Sunday, December 19

LAMAN KL-TODAY.COM » Blog Archive » Intipati penting Konvensyen PR hari ini

LAMAN KL-TODAY.COM » Di dalam Konvensyen Pakatan Rakyat kedua yang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini, para pemimpinnya melahirkan cadangan untuk melancarkan kempen bagi mengumpul satu juta tandatangan untuk mendesak kerajaan pusat supaya bersama-sama menggubal Akta Pemulihan Demokrasi yang mana kemudiannya akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kempen tersebut akan dilancarkan pada 1 Januari dan akan berakhir pada penghujung Februari tahun depan untuk mengumpul tandatangan tersebut. Tujuan utama inisiatif ini adalah untuk menyelamatkan amalan demokrasi di negara ini yang didakwa mereka semakin mengekang dan diancam kepentingan politik tertentu.

Deklarasi itu antara lainnya akan mengikrarkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, rakyat dan negara. Pihak Pakatan Rakyat (PR) juga menunjukkan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan BN untuk menggubal akta tersebut, berdasarkan kepada enam isu penting.

Keenam-enam isu penting yang akan disenaraikan dalam deklarasi tersebut ialah:

1. Menghapuskan semua deklarasi darurat.

2. Memansuhkan semua undang-undang anti-demokratik.

3. Menghormati perjanjian untuk membentuk Malaysia bersama-sama dengan Sabah dan Sarawak.

4. menjamin integriti pilihanraya umum.

5. Mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan.

6. Mewujudkan kebebasan akhbar.




Selain dari itu juga, PR turut menawarkan Program 100 Hari yang terdiri daripada 10 inisiatif sekiranya PR berjaya membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihanraya umum akan datang.

Menurut ’Buku Jingga’ yang dilancarkan semasa konvensyen hari ini, PR bertegas akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan dalam Dasar Bersama.

Antara 10 inistiatif tersebut dalam masa 100 hari memerintah ialah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Selain itu, di sini disenaraikan inistiatif-inisiatif yang dicadangkan dalam Buku Jingga tersebut:

— Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat

— Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang

— Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan

— Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa Bandar

— Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda

— Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20 peratus

— Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman

— Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang merasmikan majlis Konvensyen tersebut sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, program 100 Hari yang dicadangkan pelaksanaannya ini adalah untuk rakyat Malaysia sebenar, tulen dan watan.

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia yang sebenarnya adalah rakyat biasa yang pentingkan hak ekonomi dan masa depan agar kehidupan mereka bukan sahaja lebih senang tetapi masa depan untuk anak-anak adalah lebih cerah dan baik. Inilah rakyat Malaysia sebenar yang kita di Pakatan harus tumpukan.-KLTod Intipati penting Konvensyen PR hari ini

No comments:

Post a Comment