Seorang Exco Pemuda PAS hari ini menghubungi saya lalu menegaskan bahawa apa yang dituliskan oleh Pak Bakaq aka Penarik Beca berjudul TGNA diperdaya hadiri majlis mempakyetkan PAS? semalam adalah tidak benar.
Beliau tidak percaya khabar wujudnya “Perjanjian Pangkor III” antara pemimpin tertentu PAS dan Umno pada 23 Disember lalu atas nama ‘perpaduan Melayu’.
“(Isu) ‘Kerajaan Perpaduan’ dah lama tutup buku. Takkan Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) nak tipu kita (ahli-ahli PAS) semua. Dia (Hadi) ulama, ulama tidak mungkin menipu atau mengkhianati tahalluf siyasi (muafakat politik dengan DAP dan PKR atas nama) Pakatan Rakyat,” ujarnya kepada saya.
Yang menarik tersebut, Penarik beca tidak lagi dituduh sebagai “penipu” atau “batu api” yang cuba merobohkan batu-bata al-wala’ (kesetiaan daripada ahli-ahli PAS) dan ast-thiqah (kepercayaan kepada pemimpin) yang kian menjadi “candu politik” dalam PAS belakangan ini.
Berbeza dengan kondisi sebelum ini apabila Pak Bakaq buat pertama kali mendedahkan “Perjanjian Pangkor” kedua pada Mac dua tahun yang lalu.
“Apa yang orang tak kata pada bekas aktivis PAS itu? Penipu? Babi? Syiah? dan macam-macam lagi”
Akhirnya Hadi sendiri mengaku ada pertemuan dalam gelap antara beberapa pemimpin ‘Kerajaan Perpaduan’ dengan pemimpin Umno yang nyata zalim.
Sekiranya Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah tidak membuat pengakuan terbuka di depan wartawan, mungkin beberapa pemimpin PAS terbabit terus-menerus menipu ahli-ahli PAS serta seluruh rakyat Malaysia sehingga kini.
“PKM (Parti Komunis Malaya) telah lama diperangi dan mati di tanah air kita, persoalannya adakah idealogi ‘komunisme’ atau PKM sendiri hari ini telah lupus dan tidak lagi diimani oleh rakyat Malaysia. Tidak ada sesiapa pun boleh mendakwa bahawa idealogi itu telah terkubur selepas terkuburnya PKM.
“Begitu juga dengan (idealogi) Kerajaan Perpaduan. Idea itu tidak akan lenyap dari pemikiran Hadi, Nasharuddin Mat Isa (Timbalan Presiden PAS) sendiri bahkan mungkin kian ‘bernyawa dalam gelap’,” respons saya kepada Exco Pemuda PAS terbabit.
Exco Pemuda PAS Pusat itu berkata, ketuanya Nasruddin Hassan Tantawi tidak mungkin mengangkat kes tersebut dalam Majlis Syura Ulama PAS Pusat secara hizbah.
Zaharuddin Mohamad yang lebih dikenali sebagai Ustaz Din Ayam? Penasihat Tantawi itu tidak mungkin berani mengetengahkan Hadi dan yang lain dalam majlis hizbah sebab beliau ‘Menantu Presiden’ yang hari ini mulai dikenali sebagai “Khairy versi PAS”.
Saya sendiri secara peribadi melihat Hizbah tidak berlaku dalam “Perjanjian Pangkor III” ini kerana organisasi PAS seakan tidak wujud “doktrin pengasingan kuasa”.
Hadi, Nasruddin, Zaharuddin bukan sahaja memegang jawatan eksekutif dalam parti, malah merupakan anggota Majlis Syura Ulama PAS.
Apakah institusi tertinggi itu boleh bertindak bebas serta mengetepikan ‘konflik kepentingan’ dalam kondisi seperti sekarang? Mustahil dilihat bebas lagi bersih.
