Thursday, October 27

HAJI WAN MUSA TUAN TABAL

 


Pernah Mengundang Perdebatan Hebat

Oleh :nik nurul iman nik hashim
TUAN TABAL dan dua orang anak beliau telah diperkenalkan sebelum ini. Artikel ini pula akan memperkenalkan mengenai anak beliau yang bernama Haji Wan Musa bin Tuan Tabal, iaitu salah seorang Mufti Kelantan yang pernah mengundang perdebatan khilafiyah antara beliau dengan beberapa orang ulama para sahabat yang seperguruannya dan ulama-ulama lainnya.
Riwayat Mufti Haji Wan Musa pernah ditulis oleh Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hasan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan (cetakan pertama, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977), juga oleh Ismail Awang yang dimuat dalam majalah Pengasuh dan kemudian dimuat dalam buku, Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1). Juga ditulis oleh beberapa orang lainnya.
Oleh sebab riwayat Mufti Haji Wan Musa sudah agak banyak ditulis sebelum ini, maka dalam artikel ini saya utamakan membahas sepucuk surat yang dikirim oleh Haji Wan Musa dari Kota Bharu, Kelantan kepada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah. Surat bertarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M. Oleh yang demikian, banyak perkara yang tidak dibicarakan dalam tulisan-tulisan yang terdahulu terdapat dalam artikel ini.
Berdasarkan tahun kelahiran Haji Wan Musa 1291H/1874M, dapatlah dipastikan bahawa beliau adalah abang pada Haji Wan Abdullah yang lahir 1293H/1877M (riwayatnya dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 30 Oktober 2006). Haji Wan Musa pula adalah adik pada Mufti Haji Muhammad yang lahir 5 Rejab 1287H/1 Oktober 1870M. Haji Wan Musa meninggal dunia pada hari Sabtu, 24 Zulkaedah 1357H/14 Januari 1939M. Para guru ketiga-tiga putera Tuan Tabal yang tersebut adalah sama, iaitu dimulai dari pendidikan asas oleh Tuan Tabal sendiri, kemudian mereka melanjutkan pelajaran di Mekah. Guru mereka ketika di Mekah yang paling berkesan ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan mereka.
BAHASAN SURAT
Surat Haji Wan Musa tarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M, beliau menggunakan hampir semua gelaran kebesaran Syeikh Ahmad al-Fathani yang pernah diberikan oleh para ulama lainnya. Haji Wan Musa menulis: “Alhamdulillah wahdah, bahawa ditaslimkan ke bawah Hadhrat Sa'adah wa Qudwah al-Ulama' al-'Amilin wa 'Umdah al-Atqiya' al-Kamilin Fakhr al-A'yan wa Bahjah az-Zaman wa Qurrah 'Ain al-Ikhwan al-Ghani bi Kamalih 'an al-Ishtinab lima hawah min 'Ulwu al-Janab Uztazuna al-'Allamah wa Mulazuna al-Fahamah, kakanda Wan Ahmad bin al-Mukarram al-Haji Wan Muhammad Zain al-Fathani yang di Mekah al-Musyarrafah pada Syu'ib 'Ali ...” Semua gelaran yang ditulis dalam bahasa Arab tidak saya terjemah, kerana telah saya kupas dalam buku judul Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 1.
Haji Wan Musa menggunakan perkataan ‘kakanda’ untuk ganti nama Syeikh Ahmad al-Fathani, lazimnya panggilan daripada seorang murid kepada guru ialah perkataan ‘ayahanda’. Panggilan ‘kakanda’ yang digunakan tidak salah kerana masih ada hubungan kekeluargaan antara Haji Wan Musa dengan Syeikh Ahmad al-Fathani yang status persaudaraan boleh dipanggil `berpupu-puan.’ Dalam kekeluargaan, Tuan Tabal adalah pangkat ayah saudara Syeikh Ahmad al-Fathani antara dua atau tiga pupu. Lebih dekat lagi kerana Hajah Wan Kaltsum, ibu Haji Wan Musa, adalah kakak Syeikh Wan Ali Kutan. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Hajah Wan Aisyah.
