Wednesday, September 28

MANSUH ISA, UNDANG-UNDANG KUFUR LAINNYA BAGAIMANA?

 

 
Banyak pihak, termasuk para menteri nampak agak terkejut dan tidak bersedia dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam 16 September lepas. Dalam perutusan khasnya sempena Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung oleh RTM, Najib mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan juga Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Menurutnya, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah supaya ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Malaysia itu berkata, undang-undang berkaitan keganasan masih dikekalkan di bawah kuasa Menteri. Di dalam ucapannya itu, Najib menegaskan bahawa kerajaan turut memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. “Kuasa untuk melanjutkan penahanan juga akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecuali undang-undang berkaitan keganasan,’’ katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, kajian semula terhadap beberapa undang-undang negara secara lebih komprehensif turut melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. “Bagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan sebaliknya akan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga ia dibatalkan,’’ katanya. Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun katanya, kebenaran berhimpun diberikan selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa [UM 17/09/11].

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa mengulas pengumuman ketuanya itu, berkata, penggubalan akta serta undang-undang baru bagi menggantikan ISA  akan mengambil kira pandangan pihak serta agensi yang berkaitan seperti polis dan tentera terlebih dahulu. “Akta baru yang digubal bagi menggantikannya akan mengambil kira peredaran zaman tetapi perubahan terhadapnya perlulah diimbangi dengan kepentingan terhadap keselamatan negara dan rakyat serta kepentingan suasana demokrasi semasa. Bagaimanapun, menurut Hishammuddin, proses menggubal undang-undang baru menggantikan ISA tidak akan mengambil masa yang lama kerana ia akan merujuk kepada undang-undang di negara lain sebagai contoh. “Undang-undang yang berhubung kait dengan keganasan, seperti Akta Patriot di Amerika Syarikat, Akta Anti Keganasan di United Kingdom dan Australia boleh dijadikan contoh untuk menggubal akta baru tersebut dalam usaha memerangi keganasan,” katanya [UM 17/09/11].

Walaupun rakyat tidak menduga pengumuman seumpama itu akan dibuat, namun semua orang tahu bahawa Najib perlu melakukan sesuatu yang besar bagi menyelamatkan kedudukannya menjelang pilihan raya umum ke-13 tak lama lagi. Seperti biasa, media arus perdana terus memberi pujian melangit kepada Najib, malah komen-komen dari akhbar luar negara yang memuji Najib terus-menerus disiarkan. Para Menteri yang selama ini menyokong dan mempertahankan ISA, kini terpaksa terbalik 180 darjah dengan memuji boss mereka sebagai seorang Perdana Menteri yang berani dan hebat. Hatta bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed yang selama pemerintahannya kental mempertahankan ISA dan terkenal dengan langkah menyumbat musuh-musuh politiknya ke dalam ISA, kini turut memuji langkah yang diambil oleh Najib memansuhkan akta yang zalim itu.

Mansuh Undang-Undang Kufur, Ganti Undang-Undang Kufur Lainnya

Bagi rakyat yang celik politik, pengumuman yang dilakukan Perdana Menteri Malaysia itu bukanlah suatu yang patut disanjung, kerana ia boleh disifatkan sebagai umpan pilihan raya sahaja. Tindakan pemansuhan ISA dilihat sebagai usaha Najib untuk ‘meredakan’ kemarahan rakyat yang selama ini semakin menolak kerajaan pimpinannya. Dengan langkah pemansuhan ini, semua isu kebobrokan pemerintah seperti penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah, fitnah, peningkatan kadar jenayah, konspirasi politik dan lain-lain dapat ditenggelamkan. Mungkin Najib mengharapkan kesemua ‘dosa’nya selama ini akan terampun dengan dimansuhkannya ISA dan rakyat kembali memberi sokongan kepada kerajaan. Jika tidak ada suatu perubahan besar yang dilakukan oleh Najib, kemungkinan UMNO-BN boleh kecundang di dalam perebutan kuasa dengan pembangkang di dalam pilihan raya nanti. Dengan banyaknya isu menjengkelkan yang berlaku di sepanjang pemerintahannya, yang menyebabkan rakyat semakin mual dan tidak dapat menahan amarah dengan kerajaan dan parti pemerintah, langkah pemansuhan ISA ini dilihat menjadi talian hayat Najib dalam rangka untuk terus kekal berkuasa selepas pilihanraya umum ke-13 nanti.

Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain dan yang lebih penting adalah, keputusan untuk memansuhkan ISA ini bukanlah suatu yang patut disanjung kerana ia dilakukan bukan atas dasar Islam! Najib menyatakan bahawa tindakan pemansuhan ini dilakukan kerana mendengar suara hati rakyat yang inginkan perubahan. Inilah ‘alasan demokratik’ seorang pemimpin di mana segala sesuatu dilakukan (kononnya) ‘kerana rakyat’ sesuai dengan ajaran demokrasi. Hakikatnya, ia bukanlah kerana rakyat, tetapi kerana maslahat politik yang ingin diraih darinya. Apa pun alasan yang diberikan, yang lebih penting adalah, pemansuhan itu bukan dilakukan atas dasar keharaman ISA di sisi Islam, tetapi atas dasar kehendak demokrasi!  Sesungguhnya tidak ada kebaikan walau sebesar zarah pun di dalam melakukan sesuatu perkara apabila Islam dikebelakangkan.

Langkah menghapuskan ISA ini bertambah tidak bermakna apabila kerajaan mengumumkan akan menggubal dua akta baru bagi menggantikan akta haram itu. Lebih buruk, kedua-dua akta baru yang haram yang akan menggantikan ISA itu akan diambil contoh dari Akta Patriot Amerika Syarikat dan Akta Anti Keganasan UK. Di dalam pengumumannya, Najib telah menyatakan dengan jelas bahawa hal-hal yang melibatkan keganasan masih diletakkan di bawah bidang kuasa eksekutif, bukannya kehakiman. Justeru, dengan penggubalan dua akta baru ini, kesannya lebih kurang sama dengan ISA di mana eksekutif (kerajaan) adalah pihak yang berkuasa menentukan siapakah yang dianggap sebagai pengganas. Jika di bawah ISA, seseorang itu akan ditahan tanpa bicara atas alasan ‘mengancam keselamatan negara’, maka di bawah akta yang baru nanti, kemungkinan besar seseorang itu akan ditahan atas alasan baru iaitu ‘pengganas’. Apa yang pasti ialah, definisi ‘pengganas’ sudah semestinya menjadi ‘hak mutlak’ kerajaan. Pokoknya, kerajaan (eksekutif) masih merupakan pihak yang amat berkuasa dalam menentukan kesalahan dan menghukum seseorang tanpa keputusan mahkamah! Walhal di dalam Islam, seseorang tidak boleh dihukum kecuali oleh qadhi/mahkamah.

Ringkasnya, sudahlah tindakan memansuhkan ISA ini tidak dilakukan atas dasar Islam, malah kerajaan ingin melakukan keharaman lain pula dengan cadangan menggubal dua akta yang mempunyai ‘ruh’ ISA. Inilah hakikat dan definisi sebenar demokrasi iaitu satu sistem pemerintahan di mana hak membuat undang-undang ada pada tangan manusia!!! Inilah sebuah sistem pemerintahan kufur yang mana Allah SWT telah mengingatkan kita di dalam Al-Quran akan kemungkaran penganut-penganutnya,

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut (selain Allah) padahal mereka telah diperintah mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya” [TMQ an-Nisa’ (4):60].

Inilah hakikat sistem demokrasi di mana manusia, walaupun mengaku beriman, tetapi berhukum dengan hukum taghut (selain Allah). Mereka membuat hukum sendiri dengan tangan-tangan mereka dengan mengambil hak Allah sebagai Pembuat Hukum!

