akal semakin mampu untuk berfikir jauh. Sekurang-kurangnya sudah mengenal mana baik dan buruk, halal dan haram, najis dan yang suci, syurga dan neraka.

Umur sebegini, orang muda cenderung untuk hidup di dalam perkumpulan. Gemar juga untuk mencari penyelesaian di luar rumah dibandingkan dengan berbincang dengan ibu dan ayah. Dan ketika inilah jiwa sudah menyubur untuk mengenal apa itu cinta (berlainan jenis).

Mengapa bercinta?

Terkadang bercinta dengan sebab ikut-ikutan (kerana melihat kawan sedang 'bahagia'). Terkadang ia bercinta supaya 'pointer' selalu meningkat naik. Dan katanya agar ada teman yang dapat memberi nasihat. Alamat.. jika salah bercinta, bubur tidak akan kembali menjadi nasi..

Sebelum bercinta fikirkan perkara-perkara ini wahai orang muda :

1. Sudahkah anda bersedia untuk bercinta?

Adakah sudah bersedia menghadapi risiko di dalam percintaan? Adat orang mengatakan cinta itu bersatu, dan ada kalanya ia membutakan mata. Manakala yang tidak nampak jalannya habis hancur masa depan hidupnya.

Cinta tidak semestinya bersatu, ada kalanya ia terputus di tengah jalan. Dan ada kalanya ia berjaya sehingga ke jinjang pelamin. Risiko putus cinta selalu membuatkan manusia seolah-olah putus asa. Hilang hala tuju hidupnya. Entah berapa ramai yang sudah menamatkan nyawanya sendiri bila cinta nafsu lebih diharapkan dari cinta kepada Illahi.

2. Apa matlamat Anda bercinta?

  • Mungkin untuk merosakkan anak gadis atau hati orang lain?
  • Ikut-ikutan atau suka-suka sahaja?
  • Untuk mencari pengganti pasangan yang telah pergi? (tetapi sekiranya ia ingin kembali semula suatu hari nanti, anda dengan rela diri meninggalkan pasangan baru anda yang telah diberikan harapan?
  • Sekadar cinta monyet yang tiada matlamat di masa hadapan?
  • Untuk mendirikan rumah tangga yang membawa kasih sayang dan rahmat dari ALLah?
Orang yang mulanya bercinta - hatinya akan berbunga-bunga. Tidak ia sedar apa yang berlaku di sekelilingnya kerana disibukkan dengan apa yang dicintainya. Segalanya nampak cantik, molek, comel dan sempurna belaka. 'Pijak semut tidak mati'. Segalanya berjalan dengan penuh optimis dan positif. Lalu mungkin 'menipu diri sendiri' sudah menjadi pegangan agar hubungan berlangsung dengan menarik dan dapat dikekalkan.

Apabila perhubungan cinta anda mulai 'berkelap kelip' - mulalah anda akan berfikir semula akan buruk dan baiknya pasangan anda. Mungkin ketika ini anda akan berusaha mencari solusi. Sekiranya berjaya perhubungan anda akan berjalan seperti biasa. Dan sekiranya dalam bahaya, ia akan membawa kepada 'putus cinta'. Perkataan inilah yang menjadi penghancur jiwa, rasa kecewa, terhina, rendah diri, sakit hati, dendam, putus asa. Maka istilah-istilah cinta yang dahulunya berkisarkan fantasi, anda akan sedar ia bukanlah realiti.

Menjadi hipokrit satu perkara, iaitu masalah yang akan dibawa apabila hidup di dalam sebuah rumah di atas pernikahan yang sah. Segala-galanya yang 'cantik', 'molek' akan ditunjukkan juga sebagai satu hakikat yang perlu anda terima. Samada anda terima dengan terpaksa atau redha selamanya.

3. Mengapa Anda Bercinta?

  • Kerana ALLah?
  • Kerana cantik rupanya? Mancung hidung, kumisnya tebal? Badannya serupa model? - yang pasti semuanya ini tidak kekal lama. Berapa ramai wanita yang menghidapi sakit barah kulit kerana taksubnya kepada yang dinamakan 'KECANTIKAN' ? Berapa ramai pula yang sanggup berhutang, mengorbankan identiti seorang Muslimah dan Muslim kerana tertarik dengan namanya KEMODENAN?
  • Kerana duitnya? Harta yang bertimbun?
  • Kerana empunya diri itu sendiri?
  • Kerana Agamanya? Ia akan di bawa di dunia dan akhirat. Tetapi ramai juga yang terjerumus di lembah hina. Kerana yang dibawa rupanya selama ini adalah nafsu tetapi disolek dengan nama Agama.
Anda akan dapat apa yang anda niatkan. Ingat perjalanan cinta sesama manusia amat jauh, dan mungkin juga dekat, ataupun ia satu perjalanan yang tidak pasti.

4. Apa Modal Untuk Bercinta?
  • Adakah dengan modal air liur? Atau jari jemari menulis sms?
Sedarkah anda? apabila bercinta dan anda meletakkan sesuatu di dalam hati seseorang. Ini telah memberikan ia pengharapan baru dalam hidupnya. Dan ia akan berusaha untuk mencapainya. Jika cinta anda sekadar cinta monyet, cinta untuk merosakkan anak orang, ikut-ikutan dan hanya menjadikan orang lain sebagai batu galas - CINTA NAFSU. Eloklah lupakan sahaja. Anda hanya akan menjadikan diri anda sendiri bahan fitnah yang akan orang ingat sampai bila-bila.

Sedarkah anda? Mahligai perkahwinan itu memerlukan pengorbanan bukan sahaja dari segi jari jemari dan air liur. Tetapi lebih dari itu adalah modal ilmu untuk mendirikan sebuah keluarga yang beragama, cintakan ALLah dan rasul-Nya. Modal harta iaitu pekerjaan dari sumber rezeki yang halal untuk anda berikan kepada isteri, dan anak-anak. Modal hati dan perasaan untuk dikongsi, difahami, kesabaran dan sebagainya.

5. Berapa Lama Anda Ingin Bercinta?

  • Seminggu?
  • Sebulan?
  • Tiga, empat tahun?
  • Sehingga habis belajar?
  • Cinta hingga ke akhirat?
Apabila anda bercinta, setiap pasangan pastinya ingin mengetahui sampai bilakah mereka akan bercinta? Dan apabila perhubungan itu diketahui oleh sang ibu dan ayah, tentunya mereka akan bertanya bila pula tarikh merisik, pertunangan dan perkahwinan pula akan dijalankan? Dan tentunya kaum kerabat pula akan tertanya-tanya, dengan siapa anda berkawan. Mungkin ada yang sudah diusung ke hulu dan hilir - orang kampung pun sudah mulai berbisikan. Walaupun anda sangkakan di bandar orang bersikap tidak ambil peduli. Tetapi malaikat di kiri dan kanan tetap juga menulis catatan..

6. Kos Cinta
  • Duit yang anda habiskan semata-mata untuk sidia - telefon (sms, mms, chat etc), bil elektrik, bil internet,
  • Masa yang anda korbankan untuk sidia
  • Hati dan perasaan

Sikap Matang Dalam Mencari Cinta

Wahai pemuda dan pemudi, menyebut perkataan cinta sesama manusia itu mudah, tetapi untuk melaksanakannya amatlah payah. Bercinta bukan menjadi tiket yang menghalalkan anda menyerahkan jasad kehormatan anda. Bukan juga bermakna anda sudah menjadi juara dan normal sebagaimana insan lain yang bercinta (sudah fahamkah erti cinta yang sebenarnya?). Anda rosak kerana cinta? - ia adalah kesalahan anda sendiri di dalam menterjemahkan cinta yang suci dan abadi. Semaklah semula adatnya bagaimana RasuluLlah menyalurkan perasaan cinta.

Jika berbaloi dengan bercinta - anda dapat merasai hidup bahagia serta mendapat keredhaan ALlah kerana matlamat anda jelas, anda sedia redha dengan kemungkinan yang berlaku serta tidak menyalahkan taqdir, perjalanan cinta tidak melanggar batas syarak. Maka silalah untuk bercinta.

Fikirkan.. Dalam masa bercinta, bagaimana hubungan kita dengan ALlah dan manusia serta makhluk yang lain? Semakin baik ataupun semakin jauh dan terus menjurang. Adakah ia menjadikan kita hamba ALlah yang bertaqwa ataupun hamba ALlah yang derhaka?

