Saturday, November 26

MELAWAN FITRAH PENCIPTAAN,,MENGUNDANG KEBINASAAN

Isu ini diulas berdasarkan sebuah artikel di Newsweek bertajuk "French Church Recruits Young Priests" via Facebook iaitu berkenaan isu kekurangan paderi berkulit putih di Perancis. Kini hanya terdapat 24,000 paderi di Perancis berbanding 42,000 pada 1975. Perancis mempunyai 61 juta penduduk dengan 64% atau 41.6 juta daripadanya menganut Kristian Katholik. Bagaimanapun daripada jumlah itu, hanya 2 juta sahaja pergi ke gereja setiap minggu menurut Jacques Carton, wakil Persidangan Paderi (Bishops Conference) di Perancis.

Artikel itu antara lain menyatakan bahawa gereja-gereja di Perancis terpaksa mendapatkan para paderi dari Afrika bagi berkhidmat di gereja-gereja di Perancis. Nampaknya bukan sahaja pasukan bola sepak negara Perancis dipenuhi pemain-pemain berkulit hitam, kini gereja-gereja di Perancis juga dipenuhi oleh paderi-paderi dari negara Afrika seperti Nigeria, Ghana dan Senegal. Artikel di Newsweek itu juga menyebut oleh kerana rakyat Perancis berkulit putih enggan menjadi paderi, maka pihak gereja di sana memutuskan untuk membuat kempen bagi menarik minat rakyat Perancis khususnya golongan muda menjadi paderi. Slogan kempen tersebut adalah "Pourquoi Pas Moi?" atau "Mengapa Tidak Saya?"

Pada 20 April 2009 kempen besar-besaran dibuat di seluruh negara dengan 70,000 poskad dengan gambar paderi yang berpakaian lengkap dengan butang automatik yang berbunyi "Jesus is my boss" diedarkan. Artikel tersebut mendakwa kempen yang dijalankan oleh pihak gereja di Perancis tersebut menemui kegagalan kerana anak muda di Perancis tidak berminat untuk menjadi paderi. Menurut seorang paderi, Eric Poinsot yang terlibat dalam menguruskan kempen tersebut, antara penghalang besar untuk anak muda bersedia menjadi paderi adalah ajaran Kristian Katolik yang tidak membenarkan seorang paderi berkahwin.

Eric Poinscot menyatakan, "Tidak diragukan pembujangan (celibacy) adalah satu halangan untuk anak muda menjadi paderi".

Paderi itu juga menceritakan bahawa anak muda di Perancis sudah jauh dari pegangan agama Kristian. Diberitakan bahawa apabila salah seorang anak muda Perancis diajak untuk pergi ke gereja bagi mendekatkan diri dengan Tuhan, jawab anak muda tersebut, "Devil is my God" yang bermaksud, syaitan adalah tuhan saya.

Rudolph W. Giuliani, mantan Datuk Bandar New York pernah menulis di dalam bukunya berjudul "Leadership". Beliau menyatakan semasa masih remaja, beliau pernah bercita-cita untuk menjadi paderi dan telah mendaftarkan diri di Monfort Fathers (sebuah institusi kepaderian) sebagai paderi yang akan bertugas di negara-negara miskin seperti Haiti atau Afrika. Bagaimanapun beliau tidak berupaya untuk meneruskan niatnya untuk menjadi paderi kerana katanya, "Keinginan saya kepada golongan wanita adalah sesuatu yang tidak boleh dipendamkan". Dengan lain perkataan keinginan untuk berkahwin menjadi penghalang untuk Giuliani menjadi paderi.

Fenomena yang dihadapi oleh gereja di Perancis dan masalah yang dihadapi oleh Giuliani untuk menjadi paderi menunjukkan betapa sukarnya agama Kristian bertarung dengan fitrah manusia. Pembujangan yang menjadi pra-syarat utama bagi mereka yang ingin hidup sebagai paderi kini diakui sendiri oleh para paderi di Perancis sebagai hambatan besar bagi menarik minat rakyat Perancis atau anak muda di sana untuk hidup sebagai paderi.

Sheikh Muhammad Al Tahir Ashur (Ibn Ashur), seorang ulama Islam di Tunisia yang terkenal di abad ke-20 telah menghasilkan satu kitab yang amat masyhur iaitu Maqasid Al Syari'ah. Di dalam kitabnya itu, beliau menulis satu tajuk khusus berkenaan fitrah. Beliau menulis bahawa Islam adalah satu agama fitrah dan fitrah adalah satu penciptaan/ kehendak semulajadi (khilqah) dan satu peraturan (nizam) yang Allah tanamkan di dalam diri setiap manusia. Sebagai contoh Ibnu Ashur menyatakan bahawa berjalan dengan menggunakan kedua-dua kaki adalah satu fitrah fizikal (fitrah jasadiyyah) manusia, manakala cuba untuk memegang sesuatu barang dengan kaki adalah bertentangan dengan fitrah.

Menurut Ibu Ashur lagi apabila kita menyatakan Islam sebagai agama fitrah bermakna Islam itu sendiri adalah selaras dengan kehendak semulajadi manusia kerana Islam mengandungi kepercayaan (aqai'd) dan peraturan-peraturan (tashri'at) yang semuanya adalah perkara-perkara yang rasional atau perkara-perkara yang selaras dengan apa yang dibayangkan dan disahkan oleh akal pemikiran.

Ibnu Ashur menulis, "Jika kita periksa dengan teliti maksud umum syariat Islam kita akan mendapati ia menganjurkan manusia untuk mengekalkan fitrah dan menghalang fitrah itu dari dilanggar atau dirosakkan. Oleh itu, apa sahaja yang membawa kepada pelanggaran fitrah akan dilarang dan dielakkan di dalam syariah, manakala apa sahaja yang membawa kepada pengembalian semula dan pengekalan fitrah akan dianjurkan dan diperintahkan oleh Syariah".

Bagi Islam perkahwinan adalah satu tuntutan fitrah kerana setiap manusia yang dijadikan oleh Allah baik lelaki atau perempuan memerlukan antara satu sama lain. Atas dasar itu Islam, tidak seperti Kristian Katholik, tidak melarang manusia untuk berkahwin kerana larangan tersebut adalah hakikatnya melanggar fitrah manusia. Ketakutan para paderi bahawa dengan berkahwin mungkin menghalang manusia mendekatkan diri kepada Tuhan tidak boleh diterima oleh Islam kerana faedah perkahwinan adalah terlalu besar untuk umat manusia. Di atas pelanggaran fitrah tersebut iaitu larangan paderi untuk berkahwin menyebabkan pihak Vatican sendiri terpaksa menghadapi masalah berhadapan dengan skandal seks yang melibatkan para paderinya sendiri.

Artikel Newsweek tersebut dengan secara jelas menyatakan dari Jerman hingga ke Amerika Syarikat, melangkau ke Brazil, beratus-ratus mangsa telah tampil ke hadapan bagi membuat aduan bahawa mereka telah didera secara seksual oleh para paderi. Isu tersebut mewujudkan satu krisis keyakinan yang mendalam ke atas gereja dan krisis tersebut telah pun sampai ke pengetahuan Pope Benedict XVI. Ramai daripada penganut Kristian yang pergi ke gereja menurut artikel tersebut, berpendapat bahawa Vatican tidak mengambil langkah yang cukup dan berkesan bagi menyelesaikan masalah penderaan seksual tersebut.

Siri skandal seks paderi, isu ini sendiri sebenarnya adalah hal yang tidak direstui oleh Kristian sendiri. Ini menunjukkan betapa manusia tidak boleh melawan fitrah. Melawan fitrah bererti mengundang kebinasaan.

No comments:

Post a Comment