Oleh yang demikian, sesungguhnya pemansuhan ISA ini tidak ada ertinya di sisi Islam kerana ia dilakukan atas dasar demokrasi (bukan atas dasar Islam) dan yang lebih buruk apabila ia akan diganti dengan undang-undang buatan manusia yang lain pula. Dengan kata lain, apa yang diumumkan oleh Najib hanyalah pertukaran satu undang-undang kufur kepada undang-undang kufur lainnya di bawah sistem demokrasi yang haram lagi hina! ISA wajib dihapuskan bukanlah kerana kezalimannya semata-mata yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk menahan seseorang tanpa bicara. ISA wajib dihapuskan kerana ia adalah undang-undang yang bertentangan dengan Islam! Jadi, yang seharusnya menjadi ukuran di sini adalah ‘Islam’, bukan yang lain. Justeru, apa sahaja undang-undang yang bertentangan dengan Islam, walaupun manusia melihatnya sebagai ‘tidak zalim’, ia tetap wajib dihapuskan. Akta yang tidak pernah dipandang zalim seperti Akta Syarikat, Akta Imigresen, Akta Mahkamah Kehakiman, Akta Undang-Undang Sivil, Akta Mahkamah Syariah, Kanun Tanah Negara, Enakmen Jenayah Syariah dan lain-lain, malah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang tidak pernah dipandang zalim, kesemua undang-undang ini wajib dimansuhkan kerana ia adalah bertentangan dengan Islam!

Ukuran ‘undang-undang yang zalim’ bagi setiap Muslim tidak boleh disandarkan kepada akal, tetapi wajib disandarkan kepada nas. Dalam hal ini, Allah SWT menjelaskan bahawa,
“Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].

Allah SWT telah menetapkan bahawa penguasa yang tidak menerapkan hukum Allah sebagai zalim. Itupun sekiranya dia masih lagi meyakini akan hukum Islam. Jika dia tidak menerapkan hukum Islam kerana tidak meyakini kelayakan hukum Islam, maka Allah SWT menyifatkannya sebagai orang kafir, firmanNya,

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].

Wajib Terap Hukum Islam Secara Kaffah

Antara taklif (bebanan) hukum yang utama yang terletak di bahu pemerintah adalah menerapkan hukum Allah secara kaffah (menyeluruh). Kewajipan menerapkan hukum Allah ini merupakan persoalan yang ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah (tidak ada alasan untuk tidak diketahui hukumnya oleh setiap Muslim). Firman Allah SWT,

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu menuruti hawa nafsu mereka. Juga, berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkanmu dari sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu” [TMQ al-Ma’idah (5):49].

Ayat ini memerintahkan kepada Rasul dan kaum Muslimin dengan perintah yang bersifat jazm (pasti) iaitu tentang wajibnya berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, baik itu berupa perintah ataupun larangan. Di dalam ayat ini juga, Rasulullah SAW dan kaum Muslimin dilarang untuk mengikuti hawa nafsu manusia lalu cenderung kepada keinginan/hawa mereka.

Sesungguhnya agama Allah ini telah sempurna dan wajib diterapkan dengan sepenuhnya. Firman Allah SWT,
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Aku redhai Islam itu sebagai agama bagimu” [TMQ al-Ma’idah (5):3].

FirmanNya yang lain, [TMQ al-Baqarah (2):208].

Setelah turunnya ayat-ayat ini, kaum Muslimin dituntut untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh dan sempurna baik dalam masalah akidah, ibadah, akhlak, muamalat, pemerintahan, ekonomi, pergaulan, pendidikan, politik luar negeri, peperangan dan lain-lain. Tidak ada hujah untuk sesiapapun yang tidak mahu berhukum dengan hukum Allah, kecuali kesemua hujah tersebut adalah batil.

Allah SWT telah mengangkat Muhammad SAW sebagai Rasul yang wajib diikuti dalam segenap aspek yang diperintahkan. FirmanNya,
“Apa yang diberikan oleh Rasul kepadamu, maka terimalah ia dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya” [TMQ al-Hasyr (59):7].

Rasulullah SAW adalah orang yang berhukum dengan hukum Allah semata-mata. Baginda bukan sahaja teladan yang wajib diikuti dalam aspek ibadat semata-mata, malah baginda adalah seorang suami, ayah, ahli ekonomi, ahli jihad dan juga merupakan seorang Ketua Negara yang menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahannya, yang mana kesemua ini wajib diikuti oleh setiap Muslim. Ayat di atas memerintahkan agar setiap individu Muslim (termasuk pemerintah) agar mengambil dan mengamalkan seluruh perkara yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan meninggalkan seluruh perkara yang dilarang baginda. Berdasarkan nas-nas yang jelas dan tidak ada keraguan sedikitpun, wajib bagi kaum Muslimin, baik individu, jemaah/gerakan mahupun negara (pemerintah) menerapkan hukum-hukum Allah secara sempurna, tanpa alasan (untuk tidak menerapkannya), tanpa menunda-menunda atau bertahap-tahap di dalam penerapannya. Apatah lagi ke atas seorang pemerintah, tidak boleh ada uzur apa pun untuk tidak menerapkan hukum Allah kerana ‘kuasa’ ada di tangan mereka (pemerintah).

Rasulullah SAW mewajibkan untuk memerangi penguasa (Khalifah) sekiranya seseorang Khalifah itu menampakkan kekufuran yang nyata (di mana kita memiliki hujah atas kekufuran ini) di hadapan Allah. Ini berdasarkan penjelasan dalam hadis Ubadah bin Samit,
“Dan agar kami tidak merebut kekuasaan dari yang berhak, kecuali (sabda Rasulullah SAW) kalian melihat kekufuran yang nyata di mana kalian memiliki burhan (bukti nyata) di sisi Allah” [HR Muslim].

Dan Allah juga mewajibkan umat Islam untuk menukar penguasa yang tidak menerapkan Islam (seperti para penguasa Muslim pada hari ini), melalui thariqah (jalan) perubahan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, kepada penguasa (Khalifah) yang akan menerapkan Islam secara kaffah. Hadis di atas mengingatkan para penguasa agar tidak meremehkan mana-mana hukum Allah walaupun sedikit kerana sesungguhnya tidak ada perbezaan di antara satu kewajipan dengan kewajipan lainnya termasuk antara satu hukum dengan hukum lainnya. Hukum Allah sama-sama wajib diterapkan kesemuanya dan hukum kufur wajib ditinggalkan kesemuanya tanpa dibolehkan kompromi sedikitpun. Allah SWT menjanjikan azab yang amat pedih bagi mereka yang mengambil sebahagian hukumNya dan meninggalkan sebahagian, apatah lagi kalau tidak mengambil kesemua atau meninggalkan kesemuanya. FirmanNya,

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian dari Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan orang yang melakukan demikian itu di antara kamu, kecuali kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab yang amat berat” [TMQ al-Baqarah (2):85].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Lihatlah betapa berkuasanya seorang Perdana Menteri, hanya dengan ‘pengumuman’nya sahaja, kesemua Menteri Kabinet yang berada di bawahnya, walaupun ada yang tidak bersetuju dengannya, akan tetap ‘tunduk’ kepada perintahnya. Apatah lagi dengan rakyat jelata, yang sememangnya ‘terpaksa’ patuh kepada ketentuan dari pemerintah. Justeru, jika Najib berkuasa untuk mengumumkan bahawa ISA dihapuskan, sesungguhnya Najib juga berkuasa untuk mengumumkan kesemua undang-undang kufur yang ada di Malaysia ini untuk dihapuskan. Dengan kata lain, Najib juga berkuasa jika dia ingin mengumumkan penerapan hukum Islam di Malaysia. Itulah kuasa yang ada di tangan Najib yang sebenarnya merupakan amanah Allah ke atasnya. Masalahnya ialah, Najib tetap mahu menerapkan hukum kufur dan tidak mahu berhukum dengan hukum Allah walhal dia sedar bahawa kuasa ada di tangannya (untuk menerapkan hukum Allah)! Satu perkara yang Najib mungkin tidak sedar ialah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa mencabut pemerintahan Najib dan menggantikannya dengan seorang Khalifah yang akan menerapkan hukum-hukumNya...dan dengan melihat kepada realiti serta nas-nas yang berupa janji dari Allah dan RasulNya, sesungguhnya masa di mana Khalifah itu akan kembali semula untuk memerintah dunia ini sudah semakin hampir

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”

No comments:

Post a Comment