Friday, March 18

Laporan audit Yayasan Selangor dedah perbelanjaan tak munasabah

 


SHAH ALAM: Laporan audit Yayasan Selangor mendedahkan banyak perbelanjaan yang tidak telus dan tidak munasabah yang membawa kepada defisit RM7.41 juta, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Perbelanjaan tidak telus, tidak berhemah dan tidak munasabah menyebabkan kos perbelanjaan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor hampir RM1 juta, malah bayaran dibuat kepada pengurus acara walaupun aktiviti belum dilaksanakan.
“Perbelanjaan tanpa perancangan menyebabkan kedudukan kewangan Yayasan Selangor sehingga November 2010, defisit RM7.41 juta,” kata Khalid.
Beliau mengulas laporan audit yang disemak Bahagian Audit Dalaman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 14 Disember 2010 yang diedar kepada media. Semakan itu memberi tumpuan kepada pengurusan perbelanjaan Majlis Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor yang dirancang 15 November 2010 lalu.
Selain itu, Khalid berkata, sebanyak 12 keputusan tertinggi dibuat sepanjang 2010 tidak dimaklum atau diluluskan Pihak Berkuasa Negeri sekaligus bertentangan dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 12 1993.
“Pengurus Besar juga meluluskan elaun yang tidak sepatutnya dibayar kepada Ahli Mesyuarat, selain semakan audit mendapati, Timbalan Pengurusan Besar (Pengurusan) tidak menghormati arahan bercuti dalam siasatan,” katanya.
Khalid berkata, antara yang menunjukkan tadbir urus korporat itu yang tidak baik ialah seramai 18 kakitangan berhenti dan 50 lagi ditukar dalam tempoh Mac hingga November 2010.
Ekoran itu, katanya, surat tunjuk sebab bertarikh 5 Januari 2011 dikeluarkan kepada Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) bagi menjawab setiap masalah yang timbul mengikut pandangan dan saranan dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri.
“Pada 17 Februari 2011, Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Yayasan Selangor memutuskan untuk menamatkan kontrak Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dengan alasan gagal menunaikan tanggungjawab dan urus tadbir kewangan yang baik serta tidak prihatin dengan prosedur yayasan.
“Keesokannya, surat yang saya tandatangani dikeluarkan mengarah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) ditamatkan kontrak dalam tempoh 24 jam berkuat kuasa serta merta,” katanya.
Khalid berkata, kerajaan Selangor sentiasa berpegang pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban melibatkan semua institusi termasuk syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri bukan sahaja mengamal perbelanjaan berjimat cermat, malah menyediakan audit tahunan yang tertib, lengkap dan teratur untuk semakan umum.
“Kerajaan Selangor bersikap telus, tidak menyembunyikan salah laku mana-mana pegawai, kakitangan awam dan anak-anak syarikat. Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan yang difikirkan perlu demi menjaga amanah rakyat.
“Kerajaan Selangor akan meneliti setiap syor dan mengguna pakai cadangan itu dari semasa ke semasa demi menjaga kredibiliti Yayasan Selangor milikan penuh Kerajaan Negeri,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=9234

No comments:

Post a Comment