Monday, April 11

Rakyat Tertekan, Harga Ayam Dijangka Naik Lagi

 


Peniaga ayam di Pasar Chow Kit, di sini, menjangkakan harga ayam naik 50 sen lagi menjadikan harganya RM8 sekilogram sepanjang minggu ini.

Tinjauan Harian Metro ke pasar itu semalam, mendapati kebanyakan peniaga menjangka harga ayam akan terus naik berdasarkan trend kenaikan dan penurunan harga yang berlaku kebelakangan ini. Pada awal bulan ini, harga ayam dicatatkan RM7 sekilogram, meningkat kepada 50 sen pada minggu lalu, iaitu RM7.50 dan dijangka meningkat lagi pada minggu ini.

Peniaga ayam, Rosli Misanti, 42, berkata harga ayam tidak stabil, turun dan naik dalam tempoh sebulan tanpa kawalan harga yang ketat.

“Kebanyakan peniaga meramalkan harga ayam akan terus naik sehingga RM8.50 sekilogram. Kini, seekor ayam dijual dengan harga kira-kira RM12 dan jika kenaikan harga ayam terus berlaku, tidak mustahil ia akan mencapai harga RM16 seekor,” katanya.

Rosli melahirkan rasa kesal kerana peniaga sering dipersalahkan dengan kenaikan harga ayam di pasaran, sedangkan mereka tidak terbabit langsung dalam menentukan harga ayam. Mereka hanya mengikut harga pasaran ditentukan dan belian daripada pembekal, iaitu ayam belum diproses dibeli dengan harga RM5.50 sekilogram. Dia yang sudah 15 tahun menjual ayam berkata, inilah kali pertama berhadapan dengan kenaikan harga yang mendadak.

Katanya, dulu 300 ekor ayam habis dijual setiap hari, kini 200 ekor pun belum tentu habis kerana harga yang mahal membuatkan orang ramai kurang membeli dan permintaan terhadapnya turut berkurangan.

Peniaga ayam, Zulkifli Hatta, 50, berkata jualan ayam yang naik dan turun dalam tempoh sebulan menyebabkan perniagaannya rugi kerana permintaan terhadap ayam berkurangan.

“Dulu saya akan menjual 100 ekor ayam sehari dan kini hanya mampu jual 80 ekor saja dan jika ada pelanggan minta kurangkan harga saya akan kurangkan sebanyak 20 sen kerana kasihan kepada mereka.

“Walaupun peniaga lain menjual dengan harga tetap, saya terpaksa mengurangkan lagi bagi memastikan stok ayam habis dijual,” katanya. -hm

No comments:

Post a Comment