Saturday, December 10

10 SOALAN SEBELUM BERTUNANG

ASSALAMUALAIKUM...
Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah.   Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali   dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim   dalam salah satu lagunya, 'dulu lain sekarang lain, dulu bujang  sekarang dah kahwin'.    Setiap  pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu  kekal  bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak  kurang  pula yang kecewa. Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa', bekas kadi  ahwal syakhsiyyah di  Kuwait  menyimpulkan antara sebab berlakunya  keretakan dan kegagalan  dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau  tidak mengenali antara satu  sama lain dengan mendalam sebelum  berkahwin. Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup  sebelum  melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin  kesejahteraan dan  keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Ini  tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum   berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chatting  dan sebagainya. Percintaan  sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh  segolongan masyarakat  dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai  suatu kemestian, suatu  dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan  adalah sebenarnya  penipuan belaka. Alam percintaan tidak mendedahkan  hakikat diri yang sebenarnya.  Masing-masing berusaha menunjukkan yang  terbaik sahaja di hadapan  pasangannya. Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai  dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan. Untuk  mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz  Jasim  Muhammad al-Mutawwa' mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan. Soalan-soalan  ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf,  atau melalui  orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan  berkenalan   pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan  di  tempat  suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan  melanggari perintah Allah dan  Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi  orang ketiga di antara anda dengan  si dia. 10 soalan itu adalah: 1. Apakah wawasan  hidupnya? Setiap  orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam   hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup   anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama  maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan. 2. Bagaimanakah  kefahamannya mengenai konsep perkahwinan? Kefahaman serta tasawur atau gambaran yang jelas mengenai perkahwinan  amat penting. Sekiranya  kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya  satu pihak  menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu   semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah,   sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada   perselisihan dan pergaduhan. 3. Apakah sifat-sifat  yang digemari dan tidak digemarinya? Adalah  penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya,  apa  yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan   berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin  perselisihan dapat dielakkan. 4. Apakah  pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan? Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang  sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya  satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah  tidak  sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan   berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang. 5. Adakah dia  mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan? Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota  badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi  keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan  boleh dianggap sebagai satu penipuan. 6. Adakah dia seorang  yang suka bergaul? Sesetengah  orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat,  mempunyai kawan  dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain  pula suka  menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana yang anda cari? 7. Bagaimana  hubungannya dengan ahli keluarganya? Perkahwian  bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa.  Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang  mencantumkan antara  dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu  status keluarga serta hubungan  mereka antara satu sama lain. Hubungan  kekeluargaan juga sedikit  sebanyak menggambarkan keperibadian  seseorang. 8. Apakah  kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya? Kegemaran  serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi  gambaran  tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini. 9. Adakah dia aktif  dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan  kebajikan? Keaktifan  dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela  menggambarkan dia  bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang  hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan  peribadi  semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati  sebagai  insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan  hidup sebagai insan  yang hebat dan apabila dia mati namanya akan  dikenang zaman-berzaman. 10. Apakah  pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau  urusan rumahtangga mereka? Setengah  orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang  terlalu  khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu  bapa  sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki  gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya. Adakah  dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang  yang  terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah   berkeluarga? Apabila anda telah mendapat jawapan yang  bersesuaian dengan  apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk  melamarnya. Begitu  juga halnya dengan pihak yang dilamar.  Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya  10 soalan di atas

No comments:

Post a Comment