SUSAHNYA JADI PEREMPUAN,,PAYAHNYA JADI LELAKI

Ada orang mengatakan alangkah susahnya menjadi perempuan. Banyak benar kekangan, sedari kecil tidak boleh hidup bebas. Pergerakannya diperhatikan orang tua. Gerak gerinya menjadi bualan. Hinggalah ada juga yang memberontak jiwanya, ingin keluar dari kepompong sehinggalah dibuang sifat-sifat kewanitaannya untuk menyamai lelaki. Yang jauh dari itu mempersoalkan taqdir yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa. Lalu ia melanggar naluri dan fitrah seorang wanita.

Wanita perlu pula menutup auratnya dengan sempurna. Maklumlah aurat yang rata-rata difahami hanya sekadar menutup rambut sudah memadai katanya sedangkan ia jauh dari itu. Tutur katanya juga perlulah dijaga agar tidak timbul perasaan jahat di hati lelaki. Hinggalah terbit dari hati "Wahai, sukarnya menjadi seorang wanita"

Rupanya apabila Islam telah menyebarkan sinarnya pada zaman Jahiliyyah yang menzalimi wanita dan anak-anak perempuan maka tinggilah martabat kemuliaan wanita. Sehinggalah di dalam al Quran terdapat surah An Nisa' iaitu surah wanita dan Islam amat menjaga wanita serta ditunjukkan hak-hak yang perlu diberi kepada kaum hawa ini.

Wahai wanita, janganlah hendaknya dirimu dibiarkan rosak oleh kaum Adam yang jahat perangainya, dipergunakan untuk mendapatkan keuntungan. Lihat sahajalah di setiap iklan di dalam media massa, bukan barangan yang menjadi tontonan. Tetapi di sebaliknya wanita yang berada di sisinya, maka larislah barangan disebabkan wanita dipergunakan setiap mahkota yang ada padanya. Alangkah harubirunya dunia ini apabila pemudinya rosak akhlaknya. Bila tiada kekuatan aqidah dan pendidikan agama, walau seorang profesional sekalipun tidaklah lepas dari jatuh ke lembah kehinaan jika tiada cinta kepada ALlah.

Wanita Kebanggaan Islam

Wanita jika yang dibentuk dirinya dengan acuan yang betul, lahirlah serikandi Islam sebagaimana Aisyah radiyaLlahu 'anha, lahirlah anak yang taat kepada ibu dan ayahnya sebagaimana Asma' binti Abu Bakar yang digelar zatun nitaqoin membawa bekal, memanjat sehingga ke pintu gua untuk memberi bekalan kepada 2 orang kekasih ALLah iaitu ayahnya sendiri Saidina Abu Bakar As Siddiq dan junjungan besar Nabi Muhammad SallaLLahu 'alaihi wasallam. Alangkah bahagianya apabila ada pendorong di dalam hidup, pendokong ketika dalam kesusahan dan kesedihan, menjadi teman seperjalanan menemani hayat sebagaimana Ummul Mukminin Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Tentunya menjadi ibu kebanggaan para pencinta Islam sebagaimana Ummu Habibah (gelaran bagi Ramlah binti Abu Sufyan), walau ditimpa ujian bertalu-talu, dipaksa untuk murtad oleh ayahnya ketika ia memeluk Islam. Ditambahi pula dengan karenah suaminya yang telah berpaling dari Islam dengan memeluk agama Kristian, beliau rela berpisah kerana cintanya kepada ALlah melebihi segala-galanya dan tinggilah darjatnya apabila dilamar oleh RasuluLlah untuk menjadi teman hidupnya. Balasan untuk orang yang sabar dan gigih di dalam agama ALlah.

Jika diselusuri sejarah, ramainya tokoh-tokoh wanita Muslimah yang memberi sumbangan besar di dalam dunia Islam. Fatimah binti Sa'ad al Khair al Ansari al Andalusi, lahirnya di China pada tahun 522 Hijrah. Mengajar di Kaherah dan Damsyiq dan ramai tokoh yang mengambil hadith darinya seperti al Hafiz al Munziri. Siti Zubaidah, isteri Khalifah Harun al Rasyid telah membelanjakan sebahagian besar hartanya untuk memperkuatkan kubu pertahanan dan kawasan sempadan. Jasanya dalam menampungi saluran air yang dibina dari Baghdad hinggalah ke Mekah untuk jemaah haji sehinggalah saluran air ini dikenali sebagai "Ain Zubaidah" (Mata Air Zubaidah). Lihatlah perkataannya - apabila dibentangkan kepadanya kos perbelanjaan saluran itu, beliau telah mencampakkan bil perbelanjaan itu ke dalam sungai sambil berkata : "Kami tinggalkan hitungannya untuk Hari Perhitungan". ALLahu... ALlah..

Kitalah Lelaki Itu

Ada orang mengatakan payahnya menjadi lelaki. Besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul untuk meneruskan kehidupan. Maklumlah di zaman ini, besarlah cabaran bagi seorang lelaki yang dipenuhi dengan tribulasinya. Kita diuji dengan penglihatan yang menggoda iman, patutlah ALlah menyuruh kita di dalam firmanNya yang bererti :

" Katakanlah kepada orang2 beriman laki2 agar mereka menundukkan pandangan mata ( terhadap wanita ), dan memelihara akan kemaluan mereka ( menutupya ). Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya."
( An-Nur : 30-31 )


Berapa ramai yang telah kalah di dalam menjaga pandangan dan kemaluannya ?...

Suami diuji dengan isteri, harta, anak-anak. Orang lelaki perlu bekerja mencari rezeki dan bukannya duduk goyang kaki. Orang lelaki perlu kuat pegangan agamanya, tahu menjadi imam, mempunyai daya kepimpinan, membuat keputusan yang betul. Kita tetaplah lelaki untuk meneruskan perjalanan di bumi ALLah ini, tidak mudah mengalah, berusaha untuk menjadi pemimpin yang baik dan memperbaiki diri. Begitulah, hidup orang yang beriman, kesusahan itu sebenarnya adalah hiburan, ujian itu menambahkan cinta kepada ALlah. Kita selusuri kembali dari kacamata sirah siapakah lelaki sejati yang menjadi tauladan umat ini.

Lelaki Sejati Perlu Mencontohi Mereka

Agungnya akhlaqmu ya RasuluLLah menjadi suri tauladan sepanjang zaman. Tarbiah dan didikanmu kepada para sahabat melahirkan Abu Bakar yang sikapnya lemah lembut tetapi tegas di dalam menjalankan hukum ALLah. Menjadikan Saidina Umar berani di hadapan para kafir Musyrikin serta besar jasa-jasanya dalam menyebarkan dakwah Islam dan diteruskan kegemilangannya oleh Saidina Uthman dan Saidina Ali radiyaLlahu 'anhum. Begitulah seorang dari seorang sahabat yang amat memusuhi Islam akhirnya menjadi panglima Islam yang berani sebagaimana Khalid bin Al Walid. Adakah kesusahan, kesulitan menjadikan mereka cengeng dan berundur dari melaksanakan tugas sebagai hamba ALlah?

Siapakah yang tidak kenal seorang hamba yang berkulit gelap berbangsa Habsyi yang upahnya setiap hari adalah dua genggam kurma. Tetapi putih bersih hatinya, kebal imannya dari dicarik dan dirosakkan oleh ketulan batu yang menghempap dirinya. Beliaulah muazzin ar Rasul (tukang azan RasuluLlah), pelopor kebebasan peribadi walaupun zahirnya diikat sebagai hamba kepada Muawiyah bin Khalaf, namun jiwanya bebas hanya untuk menyembah ALlah sehinggalah ia benar-benar bebas dimerdekakan oleh sahabat yang mulia hatinya iaitu Saidina Abu Bakar radiyaLLahu 'anhu. Lelaki sejati inilah yang berjuang di barisan hadapan di dalam siri-siri peperangan ketika bersama RasuluLLah dan berjaya membunuh Umaiyah bin Khalaf semasa peperangan Badar al Kubra.