Beliau adalah adik beradik dengan Hajah Wan Cik ibu Syeikh Ahmad al-Fathani. Di antara anak Syeikh Wan Ali Kutan dan Hajah Wan Aisyah, ialah Haji Wan Abdur Rahman, Hajah Wan Fatimah, dan lain-lain bererti saudara sepupu Haji Wan Musa dari pihak ibu Haji Wan Musa kakak Syeikh Wan Ali Kutan. Haji Wan Abdur Rahman dan Hajah Wan Fatimah juga saudara sepupu Syeikh Ahmad al-Fathani dari pihak ibu sama ibu adik-beradik. Sekiranya tidak melalui jalan perkahwinan atau jalan yang disebutkan ini, Syeikh Wan Ali Kutan dan kakaknya Wan Kaltsum adalah pangkat ayah dan ibu saudara Syeikh Ahmad al-Fathani.
Oleh sebab itulah maka dalam surat Haji Wan Musa menggunakan perkataan ‘kakanda’ untuk diri Syeikh Ahmad al-Fathani, tidak menggunakan perkataan ‘ayahanda’, walau pun beliau seorang murid. Dan beliau menyebut dirinya ‘adinda’, tidak perkataan ‘anakanda’.
Setelah kalimat dalam bahasa Arab, Haji Wan Musa mengharapkan doa Syeikh Ahmad al-Fathani untuk keluarga, terutama diri dan anak-anak beliau termasuk dalam perhimpunan ulama, Haji Wan Musa menulis, “... serta adalah upah umrah tiga rial bagi Mek Cik binti Abdus Shamad boleh kakanda tolong menghasil akan dia. Dan ada pun tiga rial, adinda minta kakanda tolong beli kitab al-Fawaid al-Madaniyah atau al-Makkiyah dan adinda taraddud (maksudnya: ragu-ragu, pen) sedikit antara dua nama itu, yang ada menyebutkan Ishthilah at-Tuhfah, dan lainnya. Dan minta kekanda tolong beli kitab Mushthalah al-Hadits satu, dan Ushul Fiqh satu yang kecil-kecil, mana-mana yang elok pada hadrat kekanda. Dan kitab Nashaih ad-Diniyah satu.
“Maka jika tidak cukup rial itu, maka kekanda suruh Ahmad anak Haji Muhammad Manan beri dahulu. Kemudian boleh adinda bayar kepadanya di Jawi. Maka boleh kekanda terima ambil rial yang tersebut itu bersama-sama dengan surat ini di dalam bungkus rial yang adinda kirim kepada Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan.”
Dalam petikan di atas dapat diketahui ada adik beradik Haji Wan Musa yang perempuan, ialah Mek Cik binti Abdus Shamad. Belum begitu pasti apakah Mek Cik binti Abdus Shamad itu sama ada kakak ataupun adik Haji Wan Musa, dalam dugaan saya kemungkinan adalah kakak.
Dalam kalimat-kalimat di atas dapat dibuktikan bahawa Haji Wan Musa seorang yang sangat gemar kepada pelbagai jenis kitab ilmu pengetahuan. Ada orang meriwayatkan bahawa Haji Wan Musa selalu menyisihkan wangnya untuk menambah jumlah kitab yang dimilikinya. Setiap kitab yang dibeli pasti dibaca, bukan hanya disimpan atau dijadikan perhiasan saja.
Pada konteks di atas dipastikan bahawa Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan adalah sebagai utusan Haji Wan Musa kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan (lahir 1301H/1884M, wafat 1357H /1938M) termasuk murid Syeikh Ahmad al-Fathani dan selanjutnya juga menjadi murid Haji Wan Musa. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan termasuk dalam golongan ulama besar yang terkenal di Kelantan.
Perkembangan khilafiyah di Kelantan selalu dilibatkan orang kepada Mufti Haji Wan Musa. Barangkali polemik Haji Wan Musa yang paling awal ialah antara beliau dengan Imam Haji Wan Daud. Transliterasi surat tentang itu selengkapnya sebagai berikut: "Dan lagi adinda maklum kepada hadrat kakanda, adalah adinda berkhilaf sedikit dengan Imam Haji Wan Daud pada bicara suatu masalah. Maka jadi munazharahlah adinda dengan dia, pada malam Selasa 10 Rabiulawal. Maka tiadalah adinda boleh ketahui siapa yang benarnya, kerana tiada hakim yang boleh memutuskan perbalahan itu. Maka adinda harap hadrat kakanda tolong menyatakan kepada adinda, adakah betul faham adinda itu atau ia yang betul?
Supaya adinda pakai kemudian hari pula. Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan kaifiat balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya boleh kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya. Tetapi ibaratnya sehabis-habislah tiada eloknya, harapkan kekanda maaf banyak-banyak. Dan jika ada salah adinda pada tempat mana-mananya di dalam surat itu, maka minta kekanda nyata kepada adinda pada tahun hadapan ini supaya boleh adinda ketahui, ’’...Yang dimaksudkan pada kalimat... pada malam Selasa, 10 Rabiulawal ... itu ialah pada tahun 1322 H. Tarikh 10 Rabiulawal 1322H jika dijadikan tahun Masihi ialah 24 Mei 1904M.
