Topeng Perak Unmasked UMNO diingatkan tidak perlu menawan Kelantan jika ikhlas mahu membawa pembangunan ke negeri itu.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan PAS negeri itu sentiasa membuka ruang kepada UMNO melalui Kerajaan Pusat untuk melaksanakan pembangunan di negeri Serambi Mekah itu.
"Suka saya ...tegaskan, UMNO/Barisan Nasional tidak perlu menawan Kelantan jika benar ingin membawa pembangunan.
"Kita membuka pintu 25 jam sehari untuk Kerajaan Pusat pimpinan UMNO/Barisan Nasional untuk melaksanakan pembangunan di Kelantan," katanya yang juga Mursyidul Am PAS.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berkeyakinan merampas Kelantan pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan dan Antarabangsa dan Industri didakwa meletakkan keyakinan itu atas alasan Kerajaan PAS Kelantan gagal menyelesaikan masalah rakyat khususnya dalam dalam pembangunan infrastruktur negeri itu.
Bagaimanapun Tuan Guru berkata, jika UMNO/Barisan Nasional ikhlas, isu pembangunan ini sepatutnya boleh dibuat Kerajaan Pusat dengan peruntukan yang ada, tanpa merampas Kelantan kerana negeri Kelantan juga sebahagian dari Malaysia.
Beliau memberi contoh bagaimana projek melebarkan jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu yang dibuat Kerajaan Pusat yang langsung tidak diganggu Kerajaan Negeri.
"Hari ini, jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu sedang dilebarkan dan prosesnya sedang rancak berjalan. Ini projek Kerajaan Pusat dan proses tender pun diuruskan oleh Kerajaan Pusat.
"Sekalipun khabar angin kuat bertiup menyatakan kontraktor asalnya telah lari, Alhamdulillah jambatan tersebut tidak dibawa lari. Hari ini saksikanlah projeknya sedang berjalan lancar tanpa sedikitpun gangguan dari Kerajaan Negeri," ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri juga tidak menolak pembangunan yang dijanjikan Kerajaan Pusat pimpinan UMNO/Barisan Nasional ke negeri itu.
"Saya nak sangat UMNO jawab soalan yang sudah lama saya lontarkan. Apakah sebab UMNO mahu merampas Kelantan?" soalnya.
Sejak Rancangan Malaysia ke-6 diperkenalkan pada tahun 1991, difahamkan sejumlah 118 projek pembangunan telah dibekukan Kerajaan Pusat di negeri Kelantan.
Jumlah itu meliputi 1,086.278 hektar atau melebihi 2500 ekar tanah dari sepuluh jajahan di negeri ini.
Tindakan Kerajaan Pusat itu juga didakwa telah membantutkan pembangunan negeri dan dipandang serong oleh rakyat yang terlibat dengan pengambilan tanah tersebut.
PAS mula megambil alih pemerintahan negeri itu selepas Pilihan Raya Umum 1990 setelah mendapat majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).
Sejak mentadbir negeri itu, mereka mendakwa Kelantan sering dianaktiri oleh Kerajaan Pusat khususnya dalam meyalurkan peruntukan.
Lihat seterusnya..
No comments:
Post a Comment