Sunday, April 17

SNAP disaran ‘tutup kedai’

 

Hampir kesemua 26 calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) hilang wang pertaruhan dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10, kecuali calonnya, Toh Heng San yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas. Mereka merupakan antara 71 calon, termasuk 36 calon bebas, yang hilang wang pertaruhan berjumlah RM355,000 iaitu RM5,000 seorang.
Selain itu, enam calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan empat calon Parti Cinta Malaysia turut hilang wang pertaruhan.
Kesemua mereka kehilangan wang pertaruhan itu setelah mendapat undi kurang daripada satu per lapan atau kurang 12.5 peratus daripada keseluruhan undi dalam kerusi DUN yang ditandingi mereka.
Daripada 41 calon bebas yang bertanding, hanya lima orang yang berjaya mendapat balik wang pertaruhan termasuk George ak Lagong.

Beliau memenangi kerusi DUN Pelagus dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional Stanley Nyitar @ Unja ak Malang daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Edward Sumbang ak Asun dengan majoriti 2,837 undi.
Calon bebas yang mendapat undi paling kecil ialah Mathew Munan yang hanya memperoleh 27 undi bagi kerusi DUN Belaga daripada jumlah pengundi seramai 5,913 orang.

Penyandang kerusi DUN Pandungan Dominique Ng Kim Ho yang bertanding atas tiket bebas pada pilihan raya kali ini turut kehilangan wang pertaruhannya dengan mendapat 439 undi.
Pada pilihan raya negeri 2006, Ng yang bertanding atas tiket PKR telah memenangi kerusi itu dengan memperoleh 1,417 undi.
Sementara itu, Parti Rakyat Sarawak (PRS) menyarankan supaya Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) “tutup kedai” dan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam memperjuangkan nasib penduduk di luar bandar.
Presiden PRS Datuk Seri Dr James Masing membuat saranan itu ekoran kegagalan SNAP memenangi sebarang kerusi selepas bertanding di 26 kawasan pada pilihan raya Sarawak, Sabtu.
Presiden SNAP Edwin Dundang turut tewas dalam pertandingan empat penjuru membabitkan calon BN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon Bebas di Marudi dengan hanya memungut 281 undi berbanding pemenang Sylvester Entrie dari BN (4,578 undi), Gerang Dagom daripada PKR (1,376 undi) dan calon Bebas Michael Ding Tuah (122 undi).

No comments:

Post a Comment