Wednesday, September 28

DEMOKRASI: SISTEM KUFUR YANG MELAHIRKAN I.S.A

 
Tanggal 1 Ogos 2009 bakal mencipta satu lagi sejarah di Malaysia apabila Gerakan Mansuh ISA (GMI) bersama pakatan pembangkang menganjurkan demonstrasi besar-besaran untuk mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Demonstrasi kali ini dijangka lebih besar dari yang diadakan oleh Bersih pada 10 November 2007 yang lalu. Dalam masa yang sama, kumpulan pengampu kerajaan turut ingin keluar berdemonstrasi bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Akta zalim tersebut. Janji Najib pada ucapan sulung sebagai Perdana Menteri yang ingin mengkaji semula ISA nampaknya tinggal janji. Setelah selesai segala kenduri-kendara menyambut 100 hari pemerintahan, ISA masih tetap utuh tanpa diusik sedikit pun. Slogan rakyat didahulukan ternyata benar di mana rakyat senantiasa didahulukan untuk merasai segala penderitaan dan kesusahan hasil tindakan kerajaan. Harta rakyat didahulukan untuk dikaut bagi mengkayakan kerajaan seperti cukai pendapatan, cukai syarikat, cukai pintu, tol dan seumpamanya. Minyak dan gas asli yang merupakan hak milik rakyat juga didahulukan oleh kerajaan untuk dirampas.
Tanggal 1 Ogos nanti, kita sama-sama saksikan sama ada rakyat turut didahulukan untuk ditangkap kerana berani berdemonstrasi untuk memansuhkan ISA. Sebelum rakyat bersuara, sebenarnya bekas Perdana Menteri, Pak Lah telah pun menyuarakan pandangannya untuk memansuhkan ISA [lihat UM 18/07/09]. Pelik tapi benar, dan naik menyampah rakyat dibuatnya! Semasa menjadi Perdana Menteri, mengkaji ISA pun, beliau langsung tidak mahu [lihat UM 19/10/08], malah ia turut menjadi ‘senjata’ utama pemerintahan beliau. Namun bila takhta sudah terlucut, Pak Lah meminta agar ianya dihapuskan. Kini, giliran Najib pula untuk bersilat dengan ‘taming sari’ yang sungguh berkuasa ini. Siapa berani lawan jika ‘keris hikmat’ ini sudah di tangan?

Demokrasi Memberanakkan ISA

ISA merupakan satu akta yang bertindak sebagai tahanan pencegahan (preventive detention). Sebelum ISA, telah ada Ordinan Peraturan Darurat 1948 sebagai undang-undang untuk menghalang anasir subversif khususnya dari Parti Komunis Malaya, yang membenarkan seseorang ditahan tidak lebih dari satu tahun. Setelah darurat diisytiharkan tamat, maka kuasa penahanan yang terkandung di dalam Ordinan tersebut juga turut berakhir kerana peruntukannya telah dimansuhkan. Namun, pada tahun 1960, kerajaan telah meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang ‘menghidupkan’ semula kuasa tahanan pencegahan di bawah peruntukan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Apa yang jelas lagi nyata adalah, lahirnya ISA adalah dari peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang kemudiannya diluluskan oleh Parlimen. Jika kita tanya, siapakah yang meluluskannya? Maka jawapannya tidak lain tidak bukan, ‘wakil rakyat’lah yang meluluskannya. Jika kita tanya lebih lanjut, bagaimana wakil rakyat boleh meluluskan akta sekejam itu? Maka jawapannya, kerana ‘demokrasi’lah yang membenarkannya dan kerana menurut demokrasi, mana-mana undang-undang sekalipun, boleh diluluskan jika mendapat undi/sokongan majoriti di Parlimen. Atas nama majoriti yang menjadi tonggak ‘kelulusan’ undang-undang di bawah sistem demokrasi, maka sekejam mana sekalipun undang-undang itu, ia tetap dapat dilaksanakan, malah yang halal boleh jadi haram, dan yang haram boleh jadi halal, yang penting, majoriti meluluskannya. Di bawah sistem demokrasi, undang-undang Allah boleh dibuat, digubal, dibuang, dimansuh, dipinda dan dihapuskan dengan sesuka hati, pokoknya ia diluluskan secara majoriti. Inilah hakikat demokrasi yang hina lagi menghinakan!!!

