Oleh : WAN JEMIZAN W. DERAMAN
UNTUNG atas angin adalah istilah yang sudah difahami dalam masyarakat di Malaysia. Ia biasanya dikaitkan dengan sebarang aktiviti yang dilakukan oleh individu dalam urusniaga yang menyebabkannya memperolehi keuntungan tanpa melalui usaha ataupun modal. Ia biasanya dilakukan oleh mereka yang menjadi perantaraan sesuatu urusan atau lebih dikenali sebagai 'orang tengah'.
Keuntungan yang diperolehi itu disebut dengan pelbagai istilah seperti imbuhan, insentif, komisen dan sebagainya. Sama ada ia dibolehkan dalam sudut syariah bukan sahaja bergantung kepada konotasi, tetapi juga metodologi yang digunakan bagi memperolehinya.
Kita semua perlu berhati-hati kerana pada kebiasaannya aktiviti mengambil untung atas angin mempunyai unsur syubhat bahkan ada yang mencapai tahap haram.
Namun, ada juga yang dibenarkan dan diharuskan jika ia mengikuti syarat dan etika yang ditetapkan oleh syariah.
Untung atas angin mungkin boleh berlaku dengan beberapa cara. Antaranya, dengan menjadi wakil atau orang tengah bagi membuat pembelian sesuatu barang yang terdapat di pasaran.
Oleh kerana kuantiti barang yang ingin dibeli itu banyak, maka penjual akan memberi diskaun terhadap setiap unit yang dibeli. Wakil akan mendapat habuannya melalui diskaun yang diberikan kerana dia tetap mencatatkan harga asal pada sebut harga barangan berkenaan.
Halal atau tidak keuntungan yang diperolehi itu bergantung kepada keizinan oleh pihak pembeli atau pihak pewakil.
Sekiranya wakil diberi hak oleh pewakil untuk mengambil keuntungan daripada diskaun yang diberikan, maka apa yang diambilnya itu adalah halal daripada segi syarak.
Namun, sekiranya dia tidak diberi kebenaran, maka tidak harus baginya untuk mengambil keuntungan dan sekiranya ada diskaun, ia perlu dipulangkan semula kepada pembeli.
Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188)
Fenomena ini kerap berlaku dalam sesebuah institusi kerajaan atau swasta. Pegawai yang ditugaskan membuat pembelian telah mengadakan rundingan lebih awal dengan pihak pembekal atau penjual untuk mencatatkan harga yang tinggi pada sebut harga barang yang ingin atau sudah dibeli.
Justeru, tidak hairanlah jika kita mendapati dalam laporan audit, harga sesuatu barang mencecah 10 kali ganda daripada harga asal.
Dalam kes ini, bukan sahaja pegawai yang berurusan yang mendapat untung atas angin, tetapi ia turut melibatkan pihak lain termasuk pegawai tinggi yang memberikan kelulusan.
Bahkan, ada yang sanggup berpakat untuk menipu dengan mencipta beberapa sebut harga sedangkan ia tidak wujud sama sekali. Ini bertujuan mengaburi mata pihak atasan dan juruaudit kerana setiap pembelian yang ingin dibuat memerlukan kepada beberapa sebut harga, sebagai contoh, ada syarikat yang menetapkan sekurang-kurangnya tiga sebut harga.
Untung atas angin juga mungkin berlaku apabila pegawai yang ditugaskan mencari dan memilih penjual alatan pejabat, kontraktor baikpulih bangunan, konsultan dan sebagainya telah mensyaratkan supaya diberi sejumlah imbuhan untuk membolehkan mereka dipilih mendapat tender projek tertentu. Aktiviti ini dianggap sebagai rasuah dan hukumnya adalah haram.
Diriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Rasulullah SAW telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan". (riwayat at-Tirmidzi).
p/s: Tahniah buat MB Selangor...
No comments:
Post a Comment