Kentalnya jiwa Urwah bin Zubair seorang ahli fiqh yang terbesar. Menurut ceritanya sebelah kakinya mendapat penyakit yang menyebabkan para doktor memutuskan ia perlu dipotong agar tidak merebak sehingga ke betis dan seluruh tubuhnya. Lalu beliau disuruh untuk meminum satu minuman yang boleh menghilangkan kewarasan akalnya supaya dia tidak merasa sakit. Lalu beliau berkata
"Aku tidak mengira, bahawa seorang yang beriman kepada ALlah akan mahu minum sesuatu yang dapat menghilangkan akalnya, sehingga dia tidak mengenal dan ingat la akan Tuhannya. Biarlah kakiku ini dipotong"
Lalu dipotong pada lututnya. Dia diam sahaja, tidak berkata apa dan tidak mengeluh atau merintih barang sedikitpun.

Selanjutnya qadar ALlah telah pun tertulis, untuk menguji iman lelaki sejati ini. Di malam hari kakinya dipotong itu terjatuh pula putera kesayangannya dari tingkat atas rumah lalu meninggal ketika itu juga. Kawan-kawannya pun datang mengucapkan takziah (menyatakan turut rasa duka cita). Urwah bin Zubair mengucapkan :
"Ya ALlah! Pujian untuk Engkau. Anakku tujuh orang, lalu Engkau ambil satu, dan tinggal enam orang. Kaki tanganku ada empat, lalu Engkau ambil satu dan masih tinggal tiga. Kalau Engkau yang memberikan cubaan, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan (menyembuhkan)"
ALLahu...ALlah...

Tugas Kita Sebagai HambaNya

Di antara rasa susah dan payahnya menjadi perempuan dan lelaki. Maka perlu bertanya juga di dalam hati, sudahkah kita mensyukuri nikmat yang ALlah telah beri selama menjadi perempuan dan lelaki? Wanita dan lelaki yang beriman tetaplah perlu bergandingan bantu membantu di dalam perjuangan diri, keluarga dan masyarakat ke jalan ALlah. Mengajak ke arah kebaikan, menegur kemungkaran bukan tugas 'seseorang'. Lupakah kita firmanNya yang bererti :

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah at Taubah : Ayat 71)

Ya saudaraku sekalian, bukan bergandingan bahu membuat maksiat atau penzinaan tetapi bahu membahu di dalam meninggalkan larangan dan mengerjakan taat kepada ALlah..

Dua Pejuang Terbunuh di Selatan Gaza Menjadikan Jumlah Yang Terbunuh Seramai 12 Orang Semenjak Sabtu

 


 Sumber Perubatan Palestin melaporkan Tentera Udara Israel (IAF) telah mengebom sebuah kawasan di bahagaian selatan Semenanjung Gaza pada hari Ahad, membunuh dua orang pejuang rakyat Palestin. Kejadian yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini telah menyebabkan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh di Gaza sejak hari Sabtu meningkat kepada dua belas orang.
Tentera Israel membuat kenyataan bahawa jet pejuang mereka telah melepaskan serangan peluru berpandu ke atas sekumpulan pejuang selepas mereka melancarkan serangan ke Negev Barat, tepat mengenai sasaran. Tentera tersebut menambah bahawa pejuang-pejuang tersebut telah melepaskan enam serangan mortar ke Israel pada hari Ahad, dan menuduh penentangan yang berlaku di Gaza meningkatkan lagi ketegangan.
Sumber perubatan di Gaza mengesahkan bahawa dua pejuang dari sebuah kawasan di bahagian selatan Semenanjung Gaza telah terbunuh selepas menjadi sasaran serangan peluru berpandu pihak Israel. Mereka telah dikenal pasti sebagai Yousef Abu Abdo dan Ali Al Aqqad; kedua-duanya berasal dari Khan Younis.

Lieberman memperbaharui panggilan menyerang Gaza untuk menggulingkan Hamas

 


 - Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman telah memperbaharui panggilan untuk melancarkan operasi tentera besar-besaran terhadap Semenanjung Gaza untuk mengakhiri pemerintahan Hamas di sana.
Beliau memberitahu mesyuarat untuk Yisrael Beiteinu bahawa parti beliau masuk bergabung dengan parti Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu di atas asas yang berakhir pemerintahan Hamas di Gaza. Beliau mendakwa bahawa Hamas mengawal peraturan permainan, membenarkan keadaan reda maka membolehkan tembakan roket apabila ia perlu

PERINGATAN BUAT UMAT ISLAM

Kata Sultan Abdul Hamid ke- 2 kepada Theodore Hertzel (Pengasas Pertubuhan Yahudi Antarabangsa) yang memberikan tawaran agar beliau membenarkan penubuhan sebuah Syarikat Yahudi di Palestin yang bertanggungjawab membeli tanah-tanah terbiar sekitar Palestin untuk dijadikan kawasan pertanian dan penempatan penduduk Yahudi :

Palestin bukan milikku, bukan milik bangsa Turki tetapi milik bangsa Arab. Baitul Maqdis pula bukan milik bangsa Arab tetapi milik umat Islam seluruhnya. Aku tidak akan sesekali menyerahkan bumi Palestin walaupun sejengkal setelah bangsaku berjihad bermati-matian mempertahankan dan menyuburkan tanahnya dengan darah-darah mereka. Simpanlah wang kamu yang berjuta ringgit itu kerana sekiranya suatu hari nanti Khilafah Islamiyah ini tumbang, kamu boleh mengambilnya tanpa sebarang wang tukaran. Adapun, sekiranya aku masih hidup, aku lebih rela diriku dicincang daripada melihat bumi Palestin dikeluarkan dari Daulah Islamiyah dan perkara itu selama-lamanya tidak akan berlaku. Adakah kami akan membenarkan diri (wilayah-wilayah takluk Kerajaan Turki Uthmaniyyah) kami ini semua dipisah-pisahkan sedangkan kami masih hidup?!
- Kitab Kaifa Saqatot al Khilafah al Islamiyah, m/s 26

Sumber : Hj Nik Azran Muhamed, Hj Mohd Mahadi Hj Isa, Gerakan Freemasonry Musuh Dalam Menghancurkan Islam,

FILEM KITA,, JIWA DAN KEMANUSIAAN,,,,,,,,

Pernah menonton kisah Children Of Heaven ? Jalan ceritanya mudah sahaja, iaitu mengenai sepasang kasut yang perlu dikongsi oleh seorang abang dan adiknya untuk pergi ke sekolah setiap hari. Sebelum itu, kasut adiknya telah diambil oleh seorang pemungut sampah. Sepanjang cerita ini, banyaklah pengajaran yang dapat diambil. Antaranya tentang kesabaran seorang ayah yang ingin membesarkan anak-anaknya dan amat mengasihi isterinya. Anak-anak yang menyenangkan hati dan amat memahami kesusahan ibu dan ayahnya. Seorang abang tidak ingin melihat adiknya dalam kesedihan, sanggup menyertai pertandingan merentas desa sejauh 4 kilometer walaupun ketika itu umurnya tidak layak semata-mata ingin memenangi tempat ketiga, bagi mendapatkah hadiah sepasang kasut.

Ya, hadiah kasut yang hendak dimenanginya itu sebagai gantian kasut yang telah hilang tersebut.

Filem yang tidak memerlukan bajet yang tinggi sehingga jutaan ringgit, tidak memerlukan wanita menunjukkan auratnya, apatah lagi kisah wanita di lorong hitam yang berlaku di sekitar masyarakat kononnya untuk dijadikan sebagai pengajaran yang pada hakikatnya hanya menambahkan lagi penzinaan secara berleluasa. Tidak mengagung-agungkan budaya hedonisme, menyukai hiburan dan kemewahan sedangkan pada hakikatnya pelakon yang melakonkan cerita itu sendiri terdiri dari mereka yang amat lemah kejiwaannya. Tidak memerlukan komedi lawak yang memperbodoh-bodohkan penonton, ‘cinta monyet’, dendam, dengki, pergaduhan kerana perempuan dan apa yang dinamakan kebobrokan perfileman.

Genre cerita yang popular di negara kita

Kisah ini bukanlah kisah seram seperti keliwon yang perlu ada bomoh terkumat kamit membaca mantera yang tidak diketahui butir bicara serta mengeluarkan aura untuk menghalau hantu, jin dan setan. Tidak pula menceritakan tentang kehidupan hipokrit orang-orang kaya yang ditonjolkan hidup serba mewah seolah-olah tiada ruang untuk menceritakan kisah hidup masyarakat yang serba dhaif dan memerlukan pembelaan.