ISA adalah contoh nyata kebobrokan demokrasi yang kononnya dikatakan sebagai pemerintahan ‘oleh rakyat dari rakyat untuk rakyat’ (the rule of the people by the people for the people). Mengikut idea asal demokrasi di bawah konsep ini, rakyatlah yang merupakan ‘tuan’ kepada diri mereka sendiri dan menentukan kehendaknya sendiri dalam membuat peraturan (rule of the people). Rakyatlah (melalui wakil mereka) yang memerintah mengikut peraturan yang telah mereka tetapkan (by the people). Dan mereka menerapkan undang-undang yang mereka cipta itu untuk kesejahteraan mereka (for the people). Namun, apa yang dipraktikkan bertentangan secara diametral dengan konsep yang dibawa. Ternyata, puak yang memerintah adalah segolongan Kapitalis raksasa atau yang di‘back-up’ oleh Kapitalis raksasa. Mereka membuat undang-undang yang mementingkan mereka (seperti ISA, OSA, AUKU, Akta Polis, Akta Pertubuhan, Akta Mesin Cetak dan sebagainya) dan dengan undang-undang ini, mereka pastikan tidak ada orang/pihak yang boleh menentang atau mengkritik mereka. Jika ada yang berani mengkritik, maka ‘penjara’lah jawabnya. Dan ternyata, banyak undang-undang yang mereka terapkan adalah undang-undang yang memberikan kesejahteraan kepada mereka (bukan kepada rakyat) dan yang dapat mengekalkan kekuasaan mereka.

Sudah sekian lama kita dapat melihat sendiri para penguasa Kapitalis ini menggunakan undang-undang yang mereka gubal untuk menyekat rakyat dari bersuara (atau bertindak) mengkritik mereka. ISA merupakan contoh yang jelas. Jika benar mereka memerintah mengikut kehendak rakyat dan untuk rakyat, sepatutnya sudah lama ISA dihapuskan kerana majoriti rakyat tidak mahukan ISA. Namun, ternyata ini tidak berlaku. Sebaliknya, jika ada wakil rakyat dari parti pemerintah yang berani mengusulkan dan bertindak untuk memansuhkan ISA, mungkin sahaja wakil rakyat berkenaan yang di‘ISA’kan terlebih dahulu. Bertambah malang bagi pihak rakyat apabila pasukan polis dipergunakan habis-habisan, bahkan ada di antara mereka yang sanggup taat membabi buta kepada pemerintah, tanpa menilai langsung sama ada tindakan pemerintah selaras dengan ajaran Islam atau tidak. Malah berapa ramai di antara mereka yang menjadi manusia yang tidak berperi kemanusiaan menangkap dan menyeksa tahanan di bawah ISA, semata-mata kerana taatkan tuan mereka yang derhaka kepada Allah dan Rasul. Termasuk mereka yang ditahan adalah mereka yang berjuang untuk menegakkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Dan berapa ramai lagi pejuang agama Allah di luar sana yang diugut untuk ditangkap di bawah ISA. Sungguh keji dan hina perbuatan mereka ini, tidak ubah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab yang menghalang Rasulullah SAW dari menegakkan agama Allah semasa di Mekah!

Sekiranya kita tanya, dari manakah lahirnya ISA, dan kenapa ia masih kekal hingga sekarang? Jawapannya, ISA sesungguhnya diberanakkan oleh demokrasi dan ‘anak haram’ ini kekal hingga ke hari ini kerana ibunya masih hidup. Ibunyalah yang memastikan anaknya terus hidup. Oleh yang demikian, sungguh aneh bagi umat Islam yang bersungguh-sungguh ingin menghapuskan ‘anak haram’ ini, namun dalam masa yang sama, mereka bersungguh-sungguh menjaga ‘ibu haram’ yang melahirkannya. Sungguh aneh bagi umat Islam yang bermati-matian ingin menolak ISA tetapi dalam masa yang sama bermati-matian ‘menjaga’ demokrasi. Mereka bencikan ISA tetapi sayangkan demokrasi, mereka ingin mansuhkan ISA tetapi tetap mahu mengekalkan demokrasi. Masya Allah! Perbuatan mereka ini tidak ubah umpama bencikan riba, tetapi tetap mengambil riba, yang dengan perbuatannya itu hanya akan memperpanjangkan lagi ‘usia’ perbankan kufur (ibu riba) yang ada. Atau lebih tepat lagi jika dikatakan, mereka umpama bencikan babi, tetapi senantiasa menghidupkan, malah membaik pulih kandang-kandang babi yang ada.

