OLEH:NIK NURUL IMAN
Jabatan Mekanikal
USIM
2011
1.0 Pendahuluan.
Sebelum kita menyelami dan nmemperincikan tajuk ini, marilah kita mengenali tujuan dan justifikasi tajuk ini diutarakan oleh penulis. Etika dan moral adalah suatu perilaku yang dianggap perlu dan dianggap sebagai 'common knowledge' bagi manusia sejak pra sejarah sehingga kini. Mana-mana negara bangsa yang bertamadun serta yang tiada peradaban sekalipun seperti Amerika Syarikat, tetap menerima teori ini sebagai pendasaran aplikasi kerja, pengurusan, pentadbiran dan penerapan di dalam kualiti kekeluargaan. Namun sebagai mengocak pemikiran kini, penulis cuba ingin mengenengahkan tajuk yang sebenarnya telah lama diperincikan serta telah lama cuba diterapkan oleh beribu-ribu institusi iaitu penerapan kualiti moral Islam. Dikotomi barat adalah Islam. Ironinya kita tidak boleh lari daripada takrifan ini walaupun mengatakan perlawanan atau perbandingan teori atau peradaban barat adalah tamadun timur keseluruhannya. Hal inilah yang digambarkan oleh para orientalis apabila mengatakan bahawa tamadun Islam barat sebagai tamadun Asia tengah dan bukannya tamadun 'Islam' yang hakiki. Justerus, penulis cuba membawa pembaca meneliti kembali teori-teori ini serta mengetahui khazanah Al Quran bukan sekadar secara zahir di dalam ayatnya, tetapi memerlukan insan-insan ulul albab (cerdik pandai) yang mengeluarkan prinsip-prinsip etika ini daripadanya.
2.0 Apakah pengertian etika dan moral menurut Barat?
Sebelum kita melihat maksud pengertian etika secara umumnya, marilah kita melihat takrifan menurut falsafah Greek. Teori asal etika adalah berasal daripada teori keperibadian mulia. Aristotle mengatakan bahawa adalah suatu keperluan insan untuk mempraktikkan teori keperibadian mulia dalam segala urusan demi melancarkan urusan sehariannya. Teori ini juga menekankan konsep 'the golden mean' iaitu mencari kebaikan dalam keadaan keseimbangan diantara keinginan ini agar tidak melampau dalam setiap perilaku. Sebagai contoh, sikap ingin membantu orang adalah baik, tetapi tidak lah perlu sehingga digadai kesemua harta kita sama sekali. Moral pula secara umumnya kita mengandauikan sebagai nilai jati dalam diri setiap manusia yang sememangnya ada. namun begitu, intepretasi yang pelbagai bagi setiap manusia sering berlaku dan terjadilah percanggahan nilai moral mengikut setiap peradaban, agama dan bangsa.
3.0 Dari manakah datangnya disiplin ilmu ini mengikut perspektif barat?
Falsafah adalah suatu tunjang ilmu. Perlu diakui bahawa falsafah adalah kajian yang menyeluruh tentang hakikat ilmu. Teori falsafah Yunani kelihatan terawang-awangan dan mungkin ada percanggahan dengan kajian penemuan sains hari ini adalah disebabkan tiadanya panduan wahyu Allah SWT. Al Quran yang diturunkan sebenarnya memudahkan manusia daripada membuang masa manusia mencari kebenaran tentang sesuatu hal. Walaubagaimanapun, falsafah tetap perlu dipelajari agar dalil secara nazarah (pemerhatian/pencerapan dan penilaian) dapat menguatkan pegangan dan teori yang ada di dalam Al Quran. Inilah keistimewaan Islam yang mengiktirafkan penggunan akal.
