Terkejutkah anda jika terdapat pelajar Malaysia di Mesir yang terlibat dengan pilihan raya? Jika terkejut, sila jangan terkejut kerana ia merupakan perkara biasa di sini. Di sini juga terdapat organisasi yang khusus untuk menjaga kebajikan para pelajar di sini. Tidak kira sama ada pelajar sains kesihatan atau pelajar agama, kedua-duanya mempunyai organisasi masing-masing. Organisasi ini juga mengalami pemilihan bakal pentadbirnya.
Matlamat yang paling utama organisasi tersebut ialah dakwah, dakwah untuk membawa manusia kepada Allah. Hidup ini tiada apa-apa melainkan hanya untuk Allah. Sesetengah orang melihat hidup sebagai tempat belajar, ada juga yang melihat sebagai tempat berjuang, tempat bergembira, tempat berdakwah, tempat mencari makan dan sebagainya.
Sebenarnya itu semua tiada gunanya jika matlamat akhirnya bukan untuk Allah. Sama-sama kita sedar akan hakikat hidup ini yang sebenarnya.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama menyebarkan dakwah sama ada kepada diri sendiri atau orang lain. Janganlah kita hanya melaungkan keinginan untuk berdakwah tetapi tidak mengambil tahu urusannya sama ada dari segi gerak kerja dakwah atau organisasinya. Janganlah hanya pandai mengatakan ini dan itu tidak mantap. Apa yang penting ialah kerjasama untuk ke arah pembaikan.
Selagimana sesebuah organisasi itu diurus oleh manusia, maka sudah tentu ia tidak akan terlepas daripada salah dan silap. Apakah kita mengharapkan kemaksuman sepertimana kaum musyrikin yang inginkan rasul mereka terdiri daripada malaikat?
Wahai mereka yang bergelar pendakwah, yang berada di Bumi Anbia', yang mengikuti aliran sains kesihatan, inilah masanya, inilah medannya, untuk kita sama-sama tunaikan tanggungjawab selaku pendakwah. Adalah sangat malang sekiranya kita hanya pandai menyalahkan tetapi tidak pula pandai menolong, bahkan dikucar-kacirkan sistem dakwah sehinggakan para penyeru bertikam lidah, para mad'u pening tak sudah....
No comments:
Post a Comment