Sedarlah wahai saudaraku! Emosi kita hendaklah dipandu mengikut hukum syarak. Kita memang marah dan bencikan ISA (secara emosi), namun marah dan benci itu hendaklah di atas kesedaran bahawa ISA itu ‘haram’ di sisi syarak. Maka, ISA itu mesti dihapuskan sebab ia bertentangan dengan syarak, bukan kerana sebab lainnya. Justeru, ‘ibu’ yang melahirkannya hendaklah turut dihapuskan kerana bertentangan dengan syarak. Jika kalian menolak ISA, tetapi dalam masa yang sama tetap mengambil demokrasi, maka ibaratnya kalian ingin menghapuskan judi namun dalam masa yang sama membiarkan, malah membenarkan pusat perjudian. Mana mungkin jika kita kasihkan undang-undang Islam, kita tetap 'menyayangi' Perlembagaan Persekutuan? Malah, ada di antara kita yang marah apabila kerajaan Persekutuan tidak bertindak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Apakah kita (dan kerajaan) dituntut oleh Allah SWT untuk mentaati sumber undang-undang kufur terbesar di Malaysia itu? Atau kita hanya dituntut untuk mentaati Al-Quran dan Sunnah? Apakah Perlembagaan Persekutuan yang dicipta oleh sikafir Lord Reid itu selaras dengan Al-Quran dan Sunnah, sehingga kita harus tunduk kepadanya? Kita hendaklah sedar bahawa yang haram itu perlu dihapuskan kesemuanya, tidak kira kecil mahupun besar.

Sungguh, tidak ada fakta yang dapat menafikan bahawa ISA itu lahir dari sistem demokrasi. Selama mana ibu haram ini masih hidup dan dijaga rapi, maka selama itulah ia akan melahirkan anak-anak haram. Bukan sahaja ISA, malah pelbagai anak haram lain lagi yang dilahirkan oleh demokrasi seperti OSA, AUKU, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Kanun Acara Jenayah (CPC), Akta Mahkamah Syariah, Akta Pendidikan, Akta Kawalan Harga, Akta Air dan Elektrik dan bermacam-macam lagi Akta serta Enakmen. Semuanya lahir dari perut demokrasi. Ramai di kalangan umat Islam di Malaysia yang beranggapan ISA itu zalim, tetapi mereka tidak pula menganggap Akta Pendidikan, Akta Syarikat, Akta Cukai atau Akta Kontrak sebagai zalim, walhal kesemuanya adalah undang-undang yang dibuat oleh manusia dengan suara majoriti di bawah sistem demokrasi. Dan kesemua undang-undang ini diluluskan tanpa memperhatikan Al-Quran dan Sunnah sedikit pun. Dan kita semua tahu bahawa sistem pendidikan kita adalah sekular, sistem ekonomi pula Kapitalisme-kufur yang kesemuanya terhasil dari undang-undang buatan manusia yang diluluskan di Parlimen. Jadi, selama mana sistem demokrasi masih tidak terhapus, maka selama itulah ISA boleh wujud. Malah, undang-undang yang jauh lebih zalim dari ISA pun boleh diwujudkan, yang penting majoriti ahli Parlimen bersetuju. Inilah realiti negara demokrasi!