Negara kita amat kurang pengarah yang berjiwa kemanusiaan untuk membentuk jiwa kehambaan yang mengenal Allah, apatah lagi mengajar menjadi rakyat yang berdaya saing. Jika anak-anak kita yang gemar menonton Doraemon yang berasal dari Negara Matahari Terbit, lihatlah isi kandungan kartun bersiri itu yang mengajar anak-anak kecil Jepun untuk berfikiran cerdas, kreatif dalam merekacipta dan menyumbang kepada kemajuan rakyat dan negara tersebut.

Lihatlah jalan cerita di Negara-negara lain yang amat kuat menyalurkan unsur-unsur agama seperti filem-filem Hindustan. Di dalam filem yang bercorak kekeluargaan atau seni mempertahankan diri sehingga ramai yang mengalirkan air mata teresak-esak, pengarah dan pelakonnya bijak menyampaikan fahaman-fahaman mereka tanpa disedari.

Filem kita, jiwa dan kemanusiaan amat jauh keterbelakang. Yang ada kebanyakannya adalah komedi, keuntungan, kebebasan pergaulan dan jalan mengajak kehancuran. Penontonnya adalah kita-kita juga.

Berubahlah.. bila lagi?

BILA ALLAH MENARIK NIKMAT ILHAM

Ada masa-masanya juga bila fikiran tidak dapat memberikan buah pendapat. Ketika itu akal terasa kosong dan tidak mampu untuk berfikir dengan baik.

Lalu timbullah perkataan 'buntu' dan tiada idea. Duduklah berjam-jam menunggu datangnya ilham agar dapat menulis, membuat keputusan. Syaitan pula mungkin datang berbondong-bondong membawa hasutan yang negatif agar jiwa pula turut merasa kelelahan.

Tahulah, bahawa yang Empunya milik kepada idea mengambil nikmatnya. Mungkin juga untuk sementara dan mungkin juga untuk selama-lamanya. Mungkin juga ia sebagai medan ujian, apakah yang perlu dibuat dalam situasi sedemikian ?. Adakah untuk bersungut? Adakah membiarkan masa dan keadaan terus berlalu dan akhirnya timbul perkataan 'Bosan' dan 'putus asa' ?

Bila tiba waktu begitu, ambillah masa untuk beristirehat. Biarlah akal beriadah seketika dari bekerja untuk berfikir sahaja. Lihat alam ALlah seluas-luasnya, carilah tempat yang tidak menimbulkan tekanan. Mungkin di kala ini mendengar alunan zikruLlah, alunan nasyid menjadi penawar jiwa yang sedang sunyi sebentar.

Ambillah buku-buku yang dapat mengubat jiwa, kata-kata yang dapat memberikan motivasi dan nasihat. Mungkin hilangnya ilham disebabkan oleh maksiat yang dilakukan ? Mungkin juga kerana fikiran terlalu sesak memikir masalah dunia. Cubalah belajar mendekati para alim ulama dan dapatkan nasihat yang berhikmah daripada mereka. Bukankah selama ini kita jarang benar mendekati mereka ? Mungkin akal dan hati yang sedang lesu akan mendapat kekuatan baharu, dan menghidupkan kembali cahaya dalam diri..

Syukurlah wahai diri, dalam keadaan sempit Dia masih memberi peluang untuk berfikir dengan waras. Ada manusia yang Allah uji, dia merungut dan kecewa. Ada manusia yang Allah beri mehnah kepadanya lalu ia semakin lari dariNya..

Wahai diri, teruskan menyampaikan perkara kebaikan apabila ada ilham yang menjengah dalam minda. Gunalah dengan sebaik-baiknya agar ia tidak menjadi saksi pula atas kejahatan yang engkau lakukan di hadapan ALlah kelak.

JIKA SEMUANYA MILIK ALLAH,,,,, APAKAH SEBENARNYA YANG KITA ADA

Suatu hari sang guru bertanya kepada murid-muridnya.

Siapa yang jadikan mata kita ?

Mereka menjawab : Allah

Lalu sang guru katakan : Lalu apakah yang telah kita perbuat dengan dua biji mata ini ? Adakah sebagai alat untuk melihat perkara yang baik ataupun perkara yang jahat ?

Mereka : (terdiam)

Sang guru tambahi lagi : Apa yang akan jadi sekiranya penglihatan ini diambil olehNya? Selama ini Allah memberi nikmat mata untuk melihat pemandangan yang cantik dan indah. Alam ini dilimpahi dengan pelbagai warna yang menarik hati serta pelbagai hidupan yang menghiasinya.

Suatu hari nanti... jika kita bangun. Alam ini terasa gelap dan pekat. Rupa-rupanya sudah hilang nikmat penglihatan yang diberikan. Sedangkan selama ini kita tidak bersyukur dengan pemberianNya. Adakah selepas ini baru hendak menyesal ?

------------------

Cuba awak rasa lidah dengan menggunakan jari.

Mereka : (memegang lidah masing-masing)

Sang Guru berkata : Allah memberi rasa masam, masin, manis, pahit dan pelbagai lagi rasa yang berlainan melalui lidah.

Mereka kata : Ya Ustaz.. benar (masing-masing menganggukkan kepala)

Sang Guru berkata : Tetapi mengapa kita gunakan lidah untuk berkata kesat, memaki hamun, berkata bohong ? Bukankah dengan lidah ini kamu pernah menghina guru-guru yang mengajarkanmu ? Bukankah dengan lidah ini kamu telah membentak dan menjawab kata-kata ibu dan ayahmu serta berkali-kali membohongi mereka berdua ?

Bukankah sudah diperingatkan oleh RasuluLlah agar menjaga lidah ? Bukankah kita perlu menjaga apa yang ada di antara 2 rongga mulut manusia iaitu lidah ? Dengan lidah ini juga boleh menyebabkan kita tercebur ke dalam neraka ?

Mereka : (tertunduk dan perlahan-lahan mengalirkan air mata)

-----------------------------------------------------------------

Cuba lihat dua tangan yang Allah beri, dan lihat baik-baik alangkah cantiknya kurniaan Allah.
Dia memberi tangan agar kita dapat merasa, memegang, menyentuh dan sebagainya.

Mereka : (melihat tangan masing-masing, diperhati telapak tangan sambik berfikir)

Sang guru berkata : Adakah kita sudah menggunakan tangan dengan betul ? Bukankah ada tangan-tangan yang merosakkan meja sekolah ? memukul kawan ? menulis surat cinta ? mencuri ?

Mereka : benar ustaz... Ya Allah... ampunkanlah dosa kami....

Sang Guru : Allah memberi sepuluh jari tangan, sepuluh jari kaki dalam keadaan yang sempurna. Sudahkah kita menengadahkan tangan meminta keampunan kepadaNya ? Menyatakan syukur terhadapNya atas segala nikmat yang tidak mampu ditulis hatta kering 7 lautan ?

Mereka : (air mata semakin meluncur laju). Ya Allah... Aku sudah banyak buat dosa kepadaMu.. Aku sombong padaMu Ya Allah.....

-----------------------------------------

Lihatlah pula kedua kaki yang dikurnia oleh Allah. Kita boleh berjalan, berlari, bergerak dengan mudah ke sana sini.

Mereka : (memegang kaki masing-masing sambil mengusap-usap jejari kaki)

Sang Guru : Lalu apa yang kita perbuat dengan kaki yang ada ? Kita gunakan untuk ponteng sekolah, pergi ke tempat-tempat maksiat, menendang kawan dan sebagainya. Adakah itu tujuan kaki kita dijadikan ?

Mereka : (menutup mata sambil teresak-esak, semakin kuatlah jerit tangis memikirkan kesalahan yang telah dilakukan selama ini).

Sang Guru : Jika Allah ambil balik mata kepunyaanNya ? Jika Allah tarik balik kaki yang dipinjamkanNya? Jika Allah hilangkan rasa pada lidah ? Jika Allah ambil satu jari dari apa yang kita ada ?

Wahai diri... engkau faqir dan Allah itu Maha Kaya. Maka mengapa engkau masih menyombongkan diri kepadaNya?


