Saturday, November 26

KUBUR DIPENUHI PERISTIWA CEMAS DAN MENGINSAFKAN

Mereka yang meziarahi orang sakit dianjur mendoakan untuk kesembuhan orang yang dilawati. Begitu juga orang yang sakit itu hendaklah mohon doa kepada Allah SWT untuk kesembuhan dirinya. Hendaklah bertawakal kepada Allah SWT yang mendatangkan pelbagai ubat ke dunia ini, untuk penawar menyembuh penyakit. Nabi SAW memberitahu; "Setiap penyakit ada ubatnya, kecuali mati".

Antara hak sesama Muslim ialah apabila di kalangan mereka mati, hendaklah iringi jenazah ke kubur bagi persemadiannya. Setelah sembahyang maiyit (jenazah) hendaklah bersama iring jenazah hingga ke perkuburan. Selain daripada tanggungjawab kemasyarakatan Islam, ia juga banyak pengajaran yang diperolehi jiwa, terutama ketika jenazah dimasukkan ke liang lahad di kambus tanah, untuk bersemadi sendirian buat selamanya.

Akan tercetus rasa pilu dan insaf di hati melihat linangan air mata kaum keluarganya, sedih mengiringi sebuah perjalanan terakhir seorang hamba Allah. Pengalaman tersebut akan menginsafkan hati, mengingatkan diri kepada kekuasaan Tuhan serta ingat hari akhirat.

Menyaksikan mayat orang baik atau sebaliknya semuanya dikambus dalam tanah, akan menyedarkan bahawa dirinya sama ada cepat atau lambat akan ke sana juga.

Islam mengajar kita agar berdoa setiap kali lalu berhampiran tanah perkuburan dengan mengucapkan:

"Salam sejahtera terhadap ahli kubur sekalian, sesungguhnya kami insya-Allah bakal mengikuti jejak kalian juga".

Ucapan doa terhadap penghuni kubur serta mengingati bagaimana jenazah disemadikan di liang lahad, banyak manfaat yang diperolehi jika kita iring jenazah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Sesiapa yang iring jenazah ke tanah perkuburan baginya pahala satu qirot, jika tunggu sejenak hingga mayat selesai disemadikan, untuknya akan diberi pahala dua qirot. Adapun qirot itu ukuran pahala yang sama besar dengan bukit Uhud".

Hadis Nabi SAW itu memberi perangsang kepada umat Islam agar mengiringi jenazah ke perkuburan setiap ada kematian. Sekecil manapun pahala amat berharga di akhirat kelak. Apatah lagi jika pahala itu sebesar bukit Uhud yang dianugerahi oleh Allah SWT hanya kerana iring jenazah. Jika tidak berselera juga maka habis ikhtiar dari sudut agama.

Sebahagian daripada tanggungjawab orang Islam ialah ziarah kubur, tidak kira sama ada kubur orang dikenali atau tidak asalkan dia orang Islam.

Ada tiga tujuan ziarah kubur :

Pertama, ialah untuk mendoakan kesejahteraan, kerana ahli kubur amat mengharap bantuan doa orang yang hidup, sebagaimana • orang lemas di lautan memerlukan pertolongan orang di daratan.

Kedua, mengambil iktibar daripada kematiannya sama ada insan salih atau sebaliknya, ketika hidup dapat bertemu dengannya. Setelah manusia mati tidak diketahui apa kedudukan nasibnya di akhirat, sekiranya tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT;

Dan ketiga, untuk melembutkan hati dengan mengingati mati (zikrul maut), tidak menyerap nasihat agama ke hati yang keras.

Amat malang jika dibala Tuhan dengan hati keras. Kerana hati yang mati itu lebih keras daripada batu pejal, sedangkan batu boleh lekok dengan titisan air yang berterusan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Aku tidak pernah melihat satu pandangan yang mencemaskan kecuali kubur amat menginsafkan".

Permukaannya dikenali dengan kubur tempat jenazah di semadikan, tetapi alam persemadian itu dikenali dengan "alam barzakh". Terlalu banyak peristiwa dan tragedi mengerikan di dalam kubur, hanya dapat dilihat dan difahami dengan pandangan mata hati yang beriman.

Kubur meskipun pada permukaannya kelihatan damai dan hening, namun alam barzakh penuh pelbagai situasi nikmat bagai halaman syurga, atau azab sengsara bagai terowong daripada neraka.

Nabi SAW melihat kubur sebagai alam barzakh yang nyata, penuh pelbagai peristiwa cemas menginsafkan, dengan rintihan jiwa sengsara, balasan pelbagai kemaksiatan yang dilakukan. Panorama itu daripada pandangan seorang utusan Allah SWT, yang jarang ada pada manusia lain, kecuali insan beriman dan berilmu.

Hatim Al Ashom berkata yang bermaksud : "Sesiapa yang lalu di pinggir perkuburan, dalam situasi tidak terdetik suatupun dalam fikirannya serta tidak mendoakan ahli kubur, orang itu telah khianat terhadap seluruh ahli kubur tersebut dan khianat terhadap diri sendiri".

Ertinya, apabila terlihat kubur; hendaklah hati terasa sesuatu mengenai nasib yang bakal dihadapi setelah mati kelak, adakah seperti di halaman syurga atau bagai berada di terowong neraka yang dahsyat. Sekurang kurangnya terkenang beberapa perkara yang boleh mendatangkan keinsafan di hati, kerana kubur mengikut Nabi SAW. adalah suatu alam yang amat cemas dan menginsafkan.

Terhadap ahli kubur terdiri dari sahabat handai se-Islam, mereka sedang menanti jasa baik dari yang hidup berbentuk doa. Doa yang afdal ketika menziarah kubur, ialah mohon agar Allah SWT ampuni dosanya. Minta diganti dosa maksiatnya dengan pahala kebajikan, mohon hindarkan daripada api neraka dan masukkan ke dalam syurga. - Tarbawi

No comments:

Post a Comment