Demokrasi Dijadikan Way Of Life

Usaha untuk menghapuskan ISA patut dipuji dan disokong. Hanya sahaja, usaha tersebut hendaklah selaras dengan Islam dan niat para pejuangnya juga hendaklah semata-mata kerana Islam. Dalam masa yang sama, undang-undang kufur lain juga mestilah diperjuangkan untuk dihapuskan oleh umat Islam. Pokoknya segala undang-undang buatan manusia yang diluluskan oleh wakil rakyat di Parlimen perlu dihapuskan, kerana ia bukanlah undang-undang Islam dan bertentangan dengan Islam sama sekali. Jika ISA berjaya dihapuskan, namun undang-undang kufur lain masih lagi berkuat kuasa, maka perjuangan mestilah diteruskan. Perjuangan umat Islam bukanlah sekadar untuk menghapuskan ISA atau mana-mana undang-undang yang dianggap zalim sahaja, malah perjuangan hendaklah ditujukan kepada aspek yang jauh lebih besar dari itu, yakni ‘sistem’ yang melahirkan undang-undang tersebut hendaklah diperjuangkan agar dihapuskan. Selagi akarnya masih hidup, maka selagi itulah seluruh cabang dan rantingnya akan hidup.

Sungguh sedih dan mengecewakan apabila melihat sebahagian besar dari umat Islam yang masih terus bergelumang dengan demokrasi. Malah, dalam setiap tindakan dan perbuatan mereka, termasuk tindakan yang dilakukan oleh pemerintah, mereka menilai dan meletakkan ‘standard kebenaran’nya dengan demokrasi. Mereka sering mengatakan bahawa ‘tindakan kami adalah selaras dengan demokrasi’, ‘kami berjuang dalam lunas-lunas demokrasi’. Dan mereka marahkan pemerintah dengan mengatakan bahawa, ‘tindakan pemerintah adalah tidak demokratik, atau ‘tidak selaras dengan prinsip demokrasi’ atau mereka mengatakan, ‘pemerintah telah melanggar semangat demokrasi’ dan seumpamanya. Parti pemerintah juga mengatakan perkara yang sama di mana mereka menuduh pembangkang tidak demokratik dan merekalah yang demokratik. Begitulah tuduh-menuduh, tuding-menuding dan perbalahan yang sering kita saksikan di antara parti pembangkang dan pemerintah, malah turut melibatkan sebahagian dari umat Islam lainnya sama ada secara individu atau pun gerakan. Satu hal yang pasti, masing-masing telah menyandarkan nilai atau ‘standard kebenaran’ hujah masing-masing kepada demokrasi, bukannya kepada Islam. Baik atau buruk, terpuji atau tercela, mulia atau hina sesuatu tindakan itu, semuanya dinisbahkan dengan demokrasi, seolah-olah demokrasilah ‘kayu ukur’ kepada kebenaran atau kebatilan di dalam hidup ini.

Sungguh amat mendukacitakan apabila umat dan gerakan Islam telah menjadikan demokrasi sebagai cara hidup (the way of life) mereka, di mana setiap tindakan dan tingkahlaku (khususnya dalam persoalan politik) dinisbahkan dengan demokrasi. Sesuatu perbuatan itu dikatakan baik apabila selaras dengan demokrasi dan menjadi buruk apabila bertentangan dengan demokrasi. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mereka ini telah menjadikan demokrasi seolah-olah sebagai ‘agama’ di mana setiap tindakan, perbuatan dan perkataan mesti disandarkan kepada demokrasi. Fenomena nyata di mana demokrasi ini dijaga ‘kesuciannya’ boleh dilihat setiap kali pilihan raya diadakan, baik pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil. Standard ‘suci dan hina’ seseorang calon, penyokong mahupun parti yang bertanding diukur dari sejauh mana mereka berpegang teguh kepada demokrasi. Lagi kuat mereka berpegang dan mematuhi prinsip-prinsip demokrasi, maka lagi ‘suci’lah mereka dan jika melanggar demokrasi, maka buruk dan hinalah mereka. Dan oleh sebab ‘kesucian’ diukur dengan demokrasi, maka masing-masing ‘takut’ jika dikatakan atau dituduh sebagai tidak demokratik. Dan masing-masing juga turut berebut-rebut untuk tunduk kepada peraturan demokrasi agar mencapai darjat ‘kemuliaan’ kerana dikatakan mematuhi demokrasi. Begitulah yang terjadi secara berulang-ulang kepada para pejuang demokrasi. Demokrasi seolah-olah menjadi satu ‘agama baru’ yang suci yang mesti dijaga kesuciannya dan tidak boleh dicemari sedikitpun. Siapa sahaja yang ‘mencemari’ demokrasi atau proses demokrasi, maka hinalah orang itu bagi mereka, dan jika berpegang teguh dengannya, maka mulialah orang itu. Malah, mereka akan cukup-cukup marah dan melenting jika ada pihak yang menghina atau mengutuk demokrasi atau menyatakan demokrasi itu haram. Inilah pegangan sebahagian dari umat/gerakan Islam yang begitu mensucikan demokrasi. Alangkah jauhnya mereka dari kebenaran! Semoga Allah menyedarkan mereka dan mengembalikan mereka ke jalan yang benar.

