Saturday, November 26

REFORMASI POLITIK KOTOR SUATU KEWAJIPAN MUSLIM


Soalan : Seluruh Umat Islam sedia maklum bahawa mencegah mungkar adalah perkara yang wajib dilaksana berdasarkan tiga tahap keupayaan (yang disebut dalam hadis Baginda S.A.W). Tetapi yang dibicarakan sejak akhir ini ialah mengenai jenayah politik. Kita biasa diberitakan hal-hal kemungkaran yang berlaku dari saluran politik. Persoalannya adakah bergelumang dengan politik kotor ini termasuk sebagai kemungkaran yang wajib dicegah? Ataukah yang disebut kemungkaran itu hanyalah sekitar perlanggaran hukum syara' semata-mata seperti kes penzinaan ataupun minum arak? Dan apakah hukumnya bagi mereka yang mendiamkan diri membiarkan jenayah politik berlaku?



Dr.Yusuf Al Qaradawi menjawab :

Dengan nama Allah dan segala pujian bagi-Nya. Selamat dan kesejahteraan buat Baginda Rasulullah dan juga para pengikutnya.

Beberapa penjelasan di dalam Al Quran dan Hadis mengenai perihal membisukan diri (pasif) dari sikap bingkas dan bangun mencegah kemungkaran, ataupun sikap berpeluk tubuh terhadap kezaliman sangat keras dan mampu menggugah perasaan sesiapun yang di dalam hatinya memiliki iman sebesar zarah. Al Quran telah memberikan ancaman terhadap golongan ini,"Orang-orang Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu bersikap menceroboh (hak-hak Allah). Mereka sentiasa tidak melarang (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka kepada Allah) yang dilakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan". (Al Maidah:78-79).

Manakala Rasulullah bersabda,"Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubah (menukar) dengan tangannya (kuasanya), jika ia tidak mampu maka hendaklah dengan lisannya (keterangannya), jika ia tidak mampu juga hendaklah dia mengubahnya dengan hati dan inilah peringkat iman yang paling lemah". (Riwayat Muslim dan selainnya meriwayatkan dari Abu Said al Khudri)

Adalah menjadi suatu kesilapan jika kita menyangka bahawa kemungkaran itu hanya tertumpu melibatkan perbuatan zina, minum arak dan yang seumpama dengannya.

Ketahuilah sesungguhnya mempermainkan maruah rakyat  juga dikira sebagai mungkar, menipu dalam pilihanraya juga merupakan jenayah serius yang bererti mungkar, enggan melunaskan tanggungjawab pilihanraya juga disebut sebagai mungkar (kerana ia termasuk dosa menyembunyikan kesaksian), memilih pemimpin yang tidak layak untuk mentadbir sesuatu urusan adalah perkara mungkar, Membolot harta rakyat adalah perkara mungkar, memonopoli dan menyembunyi barang keperluan rakyat demi kepentingan peribadi dan kroni adalah mungkar, menangkap seseorang dengan menggunakan sistem kehakiman yang tiada integriti adalah mungkar, menyeksa  dan membungkam orang yang tertuduh di dalam penjara (dengan sistem zalim itu) adalah mungkar, membayar atau menerima rasuah adalah mungkar, menyogok pemerintah untuk melakukan kebatilan lalu mereka menjadi penyokongnya yang sama bersekongkol dengan musuh Allah serta musuh orang beriman - mereka mengaburkan kepentingan orang Mukmin atas perbuatan khianatnya, semua itu termasuklah sebagai petanda kemungkaran telah berlaku.

Rentetan kemungkaran ini seterusnya kita akan dapati ia menjadi satu daerah dosa yang berleluasa sehingga jenayah dianggap orang sebagai teras wajib dalam politik itu sendiri (wujud istilah politik jijik kerana ia dikotori). Lalu adakah wajar seorang Muslim yang berpegang teguh dengan agamanya, dan bersungguh mengharapkan keredhaan Allah rela membiarkan kemungkaran ini? Patutkah seorang Muslim itu mengundurkan diri dari lapangan bertindak kerana bacul, masih mengharapkan cebisan habuan dari penguasa dengan sikap play safe untuk menyelamatkan diri sendiri?

Jika pendirian hina seperti ini menyala dalam jiwa raga umat maka ini bererti misi mereka di muka bumi sudah berakhir. Kecelakaanlah bagi umat ini kerana kita tidak meletakkan identiti mereka yang disifatkan oleh Allah,"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)". (Al Imran 110).

Tidak hairanlah Nabi pernah mengingatkan kepada kita mengenai kebejatan umat bisu sebagaimana sabda-Nya yang bermaksud,"Jika kamu melihat umat-Ku bacul, takut untuk mengatakan kepada si zalim: wahai zalim! Maka mereka sebenarnya telah ditinggalkan (Allah)". (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad Hanbal bin di dalam Musnad-nya melalui Abdullah bin Amru) - Ertinya mereka ditinggalkan Allah kerana hilangnya ahli dari kalangan umatnya yang memiliki hati yang hidup untuk mempertahankan kebenaran.

Setiap individu Muslim dituntut menuruti keyakinan imannya agar tidak berpendirian pasif menonton kemungkaran walau dalam bentuk apapun; sama ada kemungkaran itu berlaku dalam politik, ekonomi, resam budaya ataupun dalam kancah sosial. Sebaliknya kita wajib bangkit melawan dan melakukan perubahan (reformasi) dengan kuasa yang ada pada tangan, jika tidak mampu maka dengan lisan dan keterangan, jika  tidak mampu maka beralihlah melakukan perubahan ke tahap yang paling rendah disebut dalam hadis di atas iaitu melalui hati.

Meskipun Baginda Nabi menyebut perubahan hendaklah dengan hati sebagai selemah-lemah iman tetapi mobilisasi yang lahir dari penjanaan hati, ataupun elemen emosi sebenarnya berupaya menentang kemungkaran. Mereka yang berada di tahap ini bukanlah bererti tidak melakukan apa-apa tindakan sebagaimana yang disalah-tafsirkan sebahagian orang. Jika tanpa tindakan masakan Baginda Nabi menyebutnya dalam hadis sebagai – taghyir – (mengubah, menukar perkara batil kepada perkara yang hak).

Semangat yang lahir dari dalaman jiwa, kesedaran dan hati nurani ini mestilah terus bernafas hari demi hari sehinggalah ia mencapai usaha positif yang mungkin menghasilkan revolusi menyeluruh terhadap kemungkaran. Terus bersemarak sehingga berupaya menghasilkan ledakan yang kemudiannya membentuk generasi yang mampu menjenterai gerakan islah sebagai suatu proses yang disebut sunnatuLlah kepada khalayak makhluknya (ketetapan Allah sejak azali bahawa orang yang zalim akan ditumbangkan).

Jika inilah hadis yang menyebut perubahan yang harus dilakukan melalui posisi hati, maka kalam mukjizat lain turut menyebut fenomena ini sebagai jihadul qalbi (jihad hati), iaitu darjat jihad terakhir seperti darjat iman yang paling rendah. Imam Muslim meriwayatkan dari Ibn Mas'ud RA secara marfu' : "Tidak ada seorang Nabi yang diutuskan kepada suatu umat sebelumku, kecuali ia memiliki hawariyyun (pengikut-pengikut setia) dan para sahabat yang sentiasa mengikuti sunnahnya dan mentaati apa yang menjadi perintahnya. Kemudian, sesudah mereka akan muncul generasi (orang-orang) yang mengatakan apa-apa yang mereka tidak laksanakan dan mengerjakan apa-apa yang tidak diperintahkan. Maka, barangsiapa yang memerangi mereka dengan tangannya, ia adalah Mukmin. Barangsiapa yang memerangi mereka dengan lisannya, ia adalah Mukmin. Barangsiapa yang memerangi mereka dengan hatinya. Ia adalah seorang Mukmin. Setelah itu, tidak ada lagi iman meskipun hanya sebesar zarah".

Antara Individu dan Berjemaah

Kadang-kadang orang perseorangan memanglah tiada upaya untuk menentang kemungkaran apatah lagi apabila daerah kemungkaran itu berleluasa dengan biaknya; justeru pelakunya melibatkan konspirasi besar di kalangan orang berpangkat ataupun didalangi oleh pemerintah sendiri, iaitu orang yang sepatutnya memiliki posisi paling hadapan berkewajipan menumpaskan kemungkaran dan bukannya orang yang paling awal melindungi atau melakukan perbuatan jahat tersebut. Kaadaan ini seperti yang disifatkan dalam pepatah sebagai harapkan pagar pagar makan padi. Ataupun seperti yang diungkapkan penyair  :

Pengembala kambing itu ditugaskan menghalau serigala (dari membaham ternakannya). Namun  apa pula yang bakal terjadi seandainya penggembala itu adalah serigala.

Pada peringkat ini berkerjasama membasmi kemungkaran - tidak syak lagi- menjadi suatu kewajipan. Justeru ia adalah suatu bentuk kerjasama bermatlamatkan kebajikan dan taqwa. Kerjasama ini boleh dilaksanakan melalui amal jama’ie dalam wadah persatuan, parti, gerakan dan lain- lain saluran yang terbuka. Perkara seperti ini menjadi suatu kemestian agama dan tuntutan hidup.

Diterjemah dari web rasmi Dr.Yusuf Al Qaradawi

No comments:

Post a Comment