PEMIKIRAN ADA LIMA SASARAN

Wahai diri,

Sesungguhnya pemikiran itu ada lima sasaran :

1. Berfikir tentang bukti-bukti kebesaran Allah, hal ini dapat menimbulkan Tauhid dan Yaqin.

2. Berfikir tentang anugerah-anugerah Allah, hal ini dalam menumbuhkan Mahabbah dan Syukur.

3. Berfikir tentang janji-janji Allah, ia menumbuhkan kecintaan Hari Akhirat.

4. Berfikir tentang ancaman Allah, ia menimbulkan rasa gentar bermaksiat.

5. Berfikir tentang kekurangan diri sendiri dalam mengabdi, sedangkan terlalu banyak Allah telah memberi kebaikan kepadanya. Ini akan membuahkan rasa malu terhadap Allah.

Semoga engkau dapat memperbanyakkan fikiran seperti ini. Dan semoga masa yang masih tersisa tidaklah dibazirkan dengan memikir perkara yang tidak menguntungkan.

Rujukan : Drs. H. Aliy As'ad. Nasha'ihul 'Ibad, Menara Kudus.

Thursday, October 27

Politik Melayu sebelum, semasa dan selepas Perang

OLEH:NIK NURUL IMAN NIK HASHIM
Politik Melayu sebelum, semasa dan pasca perang dunia II
Tidak ramai yang suka menceritakan politik melayu di era pendudukan Jepun. Tak ramai juga yang ingin mengupas kembali politik melayu yang teramat lesu sebelum pendudukan Jepun. Kalu adapun berbentuk tesis dan buku ilmiah yang tidak sampai digenggaman masyarakat. Apa yang sering digembar-gemburkan adalah politik pasca kehadiran Jepun dan kebangkitan nasionalisme Melayu selepas 1945 yang adanya berteraskan sosialis/demokratik (PKMM, Sosialis Front,API,AWAS dll), perkauman/demokratik, mahupun keagamaan tulen yang bersifat millenarian. Millenarian adalah istilah yang diberikan oleh pemikir barat terhadap pejuang-pejuang yang berteraskan keagamaan seperti Abdul Rahman Limbong serta gerakan Hizbul Muslimin.
Sebelum perang Dunia II, melayu masih berpegang dengan tradisi aristokrasi(kebangsawanan) dimana tradisi feudal masih mempengaruhi keseluruhan sistem pentadbiran negeri-negeri melayu terutama negeri-negeri tidak bersekutu. Alangkah salah jika kita menganggap Tanah Melayu dijajah British sama seperti Belanda menjajah Indonesia. Istilah Indonesia diperkenalkan selepas Belanda menjajah dan menyatukan sistem mereka sehingga begitu menghimpit tradisi asal melayu Indonesia (Sumetera, Jawa dan Borneo). Menyatukan sistem, disepadukan dan distruktur semula sehingga hilang langsung tradisi aristokrasi dan feudalisme disana. Buktinya, kini tiada langsung 'raja jawa', 'raja banjar', 'raja Acheh' atau mana-mana lagi keturunan Raja di sana. Begitu sempurna sekali penstrukturan semula ala-Belanda di sana. Berlainan dengan Tanah Melayu. Tanah Melayu masih tidak dijajah secara zahir mutlak kecuali di negeri-negeri selat. Contohnya negeri-negeri di utara dipergula-gulakan dengan kerajaan Siam, Pattani diserahkan kepada Siam, negeri yang berpotensi untuk perlombongan disatukan dalam kerajaan bersekutu. Jelasnya sultan masih menguasai kerajaan negeri, menjadi ketua adat melayu dan agama Islam, mengeluarkan perintah serta hanya dianggap dinasihati oleh penasihat British. Sistem polis dikuasai oleh kerajaan negeri walaupun seluruh tanah melayu 'ditawarkan' sistem kepolisan yang bersifat 'integrated' dan ketua polisnya adalah warga British. Sistem ketenteraan juga dikuasai oleh Gurkha dan Sepoi yang diketuai juga oleh warga British. Namun begitu askar sukarela negeri masih dipunyai oleh para sultan. Masyarakat melayu masih kuat berpegang kepada ketuanan bangsawan dan keturunannya sehinggakan ketua daerah, jawatan-jawatan penting negeri serta jawatan penghulu adalah daripada keturunan bangsawan istana. Cakap raja, cakap keturunan raja dan cakap orang-orang kaya negeri amat berpengaruh. Inilah hakikatnya.
Jelasnya, tiada langsung pemimpin melayu daripada golongan borjois (pertengahan) dan marhain bawahan yang benar-benar boleh menyatukan masyarakat ketika itu. Tetapi kita boleh melihat saat itu, MPSI telah menjadi lubuk ilmuan melayu yang berdedikasi membaca, mengkaji serta mengedar bahan bacaan keseluruh negara untuk menyedarkan melayu. Malangnya, mereka ini tiada perisai daripada kalangan melayu bangsawan menyebabkan aktiviti mereka dianggap subversif, penderhaka dan tidak popular. Mentaliti feudal adalah tidak kena jika inilah natijahnya. Feudal adalah kena pada saatnya jika ia menjadi perisai kepada agama Islam dan ketuanan pribumi asal. Mungkin pendapat saya agak bercanggah dengan Prof. S. Husin Ali dan saudara Lee Ban Chen dalam menilai sistem feudal. Ketiadaan perisai ini menyebabkan Ibrahim Yaakub dipenjarakan.
Adakah penentangan beberapa kelompok melayu seperti Orang kaya Semantan, Tok Bahaman, Mat Kilau, datuk Maharajalela dan Tok Janggut boleh dikatakan kebangkitan politik melayu. Apakah takrifan politik disini? Politik sebenarnya telah ada dalam dunia melayu. Pemerintahan ala-feudal beraja adalah sistem politik melayu. Tetapi tidak dianggap sebagai politik sebenar bagi penganalisis sosialis dan penganalisis terkini. Politik mula dipopularkan penggunaan istilahnya apabila terjadi dielektik antara pejuang kebangsaan yang memperjuangkan hak, menentang kezaliman dan memperjuangkan keamanan negara daripada golongan pemerintah atau penjajah. Istilah ini hanya popular secara serata semasa hujung era abad ke 19 sahaja. Hasil kebanjiran fahaman pan-Islam Turki dan fahaman golongan yang belajar Islam di Timur Tengah kesedaran politik ala-khilafah Islamiyyah mula muncul. Umat Islam mula rasa tercabar apabila satu demi satu negeri-negeri Islam dibawah naungan Empayar Usmaniyyah (Ottoman) dicarik-carik serta dibiarkan boneka penjajah yang memerintah. Kitab-kitab jawi lama juga ada menekankan perihal politik tetapi tidak lepas daripada keterikatan otoktoni melayu yang berteraskan feudalisme, sistem beraja yang sebenarnya berakar umbi sejak awal kerajaan kuno Melayu lagi. Pada saya kebangkitan seperti perjuangan Tok Janggut adalah juga kebangkitan politik melayu. Kerana apa? Kerana mereka inginkan penguasaan melayu kembali di tanah air. Penguasaan itulah politik. Tetapi politik mereka adalah bersifat responsif dan refleksi kepada tindakan penjajah tanpa pengawalan dan tidak berterusan. Hal inilah yang membantutkan terus kesedaran politik melayu. Politik di era ini lebih kepada chauvisme pemimpin karismatik tertentu yang hanya mewakili entiti dan suku tertentu masyarakat melayu. Keterikatan pemimpin dan bangsawan melayu termasuk raja-raja melayu dnegan perjanjian bersama British terutama perjanjian ekonomi menyebabkan rakyat dan pemimpin keagamaan dan pemimpin bawahan melayu berada dalam kondisi dilemma yang amat sangat. Melawan penjajah disamakan dengan menderhaka raja yang telah ditipu dan terperangkap dengan helah kapitalis KHTI (syarikat perniagaan British di Timur)