Sebentar tadi saya ada menghubung seorang pimpinan PAS Pusat bertanya hal “Perjanjian Pangkor III” ini. Inisiatif itu selepas saya sendiri membaca blog Penarik beca dan facebook Abdul Fattah Haron, pemimpin PAS Kelantan.
“Pemimpin PAS yang terbabit bukan sahaja Ustaz Hadi dan Nasharuddin, malah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik (Mursyidul Am PAS) sendiri. Nik Aziz datang kerana istana (DYMM YDA Tuanku Mizan Zainal Abidin) panggil tanpa diberitahu sebab (dijemput ke Istana Terengganu).
“Tok Guru terkejut kerana Ustaz Hadi, Nasharuddin, Najib dan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno) ada dalam pertemuan tersebut.
“Muhyiddin kata: PAS dan Umno perlu ketepikan faham politik, perlu bersatu mempertahankan kepentingan Melayu.”
“Tok Guru kata (respons) : Yang banyak tangkap dan bunuh ulama adalah Umno. Yang banyak lawan Islam pun Umno.“
“Tok Guru kemudiannya keluar (meninggalkan majlis itu). Tuanku Sultan pun keluar (meninggalkan majlis itu). Yang tinggal, hanya Ustaz Hadi, Nasharuddin, Najib dan Muhyiddin,” ujar beliau sambil mencadangkan mana-mana ‘wartawan badwi’ desak Hadi dan Nasruddin memberi respons bertanggungjawab dalam masa terdekat.
Ustaz Wan Ji Wan Hussin aka blogger al-Bakistani memberitahu saya bahawa Ustaz Hadi pada 23 Disember lalu sebenarnya berada di luar negara.
Salah seorang staff di Pejabat Agung PAS memberitahu saya, “Memang Ustaz Hadi ke luar negara selepas pertemuan itu (Perjanjian Pangkor II).”
Saya sendiri secara peribadi percaya bahawa PAS sudah tutup buku dalam isu ‘Kerajaan Perpaduan’ ini kerana Hadi sendiri pernah melafazkan iltizam politik sedemikian.
Pada 27 Oktober tahun lalu, Hadi menengaskan bahawa parti itu telah menutup pintu rundingan ke arah pembentukan “Kerajaan Perpaduan” dengan Umno.
Isu “Kerajaan Perpaduan” tidak timbul lagi keranan idea itu hanya dibangkitkan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, bukannya era Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Itu dah tutup buku, kerajaan perpaduan tak ada lagi. Perdana Menteri zaman itu pun dah berhenti…Tak timbul lagi, sekarang Perdana Menteri baru.
“Tak timbul lagi masa ini, berhenti dulu. Itu konsep yang kita timbulkan masa zaman (Tun) Abdullah,” tegas Hadi di lobi Parlimen sebagaimana dilaporkan mStar.
Banyak pihak tentunya seperti saya, percaya mustahil seorang ulama haraki seperti Hadi sanggup menipu lagi dalam hal “Perjanjian Pangkor III” ini.
Sebagai pedoman, cuba lihat potongan hadith daripada Kaab bin ‘Ujrah berkata, bahawa Nabi SAW ada bersabda:
إِنَّهُ سَتَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ مَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ
“Sesungguhnya selepas dariku, akan ada pemimpin. Barangsiapa membenarkan mereka dengan penipuan yang mereka lakukan, dan membantu mereka atas kezaliman yang mereka lakukan, maka dia bukan dari kalanganku dan aku bukan dari kalangannya” [An-Nasai : 4136]
Firman Allah:
وَلاَ تَلْبِسُواْ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُواْ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.” [2:42]
Tuntas dari itu, siapa setuju bahawa hal ini mesti dihizbah secara tertutup dan sekiranya mereka yang terbabit didapati menipu atau mengkhianati tahalluf siyasi dengan pergi “beromen” dengan Umno mesti dikenakan tindakan secara terbuka?
ALHUSSEYN
No comments:
Post a Comment