Sunday, October 23

ATHURAH, NORLAILA & NORSHITA ANTARA 13 TAHANAN DEMO "MANSUHKAN ISA" DIBEBASKAN SEMALAM

Keputusan kes 29 tahanan yang disabitkan menyertai Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 menyaksikan 13 daripadanya dibebaskan.

Ianya dibacakan Hakim Ainul Shahrin Mohamad di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, 21 Oktober lalu, setelah hampir dua tahun kes tersebut dibicarakan.

Seramai 16 daripada tahanan diarahkan membela diri selepas pihak pendakwa berjaya membuktikan prima facie kes bagi pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 27 Akta Polis dan dipanggil membela diri pada 1 dan 2 Disember akan datang.

Bagi 13 tahanan yang dibebaskan terdiri anggota Unit Amal, pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti bahawa ianya pertubuhan haram dan tidak boleh disabitkan dengan menyertai perhimpunan haram.

Tiga daripada 16 tahanan tersebut ialah aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) sendiri, Nashita Md Nor dan Norlaila Othman dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi.

Peguambela Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, berdasarkan keputusan awal, pihaknya yakin mempunyai pembelaan kukuh terhadap 16 tahanan tersebut pada 1 dan 2 Disember nanti.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Pusat melahirkan rasa gembira dengan pembebasan 13 tahanan itu.

Turut hadir memberi sokongan ialah Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Muslimat dan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Salleh dan Kamaruzaman Mohamad.

No comments:

Post a Comment