Jepun datang dengan persediaan menjajah yang rapi. Dari awal lagi mereka telah menjalinkan hubungan antara Fujiwara Iwaichi dengan kerajaan melayu telah ada. Hal ini adalah bertujuan untuk mendalami aliran birokrasi ala-melayu serta memerhatikan tahap penguasaan British dalam sistem pentadbiran negeri-negeri melayu. Mereka menyamar sebagai cina yang berniaga. Sungguh hebat penyamaran mereka sehingga semasa pendudukan jepun, peniaga-peniaga inilah yang menjadi komander tentera dalam sistem pentadbiran jepun. Jepun menjalinkan hubungan dengan KMM dan pemimpin mereka. KMM dijanjikan kemerdekaan tanah melayu sekiranya perang telah tamat. Tetapi pemimpin KMM mungkin tidak menyedari atau buat-buat tidak sedar atas dasar ingin mecuba bahawa matlamat awal kehadiran jepun adalah untuk menampung takungan bahan mentahnya yang semakin berkurangan serta mencari pasaran baru di nusantara akibat pemboikotan pasaran jepun di China (selepas perang China 1894-95 dan Perang China 1937) serta pasaran di Eropah. Jepun telah mencapai tahap tertinggi kapitalismenya. Tahap tertinggi kapitalisme adalah menjajah dan mengusai sumber dan mencari pasaran di tanah orang lain. Inilah asalnya empirelisme. Janji kemerdekaan adalah janji palsu kepada pemimpin melayu KMM. Kemungkinan untuk mendsapat kemerdekaan adalah selepas Jepun kalah atau mereka tidak mampu metadbir ekonomi tanah jajahan mereka. Hal ini juga berlaku kepada semua kuasa empirelis yang lain. Antara sebab kejayaan nasionalisme mendapatkan kemerdekaan bukan disebabkan kekuatan nasionalisme semata-mata tetapi disebabkan juga oleh kemerosotan ekonomi negara-negara penjajah yang mengalami kerugian akibat perang terutamanya British yang terpaksa berhutang secara riba dengan Amerika Syarikat. Jalan mudah bagi mereka adalah memerdekakan negeri-negeri itu.
Era perang dunia II kita melihat golongan bangsawan masih dianggap sebagai pelindung. Sultan-sultan melayu di sorok ditempat selamat. Tunku Abdul Rahman telah memberi ucapan di Radio Pulau Pinang untuk menggalakan rakyat menyokong pentadbiran Jepun. Kenapa? Adakah Tunku Abdul Rahman seorang yang penakut? Semestinya tidak kerana Tunku ingin menyelamatkan kaum Melayu yang merupakan kaum utama Tanah Melayu. Berperang dengan Jepun akan mengakibatkan kematian yang lebih lagi. Masa yang begitu singkat tidak memungkinkan bangsawan melayu menyusun gerakan menentang Jepun. Maka langkah ini boleh dikatakan langkah undur setapak, maju 2 tapak. Melayu adalah bangsa yang distrukturkan oleh British untuk mentadbir negeri. Sebab itulah ramai yang bekerja dengan kerajaan. Melayu tidak digalakkan berniaga atau membuat perusahaan lainnya. Cina dan India diperkayukan oleh Britih untuk mengaut sumber perindustrian kerana bangsa ini didatangkan khas dari luar negara. Kedudukan bangsa ini adalah seperti Pendatang Kontrak daripada Indonesia sekarang ini di Malaysia. Mereka tidak mempengaruhi politik negeri melayu. Mereka mudah dimanipulasikan British kerana mereka dibawa untuk bekerja dengan British. Hal inilah yang menghalang kesatuan kaum di Tanah Melayu. Heteregenous kaum yang berlaku ini adalah hakikat zaman itu. Tiada siapa yang boleh mengatakan bahawa kaum asing juga warga tanah melayu sebelum perang dan selepas perang kecuali selepas perjanjian sebelum merdeka sahaja. Takrifan warga tanah melayu adalah bermakna warga atau rakyat bagi sultan-sultan melayu. Tetapi kes ini dikecualikan di negeri selat di mana melayu, Cina dan India disamatarafkan dan mereka dianggap anak jajahan British yang nyata.
Dalam era pendudukan Jepun, masyarakat India mula berpolitik untuk membebaskan negara mereka sendiri dan mereka ditaja oleh Jepun melalui sistem ketenteraan INA (India National Army) dan beberapa gerila lain yang direkrut di Tokyo dan Singapura. Ironinya gerila ini bukan berperang untuk India, tetapi ditaja untuk membantu propaganda Jepun (Asia Timur Raya) dan menghancurkan kesatuan dikalangan tentera punjab dan Gurkha semasa penyerangan terhadap British. Mereka tidak berpolitik untuk membebaskan tanahair ini. Ini hakikatnya.
Masyarakat Cina pula mengikuti gerakan luar negaranya dan berpaksikan fahaman Dr. Sun Yat Sen yang membawa citra bangsa Cina seluruh dunia. Mereka mengekalkan tradisi mereka dan inginkan keamanan di tanah besar Cina berlaku. Mereka di seksa teruk oleh Jeneral Yamashita dalam operasi Sook Ching (Opertasi Pembersihan) di Tanah Melayu kerana dendam Batalion ke-25 Tentera Emperor Jepun yang berpengalaman berperang di Cina sebelum itu. Cina kemudiannya dilayan agak baik oleh Jepun memandangkan Jepun juga ingin mempergunakan mereka untuk industri.
Politik melayu dibenci oleh orang cina yang berfahaman komunis. Mereka menganggap melayu mengkhianati MPAJA yang memperjuangkan kedaulatan tanah melayu. Ironinya kita mengetahui peranan askar MPAJA yang seramai 7000 orang itu tidak lebih kepada memberi maklumat kepada tentera force 136 dan juga hanya berkelahi sesama mereka serta membunuh orang tempatan yang menyokong Jepun. Tiada langsung pertempuran 'face to face' secara berani dengan tentera Jepun. Hal ini menimbulkan ketegangan kaum yang amat buruk. Tetapi kehadiran mereka adalah penawar kepada masyarakat Cina yang tertindas serta menjadi perisai kepada orang melayu yang diseksa Jepun. Tentera PETA yang diketuai oleh Ibrahim Yaakub adalah tajaan Jepun yang kononnya dibuat untuk menghalau British jika Jepun kembali ke negara mereka. Tetapi tentera ini tiada fungsi yang jelas. Akibatnya PETA menjalinkan hubungan pula dengan MPAJA untuk menentang Jepun.
Semangat orang melayu dipupuk semasa pendudukan Jepun. Orang melayu diberikan semangat sayangkan negara, tetapi bukan negara tanah melayu, tetapi sayangkan tanah air Jepun dan taatkan Maharaja. Ada juga masa untuk bertafakur pada waktu tertentu kerana meraikan maharaja yang berdoa untuk askar-askar Jepun di Tokyo sana. Orang melayu, walaupun kelihatan bodoh dipaksa menyanyi lagu kebangsaan Jepun dan sayangkan tanah air Jepun mula dimasukkan jati diri untuk mencintai negara dan menghormati pemimpin seperti orang Jepun. Mereka mula mempersoalkan kedaulatan sultan, kerana Jepun membuang terus tradisi feudal melayu dan menekankan bahawa hanya maharaja Jepun sahaja yang wujud. Feudal hanya pada nama, manakala hakikat kuasa feudal dimusnahkan teruk Inilah yang menyebabkan melayu mula berani mempersoalkan tentang aristokari selepas perang tamat. Kebanyakkan jawatan dan lesen perniagan diberikan hanya kepada orang Jepun. Jauh lebih buruk berbanding dengan pentadbiran British. Dasar pecah dan perintah Jepun lebih teruk lagi sehingga berbunuh-bunuhan antara kaum di tanah melayu. Dasar pecah dan perintah British ada alasannya kerana menganggap bangsa Cina dan India bukan pribumi, maka seharusnya mereka hanya bekerja untuk British dan bukannya bekerjasama memakmurkan negeri. Dasar pecah dan perintah Jepun adalah kononnya kerana ingin berbaik-baik dengan melayu, dendam dan hasad dengan bangsa cina dan keinginan untuk mempergunakan bangsa India. Heteregenous ini lebih buruk lagi!!
Adakah langsung tiada penentangan bersenjata di zaman jepun selain MPAJA? Kita perlu mengetahui selain MPAJA, orang Cina juga menyertai gerila Kuomintang berbintang satu. Force 136 pula bukan perjuangan politik melayu sebaliknya hanya membantu mencari maklumat membantu British kembali ke Tanah Melayu. Tahukah anda bahawa ada juga pemimpin melayu bernama Tok Janggut di Kedah? Tok janggut berjuang hingga mati apabila diseksa oleh tentera jepun dalam tahanan. Kesnya adalah kerana beliau dan pengikutnya melancarkan jihad menentang Jepun kerana Jepun menjadikan masjid di Kepala Batas Pulau Pinang sebagai markas tentera Jepun.
SEBERKAS adalah suatu pertubuhan yang menimbulkan kesedaran politik melayu di era Jepun. Jepun membenarkan SEBERKAS bergerak kerana pemimpinnya adalah Tunku Abdul Rahman ketika itu. Tetapi dasar Tunku tetap ala-feudal dan pro bangsawan. Ini berlainan dengan SEBERKAS yang berteraskan sosialis dan nasionalis. Tetapi SEBERKAS juga diperalatkan oleh Jepun untuk tujuan propaganda dalam bentuk pementasan hiburan yang berunsur propaganda.