Wahai kaum Muslimin! Sukalah kami mengingatkan kalian bahawa kayu ukur, standard kebenaran, kemuliaan dan kehinaan, baik dan buruk serta terpuji dan tercelanya sesuatu tindakan dan perbuatan itu, semuanya hendaklah dinisbahkan kepada Islam, bukannya kepada demokrasi. Mulia dan benarlah seseorang itu bila dia mengikut Islam, serta salah dan hinalah seseorang itu apabila dia menyalahi Islam, bukannya kemuliaan dan kehinaan itu kerana dia mengikut atau menyalahi demokrasi. Hakikatnya, kerana mengikut dan tunduk kepada demokrasilah yang selama ini menyebabkan umat Islam hidup terhina di seluruh dunia. Demi sesungguhnya, sistem demokrasi yang diterapkan pada hari ini adalah sistem kufur. Ia lahir dari akidah kufur yang berasal dari Barat dan langsung tidak punya hubungan sama sekali dengan Islam, dilihat dari aspek mana sekalipun. Demokrasi sangat bertentangan dengan hukum-hukum Islam dalam garis besar mahupun rinciannya, dalam aspek sumber kemunculannya, aqidah yang melahirkannya atau asas yang mendasarinya, serta berbagai idea dan peraturan yang dibawanya.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Kami telah pun menerangkan akan keharaman ISA di sisi Islam di dalam SN174. Kami juga telah menerangkan sedikit sebanyak tentang keharaman demokrasi menurut Islam di dalam SN167. Ingatlah wahai saudaraku, bahawa sesungguhnya Islam ini telah lengkap dan sempurna dan tidak ada satu pun yang tertinggal dari diwahyukan oleh Allah Azza Wa Jalla. Apatah lagi apabila kita membincangkan tentang sistem pemerintahan, satu perkara yang amat penting yang tercakup di dalam perintah Allah untuk menzahirkan agamaNya di muka bumi. Maka, teramatlah mustahil jika Allah tidak menurunkan hukum tentang pemerintahan atau menurunkan satu bentuk sistem pemerintahan yang tidak lengkap. Mustahil sama sekali sistem pemerintahan Islam tidak lengkap sehingga kita perlu mengambil sistem pemerintahan demokrasi dari Barat untuk melengkapkannya, apatah lagi sebagai galang ganti. Jika kita meyakini Firman Allah

“pada hari ini telah aku sempurnakan bagi kamu agamamu” [TMQ al-Mai’dah (5):3],

maka kita hendaklah meyakini bahawa Allah dan Rasul telah mengajar kita dari hal membuang air kecil hinggalah kepada hal memerintah dunia, dan tidak ada satu pun urusan agama ini yang tercicir atau tidak lengkap. Janganlah kalian menjadikan kejahilan kalian tentang agama Allah sebagai penyebab kalian mencari sistem lain, atas dalih bahawa Allah dan Rasul tidak merincikan hukum tentang pemerintahan. Na’uzubillah min zalik. Sesungguhnya sistem pemerintahan Islam adalah Sistem Khilafah dan sistem ini telah lengkap sempurna tanpa memerlukan ‘pertolongan’ dari demokrasi sedikit pun. Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment