Friday, March 18

KERAJAAN PERLU HENTIKAN SEGERA CADANGAN BINA LOJI NUKLEAR

 


Sahabat Alam Malaysia (SAM) meminta kerajaan supaya menghentikan segera cadangan untuk membina loji nuklear dan empangan besar bagi menangani isu krisis tenaga kerana bimbang berlaku kebocoran reaktor seperti yang berlaku di Jepun baru-baru ini.

Presidennya S.M Mohamed Idris (gambar) berkata trajedi yang berlaku di Jepun menunjukkan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan tidak mustahil Malaysia juga akan mengalami perkara yang sama.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lepas yang telah menunjukkan kesengsaraan dan penderitaan yang dialami akibat tenaga nuklear.

“Mana-mana negara termasuk Malaysia dengan aspirasi nuklear perlu pertimbangkan risiko bencana kemalangan sumbangan negatif utama teknologi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dipetik Bernama, beliau berkata pada masa ini, jumlah penggunaan elektrik negara dianggarkan hanya 14,000 megawatt (MW) sedangkan kapasiti bekalan yang ada pula sebanyak 23,000 MW yang memberikan negara margin yang amat selesa.

Mohamed Idris berkata dengan rangka kerja yang berkesan, sempurna serta fiskal yang betul untuk tenaga diperbaharui, ia mampu menyumbang secara berkesan kepada rizab tenaga negara.

Katanya masyarakat dunia juga telah menyedari bahawa terdapat sumber tenaga. altenatif yang lebih selamat, murah dan boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin.

“Satu lagi cara untuk mengurangkan penggunaan tenaga ialah dengan memperbaiki kecekapan tenaga dalam semua sektor. Usaha ini perlu ditingkatkan kerana ia bergerak terlalu perlahan.

“Dengan menggabungkan langkah kecekapan tenaga dan tenaga diperbaharui, permintaan tenaga di negara ini akan berjaya dipenuhi. Kita tidak perlukan tenaga nuklear dan empangan besar,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Dr Tan Seng Giaw juga menggesa kerajaan persekutuan mempertimbangkan semula cadangan membina loji tenaga nuklear ekoran krisis di Jepun.

Beliau berkata kerajaan persekutuan perlu menjadikan kejadian di Jepun sebagai pengajaran dan tidak cuba untuk mengulangi perkara sama di Malaysia.

Tambah Dr Tan, laporan lengkap mengenai perkara itu harus dibentangkan agar rakyat mendapat penjelasan.

“Laporan lengkap mengenai cadangan projek dua loji kuasa nuklear di Malaysia mestilah dibentangkan, agar orang awam dapat memahaminya kerana projek ini dikehendaki melalui penelitian yang rapi sebelum keputusan diambil ekoran malapetaka nuklear Jepun yang sangat membimbangkan.

“Laporan yang lengkap wajib diadakan mengenai projek ini termasuk implikasi ekoran bencana loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi.

“Kementerian Tenaga dan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia, ERMS, Lembaga Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Nuklear Malaysia haruslah telus dan akauntabel mengenai data radiasi dan cadangan dua loji kuasa nuklear tersebut,” katanya. -TMI


NGO: Demi untung, jangan korbankan nyawa rakyat!

Dua pertubuhan bukan kerajaan secara terbuka meluahkan bantahan mereka berhubung tindakan kerajaan meluluskan pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia, di Gebeng, Kuantan.

Sehubungan itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak kerajaan supaya segera membatalkan projek berkenaan.

“... amat khuatir dengan keputusan kerajaan negeri Pahang untuk meneruskan dengan cadangan kilang nadir bumi di Gebeng di sebalik hakikat bahawa kilang ini hanya menanti bencana untuk berlaku.

“Berdasarkan kepada semua risiko ini, adakah kerajaan bersedia untuk mengorbankan nyawa demi untuk mendapatkan keuntungan?” soal presiden dua pertubuhan itu, SM Mohamed Idris.

Menurutnya, SAM pada 2007 telah dijemput oleh kerajaan Terengganu untuk memberikan taklimat mengenai bahaya nadir bumi berdasarkan pengalamannya menangani pendedahan sisa radioaktif di Bukit Merah, Perak.

“Berikutan itu, projek berkenaan telah ditolak oleh kerajaan Terengganu.

“Dalam tempoh tiga tahun lalu, CAP dan SAM membantah dengan bersungguh-sunguh cadangan kilang nadir bumi memandangkan potensinya kepada kesan alam sekitar dan kesihatan awam daripada radioaktif dan sisa berbahaya yang dihasilkan olehnya,” katanya.

Mohamed Idris juga mempertikaikan tindakan kerajaan BN yang membisu berhubung projek bernilai RM700 juta itu. Katanya, lebih membimbangkan projek pemprosesan tanah jarang itu tidak memerlukan penilaian kesan alam sekitar lengkap.

“Penilaian kesan alam sekitar lengkap tidak diperlukan memandangkan terdapat kelemahan dalam undang-undang kita. Oleh itu tidak terdapat sebarang ruang bagi orang ramai untuk meneliti cadangan langkah pencegahan dan potensi risiko dan mengemukakan bantahan mereka.

“Syarikat itu menyatakan terdapat pendedahan paras rendah kepada radiasi. Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan tidak terdapat paras selamat atau nilai ambang pendedahan radiasi pengionan.

“Jangka panjang, pendedahan paras rendah (kronik) kepada radiasi amat berbahaya kerana tisu hidup dalam tubuh boleh mengalami kerosakan oleh radiasi pengionan,” katanya.

Menurut Mohamed Idris, pendedahan kepada sisa radioaktif boleh menyumbang kepada peningkatan insiden leukaemia awal kanak-kanak, kanser, keguguran, mencacatkan system imun dengan bilangan sel darah putih rendah yang luar biasa, paras plumbum yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang boleh membawa kepada keracunan plumbum.

“Kanak-kanak lebih mudah terjejas kepada kesan bahaya bencana radiasi berbanding penduduk umum kerana tubuh mereka menyerap dan memetabolismekan bahan secara berbeza, dan kerana mereka lebih cenderung mendapat kanser tertentu daripada pendedahan itu.

“Terdapat juga kemungkinan yang tinggi bahawa kanak-kanak yang lahir daripada ibu bapa yang terdedah kepada radiasi boleh terjejas oleh pendedahan itu juga,” katanya.

Menurutnya, isu lain yang dikhuatirkan ialah tidak terdapat cara yang selamat untuk melupuskan sisa yang dijana daripada loji penapisan itu.

Justeru, kerajaan kata Mohamed Idris perlu menjawab sama ada mereka bersedia mengorbankan nyawa rakyat demi mendapatkan keuntungan. -mk

No comments:

Post a Comment