Prof. Stephen Korner membahagikan falsafah kepada tujuh bahagian iaitu;
- Ilmu logika; falsafah inilah yang menemukan manusia dengan ilmu dielektik (hujah), teori pemikiran kritikal serta menemukan kita dengan pelaksaaan teori asas (iaitu teknologi seperti ilmu jurutera dan arkitek)
- Ilmu Etika : Ilmu ini mengkaji nilai dan tingkah laku manusi dari segi lahiriah dan batiniah. Keilmuan ini juga menjadi teras kepada keilmuan lain agar segala pelaksanaan kerja, kajian dan sebagainya tidak terlalu melampau atau langsung tidak progresif.
- Ilmu Metafizik : Sebenarnya ilmu inilah yang paling dasar dan asas. Ilmu ini cuba mencari hakikat dan kebenaran tentang kahidupan (roh), ketuhanan, penciptaan alam, teori kosmo, masa dan segala yang disebalik segala kejadian. Inilah falsafah yang tertinggi sehingga menimbulkan ilmu tabii'yyah (sains).
- Ilmu Estetika :Falsafah tentang kresi yang indah dan kresi yang tidak indah.
- Konsep Epistemologi : kajian tentang hakikat Ilmu. Kajian tentang asal usul ilmu, sumber ilmu, halatuju ilmu dan sebagainya. Dalam Islam, konsep Al Iqra' (pembacaan) adalah konsep pertama yang diajar oleh Jibrail AS kepada Nabi Muhammad SAW. Konsep keilmuan, adab dan mencarian sumber yang sahih ditekankan oleh Islam dalam metodologi ilmu tasawuf, etika (akhlak) serta disiplin ilmu Al Jarhu Wa Ta'dil atau juga ilmu riwayah di dalam sains Hadis dan Sunnah.
- Ilmu politik : Ilmu ini adalah suatu disiplin yang menekankan soal kepimpinan kerana setiap komuniti dan kelompok hidupan (manusia atau haiwan), cenderung untuk menyusun pentadbiran dan organisasi masyarakatnya.
- Falsafah agama : Ilmu ini cuba mencari hakikat keagamaan serta menjurus terus tentang perbahasan ketuhanan dan makhluknya.
Secara umumnya diketahui bahawa disiplin kajian etika berasal daripada pemikiran metafizika alam ini. Di dalam kehidupan ada 2 kuasa yang mendominasi makhluk iaitu kuasa Qudrah tuhan (kekuatan dan pengawalan Tuhan) dan kuasa Ikhtiyari (usaha dan kegigihan)pada manusia. Daripada unsur Ikhtiyari inilah adanya nilai etika dan moral manusia. Dengan adanya panduan Al Quran, manusia menjadi mudah memahami teori moral dan etika tanpa perlu bersusah payah mencari hakikat kebenaran disiplin ilmu ini.
4.0 Nilai Etika kerja menurut falsafah kerja barat.
Selepas munculnya begitu ramai ahli falsafah barat yang menekankan soal teori dan konseptual, kini datang pula aliran baru yang lebih praktikal. Mereka inilah yang mendasari pemikiran ahli teknologi dalam melaksanakan segala teori sains.
· Teori Utilitarian.
Teori ini ialah salah satu aliran dalam teleologis (iaitu teori akibat). Mereka memandang akibat dan natijah baik sebagai matlamat kerja mereka. Ianya diasaskan oleh pemikir Jerman iaitu Jeremy Benthan (1784-1832) dan John Stuart Mill (1806-1873). Mereka bermaksud kebaikan yang diamksudkan ialah yang terbaik dan untuk dinikmati oleh seramai mungkin faedah tindakan itu. Bagi mereka ungkapan seperti 'jangan menipu' dan 'tepatilah janji' adalah sesuatu yang umum. Hal ini boleh dilanggar sekiranya ada kebaikan yang lebih besar. Teori ini mengakibatkan manusia mula menjadi alat atau komoditi sains. Mereka ingin berfikir semaksima yang mungkin untuk memudahkan manusia dengan mengabaikan beberapa nilai moral yang dikatakan sebagai teori umum. Teori ini telah diserapi dengan nilai 'machavellian' iaitu matlamat menghalalkan cara. Walaubagaimana pun, sikap menepati janji dan berkata benar yang melampau sehingga memusnahkan masyarakat dan sistem pemerintahan Islam juga adalah dilarang dalam Islam. Berjanji dengan golongan 'musuh', bercakap benar dengan 'musuh' secara jelas dilarang di dalam banyak ayat Al Quran. Hal ini sebenarnya memerlukan pertimbangan semasa. Hal inilah yang menjadikan Islam sebagai agama yang waqii'yyah (mengikut zaman dan tempat).
· Teori Duty (tanggungjawab)
Teori ini juga dikenali dengan ungkapan teori 'deontologis' iaitu golongan yang tidak percaya dengan akibat. Immanuel Kant (1724-1804) menyatakan bahawa sikap jujur, mengikut arahan, menepati janji serta adil adalah tujuan utama dan bukannya akibat kerja berkenaan. Pada penulis teori ini telah dipraktikkan oleh Laksamana Hang Tuah sekitar pemerintahan Mmpayar Melaka dahulu. Taat yang melulu tanpa melihat akibat peminangan Tun Teja, membunuh rakan sendiri, mengambil mahkota raja di dalam kolam najis dan banyak lagi perilaku yang diungkapkan sebagai taat dan setia adalah suatu yang perlu dinilai semula. Teori ini menghasilkan 'robot-robot' yang taat mengikut arahan programmernya tanpa menilai baik dan buruknya sesuatu arahan. Hal ini dijelaskan dalam Islam apabila konsep taat dan patuh kepada Ibu bapa boleh ternafi apabila si ibu atau si bapa mengarahkan anaknya meninggalkan suruhan Tuhan (seperi solat dan sebagainya).
Jika kita meneliti setiap konsep ini, kita mendapati di dalam Al Quran dan sunnah-sunnah Nabi SAW, ada dinyatakan kesemua elemen ini tanpa memberat-beratkan elemen yang lain. Pemberatan dan penumpuan pemikir Barat tentang teori nilai moral ini adalah disebabkan mereka hanya bergantung kepada akal dan keintelektualan mereka semata-mata, tanpa dipandu oleh Pencipta mereka sendiri iaitu Allah SWT. Inilah kelebihan penganut Islam.
· Teori hak asasi.
Teori ini adalah teori umum bagi setiap insan. setipa manusia inginkan kebebasan dan kemakmuran sendiri. Hal ini mengajar manusia agar mempertimbangkan hak orang lain dalam tugasan kerja kita. Dilemma boleh terjadi apabila bertembung dengan kepentingan hak individu tertentu dengan matlamat utilitarian kita yang inginkan kebaikan secara umumnya kepada masyarakat. Di dalam Islam hak dan nilai keperluan peribadi adalah dijamin oleh Islam. Hal ini dunyatakan dalam Maqasid syariah (tujuan syariah) iaitu Islam datang untuk menjaga agama, nyawa manusia, akal manusia, harta manusia dan maruahnya agar tidak dicemari. Hari ini kita melihat manusia sendiri yang memusnahkan nyawanya dengan peperangan, akalnya dengan minum arak serta mencabul maruahnya sendiri apabila mendedahkan auratnya untuk menjadi tontonan orang lain. Di dalam Islam hak asasi kita tidak akan diiktiraf sehingga kita boleh menganggu hak orang lain. Hak kita adalah hak yang dibataskan kepada hak kita semata-mata tanpa memudaratkan orang lain. Teori kesederhanaan Islam meneutralkan nilai kapitalis yang melebarkan perniagaan, pemasaran sehingga boleh menindas orang lain, menekan manusia secara 'halal' tanpa boleh dinafikan (konsep pasaran bebas). Bagi Islam kesemuanya perlu sederhana dan berhemah.
5.0 Nilai Etika menurut Al Quran.
Menurut Dwight M. Donaldson di dalam bukunya Studies in Muslim Ethics, terdapat beberapa konsep umum tentang etika dan moral yang digariskan oleh Allah melalui Al Quran iaitu :
· Duty to Allah : iaitu tanggungjawab dan rasa kehambaan kita kepada Allah. hal ini dijelaskan dalam surah Az Zariat ayat 56.
· Moderation : iaitu konsep wasatiyyah atau kesederhanaan. sikap melampau (ghullu) dalam takalluf (memberat-beratkan) serta taa'suf (bermudah-mudahkan) kerja kita adalah dilarang. Kita perlu sederhana dan istiqamah (berterusan) dalam beretika dan menjalankan kerja dengan baik. Islam bukannya agama yang memaksa dan menekan. Sifat 'sawwabit' ( pillar atau teras) adalah disertakan juga sifat 'mutaghaiyyirat' (akomondatif atau anjal) dalam pelaksanaan syariat. Jadi contohilah syariat dalam budaya kerja kita.
· Forgiveness : Segala kesalahan di dalam Islam ada pengampunannya. Seperti juga kesalahan dalam berorganisasi, juga perlu mengikuti procedur syarikat untuk mendapat kemaafan. Allah Maha pengampun dan Maha mendengar rintihan hambanya. Begitu juga sikap yang perlu ada pada setiap pengurus manusia yang juga terlibat dalam hal permasalahan sikap dan etika pekerjanya. Walaubagaimanapun bukan semua kesalahan mudah untuk dimaafkan dan diberi keampunan seperti dosa syirik. Dalam syarikat kesalahan membocor rahsia organisasi adalah kesalahan terbesar dan boleh dibuang pekerja berkenaan.
· Retaliation : Iaitu konsep pembalasan. Bezanya Islam dan sekular adalah kepercayaan kepada hari kebangkitan. Sikap futuristik Rasulullah dalam menilai akibat dan natijah segala perilaku kita menyebabkan kita akan selalu berjaga-jaga dalam segala urusan. Sekular mengajar manusia melihat dunia dan kemewahan sebagai matlamat. Sekiranya hilang matlamat pembalasan, manusia mula menjadi rakus dan tidak peka dengan nilai moral.
· Limited Liability : Ini adalah konsep had pertanggungjawaban. Setiap manusia adalah dipertanggungjawabkan kesalahannya sahaja. Manusia tidak mewarisi kesalahan nenek moyang. Mereka tidak akan ditanya tentang kesilapan orang lain. hal ini menfikan sikap sesetengah manusia yangs ering mengaitkan kepincangan individu terhadap latar belakang sosialnya yang mungkin buruk.
· Rewards : Iaitu pembalasan baik dan buruk manusia walaupun sekecil atom yang halus. Hal ini diceritakan dalam surah Al Zilzal (kegoncangan). Nilai anugerah dan pengiktirafan terhadap jasa dan kebaikan individu perlu ada pada setiap pengurus sumber manusia. Inilah yang mengharmoniskan hubungan majikan dan pekerja.
Selepas meneliti nilai moral di dalam Al Quran mari kita 'refresh' kembali pemahaman kita tentang etika menurut Islam. Moral dan etika dalam Islam dibawa pemahaman daripada perkataan akhlak. Akhlak adalah kata jamak (plural) kepada khuluq yang bermaksud tabiat, adab, maruah dan tingkah laku yang baik. Sifat baik di dalam Islam ada yang dinyatakan secara 'direct' dan ada yang diserta dalam ayat-ayat tertentu dan sunnah Nabi SAW. Di antara ayat yang secara langsung menjelaskan terminologi moral adalah:
1) "Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa". (Al Baqarah ; 177)
2) "Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya" .( Baqarah 83)
3) "Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati". (Al Isra' : 28)
4) "Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan". (Al Isra' : 29)
5) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat". (An Nisa' : 58)
6) " Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu". ( Al Hashr : 10)
7) Nabi bersabda " ;;;;;seseorang yang diberikan gaji kerana sesuatu tugas, kemudian diambil lagi sesuatu daripada sumber (diatas nama jawatannya) maka dikira sesuatu penipuan (rasuah): Hadis Riwayat Abu Daud.
8) "Janganlah kamu memakan harta kamu diantara kamu dengan cara yang batil.."( An NIsa' : 29)
Daripada ayat-ayat dan hadis diatas, beberapa intipati akhlak dan moral dapat dita ekstrakkan. Sikap sederhana dinyatakan dalam dalil ke 4, sikap rasuah dalam dalil ke 7 sikap taat dan setia dengan organisasi yang menjadi tempat kerja kita dinyatakan dalam dalil ke 2. Nilai menghargai hak asasi manusia lain pula dinyatakan dalam dalil pertama sekali.
6.0 Profesionalisme dalam Islam.
Dalam pekerjaan profesional seperti Doktor, jurutera serta peguam, mereka mempunyai kod profesional mereka sendiri. Keadaan pengajian mereka yang sukar, memerlukan masa yang panjang untuk dipelajari serta bidang mereka yang menjadi pautan dan dahan pergantungan masyarakat menyebabkan mereka diiktiraf sebagai profesional. Namun begitu, Islam turut menggariskan nilai profesional (ulul Albab) melalui syariatnya secara tidak langsung iaitu :
1) Memiliki keyakinan diri dengan kemampuna yang ada dan bersikap terbuka menyemak dan menghargai pendapat orang lain dan memilihnya yang terbaik.
2) Memiliki ilmu pengetahuan dan pengalaman serta kecerdasan dalam menganalisa masalah, peka melihat situasi, cepat, tepat dan menghalusi dalam mengambil sesuatu keputusan.
3) Borerientasikan masa hadapan sehingga mampu menguasai perkembangan sekitarnya.
4) Mempunyai ketrampilan di dalam sesuatu bidang dan kemahiran yang diperlukan dalam melaksanakan tugasnya.
7.0 Kesimpulan.
Sebagai penganut Islam yang menceburkan diri dalam bidang profesional atau bekerja dalam apa-apa lapangan sekalipun, jangan lah kita melupakan nilai vertikal yang menjadi sumber motivasi primer iaitu wahyu dan ketuhanan. Inilah nilai yang membezakan generasi rabbani yang progressif dengan generasi yang sekular progressif. Islam tidak mengenepikan elemen hadhariyy (pembangunan) serta progressif (berpenghasilan) dalam tindakan. Tetapi Islam mengikat golongan ilmuan dengan nilai kekuatanNya hanya kerana kedangkalan akal dan pemikiran kita yang terbatas. hal ini dijelaskan dalam Surah Al Fatir ( ayat 27-28).
"Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;" (27)
"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun".(28). Sekian.
Rujukan :
1) Pengurusan Islam :Etika Komunikasi dan Motivasi,1997,Jabatan Agama Islam Melaka.
2) Studies In Muslim Ethics ; Dwight M. Donaldson, 1953, London .
3) Falsafah Etika Perbadingan Pendekatan Islam dan Barat ; Mohd. Nasir Omar, 1986, Universiti Kebangsaan Malaysia
4) Nota kursus KXEX 2165, Kejuruteraan Bahan, USIM
5) http://quran.al-islam.com/mal/
Komentar : Penulisan ini dibuat sempena pembelajaran penulis tentang Etika Kejuruteraan semester ini. Sebagai respon keilmuan ini untuk penerapan di dalam masyarakat Islam, maka penulis cuba membuat kajian yang serba ringkas ini dalam masa yang amat terhad. Segala kesalahan amatlah dikesalkan.
No comments:
Post a Comment