Thursday, March 24

Dipertontonkan klip video seks: cheGuBard, selepas Johari dan Zaid

 

Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai cheGuBard hari ini tampil untuk membuat pengakuan bahawa dirinya antara pemimpin PKR yang dipertontonkan klip video seks, selepas pendedahan Johari Abdul, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR merangkap ahli parlimen Sungai Petani, semalam.
Zaid Ibrahim (gambar kanan) yang menyandang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum keluar parti, turut mendedahkan dalam blog, bahawa beliau juga dipertontonkan klip video seks tersebut.  Berbeza dengan Johari dan cheGuBard, Zaid Ibrahim memilih untuk berselindung - sejauh manakah beliau yakin bahawa lelaki dalam video tersebut adalah Anwar Ibrahim seperti yang didakwa, atau sebaliknya.
Ia bukan lagi rahsia apabila dalang di sebalik tabir "video seks" ini menampilkan diri semalam.  Sama ada penglibatan Rahim Thamby Chik cukup untuk mengheret UMNO, atau membuktikan penglibatan Perdana Menteri Najib Razak dalam percaturan politik ini boleh dipertikaikan.  Tapi apa yang jelas, penayangan "klip video seks" ini bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politik Anwar Ibrahim, PKR malah Pakatan Rakyat.
Mengapa Johari Abdul?
Namun mungkin sesuatu yang menarik seandainya dikaji individu yang terpilih sebagai ahli politik yang dipertontonkan video seks tersebut, mengandaikan pengakuan mereka adalah benar.  Pemilihan Zaid Ibrahim tidak mengejutkan, memandangkan bekas calon Timbalan Presiden PKR ini masih berdendam terhadap Anwar Ibrahim.  Tetapi peranan Ketua Parti Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) ini mungkin tidak sebesar mana - paling banyak beliau meyakinkan umum bahawa orang yang tidak sehaluan dengan Barisan Nasional turut meragu-ragu, malah tidak menafikan bahawa lelaki dalam video itu Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, pemilihan Johari Abdul mungkin lebih berstrategi.  Selain hubungan persaudaraan Johari Abdul dengan salah seorang Datuk T, Shuib Lazim, kedudukan Johari Abdul dalam parti adalah lebih "bernilai".  Johari Abdul meninggalkan UMNO semasa zaman Reformasi pada akhir tahun 1990-an, kini terpilih sebagai Majlis Pimpinan Pusat PKR dengan undi kelima tertinggi.  Beliau mungkin antara beberapa sahaja yang kekal bersama Anwar dalam PKR selepas lebih daripada satu dekad - menyaksikan seorang demi seorang meninggalkan PKR.
Seandainya ahli parlimen Sungai Petani ini keluar parti selepas dipertontonkan klip video tersebut, maka ia akan digambarkan sebagai satu lagi tamparan kepada Anwar Ibrahim.  Strategi ini mungkin bukan sesuatu yang baru, tetapi ia bakal menggoyah keyakinan umum apabila babak sebegini berulangan.
cheGuBard: Keluar atau tidak?
Meskipun dikatakan sebagai perantara "Datuk T" dengan Wan Azizah Wan Ismail untuk membawakan video tersebut kepada Wan Azizah, namun pemilihan cheGuBard sebagai orang yang dipertontonkan turut memperlihatkan motif di sebaliknya.
Sebagaimana yang diketahui, ruang cheGuBard (gambar kanan) dalam parti semakin sempit, selepas ditewaskan Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam pertandingan jawatan Ketua Angkatan Muda KeADILan pada November 2010.  Sungguhpun akur dengan kekalahannya, namun cheGuBard enggan mengiktiraf keputusan pemilihan tersebut.  Lantaran daripada itu, beliau menolak jawatan Timbalan Setiausaha Agung yang ditawarkan kepada dirinya selepas itu.
Sepanjang pemilihan PKR lalu, cheGuBard dikaitkan dengan Zaid Ibrahim, calon Timbalan Presiden yang jelas bertentangan dengan Anwar, dan Zaid menarik diri sebelum tiba ke garisan penamat.  Malah, sebelum itu, cheGuBard dipertikaikan kerana dilihat rapat dengan Mohd Ezam Mohd Nor, sebelum bekas Ketua AMK ini keluar dan menjadi musuh PKR.
cheGuBard antara pemimpin PKR yang aktif sebelum dan selepas pilihan raya umum dan pemilihan PKR.  Beliau ditewaskan Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO kini) di kawasan parlimen Rembau, dengan majoriti 5,746 undi, walaupun dikhabarkan menang satu ketika sebelum keputusan rasmi diumumkan, dalam PRU pada 8 Mac 2008.  Beliau masih aktif di kawasan pengundian tersebut, malah sering menghadiri ceramah politik sebagai panel selepas tewas dalam pemilihan parti.
cheGuBard mungkin tidak senang dengan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dalam parti.  Terbaru, beliau merungut dalam blog-nya, bahawa beliau diserang kerana komennya terhadap klip video seks dipetik The Star, berbunyi "Outspoken PKR leader Badrul Hisham Shaharin, who is known as che'GuBard, said if the politician was really involved in the scandal he should quietly step down."
Beliau mempertikaikan reaksi yang berbeza pemimpin dalam parti terhadap Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, yang membuat komen yang hampir sama dengan beliau.  Kali ini, cheGuBard mempertahankan Ketua Umum PKR-nya, apabila tegas bahawa lelaki dalam video seks tersebut bukan Anwar.  Persoalannya, sejauh manakah cheGuBard akan kekal dalam PKR?

No comments:

Post a Comment