PKMM pula ditubuhkan oleh Ishak Hj. Muhammad (Pak Sako) selepas saki baki pemikiran KMM dikumpul semula. PKMM lebih pro kepada melayu dan nasib orang melayu. PKMM pada waktu itu tidak agresif kerana dasar bekerjasama dengan Jepun. PKMM lebih cenderung untuk bergabung dengan Indonesia dalam 'Melayu Raya'. Tetapi Jepun hanya cenderung ingin memerdekakan Indonesia sahaja kerana keadaan sosial mereka yang rencam serta sumber ekonomi yang tidak sehebat Tanah Melayu. Indonesia juga dipengaruhi oleh fahaman komunis yang amat nyata. Kerana itulah PKMM juga dicap sebagai komunis oleh British. PKMM tidak disukai oleh golongan Bangsawan. Hal ini kerana pemimpinnya adalah golongan terpelajar yang pintar serta amat global pemikiran mereka. Mereka terdiri daripada golongan rakyat bawahan. Mereka juga inginkan kemerdekaan tanah melayu dengan lebih agresif dan bersepadu.
Semasa UMNO berslogankan hidup melayu, PKMM berslogankan MERDEHEKA. Perkataan MERDEKA pula diambil oleh pemimpin UMNO selepas mereka bersedia untuk merdeka. Merdeka adalah perkataan Indonesia, tetapi MERDEHEKA adalah perkataan Melayu semenanjung. PKMM bersedia untuk merdeka kerana mereka matang sejak zaman Jepun serta hanya menunggu British kembali untuk menuntut kemerdekaan. Dasar celik dan pintar dikalangan pemimpinnya menyebabkan mereka bersedia menguasai kabinet negara jika merdeka kelak. Ini berbanding dengan UMNO dimana pemimpinnya adalah berasal daripada kalangan bangsawan. Mereka perlu berjuang dahulu mengekalkan kuasa sultan dan hak feudalisme disamping mereka merasakan terlalu perit hidup tertekan semasa pendudukan jepun. UMNO juga lebih cenderung menyusun sosial orang melayu dan menyaingi golongan Cina dan India yang mula popular dengan dasar politik mereka serta mula inginkan hak mereka disamaratakan.
Selepas perang kesemua orang Cina dan India perlu dihantar pulang ke negara asal mereka jika ingin merrdekakan Tanah Melayu kerana mereka bukan warga sultan-sultan melayu. Kerana itulah Cina sukakan gagasan Malayan Union kerana mereka diiktiraf sebagai rakyat Malaya. Cina dan India tidak mahu pulang ke tanah asal kerana mereka dibawa oleh British sehingga hilang talian kekeluargaan dengan negara asal mereka. Jadi mereka akhirnya terpaksa menjadi rakyat Great Britain. Inilah masalah bagi British. Oleh itu mereka memujuk raja melayu dan pemimpin melayu untuk memberikan kerakyatan kepada orang Cina dan India. Kerakyatan diberikan tetapi bersyarat. Inilah yang disebut sebagai hak istimewa melayu kerana pengorbanan melayu memberikan kerakyatan ini. Kerakyatan ini menghilangkan masalah bebanan British dan memudahkan bangsa Cina dan India daripada perlu kembali ke tanah air mereka yang lebih teruk bergolak. Dari sinilah adanya hak istimewa melayu.
Saya tidak bersetuju jika ada yang mengatakan politik yang cenderung kepada melayu sebagai politik yang tidak membawa agenda rakyat. Keadilan adalah kepada semua tetapi adil bukan bermaksud sama rata. Adil bermaksud kena pada tempatnya. Agama Islam, Hak kesultanan dan hak istimewa bangsa melayu dan bumiputera adalah hak yang perlu dipulangkan kepada bangsa ini setelah dirampas oleh bangsa penjajah. Penjajah mencorakkan Malaysia menjadi negara majmuk, maka hak ini adalah suatu bayaran kepada orang melayu yang bekorban kepada British mencorakkan negara mereka. Pada saya cukup adil. Yang tidak adilnya adalah kaedahpemimpin hari ini dalam soal pengagihan kekayaan. Kekayaan masih ala feudalisme walaupun bukan dikuasai oleh golongan bangsawan seperti zaman dahulu tetapi ekonomi kapitalisme dikuasai oleh pemimpin politik melayu tertentu dan mengamalkan kaedah feudalisme seperti zaman dahulu. Inilah yang tidak kena. Mungkin ada kuota untuk melayu dalam hal tertentu tetapi bukan dibolot kekayaan itu dan diagaihkan secara kronisme yang tidak munasabah.
Kepada bangsa lain yang mempersoalkan chauvinisme dalam soal hak melayu, saya berseru agar mereka juga merobohkan sistem pendidikan aliran bahasa mereka juga. Segala yang bersifat perkauman bangsa lain juga perlu dirobohkan jika inginkan Melayu membuangn tradisi mereka. Tetapi hal ini mungkin ramai yang akan sembunyikan hakikatnya. Sekarang kelihatan seperti kesemua bangsa berjuang mempertahankan politik negara memakmurkan negara dan meningkatkan maruah negara. Aspek ini dilihat sebagai alasan agar hak istimewa melayu dipugar. Tetapi ketahuilah, hak istemiewa melayu dan hak kesultanan melayu adalah kes sebelum merdeka dan bukannya dipengaruhi oleh keadaan sekarang. Saya menyokong alasan Lee Ban Chen (seorang pejuang keadilan dan sosialisme Malaysia) jika beliau mengutarakan perjuangan keadilan membantu semua kaum dan bukannya melayu sahaja. Tetapi mempersoalkan hak istemewa melayu mungkin ada beberapa perkara yang perlu dilihat semula secara jelas.
Kematangan politik melayu semakin jelas sebenarnya apabila mencapai kemuncakknya pada tahun 1948. Darurat adalah suatu kemuncak kematangan politik walaupun ada beberapa masalah yang timbul. Antara masalah yang timbul ialah akibat dielektik tegas British terhadap PKMM, menyebabkan ramai ahlinya kecewa dengan jalan konvensional dan mengambil jalan radikal dengan menyertai PKM (Parti Komunis Malaya). Pejuang melayu di dalam Rejimen ke-10 PKM ini adalah juga sebahagaian daripada usaha melayu memperolehi hak politik mereka. Tetapi komunis tetap ada agendanya yang tersendiri. Kecenderungan mereka adalah memerdekan Malaya tetapi dihiasi dengan masyarakat komunis yang kelihatan tanpa perasaan, anti feudalisme, serta pengagihan harta yang dikatakan sama rata tetapi kekasaran jadinya. Salahjika tidak mengakui niat suci Shamsiah Fakeh, Abdullah CD, Rashid Maidin, Ibrahim Chik dan sebagainya yang inginkan kemerdekaan rakyat. Mereka memasuki PKM tetapi tidak berfahaman komunisme secara total. Mereka masih beragama Islam. Cuma mereka agak sosialisme. Itu sahaja. Bukan hak kita menafikan perjuangan mereka itu dengan alasan PKM sebagai wasilah mereka. Dilemma melayu saat itu hanya mereka yang memahami. Mereka yang inginkan kemerdekaan segera terpaksa terjun dalam lembah itu. Tidak dapat dinafikan pengaruh PKM dalam organisasi API dan AWAS sejak awal lagi. Kita yang tidak berjuang tidak akan faham. Masyarakat yang tidak berjuang terus menelan propaganda British yang sememangnya anti Russia (Soviet Union) dan China saat itu.
Kesatuan kesemua persatuan dalam PERKEMBAR (yang kemudiannya menjadi UMNO) adalah kerana ingin menyanggah agenda Malayan Union. Mereka terpaksa menyetujui untuk memeprtahankan feudalisme dalam usaha memeprtahankan hak melayu dan agama Islam serta kedaulatan negeri-negeri melayu yang eksklusif berbanding menjadi tanah jajahan mahkota Britain. Disini kelihatan politik melayu amat matang dan bersatu atas satu alasan yang sama.
British menghapus kesemua pejuang kemerdekaan yang bukan daripada alirannya kerana sistem perjuangan Hizbul Muslimin adalah berteraskan Islam tulen yang bercanggah dengan dasar neo-kolonialisme mereka, tidak kena dengan sistem kapitalis mereka serta langsung tidak 'ngam' dengan aspirasi mereka pasca merdeka . Mereka juga tidak sukakan ideologi sosialis yang ingin mematikan jerung-jerung kapitalisme tradisi barat itu. Syarikat-syarikat perindustrian kapitalis British dan eropah lainnya tidak akan kekal di Malaya jika ideologi ini berkuasa. Hal ini yang menyebabkan mereka memerangi PKMM, AWAS, API, PKM serta beberapa front lain yang sekutu dengan mereka. UMNO sahaja yang dibenarkan memerintah bersama beberapa parti komunalisme kaum yang lain. Mereka yang 'menang' ini kemudiannya mencorakkan sejarah. Menguasai seluruh minda melayu sehingga melayu lupa siapa yang berjuang, da n siapa yang berpeluk tubuh