Semua buku yang membicarakan tentang polemik Haji Wan Musa tidak pernah menyebut peristiwa antara beliau dengan Imam Haji Wan Daud. Demikian juga tentang tarikh dan tahun kejadian, 10 Rabiulawal 1322H/24 Mei 1904M tidak pernah disebut. Semua polemik Mufti Haji Wan Musa dengan beberapa orang ulama hanya disebut mulai berlaku tahun 1916 M (lihat Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan, hlm. 120).
Imam Haji Wan Daud yang tersebut juga salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani, menurut riwayat selain pernah menjadi Imam Masjid Muhammadi, beliau juga pernah menjadi Mufti Kelantan. Imam Haji Wan Daud meninggal dunia tahun 1326 H/1908 M, lebih kurang empat tahun setelah perselisihan pendapat dengan Haji Wan Musa. Haji Wan Musa dilantik menjadi Mufti Kelantan menggantikan Imam Haji Wan Daud yang tersebut itu.
Sehingga artikel ini saya tulis, saya belum dapat menjejaki masalah-masalah yang menjadi pertikaian pendapat antara Haji Wan Musa dengan Imam Haji Wan Daud yang tersebut dalam surat di atas kerana dalam surat hanya menyebut: “Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan kaifiat balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya boleh kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya.”
Permasalahan yang dinyatakan “adinda surat pada satu kertas ...” yang maksudnya dilampirkan bersama surat tarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M hingga kini belum dijumpai. Jawapan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai yang tersebut juga belum dijumpai.
KAUM TUA - KAUM MUDA
Pada zaman yang sama dengan Haji Wan Musa di Minangkabau muncul istilah Kaum Tua dan Kaum Muda. Pada pandangan saya, Haji Wan Musa, sukar untuk dituduh sebagai Kaum Muda, kerana banyak perbezaan dengan pemikiran yang dinamakan Kaum Muda di Minangkabau, Jawa dan tempat-tempat lainnya di Indonesia. Sebagai contoh Kaum Muda di Indonesia menolak amalan dalam sesuatu tarekat sedangkan Haji Wan Musa adalah seorang yang sangat berpegang teguh dan beramal dengan Tarekat Ahmadiyah.
Beberapa pegangan hukum fiqh dalam Mazhab Syafie ada yang dipertahankan oleh Haji Wan Musa. Sebaliknya sesetengah peribadi pengikut Kaum Tua hanyalah berpegang dengan longgar dan rapuh. Sebagai contoh tentang hukum zakat fitrah dan wakaf. Haji Wan Musa secara konsekwen tetap berpegang seperti ulama-ulama Syafieyah lainnya, zakat fitrah mestilah segera dibagikan kepada yang berhak menerimanya, tidak boleh digunakan untuk pembangunan walau untuk membina masjid sekali pun. Sesuatu yang dinamakan ‘wakaf’ tidak boleh diperjual belikan walau dengan alasan apa pun juga.
Bagaimanapun saya tidak menafikan bahawa ada beberapa perkara yang lain, nampaknya ada persamaan antara Haji Wan Musa dengan Kaum Muda di Indonesia.
Sebagai contoh tentang melafazkan Ushalli, masalah jilatan anjing, talqin, dan lain-lain. Khusus mengenai yang tersebut ini Haji Wan Musa ditentang oleh hampir keseluruhan ulama Kelantan termasuk Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani yang ketika itu sebagai Syeikh al-Islam Selangor. Sanggahan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani terhadap Haji Wan Musa ditulis dalam kitab Tazkiyatul Anzhar wa Tashfiyatul Afkar (selesai ditulis pada 17 Muharam 1339H/30 September 1920M).
Untuk maklumat lanjut mengenai Ulama Nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_khazanah@yahoo. .com atau hubungi talian 03-6189 7231

No comments:

Post a Comment