Saturday, March 12

SUPP ada senjata rahsia pada pilihan raya negeri

 

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memiliki senjata rahsia untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang, kata presidennya Tan Sri Dr George Chan.

NONEBagaimanapun, Dr Chan, yang kelihatan ceria ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, petang semalam setibanya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), enggan menjelaskan tentang senjata rahsia yang beliau maksudkan itu.

"Saya sungguh gembira kerana memiliki senjata rahsia selepas pulang dari Kuala Lumpur. Senjata ini akan digunakan pada masa yang sesuai.

"Sesiapa daripada anda yang ingin tahu tentng senjata rahsia saya ini, silalah baca buku 'The Art of War'. Anda akan tahu tentang senjata rahsia ini melaluinya," kata Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, kepada pemberita di Kuching.

Buku yang beliau maksudkan itu adalah karangan Sun Tzu, seorang pakar strategi ketenteraan China pada akhir abad keenam Sebelum Masehi. Ia mengandungi falsafah peperangan dalam menangani konflik dan untuk memenangi pertempuran.

NONEBuku ini bukan sahaja popular dalam kalangan ahli teori ketenteraan, tetapi juga pemimpin politik dan pengurus syarikat.

Sebagai sebahagian daripada strategi untuk memenangi semua 19 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang, Dr Chan berkata SUPP telah melantik 300 juru kempen yang terdiri daripada kalangan golongan muda dan bersemangat tinggi.

Beliau berkata 'perajurit' yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat ini dilatih dan diberi tanggungjawab untuk bertemu pengundi dan mendapatkan keyakinan mereka.

"Saya telah serahkan senarai nama 300 'perajurit' ini kepada Perdana Menteri (Datuk Sri Najib Razak).

"Mereka sudah bersiap sedia untuk turun ke gelanggang dan berjuang pada pilihan raya negeri akan datang, yang saya sifatkan sebagai suatu peperangan.

NONE"Di samping itu, terdapat 10,000 lagi anggota baru parti ini yang saya mahu mereka tampil ke hadapan untuk membuktikan bahawa mereka mampu memberi sumbangan dan membantu parti memenangi pilihan raya negeri nanti.

"Kami akan menghadapi satu peperangan yang sungguh hebat, tapi saya yakin kami mempunyai peluang baik. Saya nampak ada perubahan pada sikap (masyarakat Cina) terhadap kami. Mereka dapati SUPP juga serius untuk berubah," katanya.
Ditanya sama ada kunjungan beliau ke Kuala Lumpur akan disusuli dengan lebih banyak berita baik dan hadiah bagi masyarakat Cina, Dr Chan berkata: "Ya, kami sentiasa berjuang ke arah itu".

Pada pilihan raya negeri lalu, SUPP kalah lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginya, tetapi mendapat satu kerusi tambahan apabila ADUN kawasan Engkilili daripada parti Bebas, Dr Johnicol Rayong, menyertai SUPP pada tahun lalu.

- Bernama

No comments:

Post a Comment