Wednesday, October 26

KEMBALI KE PANGKAL JALAN JANGAN DIJADIKAN TREND IKUT-IKUTAN TETAPI MESTI DENGAN NIAT YANG BETUL - IWAN DANGDUT

 

SEBENARNYA ketakutan, ditambah usia yang semakin lanjut dan tidak tahu bila ajal akan tiba, menjadi antara penyebab beliau mula mencari dan mendapat kesedaran Islam, tegas penyanyi, Wan Shahman Mohd Yunus atau dulunya dikenali sebagai Iwan Dangdut.

Penyanyi popular dengan lagu dangdut "Memori Daud Pisang" bersama Amalina itu menegaskan, dari kesedaran yang membuak-buak itulah, Allah membuka pintu hidayah dan beliau begitu bersyukur dengan nikmat Islam yang dirasainya sekarang.

"Saya sebenarnya gembira kerana ramai yang mahu kembali semula kepada fitrah, kerana ia adalah satu yang diinginkan oleh semua manusia.

"Apa yang penting, ia hendaklah dilakukan dengan ikhlas dan menyerahkannya kepada Allah. Kita berharap apabila diberi hidayah terus mencari jalan bagaimana dapat beristiqamah dalam mengamalkan Islam," tegasnya.

Mengulas lanjut, Iwan berharap, artis kembali kepada Islam bukanlah menjadi sekadar "trend" sahaja, ini kerana  "trend" ialah apabila ada orang nak dakwah, semua nak dakwah, tutup aurat juga begitu tetapi ia hanya sementara dan akhirnya kembali seperti asal semula.

Iwan yang memukau dengan lagu irama dangdutnya pada era 80an dan 90an berkata, artis yang mahu berubah mestilah mengikhlaskan hati dengan semua yang dilakukan kerana Allah dan bukan untuk mencari publisiti semata-mata.

Apabila ditanya apa sebenarnya peranan lagu berbentuk Islam kepada masyarakat, beliau berkata, ianya dapat memberi suasana yang lebih Islam dengan lirik yang mengajak masyarakat mengingati Allah.

"Bila kita ada suasana lagu agama sekurang-kurangnya dapat mengingat kita kepada Allah, jika ada yang terlupa.Dengan lagu itu juga, kita terus ingatkan lagi mereka kepada Allah dan akhirnya mungkin dapat memberi kesedaran kepada pendengar," jelasnya yang kini terkenal dengan lagu "Semuanya Milik Allah" daripada album nasyid terbaharunya. 

Melalui pengalamannya, beliau berkata, apa yang berlaku adalah takdir Allah yang masih menyayangi dirinya kerana perubahan daripada tidak baik kepada baik menyebabkan beliau merasa begitu bersyukur kepada yang Allah Yang Maha Esa.

No comments:

Post a Comment