Thursday, April 21

Kes Sarbaini: Polis rumus kematian mengejut, tiada elemen jenayah

 

Ahmad Sarbaini Mohamed
KUALA LUMPUR, 21 April – Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed, penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, meninggal dunia kerana kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 6 April lalu. Justeru kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, kini terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.
“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.
“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.
Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.
Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.
Minggu lalu, keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini memberitahu The Malaysian Insider bahawa berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM jika hasil siasatan polis tidak memihak keluarga pegawai kastam itu.

No comments:

Post a Comment