KEesan penjajahan terhadap tradisi keilmuan Islam

KESAN PENJAJAHAN BARAT KEPADA EPISTEMOLOGI ISLAM
OLEH:NIK NURUL IMAN NIK HASHIM
KOLEJ UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

PROSES PEMBARATAN SISTEM PENDIDIKAN
Tokoh westernisasi (tokoh pembaratan Islam), missionary barat dan orientalis berusaha sedaya upaya untuk menghancurkan nur Islam. Mereka mewujudkan pelbagai organisasi antaranya Paderi Lamnes al-yasuei telah mengatur strategi pepecahan keatas umat Islam selepas kejatuhan khilafah Islamiah Turki 1924. beberapa kejayaan telah dicapai,terutamanya di medan pendidikan, pengubahsuaian dalam hukum Al-Quran dan muncul gerakan pembebasan wanita.
Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan Yang demikian). (Assof :8)
Sistem pembelajaran Al-Quran diketepikan ,dimana sedikit demi sedikit pelajaran berteraskan Al-Quran dan assunnah dihapuskan dari peringkat rendah ke peringkat universiti. Al-Azhar sebagai institusi yang masih mengekalkan sistem Al-Quran dan sunnah telah cuba diganggu oleh golongan westernisasi ini. Mereka menekankan bahawa Al-Azhar memerlukan perubahan, sehingga kesannya tenaga pengajar al-azhar turut termakan dengan hasutan pemikiran Barat ini.
DEFENISI EPISTEMOLOGI
· Epistemologi adalah istilah yang dikaitkan dengn perbahasan falsafah, dimana 'epsteme' bermaksud pengetahuan dan logos bermksud ilmu,sains,kajian atau teori dan perbincangan.
· Secara mudahnya ia ditakrifkan sebagai 'kajian tentang ilmu pengetahuan'. Secara teknikalnya ia merujuk kepada disiplin ilmu yang menyelidiki tentang ilmu.
· Kemunculan ahli falsafah Yunani yang dikenali sebagai sufsa'iyyun (sophist) menghasilkan kemunculan perbincangan epistemologi secara terbuka.
EPISTEMOLOGI ISLAM DAN BARAT
· Epistimologi mengikut Islam adalah satu perbahasan mengenai penentuan dan penilaian terhadap sesuatu perkara sama ada benar(diterima) atau palsu(ditolak). Perkara yang benar hendaklah berasaskan ilmu al-yakin.
· Epistimologi Barat menurut Prof Al-attas " kebudayaan barat berasaskan dasar falsafah bukan agama, mereka hanya menegaskan dasar teori iaitu ilmu pengetahuan atau hasil akal nazari yang berlandaskan sangkaan,dugaan dan penerokaan akal jasmani yang mungkin benar atau tidak".
PENJAJAHAN KEATAS ISLAM
Serangan monggol
· Berlaku sejak abad ke 12 sekitar 1220-1230 di Azerbaijan dan timur laut Iran
· Puncak malapetakala ialah penghancuran kota Baghdad dimana khazanah ilmu dan saintifik telah dibinasakan
· Hulagu menawan baghdad, air sungai dajlah bertukar sebanyak 2 kali:
- Hari pertama : merah dengan darah umat Islam yang disembelih
- Hari kedua : hitam dengan dakwah buku-buku yang dibuang.
· Baghdad mempunyai Bait al-Hikmah sebagai perpustakaan terunggul didunia
· Baghdad juga merupakan pusat industri penerbitan buku terbesar didunia
- separuh dari 2.5 juta penduduk terlibat dengan proses penerbitan buku.
- Membaca buku menjadi kegilaan dan hobi penduduk Baghdad
· Baghdad menjadi syurga buku-buku diabad 13 sedangkan Eropah masih jahil dan buta huruf dalam kegelapan.
Perang Salib
· Penjajahan disusuli dnegan Perang Salib yang dilancarkan oleh pemerintah Kristian pada Zaman Pertengahan di Eropah
· Berlaku selama 200 tahun menyebabkan kejatuhan Kota Grenada kepada Crusaders
· Peperangan dicetuskan disebabkan faktor perbezaan dari sudut ekonomi,agama dan politik
· Hasil ketamadunan Islam telah dicuri dan dirampaskan oleh masyarakat eropah.
SEKULARISME
Takrifan
· Dalam bahasa arab disebut 'almaniyah ( علمانيه )
· Dr Yusuf Qaradawi ,bukunya 'Pertentangan Islam dan sekular' terjemahan yang betul dalam bahasa Arab ialah al-Ladiniyyah ( الا دينيه ) iaitu tanpa agama atau al-Dunyawiyyah (الدنياويه ) iaitu keduniaan.
· Perkataan الدنياويه bukan berlawanan dengan perkataan ukhrawiyyah sahaja tetapi mempunyai makna khusus iaitu " Perkara yang tiada kaitan dengan agama"
· SM Naquib Al-attas , bukunya Islam dan sekularisme menyebut " pembebasan manusia dari unsur agama yang kemudian mencangkupi kawalan bidang metafizik keatas pemikiran dan bahasanya"
Prinsip sekularisme ( SM Naquib Al-Attas)
· Aliran sekular ingin membaiki hidup insan melalui material sahaja
· Menyatakan kebenaran keduniaan adaah terpisah dari ajaran wahyu dan kenabian
· Ilmu sekular bebas dari prinsip dan disiplin ilmu, boleh diuji dengan fikiran dan pengalaman
· Percaya rasionalisme merupakan sumber kepada pencapaian ilmu
Kesan sekularisme
· Masyarakat Islam gagal untuk menampilkan satu sistem hidup yang ideal
· Lahir pemimpin yang tidak cekap memimpin umat Islam yang tiada standard moral,intelektual dan spiritual yang tinggi.
· Lahirnya sarjana muslim yang sekular menerima ajaran Barat termasuk ilmu kemanusiaan (humaniora).Cuba membicarakan persoalan sosialisme Islam atau sekularisme Islam.
· Sarjana Muslim meniru gaya berfikir Barat dan menyanjung tinggi tokoh pemikir Barat
· Berlaku romanisasi iaitu penterjemahan Bahasa Arab ke bahasa setempat , memisahkan formal, konseptual muslim dan sumber asli Islam
· Umat Islam didoktrin menjadi komuniti yang tidak menghiraukan suasana sekeliling sehingga melahirkan umat bersifat individualistik dan materialistik
· Soal hireaki ilmu sudah diketepikan dan tidak difahami oleh ilmuan Islam.Dalam Islam terdapat ilmu prinsipal(primer) iaitu wajib dirujuk dan ilmu sekunder. Ilmu berkaitan al-Quran dan hadis ialah sumber primer
KESIMPULAN
Ilmu merupakan suatu perkara yang amat dititikberatkan oleh Islam, malahan ayat pertama juga menekankan gesaan dan penekanan tentang asas kepada ilmu iaitu membaca. Lihatlah surah al-alaq yang berbunyi :
Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, (Al-Alaq : 1-3 )
Dan bagi orang-orang yang beriman dan berilmu akan ditingkatkan darjatnya disisi Allah, dengan syarat ilmunya itu berasaskan Al-Quran dan assunnah