Saturday, March 12

Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru dibentang Jun ini

 

KUALA LUMPUR, 12 Mac — Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Beliau berkata pembentangan itu dapat dibuat selepas semua tugas memperhalusi semula deraf rang undang-undang itu selesai sepenuhnya.
“Ada pihak dikesan memanipulasi peruntukan di dalam rang undang-undang ini sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan penduduk sehingga deraf ini terpaksa diperhalusi semula.
“Ia melibatkan sesetengah peruntukan berkaitan kuasa menteri yang sudah kita selesaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan secara berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan Umno Bahagian Titiwangsa di sini hari ini.
Raja Nong Chik (gambar) berkata rang undang-undang itu, yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan kali ini, terpaksa ditangguhkan kerana kementerian perlu memperhalusi semula deraf rang undang-undang itu.
Beliau berkata kementerian akan menyediakan sebuah pejabat di Kampung Baru bagi memudahkan penduduk mendapatkan maklumat berkenaan rang undang-undang itu.
“Pegawai kementerian akan ditempatkan di pejabat itu untuk member penjelasan kepada orang ramai yang datang ke pejabat itu kelak,” katanya.
Raja Nong Chik berkata langkah ini menunjukkan kerajaan komited dalam membangunkan Kampung Baru demi manfaat kira-kira 5,000 pemilik tanah di kampong tertua di ibu negara itu.
“Selesai semuanya nanti, kita akan buat pungutan suara untuk melihat kehendak penduduk Kampung Baru dan kita akan ikut keputusan majoriti mereka.
“Jika majoriti mahukan pembangunan kita akan teruskan, jika sebaliknya kerajaan akan mencari kaedah lain untuk membangunkan kawasan itu,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment