Sunday, December 19

Shahrir Samad Ramal PRU13 Suku Kedua 2011 Atau Tahun Selepasnya

Shahrir Samad Ramal PRU13 Suku Kedua 2011 Atau Tahun SelepasnyaPRU-13 Pada Suku Kedua Tahun Depan Atau Tahun Selepas Itu, Ramal Shahrir

JOHOR BAHARU, 19 Dis (Bernama) -- Pilihan raya umum (PRU) ke-13 diramal diadakan pada suku kedua tahun depan atau tahun selepas itu, menurut ramalan veteran Umno Datuk Shahrir Samad.

Anggota Parlimen Johor Bahru itu berkata pilihan raya umum tidak akan diadakan pada Mac tahun depan seperti yang dijangkakan oleh parti pembangkang.

Beliau berpendapat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih mahu melihat lebih banyak hasil diperoleh daripada semua dasar yang diperkenalkan sejak menjawat jawatan pada 3 April tahun lepas.

"Jadi, pilihan raya tidak akan diadakan secepat mungkin, mungkin akan diadakan pada akhir 2011 atau selepas itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kesedaran kesihatan di Kampung Sulaiman Menteri di sini Ahad.

Shahrir berkata Pakatan Pembangkang hendaklah menumpukan perhatian untuk memberikan khidmat kepada rakyat dan bukan terlalu tertumpu pada pilihan raya umum.

Shahrir yang juga ketua Umno bahagian Johor Bahru berkata setakat ini pembangkang lebih berminat pada pilihan raya.

Mengenai kekecohan oleh anggota Pakatan Pembangkang di Parlimen ekoran empat anggota parlimennya digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat itu, beliau berkata insiden itu nampaknya telah dirancang.

"Saya rasa anggota Parlimen Pakatan tahu peraturan Parlimen tetapi mereka pilih untuk mengabaikannya untuk meraih perhatian politik remeh temeh," sambil menyifatkan ia satu taktik yang penuh dengan kekeliruan.

Empat anggota Parlimen pembangkang yang digantung kehadiran selama enam bulan ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, Azmin Ali (Gombak), Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan R.Sivarasa (Subang).

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Shahrir berkata jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) hendaklah menerangkan isu-isu sementara bekerja untuk mengekalkan keyakinan rakat dalam parti campurannya.

Adalah terlalu awal untuk meramalkan hasil keputusan pilihan raya kecil itu tetapi jentera pilihan raya BN hendaklah bekerja keras bagi memastikan kemenangang.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN Datuk Sulaiman Taha, 59 pada Jumaat lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment