KUALA LUMPUR 11 APRIL : Polis Bukit Aman mengesahkan hari ini bahawa ia belum meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan jam Omega miliknya berhubung dengan siasatan fitnah video lucah yang didalangi gadingan Datuk T untuk menjatuhkan beliau.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani sebaliknya mendakwa siasatan polis bertumpu kepada mengesahkan pemilik jam Omega yang diserahkan oleh Datuk Eskay Sharzyl.
Ditanya sama ada polis akan memanggil Anwar untuk menunjukkan jam Omega yang ada dalam simpamannya, Acryl berkata:
"Kita perlu selesaikan soal identiti pemiliknya sebelum mengambil langkah susulan.
"Keutamaan kita (ialah) pada siasatan video dahulu, baru jam dan lain-lain lagi," tambah beliau.
Setelah lebih ramai pihak menolak video lucah itu sebagai fitnah, media arus perdana kawalan Umno kini memberi tumpuan kepada sebuah jam Omega yang didakwa oleh Eskay diambil daripada bilik hotel di mana aksi sumbang itu dirakamkan.
Eskay mendakwa jam itu adalah milik Anwar, manakala Ketua Pembangkang dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menegaskan jam Omega milik Anwar tetap dalam simpanan mereka.
Beberapa pihak mempertikaikan kenapa pihak polis mengisytiharkan siasatanya bersabit video lucah itu sudah hampir siap sedangkan Anwar tidak diminta memberi keterangan lanjut untuk mensabitkan video itu adalah fitnah.
Semalam, apabila ditanya sekali lagi oleh wartawan stesen televisyen Media Prima mengenai jam itu, Anwar mendedahkan polis masih belum menghubungi beliau untuk mendapatkan jam itu.
Adalah difahamkan pihak polis juga tidak merakaman kenyataan daripada saksi-saksi penting lain yang boleh mensabitkan bahawa video itu adalah fitnah semata-mata untuk menjatuhkan Anwar.
Merujuk kepada jam Omega yang didedahkan oleh Eskay, Acryl berkata pengedar jam itu diberikan seminggu untuk mengesahkan pemilik jam itu namun tidak dapat berbuat demikian.
Eskay, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim yang mengenali diri mereka sebagai Datuk T mendalangi penayangan video 21 minit itu kepada media terpilih di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu.
Walaupun mengaku mereka menayangkan video lucah berkenaan, ketiga-tiga mereka masih bebas dan belum dikenakan sebarang tindakan.
Acryl berkata siasatan polis bersabit video lucah itu dijangka dapat disiapkan minggu ini sebelum kertas siasatan dihantar semula kepada Pejabat Peguam Negara.
"Ada beberapa perkara membabitkan keterangan perlu diberi gambaran semula. Walaupun ada keterangan kecil yang telah diambil tetapi ianya juga penting bagi membantu siasatan," katanya.
Siasatan polis itu dibuat berikutan laporan yang dibuat oleh Anwar pada 22 Mac yang menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video berkenaan.
Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan berhubung kes memuat naik video seks itu ke sebuah laman web, Acryl Sani berkata polis menerima salinan asal dan tidak tahu siapa yang memuat naik video itu.
"Soal siapa dan bagaimana ianya diedarkan awak kena tanya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil yang sedang siasat," katanya.
Ketika ditanya mengenai identiti seorang wanita dalam rakaman video seks itu, Acryl Sani berkata polis masih lagi mengesan identiti dan lokasi wanita itu berada.
No comments:
Post a Comment