Keputusan kes Teoh timbulkan banyak persKUALA LUMPUR, 7 Jan: Keputusan yang tidak mempertanggungjawabkan sesiapa pun atas terbunuhnya Teoh Beng Hock adalah keputusan pelik yang mencipta sejarah, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Mahkamah Koroner memutuskan Teoh tidak dibunuh dan tidak juga membunuh diri. Tidak ada keputusan tentang sebab kematian beliau.
"Tetapi, Koroner (Azmil Muntapha Abas) juga memutuskan ada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa kecederaan pada leher Teoh berlaku sebelum dia jatuh.
"Dia cedera dan kecederaan mungkin berlaku kerana siksaan, tetapi tidak dinyatakan pula apa kaitan kecederaan dengan kematian," katanya.
Mahfuz mempersoalkan bagaimanakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh terlepas begitu sahaja dari dipertanggungjawabkan.
"Teoh terbunuh setelah terjatuh dari pejabat SPRM Selangor dan ketika beliau disoalsiasat oleh SPRM. Koroner pula memutuskan ada bukti yang menunjukkan kecederaan pada leher Teoh.
"Berdasarkan tempat dan masa beliau terbunuh, mengapa SPRM langsung tidak dipertanggungjawabkan?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.
Mahfuz juga mempersoalkan mengapa tidak ada sebarang keterangan lanjut mengenai kecederaan pada leher Teoh.
"Adakah itu juga bermakna beliau tidak dicederakan dan tidak mencederakan dirinya tetapi ada kecederaan?" soal beliau.
Mahfuz juga menyifatkan keputusan itu bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah dan menjawab pelbagai persoalan umum malah ia menimbulkan lebih banyak persoalan.
Mahfuz juga mengulangi tuntutan yang dibuat oleh PAS sejak awal lagi supaya kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung punca kematian Teoh.
"Mahkamah Koroner yang muncul dengan penghakiman terbuka yang menimbulkan lebih banyak persoalan sudah mula dipertikaikan oleh rakyat yang menyifatkan inkues tersebut satu pembaziran kerana tidak ada keputusan yang pasti.
"Sebab itulah Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung punca kematian Teoh mesti ditubuhkan segera," katanya sambil mengingatkan kerajaan supaya jangan hanya bercakap sahaja hendak menubuhkan suruhanjaya tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon telah dilaporkan memberitahu laman web Nanyang Siang Pau bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak telah mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi bagi meninjau kemungkinan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian Teoh.
"Kali ini, rakyat mestilah memastikan suruhanjaya tersebut tidak menjadi seperti suruhanjaya siasatan pita V K Lingam di mana cadangan suruhanjaya tersebut terbiar begitu sahaja dan tidak ada tindakan - hanya menghabiskan wang rakyat sahaja," kata beliau.
Mahfuz seterusnya berkata, PAS mengucapkan takziah tidak terhingga kepada keluarga Teoh kerana penghakiman terbuka Mahkamah Koroner itu.
"Kita amat bersimpati dengan penderitaan yang semakin bertambah-tambah yang dialami oleh keluarga Teoh berikutan keputusan itu," katanya.
oalan
No comments:
Post a Comment